Thursday 27 December 2018

Usahawan dipelawa terokai pasaran halal Rusia

PRESIDEN Agro Malaysia, Datuk Seri G. Gnanaraja

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Agro Malaysia mempelawa usahawan tempatan menerokai dan menembusi pasaran Rusia menerusi pengeluaran dan penghasilan barangan produk halal.
Presidennya, Datuk Seri G. Gnanaraja berkata, Rusia mempunyai potensi besar pasaran produk halal dengan populasi penduduk Muslim kira-kira 50 juta orang.
Menurutnya, Malaysia yang dikenali sebagai perintis industri halal antarabangsa mempunyai peluang menjadi rakan dagangan Rusia menerusi landasan produk halal dihasilkan oleh syarikat Malaysia.
“Pasaran halal di Rusia berkembang pesat dengan segmen yang meliputi lebih daripada 100 peratus saiz pertumbuhan, sekali gus berpotensi kepada pembukaan syarikat Malaysia di sana.
“Untuk mewujudkan hubungan terbabit, Agro Malaysia mengalu-alukan pembabitan syarikat yang mengeluar serta menghasilkan barangan halal khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
“Sektor halal domestik dianggap maju dan terbahagi kepada dua subsektor iaitu makanan serta bukan makanan di mana segmen bukan makanan merangkumi perubatan, farmasi, logistik, kosmetik, perabot, getah dan kewangan Islam,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.
Semalam, Gnanaraja menghadiri sesi penerangan untuk meningkatkan hubungan dagangan dua hala antara Malaysia-Rusia di ibu pejabat Agro Malaysia di sini.
Menurut beliau, peluang menerokai pasaran halal Rusia akan memberi pendedahan kepada pengusaha dan pengeksport negara terutama PKS mengenai cara-cara menembusi pasaran negara terbabit serta kaedah mempromosikan produk dengan tepat.
“Ia tidak tertumpu kepada sektor makanan, malah terbuka buat sektor perkhidmatan. Bagi segmen makanan, mereka perlu memastikan kualiti produk, memeriksa semula pembungkusan produk agar memenuhi kriteria dan standard ditetapkan,” katanya.
Dalam aspek ini, kata Gnanaraja, penerimaan produk dan perkhidmatan halal semakin meningkat di seluruh dunia yang bukan sahaja melibatkan negara Islam tetapi juga negara bukan Islam.
“Permintaan bagi produk halal di negara bukan Islam penting dalam pasaran baharu seperti Rusia, Brazil, India, China, Perancis dan Belanda kerana ia mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.
“Apatah lagi Malaysia mempunyai kepelbagaian produk dan perkhidmatan yang baik. Justeru, selain daripada industri makanan, pasaran Rusia juga dilihat berpotensi untuk sektor makanan laut,” katanya.
Dalam pada itu, Gnanaraja berkata, Agro Malaysia akan turut menyertai usaha meningkatkan pasaran import minyak sawit Malaysia di Rusia memandangkan negara itu dikenalpasti sebagai pengguna utama minyak dan lemak.
Ini termasuk mempromosi Novelin, iaitu minyak masak campuran untuk pasaran Rusia serta prospek kernel sawit (benih yang boleh dimakan dari buah kelapa sawit) dalam makanan haiwan di Rusia.
Malaysia, kata Gnanaraja, boleh mengharapkan Rusia mengimport lebih banyak minyak sawit menerusi peningkatan permintaan untuk minyak dan lemak.
Kata beliau,“Import minyak sawit oleh Rusia telah meningkat dari purata 150,000 tan setahun kepada 626,000 tan metrik tahun lalu dengan Malaysia membekalkan 14 peratus.
“Untuk meningkatkan bahagian pasaran, Agro Malaysia telah membuat perancangan untuk memperbaharui dan memperluaskan hubungan serta memupuk pemahaman yang lebih baik dengan pembeli, pengeluar dan pengguna akhir yang berkaitan dengan minyak dan lemak di Rusia.”
Ketika ini pengeluaran minyak dan lemak domestik Rusia tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan penduduknya yang berjumlah 144 juta orang.
Minyak sawit kini menyumbang 69 peratus daripada jumlah minyak dan lemak yang diimport oleh Rusia dan merupakan minyak sayur-sayuran kedua paling popular digunakan di Rusia selepas minyak bunga matahari.- UTUSAN ONLINE

Tuesday 25 December 2018

Guru wanita rugi RM358,350 ditipu sindiket 'parcel scam'


PENGGUNA

BALIK PULAU: Bermodalkan panggilan telefon, sindiket ‘parcel scam’ dikesan mengaut keuntungan mudah dengan menipu mangsa menggunakan pelbagai taktik.
Terbaru, seorang guru wanita berusia 53 tahun di sebuah sekolah di sini, berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM358,350 lesap selepas diperdaya sindiket terbabit.


Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Khalid’ dan mendakwa pegawai di sebuah syarikat kurier Ogos lalu.
“Mangsa ketika itu berada di sebuah sekolah di Teluk Kumbar, di sini dan sindiket terbabit mendakwa ada satu bungkusan yang dikirim kepadanya namun mangsa perlu membayar duti import dan caj penghantaran.
“Mangsa kemudian teringatkan mengenai rakan yang dikenali melalui Facebook yang sebelum itu memberitahu akan mengirim hadiah kepadanya dan tanpa mengesyaki apa-apa dia kemudian membuat bayaran melalui perbankan dalam talian,” katanya.
Anbalagan berkata, sindiket terbabit kemudian sekali lagi menghubungi mangsa dan mendakwa bungkusan hadiah terbabit mengandungi wang tunai AUD$150,000 (RM441, 648) namun ditahan kastam.
“Mangsa diberitahu sindiket yang dia akan dikenakan hukuman mengikut Akta Pengubahan Wang Haram dan diminta membuat bayaran jika mahu menyelesaikan masalah itu.
“Kerana terlalu takut, mangsa kemudian membuat pembayaran dan dia melakukan 10 transaksi di beberapa mesin ATM sekitar daerah ini sejak Ogos hingga Oktober lalu yang jumlahnya mencecah RM358,350,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang menyedari ditipu sindiket terbabit kemudian membuat laporan polis dua hari lalu dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan. (BH)

Saturday 22 December 2018

13 Sebab Orang Bisnes Online Dari Rumah Dengan Shopee

cara menjana pendapatan-sampingan
Anda Mempunyai Cita-Cita Dan Memerlukan Idea?

Menjana Pendapatan Tanpa Had


Anda tentu ada impian atau cita-cita seperti memiliki kereta idaman BMW, memiliki sebuah rumah banglo dengan kolam renang, melancong, mahukan anak berjaya hingga ke universiti - dengan Shopee anda boleh mendapatnya. 


Saya akan bukakan satu daripada jalannya...

Anda boleh menjana pendapatan tanpa had di Shopee- contohnya RM1,000 sebulan atau RM10,000 sebulan atau lebih - semua bergantung kepada usaha anda. Anda duduk di rumah dan berkawan dengan komputer dan telefon bimbit.


Jika anda sedang berjinak-jinak mahu menceburi bidang perniagaan dan ada impian tegar, maka berniaga di Shopee adalah peluang terbaik.

Anda tidak ada modal besar berniaga, tiada ramai kawan, tiada pengalaman berniaga - tetapi dengan Shopee anda tidak memerlukan modal besar dan ada berjuta pembeli di Shopee.

Anda dan tidak perlukan pengalaman tetapi Shopee memberi peluang anda pengalaman berniaga.

13 Sebab Orang Bisnes Online Dari Rumah Dengan Shopee


bisnes online dari rumah
Bisnes Online Dari Rumah
2. Berniaga Dari Rumah

Bila sebut berniaga, maka terbayang kena sewa pejabat, kena renovation pejabat, kena pasang aircon, bayar insuran pejabat, kena sediakan pekerja, kena bayar bil eletrik dan bil air.


Pejabat pula jauh dari rumah, jadi kena bayar duit minyak kereta dan parking.

Sekarang banyak orang shopping online seperti di Lazada dan Shopee. Jadi anda boleh menjalankan perniagaan online dengan Shopee dari rumah sahaja. Tak perlu fikir lagi pasal pejabat, bil air letrik dan bayar petrol dan parking.


3. Market Place Terbesar Di Malaysia


Seperti MidValley, KLCC dan Sogo - pembeli dan penjualnya ramai. Orang suka berniaga tempat yang ramai orang.

Dalam bisnes online, Shopee ialah marketplace atau  tempat orang menjual dan membeli secara online antara yang terbesar di Malaysia.

Makin hari makin ramai yang mula tahu tentang Shopee dan membeli belah secara online di Shopee terutama generasi muda yang berumur 20-an dan 30-an.

13 Sebab Orang Bisnes Online Dari Rumah Dengan Shopee


jaminan-gerenti-shopee-selamat-terjamin
Selamat Dan Terjamin Urusniaga Shopee



4. Urusniga Antara Pembeli Dan Penjual Selamat (Shopee Guarantee)

Antara isu berniaga online ialah penipuan kepada pengguna. Ada pengguna membayar wang tetapi barang tak dapat. Ada yang membeli tetapi barang tidak berkualiti, atau lain yang dibeli lain yang sampai. Atau barang yang diorder lambat diterima atau tidak menerima langsung.

Berniaga di Shopee paling selamat. Pembeli yang setuju membeli akan membayar kepada Shopee dahulu sebagai pemegang amanah. Shopee akan memberi tahu penjual yang pembeli telah membayar dan Shopee akan memaklumkan penjual yang bayaran telah dibuat oleh pembeli.
Penjual menghantar barang dengan memasukkan tracking number ke dalam sistem Shopee. Pembeli menerima barang dan memaklumkan kepada Shopee. Shopee akan memasukkan hasil jualan ke wallet penjual. Terpulang kepada penjual untuk memindahkan ke bank penjual.

13 Sebab Orang Bisnes Online Dari Rumah Dengan Shopee


shopee register
Free Berbisnes Di Shopee



Untuk keterangan lanjut sila layari Ebook Panduan Shopee Terbaik.

Tuesday 18 December 2018

Prestasi Saham Wall Street Merudum? 3 Faktor Ekonomi AS Anda Perlu Tahu.


Kalau anda nak tahu, pasaran saham Amerika Syarikat telah merekodkan kenaikan untuk tiga tahun berturut-turut. Kemenangan Donald Trump dalam Pilihanraya Amerika Syarikat pada tahun 2016 pada awalnya dianggap sebagai petanda buruk, namun sebaliknya yang berlaku.
Walaubagaimanapun, pasaran saham di negara itu merudum sejak bulan Oktober, jatuh hampir ke paras terendah yang pernah dicapai tahun lalu. Dan terbaru pada hari Jumaat 14 Disember 2018, kejatuhaan terbaru telah direkodkan oleh Wall Street berikutan kebimbangan pelabur terhadap prestasi ekonomi global yang semakin perlahan.

Kejatuhan Didorong Ekonomi Perlahan

Aktiviti ekonomi dilihat semakin perlahan dengan data-data ekonomi kurang memberangsangkan terutamanya dari ekonomi kedua terbesar dunia iaitu China. Hal ini sekaligus telah membenam ketiga-tiga indeks utama Wall Street ke paras rendah. Pada sesi dagangan Jumaat, Nasdaq jatuh hampir 2.3%, Dow Jones jatuh 2%, manakala S&P 500 susut 1.9%.
Tren Kejatuhan Indeks Dow Jones. Sumber : Investing.com
Seperti yang ditunjukkan pada carta di atas, Indeks Dow Jones mencapai paras tertinggi tahun ini pada 3 Oktober 2018 sebelum membuat kejatuhan ke paras terendah pada Jumaat (14 Disember 2018) lalu. Jika kedudukan semasa Wall Street kekal dan tiada kenaikan signifikan yang berlaku untuk baki 2018, kita akan menyaksikan kejatuhan Wall Street buat pertama kalinya sejak tiga tahun lalu.

Wall Street Jatuh, Pasaran Saham Lain Turut Jatuh

Kenapa? Kerana pasaran saham dan ekonomi Amerika Syarikat adalah yang terbesar di dunia dan sudah tentu ia mampu memberi kesan kepada pasaran saham global. Dan sebenarnya pasaran saham Asia juga telah menerima tempias negatif daripada kejatuhan Wall Street sejak tempoh tersebut, termasuklah di Malaysia sendiri. Bagi Malaysia pula, kita ada FBMKLCI yang menjadi penanda aras Bursa Malaysia. Cuba tengok carta di bawah sebagai bukti kejatuhan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) pada tempoh yang sama sejak Oktober.
 Tren Kejatuhan Indeks KLCI. Sumber : Investing.com

3 Sebab Utama Penyumbang Perubahan Sentimen Pasaran Saham Amerika Syarikat

1. Momentum Saham Teknologi Yang Merudum

Pada puncak tertinggi yang dicapai pada Oktober, Dow Jones dan S&P 500 merekodkan kenaikan sebanyak 8% sejak awal 2018, manakala Nasdaq pula telah meningkat sebanyak 15%. Kenaikan ini dilihat banyak dipandu oleh sektor teknologi. Tengok saja Saham FAANG Di Amerika Syarikat Ditutup Pada Paras Tertinggi dan Syarikat Apple Kini Bernilai $1 Trilion US Dolar.
Kini kaunter-kaunter dominan seperti Apple dan Facebook merudum dan memberi kesan kepada pasaran secara keseluruhannya. Ketiga-tiga indeks utama kini jatuh sebanyak 10% daripada paras tertinggi yang dikatakan sebagai satu bentuk pembetulan harga (correction).
Memetik komen yang dibuat oleh strategist ekuti di US Bank Wealth Management, Terry Sandven berpendapat selagi sektor teknologi tidak pulih; selagi itu pasaran tidak akan membuat kenaikan semula.
2. Kenaikan Kadar Faedah Bank Pusat
The Federal Reserve (bank pusat Amerika Syarikat) telah menaikkan kadar faedah sebanyak tujuh kali daripada hanya 0.50% pada Disember 2016 kepada 2.25% pada September 2018. Walaupun telah beberapa kali menaikkan kadar faedah, The Fed dijangka sekali lagi menaikkan kadar faedahnya pada Khamis (20 Disember 2018) daripada 2.25% kepada 2.50%.

Pasaran secara umumnya bimbang jika kadar faedah bank pusat terus dinaikkan, ia akan menyebabkan kos pinjaman semakin tinggi seterusnya mengurangkan pelaburan oleh sektor swasta.
3. Pertumbuhan Ekonomi Semakin Perlahan
Pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat dijangka perlahan kepada 2.5% pada tahun 2019, susut daripada 3% tahun ini. Ia hasil penyelidikan oleh International Monetary Fund (IMF) dan Federal Reserve sendiri. Terdapat tanda-tanda yang memberikan isyarat ini, khususnya petunjuk ekonomi yang merekodkan kejatuhan.
Pada Oktober lepas, data jualan rumah telah merekodkan kejatuhan sebanyak lebih daripada 5% berbanding tahun lalu. Manakala perbelanjaan pembinaan juga merudum ditambah juga pertumbuhan perbelanjaan pengguna yang kurang memberangsangkan.
Nasib yang sama dijangka melanda negara kita, di mana Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Dijangka Merosot – Kata Bank Dunia.

Dunia Sedang Menuju Krisis Ekonomi?

Memang tidak dinafikan, kita seolah-olah berada dalam kitaran 10-12 tahun sekali. Dan krisis ekonomi dijangka akan berlaku tidak lama lagi, atau telah pun bermula samada kita sedar atau pun tidak.
Tahun 1997 dengan Krisis Kewangan Asia, tahun 2008 pula kita ada Krisis Kewangan Global. Sama-samalah kita bersedia untuk menghadapinya. (ML)

Monday 17 December 2018

Landak jana rezeki besar



Jempol: Penternakan landak mampu menjana pulangan lumayan, tetapi ia membabitkan modal besar dan kesabaran tinggi kerana memerlukan masa sebelum memberikan hasil.
Dua beradik di Kampung Dusat, Abu Samah Mihat, 52, dan abangnya, Samsul Bahrin, 61, sanggup melabur hampir RM100,000 bagi memulakan ternakan haiwan esotik itu sejak setahun lalu menggunakan wang simpanan sendiri.
Samsul Bahrin berkata, walaupun menternak landak lambat mendatangkan hasil namun haiwan berkenaan mempunyai nilai harga yang tinggi di pasaran sehingga boleh mencecah RM150 sekilogram.
Menurutnya, selain perlu mendapatkan lesen menternak, membeli dan menjual daripada Jabatan Perlindungan dan Hidupan Taman Negara (PERHILITAN), menternak landak sebenarnya sangat mudah.
“Kita cuma perlu siapkan kandang yang bersesuaian bagi pasangan landak dan perlu diberi makanan berasaskan tumbuhan seperti buah atau sayur.
“Ia tahan lasak dan tahan penyakit serta boleh membesar sehingga 20 kilogram, cuma perlu tunggu sehingga berusia lapan bulan,” katanya ketika menerima lawatan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, Zainal Fikri Abd Kadir.
Sementara itu, Abu Samah pula berkata, ketika ini hanya ada 10 landak diternaknya yang dibeli dengan harga RM25,000.
Menurutnya, disebabkan ia haiwan eksotik yang payah dicari, dagingnya sentiasa mendapat perhatian dan tidak hairan apabila ada yang sudah bertanya untuk membeli landak ternakannya.
“Kami perlu kembangkan lagi penternakan ini dan berharap kerajaan dapat membantu terutama memberi bantuan baka landak atau anak landak.
“Industri ini mampu memberi pulangan lumayan, malah landak mempunyai pasaran dan nilai komersial yang tinggi untuk pasaran tempatan serta luar negara,” katanya.
Sementara itu, Zainal Fikri berkata, pihaknya menerusi kerajaan negeri akan cuba membantu dua beradik berkenaan mengembangkan lagi bidang penternakan landak diusahakan.
Menurutnya, penternakan landak sesuatu yang baru di sini, malah tidak ramai yang berani menceburinya disebabkan memerlukan modal yang besar.
“Mereka sudah memulakan penternakan itu dan yakin kerajaan boleh membantu untuk mengembangkan lagi bidang ternakan yang mereka ceburi itu,” katanya. (MyMetro)

Friday 14 December 2018

T-Mart perluas francais ke ibu negara.



KL: Pasar mini T-Mart yang dikendalikan oleh Cakna Marketing Sdn. Bhd. syarikat milik penuh kerajaan Negeri Terengganu mahu memperluaskan jaringan perniagaan francaisnya ke ibu negara dengan tumpuan kini di Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, A. Razak Sulaiman berkata, pasar mini T-Mart yang berpangkalan di Terengganu sebelum ini telah membuka sebuah cawangan pertama di Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Raja Alang, Kampung Baru di sini pada bulan Mei tahun 2016.
"Hari ini kami berhasrat mahu membuka cawangan pasar mini T-Mart yang kedua yang terletak juga tidak jauh daripada cawangan pertamanya di Kampung Baru iaitu di Myharakah Bazaar yang terletak hanya beberapa kilometer sahaja daripada lokasi cawangan pertamanya.
"Satu idea yang baik apabila Cakna Marketing mengadakan persetujuan kerjasama dua hala dengan Myharakah Bazaar yakni sebuah lagi lokasi tumpuan dan strategik untuk memperagakan dan memperkenalkan lagi produk-produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dari Terengganu.
Beliau berkata, lebih 20 produk dari pelbagai jenis IKS Terengganu boleh didapati di pasar mini T-Mart antaranya makanan kering, sejuk beku dan sebagainya.
"Lebih menarik kami menawarkan keropok losong buatan original dari Terengganu yang boleh dinikmati secara asli yang mana penggemar bukan hanya boleh beli secara borong di sini tetapi juga boleh menikmati terus keropok losong segar yang digoreng di sini.
"Selain itu, kita ada nasi dagang 'frozen' (sejuk beku) dikeluarkan juga dari anak syarikat kerajaan Terengganu syarikat T-Kitchen, menu baru dari T-Kitchen nasi goreng ikan, nasi minyak serta nasi hujan panas," ujarnya yang ditemui Harakah di Myharakah Bazaar baru-baru ini.
Katanya, pihaknya amat berterima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman yang amat positif dan menyambut baik idea ini membantu pengusaha IKS dari Terengganu dengan mengembangkannya di kawasan tumpuan pelancongan yakni ibu negara.
"Tujuan utamanya ialah kerajaan negeri Terengganu berusaha dan menggalakkan selain membantu usahawan-usahawan IKS dari Terengganu untuk memperluaskan skop pasaran, tidak hanya pasarkan keropok lekor ini di Terengganu sahaja.
"Kami akan adakan 'soft launch' pasar mini T-Mart pada 28 Disember jam 3 petang di Myharakah Bazaar yang mana Yang Berhormat Mohd Nurkhuzaini dijemput sebagai tetamu khas kita untuk merasmikan pembukaan pasar mini T-Mart ini," tambahnya.
Kata Razak lagi, T-Mart yang akan beroperasi di Myharakah Bazaar merupakan pusat pengumpulan dan pengedaran produk IKS Terengganu.
Sementara itu, CEO Harakah Prof Zainal Abidin Kidam berkata pihaknya teruja dan menyambut baik usahasama ini selari dengan hasrat Myharakah Bazaar yang mahu menjadikan Myharakah Bazaar bukan sekadar boleh mendapatkan buku-buku ilmiah malahan juga pengguna boleh membeli belah secara atas talian (online) produk-produk asli makanan sejuk beku dan kering.
"Kita harap satu masa nanti Myharakah Bazaar dikenali sebagai satu jenama terkemuka pusat membeli belah atas talian (online) yang menjual pelbagai produk Islam yang suci, bersih dan halal," katanya. –HARAKAHDAILY 14/12/2018

Monday 10 December 2018

Pelabur dakwa ditipu pemaju

Pelabur dakwa ditipu pemaju
Johnson (dua, kiri) dan pelabur lain mengadakan himpunan di tapak projek pembangunan di Kuala Sawah, semalam.


SEREMBAN - Sebanyak 30 laporan polis telah dibuat di seluruh negara oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pekerja Bank (Nube) berhubung projek pembinaan di Kuala Sawah, Rantau yang didakwa gagal disiapkan.

Wakil pelabur, Johnson Joseph berkata, laporan tersebut dibuat kerana pelabur dan ahli kesatuan berkenaan mahu tindakan sewajarnya diambil terhadap Nube.
  
“Mereka kecewa kerana projek bukan saja gagal disiapkan tetapi tanah di kawasan itu dijual semula tanpa pengetahuan.
“Kami percaya kemungkinan terdapat pelbagai unsur penyelewengan, salah guna kuasa dan mungkin berlakunya salah laku rasuah dalam perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut bawa isu berkenaan kepada Ketua Pengarah Kementerian Sumber Manusia kerana mendakwa terdapat pelbagai unsur melanggar Perdagangan Akta Kesatuan (1959).

“Nube perlu bertanggungjawab dan kami menuntut penjelasan daripada mereka.  
“Kita juga mahukan polis lakukan siasatan terperinci dan telus di mana kami percaya terdapat elemen jenayah komersial,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa, lebih kurang 11,000 ahli Nube dan bukan ahli yang membuat pelaburan ke dalam projek itu sejak 1997 merasa tertipu dan ditipu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Nube, J. Solomon ketika dihubungi berkata, pihaknya telah beri penerangan berkenaan isu tersebut dan mengalu-alukan mana-mana ahli mahupun pelabur untuk datang ke Ibu Pejabat Nube bagi mendapatkan perincian.

"Jangan buat tuduhan ataupun fitnah terhadap kesatuan dan kita juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya perkara ini masih berlarutan," katanya. (SH)

Thursday 29 November 2018

Lembu tenusu terbesar Australia

SAIZ Knickers yang besar menjadi tarikan kepada lembu ternakan
SAIZ Knickers yang besar menjadi tarikan kepada lembu ternakan Pearson. AGENSI

SYDNEY 28 Nov. - Seekor lembu tenusu yang mempunyai saiz badan luar biasa dan berat melebihi sebuah kereta kecil menjadi liputan akhbar-akhbar utama di Australia sebagai lembu terbesar di negara ini.
Mail Online melaporkan, lembu yang diberi nama Knickers oleh pemiliknya, Geoff Pearson itu mempunyai berat 1,400 kilogram, menjadikan haiwan berkenaan sukar untuk dieksport kerana saiznya disifatkan terlalu besar.
Kncikers juga mempunyai ketinggian 194 sentimeter atau bersamaan dengan tinggi bintang bola keranjang NBA, Michael Jordan.
Biarpun tidak boleh dieksport, Kncikers masih memainkan penting kepada tuannya.
Ini kerana, lembu-lembu ternakan Pearson sering tertarik dengan saiz Knickers yang besar dan keadaan itu secara tidak langsung memudahkan penternak berkenaan mengesan kedudukan kawanan lembunya ketika haiwan tersebut keluar meragut rumput.
“Setiap kali Knickers bangun dan mula berjalan, ratusan lembu lain akan mengikutnya dan secara tidak langsung, kami boleh mengesan pergerakan kawanan tersebut,” jelas Pearson.
Mengikut Guinness World Record, lembu terbesar di dunia seberat 2,267 kilogram manakala lembu tertinggi pula berukuran lebih dua meter.
Sementara itu, seorang pakar lembu tenusu, Rupert Mothersole berkata, terdapat pelbagai faktor menyumbang kepada tumbesaran lembu termasuk pemilihan genetik untuk pembiakan.
Jelasnya, jika seekor lembu dimandulkan pada usia muda, maka keadaan itu memberi peluang kepada haiwan berkenaan untuk membesar secara luar biasa seperti Knickers.
Purata saiz lembu biasa adalah seberat 630 kilogram dengan purata saiznya meningkat sehingga 18 peratus dalam tempoh dua dekad lalu. – AGENSI

Tuesday 27 November 2018

Industri Fesyen: Gaya stailo patuh syariah yang lebih up-to-date.



PERKEMBANGAN industri fesyen muslimah di negara ini amat menggalakkan sehingga menarik minat ramai pereka baharu untuk tampil dengan pelbagai konsep.

Bagaimanapun kurangnya kefahaman masyarakat terhadap konsep muslimah itu sendiri membuatkan sesetengah individu menjadi 'mangsa fesyen'.

Bagi usahawan muda Era Masturah Ramlee, gaya muslimah dengan sentuhan hispter namun patuh syariah boleh memberi peluang kepada wanita berhijab untuk berfesyen.
Oleh itu eralee.rtw menampilkan koleksi casual sporty namun masih mengekalkan ciri modest khusus untuk remaja yang aktif.

"Kebiasaanya wanita berhijab memilih jubah untuk bergaya. Namun saya inginkan sesuatu yang berbeza tetapi fresh, trendy dan paling penting... patuh syariah.
"Bercakap mengenai patuh syariah sudah tentu saya sangat cerewet dalam memilih material kain yang digunakan. Saya tidak akan gunakan sesuatu yang bersifat melekap di tubuh," katanya kepada mStar Online.

eralee.rtw menawarkan koleksi pakaian uniseks dan berpotongan oversized sesuai buat semua golongan.
Dalam memenuhi etika pemakaian cara Islam, Masturah atau lebih mesra disapa Era berkata dia gemar bermain dengan sesuatu yang minimal dan monocrome..

"Dari segi pemilihan warna pula, kerana konsepnya adalah patuh syariah, jadi warna-warna juga tidak seharusnya menonjol.
"Selalunya saya akan menggunakan warna hitam, putih atau kelabu. Tetapi untuk koleksi akan datang, saya akan cuba bermain dengan warna-warna pastel dan tidak terlalu bold," katanya.

Bercerita mengenai idea dalam rekaannya, Era berkata dia gemar melancong dan menjadikan Jepun dan Korea sebagai negara pilihan dalam mencari inspirasi.

"Saya akan observe budaya masyarakat tempatan dan belajar bagaimana nak twist sesuatu benda itu supaya ia menjadi modest dan trendy.
"Kemudian saya terapkan design oversized, loose dan baggy agar ia patuh syariah," katanya.
Era turut menjadikan pereka fesyen paling berpengaruh di Jepun, Yohji Yamamoto sebagai idola dalam berfesyen.
Menurutnya, prinsip Yohji untuk 'menutup wanita' dijadikan pegangan untuk setiap rekaannya.
"Saya sangat sukakan prinsip itu. Yohji tidak akan mendedahkan bahagian yang tidak sepatutnya dalam busana yang direka.
"Sebab itu kalau anda teliti, rekaan saya juga memiliki gaya Jepun dan 'Korean street style'," ujarnya.

Menurut gadis yang memiliki Diploma Rekaan Fesyen dari Management & Science University (MSU) ini lagi, selain menjual produk, dia berhasrat untuk  mendidik masyarakat tentang cara sebenar berpakaian menurut Islam.

"Saya sendiri tidak pernah terlepas dari menerima kecaman netizen.
"Pada mereka seseorang yang berniqab tidak perlu melibatkan diri dalam fesyen.
"Saya akui ia adalah jalan yang terbaik tetapi mereka perlu faham, saya juga ada minat dan usaha saya untuk berdakwah  kepada masyarakat yang berpandangan skeptikal terhadap niqabis," katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Bagus, 'Gaya stailo patuh syariah yang lebih up-to-date.' Tetapi jangan lupa 'jubah' fesyen tradisi yang paling banyak berjasa kepada Islam agama yang diredhaiAllah!
Jubah tetap mempertahankan identitinya sepanjang zaman.

i
Lupakan jubah, niqabista ini tunjuk gaya stailo patuh syariah yang lebih up-to-date

Thursday 22 November 2018

Nekad Jual Telur Sotong, Sara Keluargan .


Alias Harun bersama peserta PJD selepas Majlis Penyampaian Cek PJD


KUALA TERENGGANU, 21 November - Nekad mahu mengubah kehidupan keluarga selepas kematian suami pada 2006, mendorong Aini Harun, 52, dari Seberang Kastam, Besut menjual telur sotong secara kecil-kecilan.

Aini berkata, ketika itu dia hilang punca pendapatan untuk menanggung empat anak yang masih kecil, hanya terlintas untuk menjual telur sotong selepas melihat kejayaan beberapa kenalan di Kuantan, Pahang.

“Saya memberanikan diri menjual produk dari Kedah itu di Terengganu berikutan tiada pesaing, selain mahu menampakkan kelainan berbanding peniaga lain.


“Alhamdulillah selepas beberapa tahun, produk yang menggunakan nama Kak Ma Telur Sotong mendapat sambutan cukup menggalakkan, mampu menjual  antara 10 hingga 15 kilogram (kg) sehari dengan nilaian RM35 sekilogram,” katanya.

Aini berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Cek Pinjaman Program Jaya Diri (PJD) di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir merasmikan program itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun dan Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Aini turut memberitahu, dalam tempoh tertentu terutama pada Jun dan Julai, bekalan telur sotong akan terputus kerana bukan musim sotong bertelur..

“Keadaan ini menyebabkan pelanggan terdiri daripada pengusaha restoran tempatan dan individu dari Kuala Lumpur terpaksa menunggu dalam tempoh lama.

“Tidak mahu berdepan masalah itu, saya mengambil keputusan membuat pinjaman PJD dalam jumlah RM10,000 supaya dapat dijadikan modal untuk membeli telur sotong dalam kuantiti yang banyak agar bekalan untuk pelanggan tidak terputus.

“Selepas ini, saya mahu membuat tempahan sehingga 200 kg berbanding hanya 100 kg sebelum ini,” katanya yang kini kembali berumahtangga.


Sementara itu, Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata, YPKT merekodkan pada masa kini, seramai 2,643 peserta PJD aktif membuat pinjaman dengan nilaian RM15 juta.(Teganukita)

Katanya, program itu nyata membantu peserta kerana mengenakan syarat yang mudah iaitu penubuhan kumpulan bagi menggantikan cagaran atau penjamin yang bekerja tetap.

“Berdasarkan rekod, setiap peserta yang mengikut program itu mampu memperoleh pendapatan antara RM500 sehingga RM2,000 sebulan.

“’YPKT akan terus meningkatkan usaha melahirkan usahawan dari kalangan peserta PJD itu dengan bantuan kursus dan bimbingan yang bersesuaian.

“’Perkara ini sangat penting kerana sebahagian besar peserta yang menyertai program ini tidak pernah mendapat bimbingan keusahawanan,” katanya (Teganukita)

Wednesday 21 November 2018

300 pelabur bitcoin rugi RM180 juta



KUALA LUMPUR 19 Nov. - Lebih 300 individu terpaksa berputih mata apabila pelaburan mata wang bitcoin tidak memberikan pulangan seperti diharapkan, malah individu yang mengasaskan skim tersebut turut melarikan ribuan bitcoin bernilai lebih RM180 juta sejak 2016.
Skim yang didakwa diasaskan tiga individu termasuk seorang produser filem pecah panggung itu bukan sahaja tidak memulangkan pelaburan mangsa, malah bertindak lebih berani dengan membuka skim lain bertujuan mencari mangsa baharu.

Seorang daripada mangsa, Mohd. Alif Basari, 27, berkata, dia mula membeli 20 bitcoin bernilai RM63,000 bermula April sehingga Julai 2016.
“Saya membeli bitcoin tersebut secara berperingkat sebelum melaburkannya dalam skim tersebut, bulan pertama dan kedua saya dapat pulangan seperti dijanji, namun selepas transaksi keempat, mereka mula main tarik tali.
“Apa saya kesalkan, saya turut mengajak rakan sekerja lain untuk melabur dan kini terpaksa berhenti kerja berikutan malu akibat mereka juga sama-sama ditipu,” kata bekas jururawat di sebuah hospital swasta itu ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kajang, di sini hari ini bersama lebih 30 mang­sa lain.
Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil pula berkata, modus operandi digunakan skim tersebut adalah mengumpul semua bitcoin dibeli mangsa dan memberi pulangan yang dijanjikan dalam beberapa bulan pertama sebelum mula berdolak-dalik selepas empat bulan beroperasi.
“Berdasarkan aduan pi­hak kami te­rima, sehingga kini se­banyak lebih 300 mangsa terlibat de­ngan skim penipuan itu membabitkan jumlah sehingga RM180 juta, namun kita percaya ramai lagi mangsa terlibat dan kerugian sebenar adalah berbilion ringgit,” ujarnya.
Siraj menambah, MCCA turut menggesa kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas untuk menilai kebaikan dan keburukan bitcoin sebelum merealisasikan penggunaannya di negara ini.
“Saya juga sarankan kerajaan libatkan pelbagai pihak terma­suk ahli agama serta agensi keselamatan untuk buat kajian dalam kes penipuan ini,” katanya. (Utusan)

Thursday 15 November 2018

Lebih 92,000 perniagaan sudah daftar SST




KUALA LUMPUR, 7 Rabiulawal 1440H, Khamis – Jumlah keseluruhan pemilik perniagaan yang berdaftar di bawah sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga 23 Oktober lepas, adalah sebanyak 92,682 perniagaan, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata hari ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 57,298 perniagaan berdaftar di bawah skim Cukai Perkhidmatan, manakala selebihnya sebanyak 35,384 berdaftar di bawah Skim Cukai Jualan.
Guan Eng berkata, pihak Kastam Diraja Malaysia tidak akan membuat sebarang pengecualian terhadap mana-mana perniagaan untuk tidak berdaftar dengan SST.
Justeru, semua pemilik perniagaan diminta segera berdaftar bagi mengelakkan sebarang tindakan. – Bernama

Monday 12 November 2018

Dr Mahathir mahu Malaysia hasilkan dron buatan sendiri


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melihat model dron ketika hadir pada majlis pelancaran makmal Persatuan Pembangunan UAV Malaysia (Muda) di Australian International School Malaysia, Seri Kembangan, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Malaysia meneroka teknologi baharu, termasuk menghasilkan dron buatan sendiri dan industri kepintaran buatan.
Beliau berkata, untuk mencapai status negara maju, Malaysia perlu menjadi pengeluar.
“Saya harap kita, Malaysia, tidak akan terus-menerus menjadi pengguna produk keluaran orang lain.
“Kita begitu ketinggalan dari segi itu kerana kita suka menggunakan barang yang dicipta dan dihasilkan orang lain, kita tidak menghasilkannya sendiri,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran makmal Persatuan Pembangunan UAV Malaysia (Muda) di Australian International School Malaysia, Seri Kembangan, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar dan pengasas Muda Datuk Lester Tay Kean Boon.
Perdana Menteri berkata, Malaysia perlu mencontohi China dalam menguasai teknologi yang membolehkan negara itu menjadi pengeluar utama banyak produk.
"Saya dapati, China bukan sahaja mahu menggunakan produk dari negara lain, tetapi mereka juga mahu mengeluarkan sendiri produk berkenaan. Mereka mampu menghasilkan semua jenis produk, yang selama ini kita import dari negara lain.
"Sekarang mereka melibatkan diri dalam menghasilkan kapal terbang, roket, satelit, menghantar manusia ke angkasa dan banyak lagi… jika China boleh melakuknnya, saya tidak nampak kenapa Malaysia tidak boleh," kata beliau.
Sambil menzahirkan minat beliau terhadap teknologi, Dr Mahathir berkata pembangunan teknologi boleh menambah baik kehidupan manusia, sebagai contoh, inovasi dalam pengeluaran alat kawalan jauh menjadikan televisyen lebih mudah untuk ditonton.
Beliau berkata teknologi kawalan jauh kini berkembang kepada penghasilan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan sekarang dron digunakan dalam peperangan dan bidang lain.
Sambil menegaskan tentang peri pentingnya memahami dan menguasai kepintaran buatan, Dr Mahathir menyuarakan harapan agar teknologi itu akan membantu melahirkan minat rakyat Malaysia untuk membangunkan, mengawal dan mengurus teknologi.
Sementara itu Tay berkata, Muda sedang berusaha menghasilkan dron buatan Malaysia pertama dan model sulungnya dijangka siap pada suku pertama tahun depan. -- BERNAMA