Monday 31 March 2014

Arab Saudi rakan baru Bisnes

Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC) menyasarkan Arab Saudi sebagai pasaran baru tahun ini yang memberi peluang besar kepada pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan unjuran nilai perdagangan keseluruhan berpotensi RM100 juta dalam pelbagai sektor.
Arab Saudi adalah negara baru yang mengadakan kerjasama perdagangan dengan HDC dalam industri halal iaitu dalam bidang perkongsian kepakaran status halal, pelaburan dan teknologi dalam kalangan PKS antara dua negara.

Timbalan Presidennya, Prof  Malik Musharaf berkata, ketika ini, HDC menjalankan kerjasama dengan 20 negara antaranya China, Singapura, Thailand, India, Australia, Amerika Syarikat, Jepun, Indonesia, Korea Selatan dan Belanda.

Beliau berkata, dengan kemasukan Arab Saudi sebagai rakan kerjasama terbarunya akan membantu PKS tempatan mengembangkan perniagaan mereka dalam industri halal ke pasaran asing lebih meluas berikutan kemampuan permintaan produk dari negara di sekitarnya.

“Pihak berkuasa dari Arab Saudi juga memperuntukkan 100 syarikat Malaysia untuk menjalankan perniagaan di negaranya dalam pelbagai sektor yang berpotensi antaranya makanan dan minuman, farmaseutikal dan kosmetik.

“HDC mempunyai 900 syarikat dalam industri halal yang mengikuti Program Transformasi Perniagaan Halal (HBT) dan telah mengenal pasti 100 syarikat daripada jumlah berkenaan untuk memasarkan serta menjalankan perniagaan di negara terbabit.

Namun, senarai syarikat berkenaan akan diteliti oleh Arab Saudi terlebih dulu,” katanya.
Menerusi HBT, HDC menyasarkan 500 syarikat PKS baru menyertainya dengan melaksanakan beberapa aktiviti baru termasuk Program Hubungan Pengedaran Serantau (ReDiLINK) yang memberi perhatian kepada usaha memasuki pasaran halal di peringkat serantau antaranya ASEAN, China dan Negara Teluk.

Malik berkata, HBT antara 20 program yang dinilai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada tahun lalu dan diiktiraf sebagai program terbaik oleh Jawatankuasa Penilaian Outcome.

“Kami melihat langkah ini dapat melahirkan banyak usahawan tempatan menceburi sektor halal secara global dengan bantuan perkongsian maklumat pemasaran asing dan insentif lain pelepasan cukai,” katanya. (myMetro)

Thursday 27 March 2014

Kunjungan pelancong China ke M'sia merudum...



Nasib malang yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH370 menimbulkan kemarahan warga China terutama apabila dua pertiga daripada jumlah penumpang adalah rakyat negara itu. Gambar fail Reuters. Nasib malang yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH370 menimbulkan kemarahan warga China terutama apabila dua pertiga daripada jumlah penumpang adalah rakyat negara itu. Gambar fail Reuters.


















Agensi pelancongan di China melaporkan penurunan ketara bilangan pelancong China ke Malaysia, lapor South China Post.
Ada antara mereka, termasuk selebriti meminta pengunjung memboikot lawatan mereka ke destinasi popular Malaysia sejak kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
“Dalam masa dua minggu selepas kejadian, kami melihat penurunan pengunjung dari utara China ke Malaysia sebanyak 50% berbanding tempoh sama tahun lalu termasuk pelancong individu dan berkumpulan,” kata Dun Jidong pengurus pemasaran kanan di Ctrip.com kepada South China Post.
Menurut laporan itu, tiga agensi pelancongan terkemuka seperti China International Travel Service, China Youth Travel Service dan BTG International Travel and Tours turut melaporkan penurunan sama.
“Impaknya melarat ke destinasi utama di Asia Tenggara. Kebanyakan pakej pelancongan kami termasuk Malaysia dan Thailand, pelancong enggan pergi ke sana bukan sahaja kerana MH370 tetapi pergolakan politik Thailand,” kata agen pelancongan yang enggan namanya didedahkan kepada akhbar itu.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di sidang Dewan Rakyat pada Isnin berkata, kementeriannya mengambil tindakan menghentikan segala jelajah promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 bagi menghormati perasaan dan sensitiviti ahli keluarga 239 penumpang dan anak kapal MH370.
Katanya, insiden kehilangan pesawat MAS MH370 menjejaskan bilangan pelancong yang datang ke negara ini terutamanya dari China.
Beliau berkata, dengan insiden yang berlaku agak mustahil untuk Kementerian Pelancongan meneruskan jejalah promosi Tahun Melawat Malaysia yang mensasarkan 28 juta pelancong datang ke Malaysia.
Namun, South China Post melaporkan sebuah resort di Kota Kinabalu masih belum terjejas setakat ini, kata seorang pekerja di sana.
“Kebanyakan pelanggan kami menempah bilik mereka satu atau dua bulan awal. Kami mungkin melihat kesan sebenar dalam satu atau dua bulan lagi,” kata Aaron Chang, pengurus projek di KK-Suites Residence.
Tourism Malaysia berkata, 1.79 juta pelancong China melawat Malaysia tahun lalu mencatatkan 15% kenaikan secara tahunan.
China merupakan negara ketiga terbesar mengunjungi Malaysia dan penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Akhbar itu turut melaporkan bintang filem terkenal di China, Chen Kun menggesa orang ramai mengelak mengunjungi Malaysia berdasarkan satu kirimannya di laman sosial.
“Saya akan mula memboikot dari hati saya yang paling dalam terhadap sebarang komersial dan pelancongan berkaitan Malaysia. Ini yang terakhir sehingga kerajaan Malaysia menanggalkan teropong mereka dan menceritakan kebenaran,” katanya.
Chen mempunyai lebih 70 juta pengikut di laman sosial dan kirimannya dikirimkan semula sebanyak 70,000 kali dengan mendapat 30,000 komen yang kebanyakannya menyokong cadangan itu.
Seorang ahli perniagaan di Shanghai, Wang Dezhang berkata kepada South China Post, sesetengah pelancong membatalkan tempahan mereka dengan isterinya bersama 14 ibu bapa lain bersama keluarga mereka turut membatalkan rancangan ke Malaysia pada Julai ini.
“Kami sudah menempah segalanya namun membatalkannya kerana menimbangkan faktor keselamatan,” katanya.
Agensi pelancongan, China Youth Travel Service juga menghentikan kerjasama dengan MAS bagi pakej pelancongannya ke Kota KInabalu dan menjanjikan pulangan penuh wang kepada pelanggan yang berhasrat untuk membatalkan rancangan mereka, menurut akhbar itu.
“Selepas insiden MH370, hampir tiada pelancong yang bertanya tentang Malaysia meskipun ia musim yang sesuai untuk ke sana,” kata pengarah pemasaran syarikat itu, Ge Lei kepada akhbar berkenaan. - 27 Mac, 2014. (TMI)

Monday 24 March 2014

Saham SP Setia meningkat, ekoran berita Syed Mokthar...


Harga saham SP Setia Bhd di Bursa Malaysia meningkat ekoran berita bahawa Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary (gambar) sudah mengemukakan cadangan untuk membeli sebahagian besar kepentingan Permodalan Nasional Bhd dalam syarikat hartanah itu.
Pada 10.06 pagi, saham SP Setia meningkat enam sen kepada RM3.01 dengan  897,700 lot bertukar tangan.
Laporan berita itu menyebut Syed Mokhtar mencadangkan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Tan Sri Liew Kee Sin kekal di SP Setia dan menjadi rakannya dalam usahanya itu.Laporan itu menyebut Syed Mohktar dikatakan sudah menerima kelulusan tertinggi kerajaan untuk berbincang dengan PNB, namun beliau dijangka menghadapi tentangan.
Ia juga menyebut selain keputusan Liew untuk tidak terlibat dalam usaha itu, Syed Mokhtar juga berhadapan tentangan daripada PNB, yang mempunyai rancangan sendiri untuk SP Setia.
Firma penyelidikan RHB Research Institute berkata ia menaikkan saranan SP Setia kepada 'beli dagangan' pada nilai saksama pada RM3.54.
"Tumpuan kini ialah pada langkah PNB dalam menstrategikan syarikat itu.
"Berdasarkan penilaian, Tan Sri Syed Mokhtar kini dikatakan sebagai pembeli yang berminat ke atas SP Setia," katanya dalam nota kajiannya hari ini. – Bernama, 24 Mac, 2014. (TMI)

Monday 17 March 2014

Banyak Potensi Niaga Belum Diterokai Di Acheh - Duta


BANDA ACHEH: Pelabur Malaysia disaran memanfaat peluang pelaburan di Aceh yang masih 'melimpah' terutama dalam sektor pertanian dan perikanan, yang mampu memberi pulangan yang baik.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, wilayah itu memiliki potensi pelaburan cukup besar yang belum diterokai sepenuhnya.

"Potensi sumber alam Aceh masih melimpah dan ia merupakan peluang yang baik untuk menjalin kerjasama," katanya ketika bertemu Gabenor Aceh Dr Zaini Abdullah di sini baru-baru ini.

Zahrain diiringi pegawai kanan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia ketika mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Aceh, yang berakhir semalam (Ahad), bagi mempertingkat kerjasama Malaysia-Aceh serta meninjau potensi pelaburan di wilayah itu.

Zahrain berkata,  beliau berpuas hati dengan maklum balas Zaini namun hubungan antara Malaysia-Aceh perlu dipertingkat pada masa akan datang.
Beliau berkata secara keseluruhan, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Indonesia ialah kira-kira USD21 bilion sedangkan kerjasama perniagaan dengan Aceh hanya sekitar AS$5 juta pada tahun lepas.

Justeru, Zahrain berkata kerjasama antara Malaysia dan Indonesia perlu diperkukuh dan dipertingkat terutama dalam menghadapi Komuniti Ekonomi Asean 2015.

"Harus ada integrasi terhadap ekonomi negara-negara Asean, dan Malaysia-Aceh akan merancang yang terbaik untuk kemajuan bersama sehingga harapan kita tercapai," katanya lagi.

Sementara itu, Zaini memperjelas situasi di wilayah berkenaan cukup kondusif dan pihaknya sentiasa membuka peluang kerjasama baik dalam bidang perdagangan, pertanian, perladangan, penternakan serta perikanan dengan Malaysia.

Meskipun banyak pihak menyatakan hasrat untuk melabur di Aceh, Zaini berkata beliau lebih berminat menerima pelaburan dari Malaysia.

"Apatah lagi posisi Malaysia sebagai negara serumpun dengan Indonesia serta dekat dengan Aceh. Kami akan sentiasa mempermudahkan segala urusan kepada pelabur Malaysia demi kepentingan dan kebaikan bersama," katanya.

Dalam lawatan kerja itu, Zahrain turut berkunjung ke Universitas Islam Negeri Ar-Raniry, meninjau Pelabuhan Perikanan Lampulo, bertemu kepimpinan tertinggi Kepolisian Daerah Aceh serta melawat Museum Tsunami Aceh. (mStar)

Sunday 2 March 2014

Shazia Saleem Leat Food, Makanan Halal Di London.

Shazia Saleem

SHAZIA Saleem sempat merasa kecewa dengan sukarnya memperoleh makanan halal . Itulah yang selanjutnya mendorong Shazia membina perniagaan makanan halal .

Yang hebat , Shazia bermula ketika ia masih menjadi mahasiswa di Warmick University . 


 "Sebahagian besar teman - teman saya non - Muslim . Saya selalu iri dengan mereka , sementara saya hanya boleh membeli keju atau pasties bawang , " kata dia dilansir onislam.net , Selasa ( 25 / 2). 
Shazia tak berdiam diri . Ia mula berfikir untuk menghasilkan makanan sendiri . Selama lapan tahun ia merintis itu , hingga akhirnya ia mengeluarkan produk bernama ieat .

" Saya korbankan impian saya untuk ieat . Saya harus pergi dan melakukan sesuatu untuk diri saya , " kata dia yang sempat bekerja di BBC TV ini .


Awalnya , ia memulakan rintisannya itu ketika membeli resort yang sudah tidak terpakai di Kemboja. Beberapa kerabatnya , menilai langkah itu sebagai hal yang gila . Namun , Shazia acuhkan omongan itu .


" Di sana , saya kembangkan satu tempat percutian yang mesra alam . Dan itu berjaya , " kata dia .Berjaya merantau di Kemboja , Shazia kembali ke Inggeris . 


Di negeri kelahirannya , Shazia memperkenalkan ieat Foods . Ini merupakan hasil dari penyelidikan dan rasa kecewa Shazia .

" Pada mulanya , kami mungkin ingin mencuba pelbagai makanan barat . Tapi pada akhirnya kita harus kembali pada ajaran Islam , " kata dia .


Ketika dilancarkan pertama kali , ieat Foods hanya ditemui secara terhad di London , Birmingham dan Leicester . Wajar terhad , kerana Shazia hanya dibantu lima pekerja . 


 " Cita-cita saya memang untuk membuat kehidupan lebih baik bagi saya dan keluarga serta saudara seiman di luar sana , " katanya . ( ROL / sbb / dakwatuna/IH )

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Makanan halal cara Islam menjadi pemangkin ke arah kebangkitan ekonomi Islam. Terutama di negara bukan Islam, yang ekonomi dan politiknya tertekan. Makan cara Islam adalah wajib, penyembelehan adalah wajib dan memulakan usaha ekonomi adalah wajib. Itulah kunci pemangkinnya untuk terus menaik!