Monday 30 May 2016

10 Syarikat Paling Ramai Rakyat M'sia Idamkan Pekerjaan.

job
MENERUSI satu kajian dijalankan oleh JobStreet.com yang melibatkan 7,958 responden, berikut merupakan carta 10 syarikat yang paling diidamkan oleh rakyat negara ini bagi membentuk karier:
10. Public Bank
10
9. Tenaga Nasional Berhad
9
8. Intel
8
7. Nestle
7
6. Air Asia
6
5. Maybank
5
4. Sime Darby
4
3. Google
3
2. Shell
2
1. Petronas
1

Ini merupakan penganugerahan dua tahun berturut-turut buat Petronas apabila mereka sekali lagi dipilih sebagai peneraju carta yang dijalankan oleh agensi pekerjaan berkenaan.
Petronasi diwakili oleh Ketua Pengurusan Tenaga Kerjanya, Ungku Haslina Ungku Mohamed Tahir yang hadir menerima trofi tersebut.
Menurut Pengurus JobStreet Malaysia, Chook Yuh Yng, senarai 10 syarikat ini adalah sesuatu yang membanggakan rakyat Malaysia apabila enam daripada syarikat itu adalah milik tempatan.
“Ternyata senarai
 top 10 syarikat di Malaysia adalah lebih membanggakan apabila enam daripada 10 syarikat itu terdiri daripada syarikat tempatan.
“Ini berlainan dengan kajian yang dilakukan di negara serantau seperti Singapura dan Filipina yang mana senarai mereka lebih banyak dikuasai syarikat antarabangsa dan negara luar,”katanya ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan JobStreet Top 10 Companies 2016 di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, hari ini.
Penyampaian trofi disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Talentcorp Malaysia, Johan Mahmood Merican dan Ketua Pegawai Eksekutif SEEK Asia, Suresh Thiru.

Dalam survey itu juga mendapati antara faktor-faktor yang menarik pekerja untuk memilih sesebuah syarikat itu adalah disebabkan faktor ganjaran dan insentif, gaji, budaya dan suasana kerja, perkembangan kerjaya dan reputasi syarikat tersebut.
Naib Presiden Pengurusan Kumpulan Sumber Manusia Petronas, Datuk Raiha Azni Abdul Rahman berkata: “Kami berterima kasih dengan Anugerah JobStreet.com’s People’s Choice Award 2016.
“Sebagai sebuah syarikat bertaraf global, Petronas yakin perkembangan pekerja adalah suatu faktor yang penting bagi kelangsungan sesebuah syarikat itu.
“Kami percaya dengan budaya kerja yang diterapkan di Petronas seperti Kesetiaan, Intergriti, Profesionalisme dan Kerjasama merupakan faktor yang menyebabkan kami kekal sebagai syarikat yang paling banyak rakyat Malaysia nak bekerja,” katanya.
Kajian JobStreet.com dilakukan pada Disember lalu melibatkan lebih 7,000 responden yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur, jantina, tahap pendidikan dan dari pelbagai industri pekerjaan. (IH)

Tuesday 24 May 2016

Trend bisnes secara online


Transaksi online merupakan kaedah jual beli yang semakin banyak dilakukan bagi menggantikan cara manual. – Gambar hiasan

MUSIM silih berganti dan zaman juga berubah. Penggunaan internet dalam kalangan masyarakat dunia semakin meningkat dan mengubah cara hidup mereka.
Perniagaan melalui internet atau lebih dikenali sebagai e-dagang pada masa kini telah menjadi satu trend.
Di Malaysia, perniagaan secara online semakin mendapat sambutan yang menggalakkan. Ramai usahawan menjadikan internet sebagai saluran untuk memulakan perniagaan kerana mereka tidak memerlukan modal yang besar.
Para usahawan hanya perlu memiliki sebuah komputer dan kebolehan sebagai aset utama untuk memulakan perniagaan.
Berdasarkan statistik Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada 2013, nilai e-dagang di negara ini mencatatkan nilai pasaran berjumlah RM53 bilion. Ia dijangkakan meningkat kepada RM72 bilion pada penghujung 2015. Malah, disasarkan akan terus berkembang kepada RM88 bilion pada 2016.
Menurut Pengasas Syarikat Konsultasi, Castanea Resourses, Hardiana AJ, dalam perniagaan secara online menjadi pilihan pada masa kini kerana ia mempunyai banyak sisi positif.
“Perniagaan online membolehkan usahawan menjual produk lebih cepat dan mudah memasuki pasaran global.
“Selain dapat membantu pengguna mendapatkan barangan yang sukar dicari, ia juga menggantikan konsep konvensional yang memerlukan pelanggan datang ke kedai dan mengisi borang untuk membeli barang.
“Hari ini, hanya dengan sekali klik, semuanya dapat diuruskan dengan lancar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Memandangkan modal untuk memulakan perniagaan di internet jauh lebih murah, maka ia membuka peluang kepada usahawan untuk mempelbagaikan perniagaan. Menurut kajian yang dijalankan oleh Harmony Hollow Software pada 2006, walaupun perniagaan online dipercayai mempunyai potensi yang lebih besar berbanding bisnes konvensional, kekangan dan cabarannya tetap ada.
Antaranya, rintangan kepada teknologi baharu, kekurangan pelanggan berpotensi, kesukaran pelaksanaan, kekurangan kemahiran teknologi dan masalah kos.
Selain kekangan daripada sudut teknologi, keyakinan dan kepercayaan para pengguna juga antara cabaran mereka yang mengendalikan bisnes ini.
Sesetengah pelanggan kurang yakin dengan transaksi tanpa kertas dan bersemuka dengan penjual.
Selain itu, sesetengah pelanggan lebih suka menjalankan aktiviti beli-belah secara konvensional. Melalui cara ini, mereka berpeluang melihat, meneliti dan memilih produk-produk yang diingini di depan mata.
Kekangan itu menyebabkan perniagaan online masih kurang diberi perhatian dan sukar dilaksanakan terutamanya di negara-negara yang kurang maju serta rakyatnya tidak celik teknologi. Kekangan itu mampu menyebabkan kegagalan pelaksanaan perniagaan online.
Hardiana menambah, isu penipuan, sekuriti, keselamatan dan kerahsiaan data juga menjadi perkara yang sering diperdebatkan oleh pelanggan. Hal ini boleh mengurangkan keyakinan mereka terhadap perniagaan online jika isu-isu ini tidak ditangani dengan baik.


Pembelian secara online semakin menjadi pilihan kerana ia lebih mudah dan fleksibel. – Gambar hiasan

“Kunci utama kejayaan seorang usahawan dalam memasarkan produk atau perkhidmatan secara online ialah kesungguhan mereka memastikan output yang ditawarkan berkualiti.
“Selain itu, bisnes secara online juga memerlukan peniaga yang sentiasa melihat perkembangan laman web mereka supaya segala pembelian daripada pelanggan dapat dihantar secepat mungkin,” ujarnya.
Kepuasan pelanggan akan menyebabkan pelanggan setia terhadap produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
Lonjakan positif
Biarpun perniagaan online dilihat lebih banyak kelebihan dan besar potensinya, tanpa perancangan yang mantap, lemah mengatur strategi dan kurang kreativiti maka hasilnya tetap tidak memuaskan.
Pendek kata, baik perniagaan online mahupun tradisional, kedua-duanya memerlukan ilmu, kegigihan, kreativiti, inovasi dan kesungguhan.
Dalam pada itu, pengusaha perniagaan online Sweet n Cozy Collection, Rahayu Mohd. Tohari, 38 memberitahu, trend perniagaan online sebenarnya adalah satu lonjakan positif yang boleh memajukan sesebuah bisnes.
Menjual barangan keperluan buatan tangan untuk kanak-kanak dan wanita, pengalaman Rahayu selama lima tahun mengendalikan perniagaan online telah memberinya banyak peluang serta ruang bukan sahaja memperkenalkan produk rekaannya sendiri tetapi mendapat capaian pelanggan dari luar negara.
“Perniagaan online merupakan salah satu cabang bisnes yang sangat membantu dan fleksibel daripada aspek promosi serta penjualan barangan kepada pembeli.
“Ia membuka radius yang luas terutamanya kepada capaian pelanggan. Malah, saya sendiri pernah berurus niaga dengan pelanggan dari Finland, Amerika Syarikat dan Brunei,” katanya ketika hubungi Kosmo! baru-baru ini.
Mengulas tentang hala tuju dan masa depan perniagaan online, Rahayu mengakui bahawa konsep bisnes itu akan terus berkembang dan persaingan dijangka meningkat.
Ia jelas dalam tempoh lima tahun, kewujudan peniaga online boleh diumpamakan seperti cendawan tumbuh setelah hujan. Bagaimanapun, pada pandangannya, trend jual beli moden itu dilihat tidak akan menjejaskan konsep jualan terus atau langsung.
“Walaupun perniagaan online kini telah memasuki jualan barangan harian, ia tidak dilihat sebagai ancaman kepada jenis perniagaan tradisional. Ini berikutan masih ramai lagi pembeli yang mahu berurusan secara dua mata untuk memeriksa sendiri produk jualan.
“Ia bertujuan bagi mengelakkan kes penipuan oleh peniaga. Pada masa sama, penjual juga perlu arif tentang konsep transaksi pembayaran agar tidak menjadi mangsa kepada pembeli hantu,” ujarnya. (Kosmo!)

Monday 23 May 2016

Nak Buka Kebun Anggur, Ini Bukti Tanaman Di Rumahnya..

Jadi tumpuan kerana buah anggur Mohd Hairey bersama adiknya menunjukkan anggur yang dipetik dari pokok yang ditanam di halaman rumahnya.

JOHOR BAHRU – Kediamannya menjadi tumpuan orang ramai selepas pokok anggur yang ditanam di halaman rumah lebih tiga tahun lalu berbuah lebat.

Mohd Hairey Rahim, 31, berkata, dia sendiri tidak menyangka anak pokok anggur yang dibeli di Cameron Highlands itu boleh hidup subur.

Menurutnya, lebih istimewa apabila pokok anggur yang mula berbuah lebat sejak lebih setahun lalu mengeluarkan buah tanpa henti.

“Masa nak beli anak pokok anggur ni, penjual nasihatkan saya supaya tak beli kerana tak pernah orang beli dan balik tanam di rumah boleh hidup, tapi saya nekad nak mencuba.
“Alhamdulillah selepas ditanam lebih kurang dua bulan anak pokok anggur ini makin subur dan selepas setahun ia mula mengeluarkan buah setangkai dengan hanya tiga biji.
“Enam bulan kemudian sekali lagi ia berbuah, tetapi hanya setangkai juga membuatkan saya sekali lagi ke Cameron Highlands untuk mendapatkan maklumat daripada penjual anak pokok anggur itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Jadi tumpuan kerana buah anggur

Mohd Hairey berkata, selepas dinasihatkan supaya memotong pucuknya yang menjalar, ia mengeluarkan buah sehingga sekarang. Menurutnya, selepas viral di laman sosial facebook, kediamannya bukan sahaja dikunjungi ramai orang, malah ada yang meminta khidmat nasihatnya untuk mengetahui cara-cara menanam pokok anggur sehingga hidup subur.

“Masa mula-mula tanam dulu memang saya buat sendiri tong air yang boleh mengeluarkan air setiap tiga jam sekali untuk tempoh 12 jam kerana dalam keadaan cuaca panas di tempat kita memang air tu wajib bagi pokok anggur.
“Buahnya memang seperti saiz anggur biasa dengan rasa yang masam-masam manis.
“Buah anggur ini saya tak jual, sebaliknya pengunjung yang datang ke kediaman saya akan berpeluang memetik sambil menikmati buah anggur segar ini,” katanya.

Katanya, dia ada perancangan untuk membuka kebun anggur kerana sudah mempunyai pengalaman dan tahu selok-belok tanaman itu, tetapi berdepan masalah tanah. (SH)

Lihat sebelum ini..

Sunday 22 May 2016

Dari Modalkan Telefon RM300, Kini Mampu Hidup Mewah -Zukieee


Nama Zukieee bukanlah perlu diperkenalkan lagi di kalangan pengguna media sosial di Malaysia, video-video lucu yang dihasilkannya menjadi bualan ramai netizen.

Zukiee atau nama sebenarnya Zulkifli Muhammad, 24, kini mampu untuk berbangga dengan pencapaianya, mana tidaknya, selama tujuh bulan video pendek yang dihasilkannya pada awal-awal dulu mampu untuk menangung kehidupan keluarganya yang susah.

"Alhamdulillah, pendapatan sejak menjadi selebriti media sosial agak baik saya boleh bantu ibu dan adik beradik lain setiap bulan dan setakat ini sudah beli kereta Mazda RX8 secara tunai.

"Saya daripada keluarga yang susah dan ada tujuh adik beradik, dulu saya hanya seorang pekerja zoo dengan gaji RM800 sebulan sahaja," ujarnya dipetik laporan mStar.



Menurut beliau lagi, beliau telah menyimpan lama hasratnya untuk aktif di media sosial untuk membantu nasib keluarganya, namun ianya terpaksa dipendamkan kerana kekurangan modal untuk memulakan kerjaya itu.

Akhirnya tahun lalu, beliau telah berjaya membeli sebuah telefon bimbit dengan harga RM300, dia dapat memulakan rancangannya itu.

"Sebenarnya saya sudah simpan idea-idea untuk jadi viral sejak tahun 2011, tapi saya tidak boleh buat kerana saya tiada telefon bimbit yang boleh buat rakaman.

"Sehingga tahun lalu, saya tekad beli telefon berharga RM300 yang ada video. Daripada situ saya buka akaun laman sosial dan muat naik video-video yang saya lakonkan," ujarnya.

Sehingga kini, Zukieee memiliki telah memiliki sebanyak 420,000 pengikut laman Instagram dan 500,000 di Facebook.

Zukieee turut ditanya tahap penglibatan dalam dunia glamer, menurut Zukieee dia menerima banyak tawaran untuk beraksi di dalam program televisyen dan berlakon drama, namun terpaksa ditolak kerana menjaga eksklusiviti dan jenama dirinya iaitu hanya boleh dilihat di media sosial sahaja.

"Kerjaya saya di media sosial bukan di televisyen, jadi saya terpaksa tolak tawaran-tawaran daripada stesen televisyen yang mahu saya terlibat dalam drama dan program mereka.

"Saya tidak mahu jika terlalu kerap di televisyen membuatkan orang bosan dan tidak mahu menonton saya di media sosial pula," ujarnya.

Selain itu, Zukieee berkata, dia kini mempunyai sebuah syarikat pengiklanan Viral Media Sdn Bhd bagi mempromosi produk di media sosial. (IH)

S

Cuaca Panas, Cendol Santan Sawit Ini Digemari..


CUACA panas terik dan berbahang yang melanda utara Semenanjung terutama di Alor Setar, Kedah pada ketika ini, menyebabkan kedai cendol milik ibu kepada empat orang anak, Norzalela Abidin, 42, menjadi tumpuan orang ramai untuk menghilangkan dahaga.
Beroperasi di Taman Wira Mergong di Alor Setar, Cendoi Corner tidak putus-putus dikunjungi orang ramai terutama kakitangan kerajaan dan penuntut universiti yang mahu menikmati cendol pelbagai perisa di kedai itu.
Sebanyak 15 hidangan cendol dijual antaranya cendol pulut, cendol tapai, cendol tapai aiskrim, cendol nisan nipah, cendol bandung dan cendol buah pada harga antara RM2 hingga RM4.50.
Keistimewaan hidangan cendol di situ ialah menggunakan santan sawit dengan kandungan asid lemak yang lebih rendah, kurang kolesterol dan tahan lebih lama berbanding santan biasa.
Menurut Norzalela, kedai cendolnya semakin sibuk apabila jumlah pengunjung meningkat hampir dua kali ganda pada musim panas ini.
“Saya perlu tambah meja dan kerusi kerana jumlah pengunjung yang bertambah terutama pada waktu puncak antara pukul 12.30 tengah hari hingga 2 petang.
“Rata-rata yang datang mengeluh keadaan cuaca yang panas serta berbahang. Mereka mahu hilangkan dahaga dengan cendol,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dia kini mampu menjual lebih 500 mangkuk cendol sehari berbanding kira-kira 200 mangkuk sehari sebelum ini.
“Selain cendol, pengunjung juga berpeluang menikmati ais kacang, laksa, bihun sup dan mi kari," ujarnya.
Laksa
Tambah Norzalela, jumlah pelanggan dijangka semakin bertambah sekiranya cuaca panas terus berlarutan. Suhu tertinggi pernah direkodkan di Alor Setar ialah 39.1 darjah Celsius.
Penuntut Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Zawani Zulkifli, 20, berkata, dia adalah pelanggan tetap Cendoi Corner dan antara menu kegemarannya ialah cendol dan laksa.
“Setiap minggu pasti saya akan datang ke sini untuk hilangkan dahaga sambil menikmati laksa,” ujarnya.
Rakannya, Zahrah Awang Abu, 20, pula berkata, cendol dan ais kacang boleh membuatkan badan berasa lebih segar terutama pada musim panas.
“Saya dan rakan kini lebih kerap datang ke kedai cendol ini berikutan cuaca panas,” katanya. (Kosmo!)
Sila baca ini..

Sunday 15 May 2016

Pensijilan halal untuk bina keyakinan Muslim


Ibnu Hasyim semasa berada Ghuang Zhow, China, beberapa tahun lalu.


PENGASAS Sai Wai Xiang Halal Foodstuff Co., Deng Zhijun bukanlah seorang Muslim. Namun, siapa sangka syarikat yang ditubuhkan sejak 14 tahun lalu itu mampu meraih keuntungan lebih daripada AS$50 juta (RM196 juta) hasil penjualan produk halal kepada masyarakat Muslim di sekitar Asia.
Syarikat yang berpangkalan di Beijing, China itu juga merupakan pelopor kepada pasaran eksport makanan dan minuman halal dari China ke peringkat global termasuk Arab Saudi.
Halal berasal daripada kalimah Arab yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan oleh syarak.
Makanan halal boleh didefinisikan sebagai hidangan suci dan baik di samping tidak melanggar syariat Islam sewaktu mendapat dan menggunakannya.
Zhijun memberitahu, barang-barang keluaran syarikatnya sesuai dengan selera masyarakat Muslim.
Begitupun, dia mengakui terdapat kesukaran untuk mematuhi beberapa panduan pemakanan yang digariskan Islam.
“Umat Islam tidak boleh merokok dan minum minuman keras. Mereka juga tidak boleh makan beberapa jenis daging.
“Saya lupa mengenai larangan itu,” katanya sambil menikmati makan tengah hari di sebuah restoran bersebelahan syarikatnya.
Ujar Zhijun, kebanyakan maklumat berkaitan pemakanan Islam diperoleh daripada masyarakat Muslim di sekitar China yang dianggarkan mencecah lebih daripada 23 juta orang.
Sesetengah pengkaji bebas menganggarkan, penganut Islam di negara Tembok Besar itu mencecah lebih 50 juta orang.
Angka tersebut sekali gus melayakkan China tersenarai dalam 10 negara yang mempunyai penganut Islam terbesar di dunia.
Malah, syarikat milik Zhijun juga berpangkalan di salah sebuah wilayah yang mempunyai masyarakat Islam terbesar di China iaitu Ningxia. Masyarakat Islam etnik Hui itu dianggarkan berjumlah lebih dua juta orang.
Hui merupakan minoriti baharu yang diwujudkan di bawah polisi klasifikasi Beijing. Kebanyakan mereka merupakan etnik Han. Bezanya, etnik Hui beragama Islam.
Pasaran
Menurut laporan Dewan Perniagaan dan Industri Dubai, pasaran makanan dan minuman halal global dijangka berkembang kepada AS$1.6 trilion (RM6.3 trilion)menjelang tahun 2018 iaitu peningkatan sebanyak AS$1.1 trilion (RM4.3 trilion) berbanding tahun 2013.


PRODUK yang dikeluarkan oleh firma-firma di China perlu diperiksa oleh badan-badan pensijilan halal dari negara-negara Islam.

Terdorong daripada jangkaan itu, Zhijun dan beberapa eksekutif syarikat halal lain telah mengemukakan cadangan kepada Presiden China, Xi Jinping meningkatkan perdagangan dengan negara-negara Asia Selatan dan Asia Barat.
Mereka juga dijangka akan meraih durian runtuh hasil daripada langkah penjual eksport produk-produk halal.
Begitupun, terdapat kebimbangan masyarakat Muslim tempatan dan dunia mengenai tahap kesucian halal yang diamalkan di negara bekas komunis itu.
Tahun lalu, beratus-ratus masyarakat Muslim berhimpun di jalan-jalan sekitar Xi’an, Wilayah Shaanxi bagi membantah penjualan minuman keras di restoran-restoran halal.
Di Wilayah Qinghai pula, orang ramai telah bertindak memusnahkan sebuah kedai roti selepas penemuan sosej daging babi dan ham di dalam trak penghantarannya.
Pasaran eksport
Insiden tersebut telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Muslim sekali gus menjejaskan pasaran eksport.
Ia juga menambah ketakutan dalam kalangan masyarakat dunia terhadap keselamatan makanan dari China yang sebelum ini terjejas akibat penggunaan minyak longkang dalam pembuatan susu tepung.
Memetik laporan berkaitan dokumen dan pensijilan halal, Profesor di Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Universiti Malaysia Sabah, Mariam Abdul Latif berkata, integriti makanan halal dari China boleh dipertikaikan.
Ujar Mariam, bagi membina kepercayaan pengguna, produk yang dikeluarkan oleh firma-firma China perlu diperiksa oleh badan-badan pensijilan halal dari negara-negara Islam.
Namun begitu, cadangan yang dikemukakan oleh Mariam itu agak sukar dilaksanakan di China memandangkan isu halal mempunyai kaitan yang rapat dengan agama dan pihak pemerintah.
Ketika ini, sistem pensijilan halal di China terletak di bawah kuasa undang-undang kerajaan tempatan di bawah Biro Etnik dan Hal Ehwal Agama.
Secara teknikalnya, masjid diberikan kuasa untuk memeriksa peralatan dan bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilan produk atau makanan halal di kawasan sekitarnya.
Baru-baru ini, perwakilan dari Ningxia, Ma Guoquan telah mencadangkan di dalam mesyuarat tertinggi politik kebangsaan di Beijing supaya pensijilan halal diperketatkan dengan mewujudkan piawaian atau undang-undang khusus.
Dia juga mencadangkan agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penjual yang tidak mematuhi pensijilan halal.
“Terdapat banyak masalah yang timbul mengenai pengurusan produk dan makanan halal. Ia tidak boleh dibiarkan begitu saja.
“Undang-undang ini munasabah dan perlu dipercepatkan kerana ia melibatkan perpaduan negara dan kestabilan sosial,” ujar Guoquan yang dipetik daripada akhbar Ningxia Daily.
Begitupun, sesetengah pihak menganggap cadangan pelaksanaan undang-undang tersebut akan membelakangkan pegawai pemerintah dan melanggar prinsip pemisahan kuasa antara pemerintah dan agama.
“Undang-undang ini bertentangan dengan prinsip sekularisme. Ia juga boleh menggugat keselamatan di China,” ujar Xi Wuy, pakar Marxisisme dari Akademi Sains Sosial China.
Sebahagian ulama tempatan turut senada dengan Xi Wuy terhadap cadangan undang-udang tersebut kerana mereka khuatir ia akan membuka pintu kepada pihak pemerintah untuk campur tangan dalam hal ehwal agama Islam.
Penguatkuasaan
Dalam pada itu, Naib Dekan Fakulti Falsafah di Universiti Renmin China, Wei Dedong menjelaskan, langkah terbaik untuk menyelesaikan isu halal bukanlah menerusi undang-undang.
Sebaliknya, Dedong berpendapat pihak pemerintah perlu meningkatkan penguatkuasaan berkaitan keselamatan makanan dan isu-isu lain yang berkaitan.
“Kebanyakan kawasan di wilayah Xinjiang telah pun melaksanakan peraturan tempatan mengenai makanan halal. Namun, penguatkuasaan sangat lemah,” ujarnya.
Selain penyelesaian menerusi undang-undang, kebanyakan masyarakat Islam di Ningxia lebih bergantung kepada hubungan peribadi dengan penjual dalam menjamin kualiti makanan yang dibeli.
“Saya tahu, daging yang saya beli ini halal. Ini kerana saya amat mengenali penjualnya. Saya melihat dia sering ke masjid untuk bersolat.
“Saya juga kenal keluarga pembuat roti dan mi di sini. Saya yakin makanan yang saya makan setiap hari halal,” ujar seorang penduduk di Ningxia, Na Liang. (Kosmo!)

Friday 6 May 2016

Untung Tinggi 0.1-0.2% Sehari? Lihat Kemas Terkini Bank Negara M'sia!

JANGAN main terjah. Bagi pelabur yang bijak, antara benda asas yang perlu diketahui ialah latar belakang skim termasuk skim cepat kaya. Adakah berlesen? Keuntungan yang dapat, berapa peratus?
Ini adalah nama-nama pelaburan tidak sah yang terkini, dikemaskini oleh Bank Negara Malaysia sehingga Mac 2016:
  1. Ostim Academy
  2. Safeena Gold Gallery
  3. DBB Star Sdn Bhd
  4. Aziera Gold Enterprise (NS0133976-K)
  5. GGT Golds Sdn Bhd
  6. Global Golds Trading
  7. Triple One Management Pte Ltd (T1FX)
    http://www.t1fx.com
  8. HiFX Asia
  9. Mecca Fund Global
  10. Highway Group Resources
  11. HG Resources Sdn Bhd
  12. Zenith Gold International Limited
    http://www.zenithgolds.com
    http://zenithgoldrocks.wordpress.com
    http://zenithgoldpowerteam.blogspot.my
    https://www.facebook.com/zenithgolddotcom
Inilah 12 daripada 182 pelaburan yang tidak diberikan kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan yang ditadbir oleh BNM. Skim-skim ini biasanya bersembunyi disebalik pelaburan emas dan perniagaan mata wang asing.
Boleh dapatkan senarai 182 pelaburan di Portal Rasmi Bank Negara Malaysia.
Lebih beribu-ribu tertipu dengan scammers’ sehingga sanggup mengeluarkan hampir semua simpanan dan menggadaikan tanah pusaka kononnya boleh dapat pulangan yang tinggi sebanyak 0.1-2.0% SEHARI? Wow! 

Jom kita terus bongkar, insya Allah! (IH)


Video: 

Iwan Fals - Bongkar (Lirik)

Wednesday 4 May 2016

Industri Lebah Kelulut Di Malaysia, Boleh Cuba Peluang Ini?


Lebah kelulut menghasilkan tiga jenis produk utama iaitu madu, propolis dan roti lebah.


Berdasarkan kajian yang dijalankan di seluruh dunia menunjukkan sehingga kini terdapat lebih 500 spesies lebah kelulut, manakala di Malaysia sebanyak 33 spesies direkodkan.
Dua spesies yang diternak secara komersial bagi tujuan madu dan pendebungaan ialah Heterotrigona itama dan Geniotrigona thoracica.
Geniotrigona thoracica telah direkodkan kehadirannya di Myanmar, Thailand, Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei. Kebiasaannya lebah kelulut spesies ini boleh ditemui di lubang-lubang besar pada batang pokok seperti citrus limon, keruing, cengal, belimbing, kedondong dan rambutan.
Spesies Heterotrigona itama pula mudah ditemui di kawasan perkampungan dan bersarang pada pokok kelapa, belimbing dan rambutan. Spesies ini telah direkodkan kehadirannya seperti di Myanmar, Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.
Lebah kelulut boleh dikenal pasti dengan melihat pada morfologinya seperti warna badan dan bentuk pintu masuk sarang seperti berikut:
Lebah kelulut menghasilkan tiga jenis produk utama iaitu madu, propolis dan roti lebah. Penghasilan madu lebah kelulut boleh mencapai sehingga 1 kilogram (kg)/koloni/bulan pada musim bunga dengan sumber makanan yang mencukupi. Sebagai panduan, koloni yang sihat akan mempunyai kadar FIFO (kadar keluar masuk) antara 150 hingga 250 ekor seminit.
Penuaian hasil madu bagi penternak kelulut di Malaysia dibuat pada musim aktif iaitu Januari hingga Oktober, manakala November dan Disember merupakan musim tidak aktif kerana tengkujuh.

Selian madu, propolis dan roti lebah kelulut boleh diproses untuk dijadikan sebagai produk hiliran.


Potensi
Potensi purata pendapatan daripada penternakan lebah kelulut secara komersial ialah sebanyak 80kg sebulan dengan skala penternakan sebanyak 100 koloni lebah kelulut yang sihat dengan mengambil kira harga purata RM150 hingga RM200 sekilogram.
Selain daripada madu, terdapat juga produk yang turut menyumbang kepada pendapatan penternak lebah kelulut seperti propolis dan roti lebah yang boleh diproses untuk dijadikan produk hiliran seperti propolis drop, sabun muka propolis, losyen, syampu dan roti lebah.
Jabatan Pertanian sedang berusaha mewujudkan Pusat Koleksi Lebah Kelulut bagi bertujuan dijadikan tempat rujukan dan kajian para penyelidik tempatan dan luar negara serta lokasi aktiviti pelancongan di Malaysia dan rantau ini.
Sehingga kini, terdapat 25 spesies lebah kelulut telah dikenal pasti serta terkumpul di Pusat Apiari Terengganu dan usaha ini masih diteruskan. Semoga usaha yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian ini akan mempercepatkan lagi pembangunan industri lebah kelulut di Malaysia serta memberi manfaat kepada penternak kelulut pada masa hadapan.
Bolehkah anda cuba industri ini? (IH)

Tuesday 3 May 2016

Skim cepat kaya kebas RM15 juta

Hasil carian imej untuk Skim cepat kaya kebas RM15 juta
KUMARAGURU (kanan) menunjukkan salinan laporan polis bersama sebahagian daripada pelabur yang didakwa telah ditipu skim pelaburan cepat kaya di George Town semalam.
GEORGE TOWN – Lebih 1,000 pelabur termasuk warga emas di negeri ini mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pelaburan wang membabitkan kerugian berjumlah RM15 juta sejak setahun lalu.
Mereka terdiri daripada pesara kerajaan, guru tuisyen, penjaja gerai dan pengusaha kedai makanan di daerah ini yang dikatakan berdepan kerugian serendah RM3,500 hingga RM250,000 seorang selepas ditipu kumpulan ejen syarikat berkenaan yang kini berpangkalan di Kuala Lumpur.
Semalam seramai 34 mang­sa berusia dalam lingkungan 30 hingga 70-an telah membuat satu laporan polis berhubung dakwaan berlakunya penyelewangan wang pelaburan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) kira-kira pukul 11 pagi.
Syarikat yang mula berope­rasi sejak September 2015 itu diselia oleh seorang ahli perniagaan berketurunan Melayu yang bergelar Datuk dan seramai tujuh individu bertindak sebagai ejen di Pulau Pinang. (Kosmo!)