Monday 28 April 2014

Apple paten sistem halang pengguna menaip mesej ketika memandu.

 
TELEFON pintar iPhone keluaran Apple ini bakal dipasang dengan sistem yang menghalang pengguna menaip mesej ketika memandu. 

NEW YORK - Pengguna telefon pintar iPhone keluaran Apple mungkin tidak lagi dapat menaip mesej ketika sedang memandu pada masa hadapan.
Ia ekoran syarikat elektronik itu merancang memasang satu perisian yang dapat menghalang pemandu mengguna telefon ketika menaiki kenderaan, lapor akhbar Mail Online semalam.
Menurut laporan akhbar itu, perisian itu telah dipatenkan di Amerika Syarikat (AS). Ia berfungsi menghalang pengguna menggunakan semua aplikasi pesanan atau mesej ketika sedang memandu.
Sistem berkenaan berfungsi dengan satu sensor dipasang pada telefon tersebut yang akan mengukur kelajuan sesebuah kenderaan dan ia akan mematikan aplikasi pesanan apabila mencapai had laju tertentu.
Sistem berkenaan hanya akan berfungsi sekiranya pengguna duduk di kerusi pemandu sekali gus membolehkan penumpang yang lain menggunakan telefon mereka.
Seorang pakar keselamatan jalan raya di AS, Paul Watters berkata, Apple mempunyai kuasa untuk mengubah budaya bahaya berkenaan dan sistem itu adalah satu langkah yang baik.
Katanya, satu kajian oleh sebuah badan keselamatan jalan raya AS mendapati menaip mesej ketika memandu meningkatkan risiko kemalangan sebanyak 23 kali ganda dan mengurangkan tindak balas pemandu. - Agensi

Friday 25 April 2014

Kurang Produk Sukarkan Malaysia Jadi Hab Halal - Hamim Samuri


KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan cabaran sukar untuk menjadi hab halal global berikutan kurangnya pengeluaran dan aktiviti eksport barangan serta perkhidmatan halal ke luar negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri berkata, walaupun Malaysia mengeksport sejumlah RM32 bilion produk halal tahun lepas namun jumlah itu dilihat masih kecil untuk negara ini menjadi hab global.

"Kita perlu segera mencari jalan keluar bagi mengatasi masalah ini kerana pasaran halal kini adalah amat besar dan seharusnya membuka peluang kepada pengusaha dan pengeluar di negara ini.
"Kesedaran orang Islam terhadap keperluan produk halal semakin meningkat dan di Malaysia kita (kementerian) sentiasa membuat kempen bagi meningkatkan lagi kesedaran pengguna tentang produk halal terutama kepada pihak pengeluar," katanya.

Beliau mengetengahkan perkara ini dalam rancangan temubual 'Ruang Bicara' yang disiarkan secara langsung di Bernama TV saluran Astro 502, di sini, malam Rabu.

Katanya, produk halal juga dilihat amat penting dalam menarik kedatangan pelancong Islam ke sesuatu negara, kerana jika di negara itu mudah untuk mendapatkan produk halal ia akan menjadi tumpuan.

Katanya, kerajaan dan agensi berkaitan sentiasa menjalankan usaha untuk meningkat pengeluaran produk halal selaras dengan objektif di bawah Pelan Induk Pembangunan Ketiga (IMP3) yang mensasarkan Malaysia sebagai hab halal global.

Namun katanya, usaha itu memerlukan penyertaan dan minat dari syarikat dan pengeluar negara ini untuk menghasilkan produk halal dan dipasarkan keluar negara.

Dalam rancangan sama, Setiausaha Majlis Perunding Melayu Datuk Dr Hassan Mad berkata, industri halal merupakan satu industri yang amat besar dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) di negara ini dilihat tidak berupaya untuk memenuhi keperluan industri itu.

Justeru katanya, pemimpin industri perlu dikenalpasti bagi memimpin syarikat SME ini dalam menghasilkan atau memasarkan produk halal mereka sekaligus meningkatkan keupayaan pengeluaran produk halal.

Katanya, syarikat berkaitan kerajaan boleh mengambil peranan menjadi pemimpin industri di mana mereka membeli produk halal yang dikeluarkan oleh syarikat SME seterusnya dipasarkan keluar negara.

"Sebagai contoh syarikat seperti Tabung Haji atau Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
"Ini kerana syarikat besar ini mempunyai keupayaan untuk memasarkan produk dan mengeksport, berbanding syarikat SME yang mempunyai keupayaan seperti modal atau kos operasi yang terhad," katanya. (mStar)

Tuesday 22 April 2014

Kumpulan LBGT boikot hotel Sultan Brunei


SULTAN HASSANAL

BEVERLY HILLS, California - Sebuah kumpulan penyokong lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) bertindak memindahkan lokasi persidangan yang dirancang diadakan lewat tahun ini dari Hotel Beverly Hills di sini ke satu lokasi lain, lapor akhbar dalam talian MailOnline semalam.
Tindakan tersebut dibuat kerana membantah dasar anti gay yang dilaksanakan oleh pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah
Sultan Hassanal merupakan pemilik hotel berkenaan.
Diasaskan oleh aktivis Tim Gill, kumpulan tersebut, Dana Bertindak Gill dijadual menganjurkan persidangan bertajuk Winning the Heartland bagi meraih sumbangan dana ahli-ahli politik di hotel itu bermula 1 hingga 4 Mei depan.
Namun, ekoran hukum hudud yang akan berkuat kuasa di Brunei pada hujung bulan ini, kumpulan itu telah membatalkan sidang di Hotel Beverly Hills dan kini mencari satu lokasi lain.
Agensi: SEBUAH pertubuhan gay membatalkan persidangan yang bakal diadakan di Hotel Beverly Hills, California.
"Susulan dasar anti gay yang diluluskan oleh kerajaan Brunei, kami membuat keputusan untuk memindahkan persidangan ini ke tempat lain," kata Pengarah Eksekutif Dana Bertindak Gill, Kirk Fordham dalam satu temu bual bersama laman berita washingtonblade.com.
"Kami mahu deposit kami dikembalikan," tambahnya.
Pada tahun lalu, Sultan Hassanal mengumumkan bahawa Brunei akan mula melaksanakan hukum hudud yang membawa hukuman berat termasuk rejam sampai mati ke atas jenayah seks termasuk rogol, liwat dan zina. (Kosmo)

Friday 18 April 2014

Import sayur, ikan dari Aceh untuk tampung keperluan


PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan meningkatkan jumlah import sayur, selain mula membawa ikan dari Aceh, Indonesia mulai bulan depan bagi menampung keperluan pasaran tempatan.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek mengimport sayur-sayuran dari Aceh dikendalikan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melalui anak syarikatnya di Indonesia, PT Nafasindo.
Ujar beliau, antara sayur-sayuran yang akan dibawa masuk ke Malaysia ialah kentang, kubis, lobak merah, halia dan tomato. (Kosmo)

Thursday 10 April 2014

Lelaki Romania ada 795 kad ATM Di Bangkok.


Bangkok: Polis Lumpini menahan dua rakyat Romania yang mempunyai 795 kad ATM palsu.
Mereka kini disiasat kerana disyaki menggunakan kad berkenaan untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM di Bangkok.

Ketua Polis Metropolitan Major Jeneral Suebsak Phansura berkata, dua lelaki itu dilihat menaiki teksi motosikal berhampiran Thailand Tobacco Monopoly di daerah Klong Toey, kelmarin.

Katanya, polis menjalankan pemeriksaan selepas mendapati dua lelaki itu dalam keadaan meragukan.

Seorang daripada mereka memegang sejumlah kad ATM menyebabkan polis membuat pemeriksaan lanjut di bilik hotel mereka dan menemui keseluruhannya 795 kad ATM serta mesin mencuri data.

Dengan bantuan Siam Commercial Bank polis mendapati 431 daripada kad itu mengandungi data manakala 364 selebihnya kosong.

Bank menganggarkan jumlah kerugian sebanyak 100 juta baht (RM10 juta) jika dua lelaki terbabit berjaya mengggunakan semua kad dimiliki untuk mengeluarkan jumlah maksimum daripada pelbagai ATM.

Menurut polis, dua lelaki itu mengakui diupah 500 euro (RM2,200) untuk mengeluarkan wang menggunakan kad palsu berkenaan yang mengandungi data yang digodam daripada bank di Itali. - Agensi

Monday 7 April 2014

Premis Jual Tudung Fareeda Tiruan Diserbu.



KPDNKK merampas sebanyak 1,225 helai tudung jenama Fareeda dengan anggaran nilai RM77,065.00.
 
PUTRAJAYA: Enam premis perniagaan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor diserbu bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan kerana menjual tudung tiruan menggunakan jenama Fareeda. 
 
Ketua Pengarah Penguatkuasaan, Roslan Mahayudin berkata, dalam serbuah itu sebanyak 1,225 helai tudung dengan anggaran nilai RM77,065.00 disita.

"Serbuan dibuat pada 20 Mac dan 3 April lepas susulan aduan daripada Fareeda Global Resources Sdn Bhd yang rekaan tudung milik syarikat itu telah ditiru dan dijual secara berleluasa menerusi laman sosial facebook," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata, rekaan yang dirampas itu ialah model 'Fareeda Aisya' dan 'Fareeda Mariya' yang dilindungi di bawah Akta Hakcipta 1987.
Kes kini disiasat di bawah seksyen 41(1)(b) Akta Hakcipta 1987, jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM2,000, maksimum RM20,000 bagi setiap salinan atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Pengarah Urusan Fareeda, Amiruddin Basirron berkata aktiviti tiruan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu menyebabkan syarikat kerugian hampir RM1juta.

"Syarikat kami mula mengesan perbuatan itu sejak 2010 lagi, memandangkan kegiatan tersebut kian berleluasa, memaksa syarikat membuat aduan kerana tidak mahu pengguna terus ditipu" katanya. (Bernama)