Monday 15 June 2015

Dr M: Proton akan masuk pasaran Perodua.

Proton akan bersaing dengan Perodua dalam pasaran kereta kompak selepas prestasi lembab syarikat kereta pertama nasional itu, kata Pengerusi Proton Tun Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, memorandum persefahaman telah ditandatangani dengan pengeluar kereta Jepun Suzuki untuk membantu mereka berkembang ke pasaran dikuasai Perodua.

“Perodua sepatutnya kekal dengan (kereta kapasiti enjin) 660cc tetapi kini mereka masuk ke wilayah Proton.

“Pada masa itu OK... tetapi sekarang walaupun mempunyai dua syarikat pengeluar kereta, pasaran kita daripada 80 peratus jadi 48 peratus,” katanya.

Mahathir berkata demikian dalam sidang media di Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam hari ini.

Kenyataan Mahathir itu kebetulan dibuat tiga hari selepas bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa TV3 cuba memburuk-burukkan Proton, antara legasi pentadbirannya.

Zainuddin, bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu itu juga berkata terdapat pihak memaklumkan padanya bahawa TV3 tiga malam berturut-turut menyiarkan keburukan teksi Proton.

TV3 bagaimanapun menjelaskan bahawa laporan itu tiada kena mengena dengan keadaan politik dalam negara sekarang ini. (MK)

No comments:

Post a Comment