Friday 26 February 2016

Robert Kuok kekal orang terkaya di Malaysia


SINGAPURA – Tan Sri Robert Kuok yang terkenal dengan gela­ran Raja Gula terus mengungguli kedudukan teratas dalam senarai individu terkaya Malaysia anjuran majalah Forbes buat kali ke-11 berturut-turut dengan aset bersih bernilai RM42.17 bilion.
Ananda Krishnan yang me­nguasai firma telekomunikasi Maxis juga terus kekal sebagai orang kedua terkaya di Malaysia pada tahun ini.
Bagaimanapun, menurut laporan senarai terkini individu terkaya Malaysia anjuran Forbes (www.forbes.com) bagi tahun 2016 menyaksikan nilai kekayaan individu-individu terkaya di negara ini menyusut berbanding tahun 2015.
Penyusutan nilai kekayaan 10 individu yang tersenarai itu dikaitkan dengan penurunan harga minyak dan kejatuhan nilai ringgit.
Senarai 10 individu paling kaya di Malaysia bagi tahun ini turut memperlihatkan dua individu yang tersenarai pada tahun 2015 telah terkeluar daripada senarai menjadi 10 individu paling kaya.
Mereka ialah Goh Peng Ooi dan Lee Oi Hian.
Aset Pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary turut terjejas tetapi beliau masih kekal dalam senarai 10 individu terkaya di negara itu tetapi jatuh pada kedudukan ke­sembilan berbanding kedudukan kelapan pada tahun 2015. (Kosmo!)

Thursday 25 February 2016

Nilai pound sterling menjunam.


LONDON: Pound Britain didagangkan menghampiri AS$1.39 (RM5.838) untuk kali pertama dalam tempoh tujuh tahun. Dalam pada itu kos lindung nilai melonjak mendadak kepada tertinggi dalam tempoh lebih empat tahun disebabkan kebimbangan kemungkinan Britain akan keluar daripada menganggotai Kesatuan Eropah (EU). 

Tinjauan terkini menunjukkan 'kem' dalaman mendahului pungutan suara yang akan diadakan pada Jun ini, tetapi jurangnya adalah terlalu kecil. Menurut tinjauan ComRes bagi Daily Mail, mendapati sokongan untuk terus kekal sebanyak 51 peratus, sementara 39 peratus mahukan perjanjian yang digelar sebagai "Brexit" manakala 10 peratus lagi belum membuat sebarang keputusan.

 Sterling jatuh kepada AS$1.3925 dengan penganalisis carta kini menyasarkan ia bakal susut kepada AS$1.35 (RM5.67) seperti yang dicatatkan pada 2009. Mata wang berkenaan menjadi sasaran serangan sejak awal minggu ini, merosot tiga peratus selepas beberapa anggota kanan Parti Konservatif berkempen untuk meninggalkan Kesatuan Eropah, menjelang hujung minggu. Euro pada 0.3 peratus lebih tinggi pada 78.82 pence walaupun mata wang tunggal itu pulih daripada kebimbangan kerana zon euro turut berdepan ketidaktentuan jika Britain memilih untuk meninggalkan Kesatuan.

"Kebimbangan itu semakin ketara sementara menunggu pungutan suara EU dan kesan tidak menentu mungkin mencetuskan penjualan besar-besaran dalam sterling," kata Lukman Otunuga, penganalisis di FXTM. 

Ketidaktentuan itu juga akan menolak balik kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Bank of England (BoE). Sebaliknya, Gabenor BoE, Mark Carney mengingatkan pelabur bahawa BoE masih boleh menggunakan potongan kadar dan memperluaskan program pembelian bon, untuk merangsang ekonomi Britain, jika ia diperlukan. HSBC, antara peniaga terbesar dalam sterling, berkata mata wang itu boleh kehilangan hingga 15 peratus daripada nilainya dan pertumbuhan ekonomi United Kingdom (UK) boleh mencecah 1.5 mata peratusan lebih rendah tahun depan, jika pungutan suara rakyat Britain mengundi untuk keluar dari Kesatuan Eropah. 

"Satu undi bagi Brexit akan meninggalkan kesan yang berpotensi besar bagi semua kelas aset. Diikuti dengan satu undi untuk meninggalkannya, kami fikir ketidakpastian boleh menyebabkan cengkaman ekonomi di UK, selain mencetuskan potensi kelembapan dalam pertumbuhan dan kejatuhan sterling," menurut satu kenyataan yang ditulis penganalisis HSBC. - Reuters 

Tuesday 23 February 2016

Permintaan Trak Makanan Terus 'Meluncur Laju'


Trak makanan boleh diubah suai mengikut bajet dan keperluan pelanggan.

TREND trak makanan telah berkembang dalam tahun-tahun kebelakangan ini, terutamanya di Lembah Klang dan ini telah menggembirakan syarikat pengeluarnya, MSM Equipment.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutifnya, Charles Chan Wen Chau yang mengimbas kembali sewaktu mereka memulakan perniagaan ini menyifatkannya sebagai tahun-tahun kekecewaan apabila banyak pertanyaan yang mereka terima, tetapi ia tidak diterjemahkan kepada jualan.

"Ia adalah satu keadaan yang sukar kerana kami terpaksa menjawab kepada lembaga pengarah," kata Wen Chau.

MSM Equipment adalah anak syarikat Mann Seng Metal International Ltd, yang telah diasaskan secara bersama oleh bapa Wen Chau pada tahun 1973 sebagai sebuah syarikat kejuruteraan logam bersepadu yang menawarkan reka bentuk, pembangunan produk, pengeluaran dan pemasangan bagi kerja-kerja berkaitan metal.

Pada lewat tahun 1990-an MSM Equipment mula melengkapkan kenderaan untuk tujuan perniagaan mudah alih, termasuk lori yang digunakan di pasar malam dan basikal untuk menjual aiskrim.

Tetapi apabila melihat trend pada masa depan, syarikat itu pada 2010 memutuskan untuk menembusi bidang trak makanan. Mereka mula menyediakan penyelarasan reka bentuk trak makanan bergerak dengan peralatan dapur, kawalan sisa, penjana dan kuasa solar atau apa-apa penyesuaian lain yang dimahukan pelanggan.


Menurut Wen Chau, syarikat itu membelanjakan wang yang banyak untuk mempromosikan dan memasarkan produknya, malah mengambil bahagian dalam pameran di Singapura pada tahun 2012 untuk mendapatkan pendedahan antarabangsa.

"Apabila kami menunjukkan produk kami, semua orang berkata "Saya sukakannya."

"Sebenarnya ramai yang berminat..Kami mempunyai banyak pertanyaan. Kami juga mendapat pertanyaan dari Australia.

"Tetapi pada akhirnya, tiada apa yang berlaku. Mereka hanya sekadar membayar deposit sahaja. Cerita tamat begitu sahaja," imbasnya.

Namun, syarikat ini bernasib baik kerana trak makanan mudah alih telah mendapat perhatian sejak kebelakangan ini. Wen Chau percaya ia mempunyai kaitan dengan kelembapan ekonomi.

Trak makanan memerlukan pelaburan permulaan yang lebih rendah berbanding restoran. Begitu juga dengan kos overhednya. Ini memberikan potensi margin yang lebih baik kepada pengendali trak makanan.

Selain itu, Wen Chau berkata, pelanggan boleh mendapatkan trak makanan dengan sewa beli.

Sambutan daripada pihak berkuasa tempatan juga amat menggalakkan. Permit untuk pengendali trak makanan pernah menjadi isu untuk seketika, tetapi pihak berkuasa tempatan kini sedang melakukan sesuatu untuk perlesenan dan menyediakan garis panduan yang betul untuk pengendali.


"Ini adalah sebahagian daripada sebab-sebab mengapa ia tiba-tiba meningkat begitu cepat," katanya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, permintaan untuk trak makanan mula diperoleh syarikat ini.

Tetapi di peringkat awal, pengusaha trak makanan tidak semestinya tahu tentang selok-belok kedai makan mudah alih mereka. Walaupun mereka tahu mengenai produk makanan yang mereka akan jual, kebanyakan mereka kekurangan idea tentang jenis peralatan yang sesuai dan perlu digunakan dalam dapur mudah alih mereka.

Ia membuka satu lagi peluang kerana MSM Equipment mempunyai anak syarikat, FIC Kitchen Technology yang pakar dalam dapur komersial dan fabrikasi trak makanan mudah alih, reka bentuk dan perundingan.

"Kami adalah perunding dapur. Kami mempunyai bertahun-tahun pengalaman dalam bidang ini, jadi kami boleh menasihati mereka," kata Pengurus Besar FIC, Alan Tung.

"Kami adalah tempat penyelesaian sehenti dan boleh menyesuaikan trak dengan peralatan dapur. Kami memahami aliran kerja mereka. Kami akan memberi nasihat kepada mereka tentang jenis dan saiz kenderaan yang sesuai dengan peralatan. Kami juga mempunyai lukisan reka bentuk dan mendapat pengesahan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan). Dan kami boleh menghantar trak untuk pemeriksaan Puspakom dan insurans," tambah beliau.

Tung sedar bahawa pertanyaan semakin meningkat dan pengendali kini menjadi lebih kreatif dalam perusahaan mereka.


Hari ini, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila kita dapat melihat salun bergerak, pusat cuci kereta bergerak atau kedai-kedai perabot yang membuat pusingan di kawasan kejiranan anda.

"Mobiliti kini sudah menjadi trend. Hari-hari kebelakangan ini, segala-galanya adalah mudah alih - telefon, komputer, malah perniagaan. Trak makanan mudah alih juga boleh bergerak untuk mencari lokasi lebih baik untuk perniagaan. Kini mencari mereka adalah lebih mudah," kata Tung.

Beliau menambah terdapat juga permintaan yang semakin meningkat dari segi penyesuaian, bergantung kepada bajet dan keperluan pelanggan.

Menurut Tung, pasukannya sentiasa melihat pelbagai penyelesaian dan inovasi yang boleh dimasukkan ke dalam reka bentuk bagi menaik taraf dan menambah baik sistem trak makanan mudah alih mereka.

"Kami mungkin salah satu daripada beberapa orang yang boleh memberitahu anda tentang dapur kerana itu adalah kepakaran kami," tambah Wen Chau.

"Ini adalah kekuatan kami. Pemain baharu hanya membina dan boleh memberitahu anda tentang trak makanan sahaja. Tetapi kita membuat peralatan kita sendiri. Kami mempunyai kilang membuat penyejuk dan penyejuk beku serta peralatan dapur. Oleh itu, kita tahu apa yang boleh dilakukan dan digunakan," katanya.

Secara purata, kos peralatan dapur untuk trak adalah antara RM20,000 hingga RM50,000. Peringkat permulaan trak makanan akan menelan kos kira-kira RM70,000 dan purata kira-kira RM100,000.

Reka bentuk untuk trak makanan telah menjadi lebih penting kerana ia secara tak langsung menjadi satu alat publisiti. Jika trak itu menyerlah kepada orang ramai, mereka akan mengambil gambar dan membuat posting di laman sosial.

Bagi segmen trak makanan sahaja FIC mendapat pendapatan bulanan sebanyak RM1 juta, dan Tung menjangka pertumbuhan dua angka setiap tahun.

Jualan yang lebih kukuh terhadap trak makanan mudah alih juga petanda baik bagi syarikat adik perempuannya, Marc Conleth Industries, sebuah anak syarikat MSM Group yang ditubuhkan pada tahun 2005 untuk menyediakan kerja-kerja kejuruteraan logam untuk industri minyak dan gas.

Dengan krisis harga minyak baru-baru ini, Marc Conleth pada tahun lepas memperuntukkan lebih daripada kapasiti pengeluarannya ke arah melahirkan badan trak makanan. (mStar)

Monday 22 February 2016

RM4.3 bilion hilang setahun jika 1.5 juta Bangladesh dibawa masuk


SHAH ALAM, 22 FEB: Jumlah pengaliran keluar wang ke luar negara dijangka meningkat kepada RM4.38 bilion apabila langkah menambah 1.5 juta lagi pekerja asing daripada Bangladesh dilaksanakan.
Mantan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob, berkata langkah ini mampu memburukkan lagi keadaan ekonomi negara ekoran pertambahan itu menyebabkan imbangan pembayaran negara menjadi difisit.
“Secara purata jika 5.8 juta pendatang asing yang ada menghantar pulang wang kepada keluarga di negara asal masing-masing dianggarkan RM3.48 bilion setahun, bermakna pertambahan 1.5 juta pekerja Bangladesh menyebabkan pertambahan RM900 juta lagi dibawa keluar.
“Keadaan ini sudah tentunya memberi kesan buruk kepada ekonomi negara terutamanya di saat kita sedang berhadapan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
“Keadaan ini dapat diatasi dengan langkah kerajaan memanfaatkan sepenuhnya tenaga kerja tempatan bagi mengelakkan pengaliran keluar wang secara besar-besaran apabila pekerja tempatan membelanjakan upah diterima di dalam negara sahaja,” kata Dr Rosli ketika dihubungi SelangorKini hari ini.
Katanya, anggaran itu diperolehi dengan mengambil kira anggaran gaji purata pekerja asing sebanyak RM1,200 sebulan dengan 50 peratus untuk dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Dr Rosli berkata, secara purata kebanyakkan pekerja asing mampu mengirimkan kira-kira 50 peratus daripada pendapatan diperolehi ekoran cara hidup mereka yang terlalu berjimat cermat sehingga sanggup tinggal bersesak di rumah yang dihuni lebih 10 orang.
Selain bersesak di sebuah rumah dalam jumlah yang ramai, terdapat juga majikan yang menyediakan hostel kepada pekerja asing mereka.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kira-kira 1.5 juta pekerja dari Bangladesh dibawa masuk secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor. (Sk)

Saturday 20 February 2016

Isu pekerja asing: Mesyuarat Kabinet tak berfungsi?


SHAH ALAM – Pas menyifatkan keputusan tiba-tiba kerajaan yang membekukan pengambilan pekerja asing ke negara ini serta-merta amat memalukan dan mendedahkan kelemahan kerajaan.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot yang bertentangan dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai jumlah 1.5 juta pekerja dari Bangladesh itu juga mengejutkan.

“Ini menimbulkan persoalan, apakah menteri-menteri ini menghadiri mesyuarat Kabinet? Apakah perkara sebesar ini dibincang dalam Kabinet?
“Jika tidak, apa yang dibincang sebenarnya dalam setiap kali mesyuaratnya? Apakah yang cuma dibincang ialah strategi mempertahankan kedudukan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sebagai perdana menteri?,” tanyanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Malaysia dan Bangladesh telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor di Malaysia.

Namun, hari ini, Ahmad Zahid mengumumkan pembekuan pengambilan pekerja asing dari mana-mana negara berkuat kuasa serta-merta sementara kerajaan mengkaji semula program levi dua peringkat untuk pekerja asing.

Sebelumnya, Kementerian Sumber Manusia dilaporkan berkata angka 1.5 juta sebenarnya merujuk kepada bilangan rakyat Bangladesh yang berdaftar dengan Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara di Bangladesh bagi mendapatkan peluang pekerjaan di 139 buah negara serata dunia termasuk Malaysia.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memberitahu kemasukan pekerja Bangladesh seramai 1,5 juta itu tidak akan dibuat secara serentak, sebaliknya dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mendakwa Najib sebagai perdana menteri tidak mempunyai masa untuk menguruskan negara susulan isu kemasukan pekerja dari Bangladesh yang timbul hingga menjadi kontroversi,.

“Kerana disibukkan dengan mempertahankan diri. Ahli-ahli kabinet pula turut serta dalam kerja mempertahankan bos sehingga alpa dengan kerja sendiri
“Apa yang rakyat boleh harap lagi daripada kabinet yang gemuk tapi kurang berfungsi ini?,” katanya (SH)

Thursday 18 February 2016

Masuk 1.5 Juta Lagi Pekerja Asing, Ini Rahsianya?



Keuntungan, berbanding permintaan pasaran, kemungkinan menjadi punca rancangan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh, kata kumpulan perdagangan memandangkan perniagaan tempatan menghadapi tahun yang sukar dan lebih ramai rakyat Malaysia hilang pekerjaan.

Dua kumpulan majikan terbesar negara dan pekerja sektor swasta jarang mencapai persetujuan apabila kedua-duanya berterusan mencabar tuntutan kerajaan yang industri ini memerlukan 1.5 juta pekerja asing tambahan.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) biasanya tidak bersetuju dalam semua perkara berkaitan isu buruh.

Tetapi dalam temu bual berasingan, kedua-dua mereka berkata pembekal industri buruh asing bernilai bilion ringgit boleh mempengaruhi kononnya “permintaan” terhadap 1.5 juta pekerja baharu ini.

Ini kerana setiap pekerja asing biasanya memberi pembekal antara RM3,000 dan RM4,000 bagi setiap orang dalam bentuk keuntungan bersih, kata mereka.

Satu lagi yang memberi keuntungan ialah perkhidmatan dalam talian untuk memproses permohonan.

Pengkritik lain bagi rancangan itu seperti Ahli Parlimen Klang Charles Santiago juga membangkitkan kehadiran bekas pegawai kementerian dalam perniagaan sebagai satu tanda industri ini mempunyai pengaruh tidak wajar dalam pelan dan dasar buruh asing secara amnya.

Dan kemudiannya, terdapat sebilangan besar pekerja-pekerja asing tanpa dokumen, yang didakwa kumpulan itu berkemungkinan berjumlah 2.3 juta atau 1 juta bagi setiap pekerja asing sah.

"Jadi persoalannya ialah mengapa tidak menjadikan mereka sah dan menggunakan pekerja yang sudah berada di sini," soal Santiago.

Benarkah ada permintaan?

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, 1.5 juta pekerja Bangladesh akan dibawa secara berperingkat dan mereka diperlukan dalam sektor perladangan.

Beliau juga berkata bilangan mereka akan diubah suai dan diagihkan kepada sektor-sektor lain termasuk pembuatan dan pembinaan.

Persatuan Pengeluar Pertanian Malaya (Mapa) menyangkal cadangan sektor itu memerlukan sebanyak 1.5 juta warga asing, mengatakan secara purata hanya terdapat kekurangan 10,000 hingga 20,000 setiap tahun kerana pekerja kembali ke negara asal dan kekosongan perlu diisi semula.

Pengarah Mapa Mohamad Audong menambah, keseluruhan sektor hanya menggunakan antara 350,000 dan 400,000 pekerja pada satu-satu masa.

"Kita juga tidak perlu 1.5 juta pekerja baharu jika dapat menyerap pekerja tanpa izin," kata Mohamad, yang organisasinya terdiri daripada pemain besar dalam perniagaan kelapa sawit seperti Sime Darby, Tabung Haji dan Felda Global Ventures.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, persatuan itu tidak melihat sebarang bukti atau tinjauan yang menunjukkan syarikat Malaysia memerlukan 1.5 juta warga Bangladesh baharu.

"Dengan pasaran yang melebihi permintaan, kami juga ragu-ragu pengambilan yang ramai ini baik untuk kesihatan jangka panjang ekonomi," kata Shamsuddin.

"Kita kini mempunyai 2.3 juta pekerja asing yang sah. Saya ragu-ragu dalam iklim ekonomi sekrang kita boleh menyerap 2.3 juta serta 1.5 juta warga asing tambahan. Pelan ini hanya akan berfungsi jika kita mengusir 1.5 juta pekerja tanpa izin terlebih dahulu. "

Shamsuddin berkata, jika aspek perniagaan dibuang dalam pengambilan pekerja asing, permintaan mereka tidak akan setinggi 1.5 juta.

Pelan ini juga tidak masuk akal memandangkan syarikat-syarikat menghadapi penurunan teruk dalam perniagaan dan pekerja Malaysia ramai diberhentikan kerja.


Tahun lalu 200,000 pekerja diberhentikan kerja dan MEF menjangkakan trend itu berterusan tahun ini. 

Kekurangan bukti terdapatnya permintaan daripada syarikat menyebabkan Santiago mengesyaki rancangan itu ditaja syarikat dan pembekal buruh yang terlibat dalam industri ini.

Sebagai contoh, laporan yang mendakwa Synerflux, dikawal bekas menteri dalam negeri Tan Sri Azmi Khalid. Namanya juga berkait dengan Bestinet, sebuah syarikat yang dianugerahkan kontrak untuk menjalankan sistem memproses visa dan menjalankan pemeriksaan biometrik pekerja asing.

Sistem ini digantung pada Januari tahun lalu selepas PKR mengaitkan syarikat itu dengan Azmi dan bekas pengarah Jabatan Tenaga Kerja Datuk Tengku Omar Tengku Bot.

"Tiada siapa tahu bagaimana perjanjian itu ditandatangani dan terdapat kemungkinan pembekal mempengaruhi penjawat awam yang menjalankan urusan tawaran.

"Tiada siapa dapat melihat perjanjian itu dan tidak pernah ada wakil-wakil daripada kesatuan sekerja atau syarikat apabila tawaran ini dibuat."

Melainkan Putrajaya mengeluarkan penilaian kesan keperluan buruh untuk menyokong dakwaannya, akan sentiasa ada kekhuatiran yang rancangan itu didorong ketamakan dan bukan keperluan sebenar, kata Santiago ~ The Malaysian Insider

India lancar telefon pintar paling murah di dunia.

AGENSI - SYARIKAT Ringing Bells menjual telefon pintar yang baru dilancarkan semalam pada harga serendah AS$7.30.

NEW DELHI – Sebuah syarikat kurang dikenali di India melancarkan telefon pintar dipercayai paling murah di dunia semalam untuk bersaing dalam pasaran yang kini didominasi telefon pintar berharga murah.
Sebuah telefon pintar Freedom 251 buatan syarikat Ringing Bells itu berharga cuma AS$7.30 (RM30.30) atau bersamaan satu peratus daripada harga iPhone terbaharu.
Ringing Bells ditubuhkan pada September 2015 dan mula menjual telefon pintar menerusi laman webnya sejak beberapa minggu lalu menggunakan jenama Bell, kata seorang jurucakap syarikat itu.
“Ini merupakan model utama kami dan kami percaya ia akan merevolusikan industri ini,” katanya.
Menurutnya, pada masa ini, Ringing Bells mengimport komponen telefon pintar dari luar negara dan memasangnya di India namun, merancang untuk mengeluarkan telefon pintar secara domestik dalam tempoh setahun lagi.
Telefon pintar murah, kebanyakannya dibuat di China, membanjiri pasaran India tetapi pesaing domestik semakin pesat mengeluarkan jenamanya sendiri yang rata-rata berharga kurang daripada AS$20 (RM83).
India yang memiliki pasaran telefon pintar kedua terbesar di dunia kini mempunyai lebih satu bilion pelanggan alat komunikasi berkenaan. – AFP

Thursday 11 February 2016

Majlis Halal Malaysia kemudi Industri Halal Negara


PUTRAJAYA, Khamis – Jawatankuasa Khas Kabinet Pengurusan dan Pembangunan Industri Halal Malaysia dibubarkan mulai hari ini dan digantikan dengan Majlis Halal Malaysia (MHM).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan perkara itu berkata melalui MHM, pembahagian tugas mengenai perkembangan industri halal akan dibahagikan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Halal Industry Development Corp (HDC).
“Jakim akan menumpukan terhadap proses pensijilan, tadbir urus serta perkara berkaitan Syariah manakala HDC akan memberi fokus terhadap memperkembang industri halal dan mengantarabangsakan industri itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir jawatankuasa kabinet itu di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata badan dan agensi lain di pelbagai kementerian, akan disatukan di bawah MHM, yang dijangkakan mampu memberi keberhasilan yang tinggi kepada industri tersebut.
“Negara kita telah lama memulakan pensijilan halal dan harus diambil beberapa langkah proaktif dalam menjadikan Malaysia sebagai negara yang sentiasa berada dibarisan hadapan dalam pengeluaran produk halal,” katanya.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa pengeluaran produk halal tidak harus tertumpu hanya kepada bahan makanan sahaja malah dikembangkan dalam bidang farmaseutikal, pelancongan, perkhidmatan serta perbankan dan insurans.
Untuk itu katanya satu akta khusus mengenai MHM akan disediakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Jakim.
Pembentangan akta itu di Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan dilakukan selepas Jabatan Peguam Negara memuktamadkan akta itu yang akan diserahkan oleh Jakim dan MITI selepas kelulusan Kabinet, katanya.
Mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Perundingan Islam (MPI) hari ini, Ahmad Zahid berkata mesyuarat bersetuju menubuhkan tujuh kluster yang akan dipengerusikan tokoh tertentu dalam mencari persamaan dalam pelbagai isu terutama berkaitan agama Islam.
“Setiap kluster akan melakukan percambahan fikiran dan perbincangan perbezaan yang wujud sesama mereka, dan kesemua tujuh kluster tersebut akan berjumpa semula enam bulan dari sekarang bagi mencari titik persamaan dan persetujuan,” katanya.
MPI dianggotai tokoh daripada pelbagai latar belakang seperti tokoh agama, akademik, korporat dan pemimpin badan bukan kerajaan, berperanan sebagai kumpulan pemikir bagi memberikan idea dan cadangan kepada kerajaan ke arah melaksanakan agenda pembangunan negara menurut hukum Syarak.
Mesyuarat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dipengerusikan Ahmad Zahid, turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha dan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din.- Bernama

Saturday 6 February 2016

Tidak.. untuk TPPA -Presiden PAS..



Tidak.. untuk TPPA  -Presiden PAS..

Video: MP PAS Marang Bahas TPPA

Thursday 4 February 2016

12 Negara Tangani TPPA, 10 Manfaat Untuk M'sia.

Malaysia dan 11 negara lain hari ini menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik di Aukland, New Zealand. 12 negara yang terlibat mewakili 40 peratus ekonomi dunia dan akses pasaran yang luas kepada perniagaan Malaysia.
Ini 10 manfaat utama TPPA kepada Malaysia menurut rangkuman Bernama.
1. Peningkatan gaji untuk pekerja tidak mahir diunjur meningkat sebanyak  0.45-0.91 peratus dan pekerja mahir sebanyak 0.38-0.78 peratus.
2. Dasar Bumiputera dan PKS kekal pada status quo sedia ada.
3. Lebih daripada 90 peratus peningkatan ekonomi disumbangkan menerusi langkah bukan tarif yang lebih rendah.
“Kerajaan Malaysia telah menimbang pendapat akar umbi, pengusaha dan pemimpin industri, dan mereka memberi sokongan yang baik.” -Datuk Seri Mustapa Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
4. Eksport dijangka meningkat mengatasi pertumbuhan import, sekali gus lebihan dagangan dijangkakan mengecil kepada 4.3-5.2 peratus KDNK pada 2027
5. Sektor yang menyumbang kepada 20 peratus KDNK Malaysia pada 2014 dijangkakan akan mencatat pertumbuhan keluaran yang lebih tinggi, terutama subsektor pembuatan.
6. Syarikat berorientasikan eksport akan memproleh manfaat daripada akses pasaran yang lebih luas.
“Kami yakin akses pasaran sangat penting bagi Malaysia, terutama dengan negara yang kita tidak mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), seperti Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru. Akses pasaran merupakan antara sebab kita menyertai TPPA.”  -Datuk Seri Mustapa Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
7. Syarikat akan memperoleh manfaat menerusi akses kepada pemerolehan kerajaan, liberalisasi digital yang lebih luas selain penguatkuasaan perlindungan rahsia perdagangan
8. Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia diunjur meningkat sebanyak US$107 bilon kepada US$211 bilion antara 2018-2027.
9. Pelaburan diunjur meningkat kepada US$239 bilion antara 2018-2027 – disumbang pelaburan yang lebih tinggi dalam industri tekstil, pembinaan dan perdagangan pengedaran.
“Kami telah mengambil langkah yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan membawanya ke Parlimen walaupun ia bukanlah suatu keperluan undang-undang, dengan tujuan untuk diperdebatkan dan dibincangkan bagi memperoleh pandangan yang lebih baik daripada pelbagai pihak berkepentingan.”  -Datuk Seri Mustapa Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
10. Penyelesaian pertikaian pelabur (ISDS) mungkin meningkatkan kos kepada kerajaan, namun perlindungan sudah disediakan bagi menangani saman dan melindungi dasar terutama dalam bidang kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.
Ia juga meningkatkan perlindungan ke atas syarikat Malaysia yang melabur di luar negara. (IH)

Neelofa Jual Tudung Kepada Orang Israel

PELAKON dan usahawan tudung berjaya, Neelofa Mohd Noor baru-baru ini dikecam netizen gara-gara memuat naik gambar penghantaran pos produknya ke Israel. Peminat dan pengikutnya menerusi laman sosial Instagram mengecam perbuatannya yang menghantar barangan hijabnya kepada penduduk di negara Zionis tersebut.
israel
Menulis kapsyen, “It’s from Israel. Thank you, Alhamdulillah”, Neelofa dikatakan tidak sensitif yang mana negara kita tidak mengamalkan sebarang hubungan diplomatik dengan rejim Israel.
Walaupun ramai yang mencemuh hos program Meletop itu, namun ada juga yang mempertahankan Neelofa dan memujinya kerana sanggup berniaga kepada umat Islam yang ditindas di kawasan bergolak itu.
neelofa1
Neelofa, 27, menguasahakan perniagaan tudung, Naelofar Hijab yang mana lokasi butiknya terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Dia sebelum ini dilaporkan meraih jualan sebanyak RM50 juta tahun lalu menurut sumber portal berita antarabangsa BBC. (IH)

Ringgit Adalah Matawang Asia Paling Buruk Jatuh Ketika Ini.

SINGAPURA: Berdasarkan perkembangan semasa matawang Asia hari ini, ringgit dilihat terus menerajui kejatuhan dalam kalangan mata wang negara membangun Asia berikutan harga minyak mentah terus jatuh dan aktiviti perkilangan global kekal lemah, mengurangkan selera pelabur bagi aset yang lebih berisiko.

Memetik laporan Berita Harian, ringgit juga menerima tekanan lanjut daripada kebimbangan diperbaharui berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Tingakan pihak berkuasa Singapura yang menahan sejumlah besar akaun bank dalam beberapa bulan kebelakangan ini sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung kemungkinan 1MDB terbabit dalam pengubahan wang haram.

Bagi Won Korea pula, ia dilihat susut inflasi Januari semakin perlahan ke paras terendah empat bulan, menambahkan lagi tekanan ke atas bank pusat bagi pengurangan lanjut kadar faedah.

Manakala nilai Dolar Taiwan pula mengalami peningkatan berikutan peningkatan permintaan korporat sebelum cuti Tahun Baharu Cina minggu depan.

Harga minyak meneruskan kejatuhan disebabkan kebimbangan berhubung keadaan ekonomi pengguna tenaga terbesar, China dan pertambahan bekalan.

Pasaran saham Asia jatuh "Aset berisiko termasuk mata wang Asia belum lagi menjumpai momentum kenaikan. Malahan, belum ada kemungkinan untuk kita menyaksikan pengukuhan dalam tempoh singkat dalam data ekonomi," kata Jeong My-young, ketua penyelidik di Samsung Futures di Seoul.

Ringgit semakin jatuh berikutan peningkatan kebimbangan berhubung penyusutan pendapatan minyak dan gas Malaysia dan menyebabkan tekanan kepada atas kewangan kerajaan. Malaysia adalah pembekal utama minyak sawit dan gas asli cecair. (IH)

Tuesday 2 February 2016

BP bakal buang 3,000 pekerja

th
BRITAIN, Selasa – Syarikat Minyak British Petroleum (BP) mengumumkan pengurangan tenaga kerja sehingga 3,000 selepas mendedahkan dasar keuntungan tahunannya jatuh kepada separuh.
BP berkata, keuntungan syarikatnya telah jatuh sebanyak 51% kepada USD$5.9billion berbanding dengan USD$12.1billion pada 2014.
“Sandaran keuntungan suku keempat jatuh kepada USD$196 juta berbanding dengan USD$2.2bilion bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
“Tahun lepas, 4,000 pekerja akan pergi di bahagian utama sebagai sebahagian daripada program penyusunan semula USD$2.5bilion.
BP berkata lagi, perniagaan utamanya yang merangkumi cari gali dan pengeluaran, merosot dengan kerugian sebanyak AS$728 juta pada suku akhir tahun lalu.
“Pengurangan terbaru sehingga 3,000 peluang pekerjaan menjelang akhir 2017 memberi kesan kepada kakitangan dan kontraktor dalam lingkungan sektor bawahan.
“Ini merujuk kepada produk minyak suling, seperti bahan api, pelincir dan petrokimia, untuk membuat produk seperti cat dan plastik botol,” katanya -Agensi

Negara Kebajikan, Switzerland Cadang Bagi £1,700 Sebulan Kepada Rakyat. M'sia, Mampukah Begitu?