ROSLAN SHAHIR MOHD. SHAHIR
Wakil Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir mendakwa, DAP menerusi gagasan Malaysian Malaysia sedaya upaya mahu menghapuskan segala kontrak sosial dan menjadikan semua kaum setaraf di negara ini
seterusnya menghapuskan keistimewaan orang Melayu.
Katanya, kemenangan PH pada PRU-14 hakikatnya telah mengangkat puak DAP yang tidak pernah meletakkan kepentingan Islam dalam agenda mereka.
"Kami di Selangor sangat berpengalaman kerana dua penggal bersama mereka duduk dalam kerajaan, apa yang kami tidak rasa.
"Dalam isu papan tanda jalan, dalam bahasa Cina, terang-terangan mereka mengingkari titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di samping mempertikaikan teks solat Jumaat. Paling malang meletakkan negeri dan agama tunduk kepada kemahuan mereka. Ini yang terpaksa kita tanggung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas dalam Muktamar Tahun Pas Ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini hari ini.
Menurut Roslan Shahir, DAP terlalu berpengaruh dan dominan dalam kerajaan PH ketika ini, justeru sebagai parti teras Melayu dan Islam, Pas dan UMNO perlu bersatu tenaga untuk memimpin rakyat.
"Bermuafakatlah, kita susun satu lawan satu dalam pilihan raya umum. Ancaman amat besar, kalau kita leka kerana nasib dan maruah negara akan tergadai," katanya. - UTUSAN ONLINE

Komen Weblog Ibnu Hasyim Yang Belum Dapat Menyambungkan Blognya:  Kaduk naik junjung sama dengan beruk naik canggung..