Wednesday 30 November 2016

Harga Minyak Disember 2016 Turun 5 Sen


harga-minyak

HARGA jualan runcit minyak petrol RON95 dan RON97 serta diesel untuk Disember 2016 di seluruh negara masing-masing diturunkan lima sen, menurut sumber pelbagai pihak.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memaklumkan bahawa notis pemberitahuan perubahan harga petrol dan diesel hanya dimaklumkan kepada pengusaha stesen minyak pada setiap hujung bulan
Sumber memaklumkan bahawa berkuat kuasa mulai dari pukul 12.01 tengah malam pada Khamis, 1 Disember 2016, harga bahan bakar tersebut adalah ditetapkan seperti berikut:
RON95 : Turun 5 sen ke RM1.90 seliter : (RM1.95 seliter)
RON97 : Turun 5 sen ke RM2.25 seliter : (RM2.30 seliter)
DIESEL : Turun 5 sen ke RM1.85 seliter : (RM1.90 seliter)
EURO 5: Turun 5 sen ke RM1.95 seliter (RM2.00 seliter)
Nota: Harga dalam kurungan ( ) adalah rujukan harga bulan November 2016.
Berikut adalah rujukan harga minyak petrol dan diesel untuk beberapa bulan terakhir berdasarkan kepada sistem apungan terurus yang diperkenalkan pada bulan Disember 2014.
November 2016
RON95 : RM1.95 seliter
RON97 : RM2.30 seliter termasuk GST
DIESEL : RM1.90 seliter
EURO 5 : RM2.00 seliter
Oktober 2016
RON95 : RM1.80 seliter
RON97 : RM2.15 seliter termasuk GST
DIESEL : RM1.75 seliter
EURO 5 : RM1.85 seliter
September 2016
RON95 : RM1.70 seliter
RON97 : RM2.05 seliter termasuk GST
DIESEL : RM1.70 seliter
EURO 5 : RM1.80 seliter
Ogos 2016
RON95 : RM1.75 seliter
RON97 : RM2.10 seliter termasuk GST
DIESEL : RM1.70 seliter
EURO 5 : RM1.80 seliter
— Agensi


Ringgit terus jatuh berbanding dolar AS


Hasil carian imej untuk ringgit & dolar
KUALA LUMPUR 30 NOV: Ringgit meneruskan penurunan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), pagi ini disebabkan harga minyak global yang tidak menentu, kata pedagang.
Pada jam 9.13 pagi, ringgit disebut pada 4.4600/4680 berbanding dolar AS daripada 4.4590/4650 Selasa, lapor BERNAMA.
Pelabur berhati-hati menjelang mesyuarat OPEC hari ini yang menentukan pengurangan pengeluaran harian dalam kalangan ahlinya, yang dijangka mempengaruhi pasaran kewangan dan memberi kesan ke atas ringgit.
Sementara itu, ringgit lebih rendah berbanding mata wang utama.
Ia susut sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1322/1394 daripada 3.1300/1360 dan susut berbanding yen kepada 3.9719/9797 berbanding 3.9653/9701 semalam.
Berbanding euro, ringgit lebih rendah pada 4.7468/7575 daripada 4.7270/7342 Selasa dan susut berbanding pound British kepada 5.5679/5792 daripada 5.5278/5370.

Tuesday 29 November 2016

Harga Sayur, Ikan Lebih Mahal Pada Musim Hujan


Pelanggan memilih sayur-sayuran di pasar malam SS2, Petaling Jaya. -fotoTHESTAR


PETALING JAYA: Hujan berterusan di seluruh negara telah memberi kesan terhadap bekalan ikan dan sayur-sayuran di pasaran, sekali gus mengakibatkan kenaikan harga.

Musim tengkujuh dan laut bergelora telah menjejaskan sekurang-kurangnya 50 peratus bekalan ikan, kata Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara (KTU), Jaafar@A.Rahman Abu Bakar.

Beliau berkata antara ikan kegemaran ramai yang menunjukkan pengurangan adalah ikan kembung, ikan selayang dan ikan selar kuning.

Walau bagaimanapun, menurut A. Rahman, harganya tidak naik mendadak, namun masih terdapat kenaikan antara RM2 dan RM3 sekilo.
"Harganya tidak naik begitu tinggi. Pada hari biasa, harga ikan kembung kira-kira RM7 atau RM8 sekilo, kini harganya sekitar RM9 atau RM10 sekilo," katanya.

Beliau berkata adalah sukar untuk menentukan jumlah tangkapan nelayan kerana ia berubah-ubah disebabkan oleh cuaca buruk.

A. Rahman berkata, harganya juga berubah-ubah mengikut tempat.

Menurut A. Rahman, nelayan sebelum ini biasanya mampu membuat tangkapan sehingga 1,000 tan ikan dalam masa enam hari.

Setiausaha Persatuan Nelayan Sungai Besar Ji Wei Chen berkata, walaupun terdapat bekalan ikan yang mencukupi, harganya telah meningkat sebanyak 20 peratus.

"Ia juga bergantung kepada permintaan pasaran. Kadang-kadang, ikan bawal dan udang besar dihantar ke negara-negara seperti Singapura," katanya.

Katanya, satu lagi masalah yang timbul adalah kekurangan tenaga kerja.

Jelasnya, kekurangan pekerja asing bermakna tidak banyak bot dapat turun ke laut.

"Tahun ini, bekalan ikan kembung dan cencaru nampak baik, tetapi jumlah nelayan tidak cukup pula untuk membuat tangkapan," katanya.

Musim tengkujuh juga telah menjejaskan antara 20 hingga 30 peratus bekalan sayur-sayuran, terutama yang berdaun, kata Pengerusi Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Malaysia Tan So Tiok.

Harga bagi beberapa sayur kegemaran rakyat Malaysia seperti sawi, bayam, kangkung dan kailan adalah antara yang terjejas.

"Harga untuk sayur-sayuran berdaun ini telah naik antara 20 hingga 100 peratus.

"Jika sebelum ini, sebahagian daripadanya berharga RM2 sekilo, tapi kini harganya sekitar RM4 atau lebih. Ia juga bergantung kepada jenis sayur-sayuran," kata So Tiok ketika dihubungi.

Beliau berkata harga sayur-sayuran lain seperti kacang panjang dan timun juga telah meningkat.

Di GEORGE TOWN, suri rumah M. Leela, 44, berkata timun tempatan kini dijual pada harga RM3.39 sekilo di sebuah pasar raya di Air Itam.

"Ini sangat mengejutkan.

"Kali terakhir saya membelinya, harganya adalah 99 sen sekilo," katanya.

Jurucakap pasar raya besar itu berkata pembekal telah menjualnya pada harga yang lebih tinggi berikutan musim hujan.

Setiausaha Persatuan Pekebun Sayur-Sayuran Cameron Highlands, Chay Ee Mong berkata harga sayur-sayuran tanah rendah seperti bayam, saderi dan kubis meningkat antara 20 dan 50 peratus.

Beliau juga berkata, pengeluaran di kawasannya telah menyaksikan penurunan sebanyak sekurang-kurangnya 20 peratus disebabkan oleh hujan dan kurangnya cahaya matahari.

Jumlah sayur-sayuran yang diimport dari negara-negara seperti China juga rendah, sambil menambah kos import menjadi lebih mahal disebabkan kejatuhan ringgit.

"Ketika musim hujan, kita juga perlu berhati-hati tentang kualiti.

"Ini adalah barangan mudah rosak, jadi ia tidak boleh disimpan terlalu lama," katanya.

Tinjauan The Star di pasar malam tempatan menunjukkan bahawa harga sayur-sayuran dan ikan adalah 'turun-naik'.

Walaupun harga bagi kebanyakannya meningkat, harga untuk beberapa item masih kekal.

Apa yang mengejutkan, harga kangkung telah jatuh dari RM4 sekilo minggu lalu kepada RM3.50 pada minggu ini.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V. Subbarow berkata banyak aduan diterima daripada orang ramai.

"Kenaikan harga selalu berlaku pada akhir tahun.

"Pengeluaran sayur-sayuran terjejas disebabkan musim hujan adalah tidak betul," katanya. (mStar)

Tanah runtuh: Selangor tawar PPR percuma



KERAJAAN Negeri Selangor menawarkan penempatan sementara untuk mangsa-mangsa tanah runtuh Serendah di PPR Serendah secara percuma.

Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri memerlukan sedikit masa untuk memastikan unit-unit PPR itu sesuai didiami.

Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) akan menguruskan penempatan tersebut.

PPR tersebut adalah di bawah pengurusan PHSSB.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
28 November 2016 – HARAKAHDAILY 28/11/2016

Apa langkah kerajaan tangani kejatuhan ringgit?


PADA 12 April 2016, ketika nilai Ringgit mencatat prestasi terbaik di Asia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan bangganya berkata:

“Ini mungkin mengejutkan lawan politik saya, yang mendakwa jika saya terus menjadi perdana menteri, ringgit akan menyusut 4.80 kepada dolar. Kini (ringgit) mencatat 3.88 berbanding dolar.”
(http://www.barisannasional.org.my/news/ringgit-mata-wang-terbaik-di-asia-pm-najib)

Melihat nilai Ringgit yang kini menyusut ke RM4.47 kepada satu dolar Amerika Syarikat dan menjadi mata wang Asia yang paling menyusut nilainya sejak kemenangan Donald Trump, rakyat terbayang soalan ini di minda - apakah PM telah ketawa terlalu awal April lalu?

Kini, para penganalisis ekonomi menjangkakan nilai Ringgit akan terus menyusut di 2017, malah ada yang membuat prediksi bahawa ia akan menyusut ke paras RM5. Sekiranya Najib masih menjadi PM di 2017, maka prediksi-prediksi ini adalah selari dengan apa yang diketawakan Najib terhadap lawan politiknya bulan April yang lalu.

Ketika nilai Ringgit meningkat di awal tahun ini, PM berkata keputusan rombakan kabinet pada 28 Julai di tahun 2015 telah sedikit sebanyak menyumbang ke arah prestasi baik nilai Ringgit.

Apa pula reaksi Najib sebagai Menteri Kewangan terhadap nilai Ringgit hari ini? Apakah yang PM akan tundingkan sebagai penyumbang kepada kejatuhan nilai Ringgit, yang menjadi prestasi terburuk di Asia hari ini? Jika peningkatan nilai Ringgit berkait dengan rombakan kabinet, apakah kejatuhan nilai Ringgit ini berkait dengan prestasi kabinet yang tidak memuaskan?

Apakah kerajaan sudah ada langkah-langkah untuk mengawal inflasi berganda ekoran kejatuhan nilai Ringgit dan segala penarikan balik subsidi?

PAS juga mengikuti rapat langkah-langkah yang diambil Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menstabilkan nilai Ringgit dengan gesaan menghentikan dagangan ringgit di luar pesisir terutamanya perdagangan ringgit di pasaran kontrak hadapan tanpa serahan (NDF).

Rizab BNM berada pada AS$140 bilion pada suku pertama 2013 sebelum turun kepada AS$100.5 bilion pada 15 Julai.

Pada 14 Ogos 2015, rizab antarabangsa BNM jatuh di bawah AS$100 bilion kepada AS$94.5 bilion kerana aktiviti menyokong nilai Ringgit di pasaran dengan membeli unit tempatan itu.

Setakat 15 Nov 2016, rizab antarabangsa BNM masih di bawah AS$100 bilion iaitu pada AS$98.3 bilion.

Melihat pada data-data ini, PAS khuatir sekiranya langkah-langkah yang diambil BNM ini tidak berkesan, apakah rizab antarabangsa yang ada hari ini dapat menampung nilai Ringgit sekiranya ia terus menyusut seperti yang dijangkakan para penganalisa ekonomi?

BNM dan kerajaan perlu jujur dalam mencari sebab mengapa nilai ringgit paling terjejas di rantau Asia. Jangan pendamkan sebab sebenar hanya kerana menjaga maruah seseorang sementara rakyat terus dimiskinkan melalui susutan nilai Ringgit.


TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
28 November 2016 – HARAKAHDAILY 28/11/2016

Saturday 26 November 2016

Se Kampung Jadi Jutawan Dalam Sekelip Mata.


 Seramai 80 penduduk kampung di Cerezales menjadi jutawan segera.
SEMUA 80 penduduk di sebuah perkampungan terpencil di Cerezales del Condado menjadi jutawan dalam sekelip mata.
Namun nasib mereka berubah 360 darjah bukan disebabkan kemenangan dalam loteri yang popular di negara itu, El Gordo.
Ia hanya kerana perkampungan itu merupakan tempat lahir Antonino Fernandez.
Fernandez merupakan anak ke-11 daripada 13 adik beradik dan berhijrah ke Mexico pada 1949 ketika berusia 32 tahun.
Beliau kemudiannya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Grupp Modelo, syarikat kilang bir yang menghasilkan bir Corona.
Fernandez yang bergelar jutawan meninggal dunia pada Ogos lalu pada usia 99 tahun.
Seramai 80 penduduk kampung di Cerezales menjadi jutawan segera.
Dalam wasiatnya, beliau mengamanahkan agar 169 juta pound diagihkan kepada penduduk di Cerezales, sebuah perkampungan dalam wilayah Leon, lokasi di mana beliau dilahirkan.
Setiap penduduk di kampung itu menerima kira-kira dua juta pound.
Fernandez dilahirkan pada 13 Disember 1917 dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang miskin.
Beliau terpaksa berhenti sekolah pada usia 14 tahun kerana ibu bapanya tidak mampu membayar yuran sekolah.
Selepas Perang Saudara Sepanyol, beliau berpindah ke bandar Leon di Utara Sepanyol dan berkahwin dengan Cinia Gonzales Diez.
 Dalam kenangan... Fernandez bertemu dengan penduduk di kampung kelahirannya.
 Fernandez bersama isterinya.
Pada 1949, bapa saudara isterinya, yang memiliki syarikat Grupo Modelo mengajak mereka untuk berhijrah ke Mexico.
Di sana Fernandez memulakan kerja sebagai pekerja gudang di syarikat tersebut.
Pada 1971 beliau dilantik sebagai CEO dan menghasilkan bir Corona, minuman keras popular di Mexico dan mendapat permintaan tinggi dari Sepanyol.
Beliau memegang jawatan CEO sehingga 1997 dan Pengerusi Lembaga Pengarah sehingga 2005 dengan kedua-dua peranan itu kemudiannya diambil alih oleh anak saudaranya, Carlos Fernandez Gonzalez.
Fernandez kekal sebagai Pengerusi Kehormat Grupo Modelo sehingga beliau menghembuskan nafas terakhirnya.
Corona Extra merupakan bir kedua mendapat permintaan tertinggi di Amerika Syarikat dengan jualan tahunan sebanyak AS$693 juta (556 juta pound). (mStar)

Tuesday 22 November 2016

TPPA berkubur... Trump umum Amerika tarik diri.


Tiada Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA) tanpa Amerika Syarikat, itu kata Menteri MITI Datuk Seri Mustapa Mohamad tidak lama dulu.
Dan hari ini Presiden yang baru dipilih Donald Trump mengumumkan bahawa negaranya akan menarik diri dari TPPA pada Januari ini iaitu hari pertama beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden ke 37.
"Saya telah meminta pasukan peralihan saya untuk menyenaraikan tindakan eksekutif pada hari pertama untuk memulihkan undang-undang dan meningkatkan peluang pekerjaan.
"Mengenai perdagangan, saya akan mengeluarkan pemberitahuan hasrat Amerika Syarikat untuk menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, potensi bencana untuk negara kita.
"Sebaliknya, kami akan berunding dengan tawaran yang adil, di peringkat dua hala perdagangan yang membawa semula peluang pekerjaan dan industri kembali ke Amerika," kata Trump melalui mesej video ketika menggariskan keutamaan pada 100 hari pertama pentadbirannya.
Malaysia antara 12 negara yang telah menandatangani persetujuan untuk menyertai TPPA yang bakal menguasai 40 peratus pasaran dunia.
Selain TPPA, Trump untuk menggariskan keutamaan beliau adalah mengarahkan Jabatan Buruh untuk menyiasat penyalahgunaan program visa, dan membatalkan beberapa sekatan ke atas pengeluaran tenaga, termasuk minyak syal dan gas dan arang batu.
Jutawan Republikan itu berjaya dalam kempen pilihan raya presiden terutama dalam kalangan pekerja yang terpinggir akibat globalisasi, berikrar untuk melindungi pekerjaan Amerika daripada buruh murah seperti di China dan Mexico.
Rundingan perdagangan seperti TPP dan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara 1993 North American menyaksikan pengaruh kuat White House dan pemerhati melihat kemenangan Trump sebagai penolakan hubungan komersil yang ketara oleh negara itu.
Trump berikrar untuk melihat semua TPP - inisiatif perdagangan oleh Presiden Barack Obama - dan merundingkan semula NAFTA.
"Agenda saya adalah berdasarkan kepada prinsip teras mudah: meletakkan Amerika terlebih dahulu," katanya.
Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Michael Froman memberi amaran minggu lalu bahawa pelupusan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik akan mempunyai kos strategik dan menimbulkan situasi ekonomi yang serius.
Mengenai sektor tenaga pula, Trump akan membatalkan sekatan ke atas pengeluaran tenaga Amerika - termasuk tenaga syal dan arang batu bersih - mewujudkan berjuta-juta pekerjaan bergaji tinggi.
"Itulah apa yang kita mahu, itulah yang kita telah tunggu," katanya.
Beliau turut membayangkan akan merangka peraturan baru dan menghapuskan peraturan-peraturan lama.
"Bagi keselamatan negara, saya akan meminta Jabatan Pertahanan dan Pengerusi Ketua Turus Bersama untuk membangunkan satu pelan yang komprehensif untuk melindungi infrastruktur penting Amerika daripada serangan siber, dan semua bentuk serangan.
"Di peringkat imigresen, saya akan mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja untuk menyiasat semua penyalahgunaan program visa yang menjejaskan pekerja Amerika.
"Bagi reformasi etika, kami akan mengenakan larangan lima tahun ke atas pegawai-pegawai eksekutif menjadi pelobi selepas mereka meninggalkan pentadbiran - dan larangan seumur hidup pada pegawai eksekutif melobi bagi pihak kerajaan asing," tambahnya.-22/11/2016

Monday 21 November 2016

Kutipan GST RM32.71 Bilion Sehingga Oktober Tahun Ini


Kutipan GST RM32.71 Bilion Sehingga Oktober Tahun Ini

KUALA LUMPUR – Hasil kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sehingga 31 Oktober tahun ini adalah RM32.71 bilion, manakala RM27.01 bilion kutipan direkodkan untuk tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Oktober 2015.

Menurut Kementerian Kewangan, semua hasil cukai itu dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan bersama-sama dengan cukai langsung dan cukai tidak langsung yang dikutip Kerajaan Persekutuan.
“Seterusnya, kutipan cukai GST dikembalikan sebagai agihan peruntukan bagi tujuan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat, termasuk menambah baik sektor pendidikan, kesihatan, kemudahan infrastruktur serta keperluan pembangunan dan kemajuan ekonomi negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa (PAN-Parit Buntar) mengenai jumlah GST yang dikutip sejak dilaksanakan serta jumlah kutipan yang digunakan untuk meringankan beban rakyat.
GST mula berkuatkuasa pada 1 April tahun lepas. – BERNAMA

Wednesday 16 November 2016

Siti Safura, Juara Chef Kedutaan 2016 Di Ottawa.


PETALING JAYA: Beliau pernah menebar roti canai ketika berusia 10 tahun di restoran milik keluarganya di Ranau, Sabah dan kini mula menempa nama sebagai chef yang disegani di bumi asing.
Siti Safura Mohd Tawil atau lebih mesra dipanggil sebagai Chef Safura Tawil merupakan anak muda Malaysia yang mengharumkan nama negara apabila menjuarai Cabaran Chef Kedutaan 2016 di Ottawa, Kanada baru-baru ini.
Hidangan tempatan seperti pulut kuning, rendang daging, serunding dan sate sudah memadai buatnya untuk mendapat pengiktirafan dalam kalangan cef luar negara yang lebih hebat dan berpengalaman yang menyertai pertandingan tersebut.
Safura dan Duta Malaysia ke Ottawa, Datuk Aminahtun (baju biru) bergambar bersama juri Cabaran Chef Kedutaan Kanada 2016, baru-baru ini.
 Safura menerangkan hidangan yang dihasilkannya kepada juri pertandingan.
 Safura menunjukkan demonstrasi menebar dan memasak roti canai kepada rakyat Kanada.
 Safura dibantu oleh rakannya untuk menyediakan hidangan.
Baru 10 bulan bekerja sebagai cef di kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Ottawa, gadis berkelulusan dalam bidang kulinari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berbesar hati untuk berkongsi kejayaannya bersama mStar Online.
Walaupun pertama kali menyertai pertandingan memasak di luar negara, Safura mendedahkan, beliau sebenarnya sudah mula meminati dunia masakan sejak usia 10 tahun apabila menjadi penebar roti canai di restoran milik keluarganya di Ranau pada usia 10 tahun.
Malah katanya, keluarganya turut memiliki sebuah restoran yang menggunakan namanya, Siti Safura di Telupid tetapi premis tersebut telah ditutup kerana beliau sekeluarga berpindah ke Temerloh Pahang.
Berdasarkan minatnya terhadap dunia masakan, maka tidak hairanlah gadis berusia 25 tahun itu memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang kulinari UiTM dan menyertai beberapa pertandingan peringkat tempatan dan antarabangsa yang diadakan di dalam negara.
Ternyata berkat kesungguhan menuntut ilmu di menara gading, anak ketujuh daripada sembilan beradik itu berjaya mencapai cita-citanya apabila menabur khidmat sebagai chef bagi delegasi Malaysia yang diketuai Duta Malaysia di Ottawa, Kanada, Datuk Aminahtun A. Karim.
Mengulas tentang pemilihan hidangan ketika menjuarai pertandingan di Kanada, Safura menjelaskan, beliau memilih hidangan tersebut kerana makanan itu sangat terkenal di Malaysia selain mempunyai cara penyediaan yang berbeza untuk melengkapkan cabaran tersebut.
"Saya memastikan memperkenalkan hidangan 100 peratus dari Malaysia dan mahu memastikan rakyat Kanada merasai hidangan Malaysia yang asli tanpa diubah rasanya.
"Malah saya menggunakan resepi ibu untuk membuat rendang daging yang merupakan makanan kegemaran saya," katanya.
Ditanya tentang perancangan masa depan, Safura berkata, beliau memasang impian untuk membuka sebuah restoran sama ada di Kanada atau di Malaysia memandangkan namanya sudah mula dikenali ekoran kejayaan tersebut.
Malah katanya, beliau juga sering menebar roti canai sebagai demonstrasi kepada penduduk di Kanada yang berminat untuk mengetahui satu daripada makanan kegemaran rakyat Malaysia itu.
"Insya-Allah, jika ada rezeki, saya akan menyertai lagi pertandingan sama pada tahun depan.
"Saya akan mencuba yang terbaik kerana sememangnya saingan antara peserta lain sangat hebat," tambahnya.
Tanpa melupakan asal-usulnya, Safura menyifatkan kejayaan di bumi Kanada sebagai kemenangan yang ditujukan khas buat rakyat Malaysia.
Tambah beliau, kemenangan itu tidak akan hadir tanpa sokongan beberapa pihak termasuk staf Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Ottawa yang banyak membantunya.
"Terima kasih kepada Datuk Aminahtun, keluarga, rakan, pensyarah, dan chef yang banyuk memberi sokongan tanpa henti sebelum, semasa dan selepas pertandingan," katanya. (IH/MOK)

Ratu kelulut jadi lebah dalam masa tiga bulan

Kumara menunjukkan kotak yang memuatkan ratusan spesies kelulut yang terdapat di Malaysia.

“BESARNYA kelulut tu. Macam langau. Kelulut lain kecil aje,” luah Siti Nur Farhana Abdullah, 18, pelajar tingkatan enam rendah di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu yang leka memerhatikan kawanan lebah kelulut berlegar-legar di sekitar sarangnya iaitu kotak kayu berwarna coklat gelap.
Kotak kayu itu menempatkan jejaring bertekstur seakan-akan lilin dan ratusan kantung kecil.
Kelulut bersaiz besar yang dimaksudkan oleh Siti Nur Farhana itu merupakan permaisuri bagi koloni tersebut. Saiznya hampir menyamai seekor langau.
Menurut Pakar Pengkaji Lebah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Jeli, Dr. T. Kumara, kelulut merupakan jenis lebah tidak bersengat yang biasanya ditemui di dalam hutan primer atau pinggir hutan sekunder seperti kebun dan ladang.
Kelulut merupakan agen pendebungaan di hutan untuk kebanyakan spesies buah, bunga, sayur dan tanaman lain.
“Koloni kelulut yang menempatkan pekerja dan tentera ditadbir oleh seekor ratu. Kesemua pekerja merupakan kelulut betina manakala yang jantan akan balik ke sarang untuk mengawan dengan ratu pada musim mengawan.
“Ratu mempunyai kuasa mutlak untuk menguruskan koloni dan menghasilkan telur sama ada telur ratu atau pekerja,” katanya sewaktu ditemui Kosmo! di kampus berkenaan baru-baru ini.
Dalam sebuah haif (sarang) lebah, bahagian bawah merupakan pusat operasi yang menempatkan pemerintahan ratu, kilang pekerja dan ‘nurseri’ untuk telur ratu.
Bahagian atas pula merupakan gudang untuk menyimpan madu dan debunga serta jaringan propolis.
Walaupun pada masa-masa tertentu koloni kelulut mempunyai dua atau lebih ratu bertelur, namun hanya terdapat seekor ratu reproduktif dalam sesebuah koloni.
Malah, biarpun ratu dara dihasilkan berkala, tetapi kebanyakannya dibunuh atau tidak sempat menghasilkan telur.
Ratu lebah hanya mengawan sekali sahaja dalam seumur hidup dan akan terus bertelur antara 50 hingga 350 biji sehari dalam tempoh dua hingga tujuh tahun hayatnya.
Selepas mengawan dan menyimpan telur di dalam kantung, ratu lebah tidak boleh terbang kerana sayapnya tidak mampu menampung abdomen yang membesar tiga kali ganda daripada saiz lebah pekerja.
Pada waktu itu, ratu hanya mampu berjalan untuk melihat lebah kerja melakukan tugas.
Malah, tidak seperti telur haiwan lain yang menetas secara semula jadi, telur kelulut ditetaskan pekerja dalam tempoh pengeraman antara 16 hingga 20 hari.
Dalam sistem lebah, lebah betina mungkin menjadi lebah pekerja atau ratu bergantung kepada jumlah makanan yang ia terima semasa di peringkat larva. Ratu diberi makan jeli raja dan lebah pekerja diberi makan debunga.
Ratu lebah

KOLONI kelulut ditadbir oleh seekor ratu.


Sinonim dengan namanya, lebah pekerja mempunyai jangka hayat hidup lebih singkat iaitu antara 75 hingga 100 hari kerana kekurangan sumber makanan atau terlalu kuat bekerja. Justeru, kelulut akan mula bekerja beberapa hari selepas ia menetas.
Peluang bertemu empat mata dengan ketua penyelidik madu kelulut itu juga menemukan suatu dapatan menarik.
“Saya sedang membangunkan satu teknologi untuk menghasilkan ratu lebah. Setakat ini, dapatan kajian yang diperoleh menunjukkan hasil yang positif,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang itu.
Bagi menampung bekalan madu serta memudahkan akses pengguna terhadap madu asli, suatu teknologi khas untuk menghasilkan ratu lebah kelulut telah dicipta oleh kumpulan penyelidik UMK yang diketuai oleh Kumara.
Kit yang dinamakan SLB Liv Kit itu bersifat mudah bawa, ringkas dan senang diselia. Terdapat dua jenis kit iaitu penjagaan bermula daripada larva (telur) atau pupa (kepompong).
“Alat khas seperti jarum yang panjang akan digunakan untuk mengumpul telur dan pupa daripada haif sebelum dimasukkan ke dalam slot kecil dalam kit penghasilan ratu lebah.
“Makanan khas akan diberikan kepada larva dan pupa. Satu peket makanan mampu bertahan selama sebulan,” jelas Kumara.
Kotak SLB Liv Kit hanya perlu dibiarkan dalam persekitaran bersuhu bilik supaya ia membesar. Tempoh masa yang diambil untuk pupa atau larva membesar menjadi seekor ratu lebah ialah selama dua hingga tiga bulan.
Penolakan
Menurut Kumara, setiap ratu dara yang terhasil akan diberikan induksi terlebih dahulu. Ratu akan diletakkan dalam satu tiub jernih sebelum memasukkannya ke dalam haif koloni lebah asal.
Pemerhatian secara berkala dalam tempoh seminggu akan dilakukan bagi memastikan koloni asal lebah dalam haif itu dapat menerima ratu dara tersebut atau tidak.
“Pada awalnya, lebah asal koloni akan menunjukkan penolakan dengan cara mengerumuni lebah dara seolah-olah ingin menerkam atau membunuhnya.
“Namun, jika koloni tersebut sudah mula menerima ratu dara, mereka akan bereaksi biasa dan tidak lagi bersifat ingin menyerang. Itu tandanya koloni tersebut sudah boleh menerima ratu dara,” jelasnya.
Tambahnya, jika sesuatu koloni tidak dapat menerima ratu dara tersebut dan kelihatan sentiasa mencari peluang untuk menyerang, maka ia tidak sesuai dalam koloni tersebut. Ia akan dipindahkan ke dalam haif lain.
Sebaliknya, apabila sesebuah koloni sudah terbiasa dengan ratu dara, sebahagian koloni lama akan dipindahkan ke haif lain bagi membentuk koloni baharu.
“Haif asal akan dibahagikan kepada dua. Bagi mengelakkan perasaan asing, sebahagian koloni daripada haif induk akan dimasukkan ke dalam haif baharu supaya lebah pekerja yang berpindah masuk ke dalam haif baharu tidak janggal.
“Pertambahan bilangan ratu bermaksud jumlah koloni lebah kelulut juga menjadi lebih banyak. Dalam erti kata lain, bekalan madu juga akan bertambah sekali gus mampu memenuhi permintaan pengguna madu,” ujarnya.
Sementara itu, Kumara memberitahu, idea mencipta kit tersebut timbul selepas dua tahun melakukan kajian untuk menambahbaik teknik menghasilkan ratu kelulut.
Beliau kemudiannya mengembangkan kajian untuk mencipta kit penghasilan ratu pada tahun lepas sebelum ia mula diperkenalkan secara rasmi dan dipatenkan pada tahun ini.
Bengkel

Corong pada bawah kotak merupakan laluan lebah pekerja untuk masuk ke dalam haif.


Sehingga kini hanya spesies lebah Geniotrigona thoracica digunakan untuk menghasilkan ratu kerana ia lebih mudah dikendalikan.
Hasil kejayaan itu, Kumara telah mengadakan bengkel latihan kepada penternak kelulut bagi berkongsi pengetahuan dan cara penggunaan SLB Liv Kit.
Set SLB Liv Kit boleh didapati pada harga RM2,500 termasuk latihan intensif.
Sementara itu, Pakar Madu UMK, Dr. P. V. Rao, memberitahu, kesedaran masyarakat terhadap khasiat madu untuk kesejahteraan dan kesihatan diri semakin bertambah pada masa kini.
“Madu bukan sahaja bermanfaat untuk melestarikan kesihatan diri, malah penghidap kencing manis juga boleh mengambil madu secara konsisten tanpa khuatir ia akan menaikkan paras gula dalam darah.
“Pengambilan madu secara teratur dapat meningkatkan pengeluaran insulin yang berfungsi untuk mengawal paras gula dalam darah secara semula jadi,” kata anak kelahiran India ini.
Jelas Rao, madu juga dapat meningkatkan sistem imun tubuh seseorang serta mengubati luka sekiranya ia disapu pada tempat yang sakit.
Rao sempat menitipkan pesan agar mengambilnya secara konsisten setiap hari dalam kuantiti bersesuaian.
“Pengambilan madu sebaiknya diselaraskan dengan berat badan seseorang. Setiap kilogram (kg) badan adalah bersamaan dengan pengambilan 1 gram (g) madu setiap bulan. Contohnya jika seseorang itu mempunyai berat 60kg, maka jumlah madu yang perlu diambilnya ialah sebanyak 60g sebulan,” kongsinya. (Kosmo!)

Tuesday 15 November 2016

Aiskrim Ohsemm lebar sayap perniagaan.


 Orang ramai menunggu giliran untuk menikmati aiskrim percuma sempena pelancaran aiskrim Ohsemm di Bangi Sentral, Selangor baru-baru ini.
MEMBUKA kios aiskrim secara francais di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor kira-kira enam tahun lalu menjadi batu loncatan kepada Mohd. Syakir Sa’adon, 30, untuk mengembangkan perniagaan itu secara serius dan menggunakan jenama sendiri yang dikenali sebagai Ohsemm.
Mohd. Syakir yang menjadi pengasas jenama itu berkata, dia mula menggunakan jenama sendiri pada tahun lalu apabila syarikat francais tersebut mempunyai masalah dan gulung tikar.
“Disebabkan masalah itu, saya memberanikan diri untuk mengembangkan perniagaan aiskrim lembut menggunakan jenama sendiri yang dikenali sebagai Ohsemm iaitu diambil daripada perkataan awesome yang membawa maksud hebat.
“Bermula bulan ini, Ohsemm melebarkan sayap ke Sabah dan dalam perancangan untuk membuka beberapa kios di sekitar Kuala Lumpur,” katanya pada Majlis Memperkenalkan Jenama Aiskrim Ohsemm di Bangi Sentral, Selangor baru-baru ini.
Ujar Mohd. Syakir, hatinya mula terpaut dengan perniagaan aiskrim kerana ia tidak memerlukan modal yang sangat besar dan rendah risiko.
Di samping itu, cuaca yang panas dan lembap sepanjang tahun di negara ini sangat sesuai untuk perniagaan aiskrim yang digemari oleh kanak-kanak mahupun orang dewasa.
Ohsemm beroperasi secara online dan model perniagaan adalah rendah.
Dia turut menerima tempahan-tempahan aiskrim untuk majlis perkahwinan, pelancaran syarikat, rumah terbuka dan sambutan hari lahir.
Pihaknya juga merancang untuk mempunyai ejen yang beroperasi menggunakan lori di setiap negeri.
Ia bagi mendekati pelanggan dan menyebar luas kelazatan aiskrim yang mengetengahkan tiga perisa iaitu coklat, vanila dan strawberi pada harga RM1 bagi satu kon.
Orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubungi talian 019- 603 1650.
Selain itu, mereka boleh melayari Instagram, ohsemm_soft_ice_cream dan Facebook, ohsemm soft ice cream-Hq.
Untuk maklumat lanjut mengenai Ohsemm termasuk pakej bisnes, boleh layari www.aiskrimohsemm.com.my.