Monday 31 March 2014

Arab Saudi rakan baru Bisnes

Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC) menyasarkan Arab Saudi sebagai pasaran baru tahun ini yang memberi peluang besar kepada pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan unjuran nilai perdagangan keseluruhan berpotensi RM100 juta dalam pelbagai sektor.
Arab Saudi adalah negara baru yang mengadakan kerjasama perdagangan dengan HDC dalam industri halal iaitu dalam bidang perkongsian kepakaran status halal, pelaburan dan teknologi dalam kalangan PKS antara dua negara.

Timbalan Presidennya, Prof  Malik Musharaf berkata, ketika ini, HDC menjalankan kerjasama dengan 20 negara antaranya China, Singapura, Thailand, India, Australia, Amerika Syarikat, Jepun, Indonesia, Korea Selatan dan Belanda.

Beliau berkata, dengan kemasukan Arab Saudi sebagai rakan kerjasama terbarunya akan membantu PKS tempatan mengembangkan perniagaan mereka dalam industri halal ke pasaran asing lebih meluas berikutan kemampuan permintaan produk dari negara di sekitarnya.

“Pihak berkuasa dari Arab Saudi juga memperuntukkan 100 syarikat Malaysia untuk menjalankan perniagaan di negaranya dalam pelbagai sektor yang berpotensi antaranya makanan dan minuman, farmaseutikal dan kosmetik.

“HDC mempunyai 900 syarikat dalam industri halal yang mengikuti Program Transformasi Perniagaan Halal (HBT) dan telah mengenal pasti 100 syarikat daripada jumlah berkenaan untuk memasarkan serta menjalankan perniagaan di negara terbabit.

Namun, senarai syarikat berkenaan akan diteliti oleh Arab Saudi terlebih dulu,” katanya.
Menerusi HBT, HDC menyasarkan 500 syarikat PKS baru menyertainya dengan melaksanakan beberapa aktiviti baru termasuk Program Hubungan Pengedaran Serantau (ReDiLINK) yang memberi perhatian kepada usaha memasuki pasaran halal di peringkat serantau antaranya ASEAN, China dan Negara Teluk.

Malik berkata, HBT antara 20 program yang dinilai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada tahun lalu dan diiktiraf sebagai program terbaik oleh Jawatankuasa Penilaian Outcome.

“Kami melihat langkah ini dapat melahirkan banyak usahawan tempatan menceburi sektor halal secara global dengan bantuan perkongsian maklumat pemasaran asing dan insentif lain pelepasan cukai,” katanya. (myMetro)

No comments:

Post a Comment