Tuesday 30 June 2015

Ringgit menjunam paras terendah dalam 10 tahun


Butiran rundingan penyelesaian antara Greece dan pemberi pinjaman asing ternyata turut menjejaskan sentimen di seluruh dunia selain memberi kesan ke atas pasaran saham serantau, kata Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan. - Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Jun, 2015.

Ringgit jatuh ke paras terendah bagi tempoh 10 tahun hari ini dalam dagangan berhati-hati susulan kebimbangan isu hutang Greece, kata peniaga.
Pada 5 petang, nota tempatan itu diniagakan pada 3.7825 / 7855 berbanding dolar AS, daripada 3.7660 / 7690 pada Jumaat.

Kebimbangan akan kemungkinan Fitch Ratings menurunkan penarafan Malaysia turut memberi kesan kepada mata wang tempatan.

Seorang peniaga berkata dolar AS meneruskan momentum aliran menaik dengan perbelanjaan pengguna AS bagi Mei mencatatkan peningkatan tertinggi dalam tempoh hampir 6 tahun dan ini disokong oleh unjuran kenaikan kadar faedah AS dalam tahun ini juga.

Nota tempatan turut ditutup rendah berbanding mata wang utama lain kecuali euro.


Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 2.8004 / 8045 daripada 2.7996 / 7020 pada Jumaat lepas dan merosot berbanding yen kepada 3.0762 / 0799 daripada 3.0516 / 0543.

Ringgit lemah berbanding pound British pada 5.9400 / 9459 daripada 5.9318 / 9369, namun mengukuh berbanding euro kepada 4.2016 / 2061 daripada 4.2194 / 2235 Jumaat lepas.

Sementara itu, kelemahan prestasi ringgit serta pasaran saham tempatan ketika ini adalah reaksi spontan terhadap kebimbangan melibatkan hutang Greece yang tertunggak serta kemungkinan pihak Fitch Ratings menurunkan penarafan kredit Malaysia.

Ketika berkongsi pandangan beliau, Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan, berkata butiran rundingan penyelesaian antara Greece dan pemberi pinjaman asing ternyata turut menjejaskan sentimen di seluruh dunia selain memberi kesan ke atas pasaran saham serantau.

"Kami menjangkakan kesan terhadap pasaran saham tempatan ini selepas rundingan (Greece) itu gagal. Malah, pasaran sememangnya membuat jangkaan awal akan berlakunya tunggakan bayaran oleh Greece terhadap pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak € 1.6 bilion, yang dijadualkan esok," katanya kepada Bernama, hari ini.

Bagaimanapun, jelas Nazri, kesan terhadap Malaysia dijangka minimum kerana pendedahan langsung negara ini terhadap Greece adalah kurang daripada 5% daripada jumlah keseluruhan perdagangan.

"Bursa saham tempatan dijangka kembali pulih dalam masa satu atau dua minggu lagi dan pelabur digalakkan membeli saham-saham yang mempunyai asas baik pada harga yang murah," katanya.

Jelasnya lagi, jangkaan terhadap kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) turut menyumbang terhadap kelemahan ringgit.

"Unit tempatan itu mencecah paras 3.78 bagi setiap dolar AS iaitu yang paling lemah dalam tempoh 10 tahun yang disebabkan gabungan pelbagai faktor," katanya.

Namun, Nazri tetap berkeyakinan pihak Fitch Ratings tidak akan menurunkan penarafan kredit negara ini biarpun Ketua Bahagian Penarafan Negara Asia Pasifik firma penarafan itu, Andrew Colquhoun, pada Mac lalu berkata kemungkinan penarafan Malaysia akan diturunkan adalah sebanyak 50%.

"Penurunan itu akan menjadi yang pertama untuk negara sejak tahun 1998 dan akan hanya berlaku jika kerajaan tidak mengurangkan pembiayaan awam. Kerajaan sebaliknya menunjukkan komitmen dengan mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan hutang serta mengubah ekonomi menjadi lebih pelbagai dan berdaya tahan," katanya. - Bernama, 29 Jun, 2015.

Wednesday 24 June 2015

Penumpang seludup jongkong emas

PESAWAT AirAsia kini jadi sasaran baharu sindiket penyeludupan jongkong emas

NEW DELHI – Seramai 45 penumpang AirAsia adalah antara 56 orang yang ditahan oleh pihak berkuasa India di Lapangan Terbang Antarabangsa Visakhapatnam, dalam negeri Andhra Pradesh, bersama jongkong-jongkong emas seberat 62 kilogram yang bernilai sekitar RM10 juta, menurut akhbar Times of India. Setakat ini, masih tidak jelas sama ada rakyat Malaysia adalah antara yang ditahan.
 
Direktorat Perisikan Hasil (DRI) Chennai mengadakan satu operasi khas di lapangan terbang berkenaan pada Ahad lepas. Anggota-anggotanya melakukan pemeriksaan rapi ke atas dua penerbangan dari Kuala Lumpur dan satu dari Singapura.

PENJENAYAH melakukan pelbagai cara untuk menyeludup jongkong emas yang bernilai tinggi.
DRI pada awalnya memeriksa 20 penumpang dalam sebuah penerbangan AirAsia yang membawa banyak barangan elektronik dan menemui beberapa jongkong emas yang disembunyikan di dalam bagasi mereka, lapor akhbar berkenaan.
 
Pemeriksaan ke atas 10 penumpang penerbangan Silk Air dari Singapura turut menemui jongkong-jongkong emas yang disorok dalam barang elektronik.
Penemuan serupa dibuat dalam pemeriksaan ke atas penerbangan kedua AirAsia dari Kuala Lumpur. (Kosmo!)

Friday 19 June 2015

Ringgit jatuh: Bank Negara dilihat bersihkan Mahathir


Keadaan ringgit yang tidak stabil disebabkan oleh faktor antarabangsa dan perkembangan domestik tetapi tidak melibatkan aspek politik, kata Bank Negara.

Kenyataan itu sekali gus dilihat berbeza sama sekali dengan dakwaan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang menyalahkan kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai punca kejatuhan harga ringgit.

Faktor antarabangsa, kata Bank Negara, termasuk jangkakan pelabur susulan dasar kewangan bank-bank utama serta trend semasa harga minyak mentah dan gas.

Manakala faktor dalaman termasuk kebimbangan kerajaan terhadap entiti berkaitan kerajaan dan isu-isu berkaitan penarafan.

“Oleh kerana perkembangan luaran di luar kawalan mana-mana ekonomi terbuka, setiap usaha perlu diambil untuk menyelesaikan isu-isu dalaman yang dihadapi ekonomi kita,” kata bank pusat itu.

Bank Negara juga berkata Malaysia mempunyai asas dan prospek pertumbuhan yang kukuh, dan ringgit akan kembali stabil selepas itu itu diselesaikan.

Bank Negara juga berkata tidak akan terlibat dalam sebarang agenda politik dan akan menumpukan tugasnya untuk mengekalkan kestabilan kewangan dan fiskal.

Ahmad sebelum ini mendakwa dimaklumkan oleh Bank Negara bahawa Mahathir antara punca harga ringgit jatuh.

Pada September tahun lalu, ringgit diikat pada RM3.20 untuk satu dolar Amerika Syarikat. Sekarang ia diikat pada RM3.70. (MK)

Monday 15 June 2015

Dr M: Proton akan masuk pasaran Perodua.

Proton akan bersaing dengan Perodua dalam pasaran kereta kompak selepas prestasi lembab syarikat kereta pertama nasional itu, kata Pengerusi Proton Tun Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, memorandum persefahaman telah ditandatangani dengan pengeluar kereta Jepun Suzuki untuk membantu mereka berkembang ke pasaran dikuasai Perodua.

“Perodua sepatutnya kekal dengan (kereta kapasiti enjin) 660cc tetapi kini mereka masuk ke wilayah Proton.

“Pada masa itu OK... tetapi sekarang walaupun mempunyai dua syarikat pengeluar kereta, pasaran kita daripada 80 peratus jadi 48 peratus,” katanya.

Mahathir berkata demikian dalam sidang media di Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam hari ini.

Kenyataan Mahathir itu kebetulan dibuat tiga hari selepas bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa TV3 cuba memburuk-burukkan Proton, antara legasi pentadbirannya.

Zainuddin, bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu itu juga berkata terdapat pihak memaklumkan padanya bahawa TV3 tiga malam berturut-turut menyiarkan keburukan teksi Proton.

TV3 bagaimanapun menjelaskan bahawa laporan itu tiada kena mengena dengan keadaan politik dalam negara sekarang ini. (MK)