Monday 12 November 2018

Dr Mahathir mahu Malaysia hasilkan dron buatan sendiri


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melihat model dron ketika hadir pada majlis pelancaran makmal Persatuan Pembangunan UAV Malaysia (Muda) di Australian International School Malaysia, Seri Kembangan, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Malaysia meneroka teknologi baharu, termasuk menghasilkan dron buatan sendiri dan industri kepintaran buatan.
Beliau berkata, untuk mencapai status negara maju, Malaysia perlu menjadi pengeluar.
“Saya harap kita, Malaysia, tidak akan terus-menerus menjadi pengguna produk keluaran orang lain.
“Kita begitu ketinggalan dari segi itu kerana kita suka menggunakan barang yang dicipta dan dihasilkan orang lain, kita tidak menghasilkannya sendiri,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran makmal Persatuan Pembangunan UAV Malaysia (Muda) di Australian International School Malaysia, Seri Kembangan, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar dan pengasas Muda Datuk Lester Tay Kean Boon.
Perdana Menteri berkata, Malaysia perlu mencontohi China dalam menguasai teknologi yang membolehkan negara itu menjadi pengeluar utama banyak produk.
"Saya dapati, China bukan sahaja mahu menggunakan produk dari negara lain, tetapi mereka juga mahu mengeluarkan sendiri produk berkenaan. Mereka mampu menghasilkan semua jenis produk, yang selama ini kita import dari negara lain.
"Sekarang mereka melibatkan diri dalam menghasilkan kapal terbang, roket, satelit, menghantar manusia ke angkasa dan banyak lagi… jika China boleh melakuknnya, saya tidak nampak kenapa Malaysia tidak boleh," kata beliau.
Sambil menzahirkan minat beliau terhadap teknologi, Dr Mahathir berkata pembangunan teknologi boleh menambah baik kehidupan manusia, sebagai contoh, inovasi dalam pengeluaran alat kawalan jauh menjadikan televisyen lebih mudah untuk ditonton.
Beliau berkata teknologi kawalan jauh kini berkembang kepada penghasilan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan sekarang dron digunakan dalam peperangan dan bidang lain.
Sambil menegaskan tentang peri pentingnya memahami dan menguasai kepintaran buatan, Dr Mahathir menyuarakan harapan agar teknologi itu akan membantu melahirkan minat rakyat Malaysia untuk membangunkan, mengawal dan mengurus teknologi.
Sementara itu Tay berkata, Muda sedang berusaha menghasilkan dron buatan Malaysia pertama dan model sulungnya dijangka siap pada suku pertama tahun depan. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment