Thursday 30 August 2018

Lavida Coin masuk senarai Amaran Pengguna Kewangan Bank Negara



KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia menyenaraikan pengendali terbitan mata wang kripto Lavida Coin, VI Profit Galaxy (DSV Cryptoclub & LUX Galaxies) dalam senarai Amaran Pengguna Kewangan bank pusat itu.
Senarai Amaran Pengguna Kewangan itu merujuk kepada syarikat dan laman web yang tidak dibenar atau dilulus mengikut undang-undang serta peraturan berkaitan yang ditadbir BNM.
Turut disenaraikan adalah laman web berkaitan penawaran Lavida Coin iaitu luxgalaxies.com dan www.lavidacoin.com
Berdasarkan penyenaraian terkini itu, BNM kini sudah menyenaraikan 423 syarikat dalam Amaran Penggunaan Kewangan.
Berdasarkan Amaran Pengguna Kewangan yang dikeluarkan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang deposit atau pelaburan dengan individu atau entiti yang tidak dikawal selia mengikut undang-undang berkaitan.
Hanya institusi kewangan iaitu bank, syarikat insurans, pengendali takaful, penggurup wang, penyedia perkhidmatan pengiriman wang dan pemborong mata wang (kini perniagaan perkhidmatan wang) diberikan lesen oleh BNM.
Semalam, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkata, ia sedang memantau maklumat sedia ada mengenai mata wang kripto Lavida Coin bagi menentukan sama ada wujud sebarang perlanggaran undang-undang sekuriti.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dengan sebarang skim pelaburan terutama yang membabitkan mata wang kripto dan token digital.
“Kami sudah pun menerima pertanyaan mengenai penerbitan kertas putih bagi penawaran Lavida Coin kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan.
Kertas putih itu mendakwa Lavida Coin ditawarkan sebagai inisiatif pembiayaan swasta bagi pengumpulan modal atau dana bernilai untuk pembangunan tiga projek dan hanya pembiayaan ramai saja yang dapat memenuhi keperluan pembiayaan terbabit.
Sebelum ini, Datuk Seri Vida (DSV) memperkenalkan mata wang digital atau kripto dikenali Lavida Coin pada harga yang ditetapkan iaitu 1 LVC bersamaan AS$0.66 (RM2.71).
Menurut ahli perniagaan dan selebriti itu, ia ditawarkan pada harga serendah RM99 bagi 30 unit Lavida Coin sehingga RM9,900 (3,000 Lavida Coin) dan urus niaga dijalankan dalam Ringgit Malaysia, Dolar Singapura, Dolar Brunei dan Dolar Amerika Syarikat (AS).

Friday 17 August 2018

Rahsia Kejayaan Jack Ma



Jack Ma yang terkenal dengan platform e-commerce Alibaba, telah dianugerahkan sebagai orang paling kaya di negara China pada tahun 2014. Beliau telah mencapai kejayaan mencecah $28 bilion US Dolar dan menjadikan beliau berada pada tangga ketujuh sebagai orang paling kaya di dunia.
Hasil daripada kerja keras beliau telah membuahkan kejayaan  pada masa kini. Berlatar belakangkan keluarga yang bukan kaya-raya dan juga seorang yang tidak begitu menonjol dalam bidang akdemik, sehingga menyebabkan permohonan beliau sebanyak 10 kali ke Universiti Harvard telah gagal. Namun, itu bukanlah menjadi penghalang untuk terus berusaha untuk mencapai kejayaan.
Beliau juga pernah memohon bekerja di KFC, namun beliau turut gagal dalam permohonan tersebut. Namun, segala kegagalan tersebut tidak pernah menjadikan beliau seorang yang berputus asa. malah ianya telah menjadikan beliau terus bangkit demi mengubah nasib diri.
Berikut merupakan 10 rahsia kejayaan Jack Ma yang boleh kita contohi:

1. Biasakan Diri Dengan Kegagalan, Kritikan Dan Penolakan.
Segala kejayaan dan kemewahan yang dikecapi beliau kini adalah daripada sikapnya yang terbuka terhadap sebarang kritikan dan penolakan. Bayangkan sahaja permohonan beliau untuk belajar di Univeraiti Harvard telah ditolak sebanyak 10 kali. Kita kalau sekali ditolak atau direjek, pastinya berkecil hati, tetapi bukan beliau.

2. Perlu Ada Impian Dan Cita-cita.
Jack Ma pernah memberitahu bahawa salah satu rahsia kejayaan adalah dengan sentiasa mempunyai angan-angan yang tinggi dan memastikan angan-angan tersebut dijaga dengan sebaik mungkin. Ini kerana angan-angan tersebut pasti menjadi kenyataan jika kita berusaha bersungguh-sungguh. Jack Ma juga turut mempunyai impian untuk menewaskan Walmart yang merupakan pemborong terbesar di dunia, dan lihat di mana beliau berada sekarang

3. Visi Dan Misi Merupakan Nilai Yang Paling Berharga.
Beliau acapkali memberi penekanan kepada setiap pekerjanya bahawa penubuhan Alibaba adalah sebagai satu platform untuk membantu dan memudahkan orang ramai. Ia bukanlah untuk mengaut keuntungan semata-mata, di mana ianya dapat membantu ramai pengguna membeli barang tanpa perlu bersusah-payah ke kedai untuk membelinya.

4. Jangan Hiraukan Tanggapan Orang Ramai
Sekiranya anda yakin bahawa setiap idea anda adalah bagus, maka sebaiknya anda berusaha mencari jalan untuk menjadikan idea tersebut suatu realiti. Sewaktu membangunkan Alibaba, beliau seringkali mendapat kritikan bahawa idea beliau akan menemui kegagalan, namun Jack Ma tetap mempertahankan idea tersebut dan menjadikannya realiti.

5. Cari Inspirasi
Jack Ma mengakui bahawa beliau mendapat inspirasi daripada menonton filem yang mempunyai mesej positif sehingga membolehkannya berpidato dan berhujah dengan baik sekali.

6. Sentiasa Fokus
Beliau sentiasa fokus serta mencari cara untuk mempernudahkan kerja dan juga memperbaharui cara beliau bekerja. Dan apabila sedang melakukan sebarang kerja, harus memberikan tumpuan 100% terhadap apa yang sedang dilakukan.

7. Jenama Adalah Sangat Penting
Jack Ma amat menitik-beratkan jenama produk dan syarikat beliau sendiri. Ini adalah sangat penting bagi melonjakkan nama Alibaba daripada jaguh di negara China, sehinggalah menjadi nama yang dikenali ramai di seluruh pelusuk dunia.

8. Utamakan Pelanggan.
Kita biasa dengar pepatah yang berbunyi Customer Is King kan? Begitu jugalah dalam perniagaan, keutamaan terhadap para pelanggan perlu sentiasa diutamakan. Seterusnya, barulah utamakan para pekerja dan pemegang saham Alibaba itu sendiri.

9. Jangan Pernah Mengeluh Dan Bijak Mencari Peluang
Insan berjaya adalah seorang yang sentiasa mencari peluang, walaupun di dalam suasana yang suram. Sebab itu kita biasa dengar, di dalam musibah pun mesti ada peluang. Sebarang masalah yang dihadapi, anggaplah ia sebagai satu cabaran untuk mengatasinya.

10. Minat Yang Mendalam
Apabila kita meminati sesuatu, pastinya kita tak berasa penat apabila sedang bekerja. Begitulah sifat yang sering Jack Ma terapkan ke dalam para pekerjanya. Hasil yang berlipat kali ganda dapat dilihat di dalam diri seorang pekerja yang sangat meminati pekerjaan yang dilakukannya.

Jack Ma Datang Malaysia Meninggalkan Kesan Yang Cukup Hebat
Pada awal tahun lepas, kita dapat lihat bagaimana Kedatangan Jack Ma Dan Kesannya Kepada Malaysia. Pelancaran rasmi Digital Free Trade Zone (DFTZ), e-hab pertama dunia yang menggabungkan Kumpulan Alibaba yang dikepalai Jack Ma dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah memberikan kesan yang cukup positif kepada syarikat-syarikat yang berkaitan di Bursa Malaysia seperti Malaysia Airports Holdings (MAHB), Pos Malaysia, Rev Asia, Cuscapi dan banyak lagi. (Majalah Labur)

Thursday 16 August 2018

Sistem Perbankan Cara Rasulullah SAW





Fungsi bank sebagai tempat untuk menyimpan wang dan menguruskan sistem kewangan sudah wujud sejak begitu lama, malahan sudah dipraktikkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Namun begitu, terdapat percanggahan pendapat di kalangan para ilmuan Islam mengenai wujudnya sistem perbankan di zaman Rasulullah.
Bagi mereka yang mendalami dan menyusuri sejarah Islam, pasti akan mendapati bahawa wujudnya beberapa asas kepada bank di zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda. Sebagai contoh, terdapat proses penerimaan deposit harta, pinjaman wang untuk keperluan dan penggunaan perniagaan selain daripada proses pengiriman wang.

Dua Prinsip Perbankan Zaman Rasulullah SAW

Dikatakan pada zaman Nabi Muhammad SAW, telah diamalkan dua prinsip yang berkaitan dengan perbankan dan kewangan Islam; iaitu Prinsip At-Ta’awun dan prinsip menghindari Al-Ikhtinaz, iaitu membiarkan wang yang tidak digunakan disimpan dan tidak berpusing dalam transaksi yang bermanfaat. Rasulullah SAW sangat dipercayai oleh masyarakat Makkah dan baginda telah diamanahkan untuk menerima simpanan harta.
Sehingga pada saat-saat terakhir sebelum baginda berhijrah ke Madinah, Baginda meminta Ali bin Abi Thalib r.a untuk mengembalikan semua harta itu kepada para pemiliknya. Dalam konsep ini, pihak yang menyerahkan harta untuk disimpan tidak dapat memanfaatkan harta tersebut.
Berbeza dengan Rasulullah SAW, Zubir bin Awwam yang merupakan sahabat Baginda lebih suka menerima harta sebagai bentuk pinjaman daipada dianggap sebagai deposit. Kerana ianya bersifat pinjaman, Zubair dapat memanfaatkan harta yang dipinjam, sekaligus berkewajiban untuk mengembalikannya secara kekal.
Beberapa sahabat Rasulullah SAW pula pernah melakukan pengiriman wang, di antaranya adalah Ibnu Abbas yang pernah mengirim wang ke Kufah. Manakala Abdullah bin Zubair yang berada di Mekah pula, pernah mengirim wang kepada adiknya Misab bin Zubair yang berada di Iraq.

Guna Cek Pun Dah Wujud.

Selain daripada itu, cek juga turut digunakan dan dikenali secara meluas seiring dengan meningkatnya perdagangan di antara negeri Syam dan Yaman. Umar bin Khatab R.A sendiri telah menggunakan cek untuk membayar elaun kepada mereka yang berhak. Dengan cek tersebut, mereka yang mendapatkannya berhak mengambil gandum di Baitul Mal yang pada masa itu diimport dari Mesir.
Selain telah wujudnya fungsi menerima deposit harta, atau fungsi pinjam-meminjam, dan fungsi pengiriman wang; pada zaman Rasulullah SAW juga telah melakukan fungsi pemberian modal kerja yang berdasarkan kepada konsep mudharabah, musyarakah, muzara’ah dan musaqah. Ianya telah diamalkan dengan kaum Muhajirin dan kaum Ansar dengan jayanya.
Sudah begitu lama rupanya sejarah perbankan Islam ini. Mari sama-sama kita praktikkan sistem kewangan dan perbankan Islam, sebagai seruan untuk melakukan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.
Sumber Rujukan:
(Majalah Labur)

Tuesday 14 August 2018

Ekonomi Malaysia menguncup..




Sebagai permulaan. saya kongsikan laporan mengenai keadaan ekonomi Malaysia pada bulan Mei 2009 yang mungkin sudah dilupakan atau ada yang masih terlalu muda untuk mengetahuinya.
—-
27 Mei 2009 – Ekonomi Malaysia menguncup lebih teruk berbanding unjuran sebelumnya apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2009 berada di paras -6.2 berbanding 7.4 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu berikutan krisis semasa ekonomi dunia terus berlarutan.

Ini adalah penguncupan KDNK terburuk sejak suku keempat 1998 apabila ekonomi Malaysia terjerumus dalam kemelesetan ketika krisis kewangan Asia. KDNK pada waktu itu adalah -8.1 peratus
Keadaan semasa ini menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan negara berdepan dengan kemelesetan yang teruk.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata krisis ekonomi global itu telah menyebabkan kemerosotan ketara dalam permintaan ekoran kemelesetan ekonomi yang teruk di negara-negara maju.
Pelaburan tetap juga menyusut ekoran sentimen perniagaan yang lemah namun perbelanjaan awam telah menyokong pertumbuhan.
Kecuali sektor pembinaan, semua sektor ekonomi juga terjejas dengan sektor pembuatan mencatatkan penurunan besar sebanyak 17.6 peratus khususnya dalam industri berorientasikan eksport sebanyak 23.1 peratus dengan industri elektrik dan elektronik (E&E) menjunam sebanyak 41.1 peratus.
—-
Apabila saya mengambil alih sebagai Menteri Kewangan pada bulan Oktober 2008 dan Perdana Menteri pada bulan April 2009, Malaysia berada di ambang kemungkinan terjebak dalam krisis ekonomi kerana dunia sedang berada dalam krisis ekonomi yang paling teruk sejak tahun 1930an.

Pada masa itu, kemelesatan ekonomi sangat teruk. Hampir kesemua sektor ekonomi negara mengalami penurunan yang besar.
Ramai yang meramal bahawa krisis tahun 2009 akan jauh lebih teruk daripada krisis ekonomi Malaysia tahun 1998.
Walaupun baru mengambil alih negara ketika itu, saya terus berusaha untuk menyelamatkan keadaan.
Lalu, kerajaan saya melaksanakan dua pakej ransangan ekonomi yang terbesar dalam sejarah Malaysia.
Alhamdulillah, lanjutan usaha ini, Malaysia berjaya diselamatkan dari terjerumus ke dalam krisis ekonomi paling teruk dalam sejarah.
Tetapi ekoran langkah-langkah rangsangan yang diambil untuk menyelamatkan negara, nisbah hutang berbanding KDNK pada 2009, meningkat 11 peratus. Nisbah ini terus naik sedikit lagi untuk tahun 2010 dan 2011 kerana pakej rangsangan masih diperlukan dalam mendepani kemeseletan ekonomi dunia.
(Dengan kawalan ketat defisit bajet-bajet seterusnya, nisbah hutang ini juga dapat diturunkan pada tahun-tahun kebelakangan ini kepada tahap 50.8% pada akhir tahun 2017 dan tidak setinggi jika dibanding dengan sejarah.)
Susulan pakej ransangan yang aktif untuk beberapa tahun dan dasar transformasi negara yang komprehensif dan tersusun, Malaysia menikmati kadar pertumbuhan ekonomi yang sihat dan antara tertinggi di dunia sepanjang 9 tahun ini.
Semenjak peningkatan nisbah hutang yang tinggi pada tahun 2009-2011, kerajaan BN dan saya terus dikecam kononnya mahu memufliskan negara walaupun ianya ialah untuk menyelamatkan negara dan kita tidak terjatuh ke dalam krisis yang lebih teruk dari tahun 1998 di mana sistem perbankan dan industri kita hampir lumpuh sepenuhnya.
Mungkin kerana, kerajaan saya dan saya tidak pandai untuk kuat menghebohkan usaha kita pada masa itu seperti Perdana Menteri pada tahun 1998 yang sering membangkitkan usaha beliau untuk menyelamatkan negara dari Perdana Menteri tahun 1997, maka kebanyakan rakyat Malaysia tidak tahu tentang keadaan ekonomi pada tahun 2008-2009.
BACA: 10 Fakta bukan auta: Malaysia dalam krisis semasa Najib (2009-2018) atau semasa Mahathir (1998)
https://pakdin.my/10-fakta-bukan-auta-malaysia-dalam-krisis-sekarang-atau-semasa-mahathir/
Lanjutan itu, saya berterusan dikecam kerana menaikkan hutang negara walhal kita berjaya menyelamatkan negara dari krisis ekonomi yang mungkin lebih teruk dari tahun 1998.
Kepentingan utama saya pada masa itu dan selama saya menjadi Perdana Menteri ialah untuk menjaga ekonomi dan negara tetapi malangnya, kita tidak dapat menangkis serangan propaganda yang berjaya memesong pemikiran rakyat dari apa yang sebenarnya berlaku.

Tuesday 7 August 2018

Bos Mydin Selar PH Silap Besar Buat SST

Bos Mydin Selar PH Silap Besar Buat SST


BONGKAR… Ini bukan cakap orang tepi jalan. Beliau ialah tauke rangkaian pasar raya yang ada 70 cawangan di seluruh negara dan popular dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin yang lama terlibat dalam perniagaan pasar raya tetap berpendapat cukai barangan dan perkhidmatan (GST) lebih efisien daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Dalam interviu dengan portal berita Malaysiakini, beliau menyifatkan langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) hendak laksana balik SST ganti GST sebagai satu kesilapan besar dalam dunia.
Beliau berpendapat sepatutnya kerajaan baharu di bawah pentadbiran PH cuba kurangkan kadar peratusan cukai GST daripada enam sekarang kepada dua atau tiga peratus.
“Saya rasa kerajaan akan membuat kesilapan besar dalam dunia. (Laksanakan SST) ini kesilapan, ini ego, sebab mereka ini orang politik. Mereka dah buat janji dan kena tepati janji, kalau tidak rakyat marah pula.
“Saya rasa itu masalahnya,” kata Ameer. Kerajaan PH bakal laksana SST mulai 1 September ini sebagai hadiah istimewa buat rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-61 tahun yang diraikan sebelumnya.
BERIKUT IALAH INTERVIU PENUH DATUK AMEER ALI MYDIN DENGAN MALAYSIAKINI:
GST: PH buat silap besar dalam dunia
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat kesilapan besar apabila ingin melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kembali bagi menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata secara praktikal GST lebih efisien.
Malah katanya jika isu ketirisan yang menjadi masalah besar, Ameer berkata pelaksanaan SST lebih banyak membuka ruang untuk itu berbanding GST.
Sebagai seorang ahli perniagaan, Ameer turut berpendapat, langkah betul yang perlu diambil kerajaan PH bukanlah menggantikan GST sebaliknya menurunkan kadar yang ditetapkan.
“Misalnya rendahkan kepada dua atau tiga peratus berbanding enam peratus,” katanya.
Bagaimanapun, beliau percaya perkara berkenaan tidak akan berlaku memandangkan PH sebelum ini telah pun berjanji kepada rakyat untuk menghapuskan GST.
“Saya rasa kerajaan akan membuat kesilapan besar dalam dunia. (Laksanakan SST) ini kesilapan, ini ego, sebab mereka ini orang politik.
“Mereka dah buat janji dan kena tepati janji, kalau tidak rakyat marah pula. Saya rasa itu masalahnya,” kata Ameer dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini baru-baru ini.
Menurut beliau kerajaan PH menekankan azam mereka tidak mahu membebankan rakyat ketika kutipan GST sebelum ini ialah sebanyak RM44 bilion.
Justeru katanya mereka akan melaksanakan SST namun itu nanti akan membuat hasil kutipan kerajaan menurun kepada kira-kira RM22 bilion saja.
Dalam keadaan begitu katanya cara yang betul ialah mengurangkan kadar GST daripada enam kepada tiga peratus.
“Peniaga pun tak perlu susah dan tak perlu ubah apa-apa sistem yang sebelum ini dah dibelanjakan. Dan yang paling mustahak, ia tak ada ketirisan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan sama ada GST atau SST yang memberi kebaikan kepada rakyat.
Kerajaan PH berhasrat untuk melaksanakan SST bermula pada 1 September depan. Ia sebagai menunaikan salah satu antara janji gabungan itu dalam 100 hari pertama mereka berkuasa.
Ekoran pelaksanaan SST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia menjangkakan kira-kira 6,400 jenis barangan akan dikenakan SST berbanding 11,197 barangan yang dikenakan GST sebelum ini.
Terdapat 470,000 syarikat pengeluar yang berdaftar dengan sistem MyGST dan kira-kira 70,000 daripada jumlah itu akan dipindahkan ke dalam sistem MySST secara berperingkat.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengatakan, SST akan dikenakan ke atas barang yang lebih sedikit berbanding GST – khususnya 38 peratus barangan yang bentuk “bakul barangan” indeks harga pengguna (CPI) berbanding GST yang lebih 60 peratus.
Ameer yang telah menjalankan perniagaan sejak 1980-an turut memberi penjelasan mengenai perbandingan harga sekiranya SST dilaksanakan.
Menurutnya, jika cukai SST dikenakan pada kadar 10 peratus, harga barangan – selain makanan segar dan dalam tin – akan melambung naik bebeza semasa GST dilaksanakan.
“GST lebih telus dan efisien cuma masalahnya kadarnya terlalu tinggi. Kerajaan boleh turunkan harga tapi kerajaan perlukan duit, itu kita faham.
“SST pula lebih terdedah kepada ketirisan kerana hanya satu peringkat sahaja dan sukar untuk diawasi.
“Semua orang setuju, dan kerajaan pun setuju (SST terdedah kepada ketirisan) tapi mereka kata tak apa sebab mereka akan buat denda dan harap orang akan ikut,” katanya.
Namun menurut Ameer kerajaan sebenarnya “sudah terlambat” untuk berundur daripada janji yang diikrarkan sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu.
“Nasi sudah menjadi bubur, sebab mereka semua ini ahli politik,” katanya.
Menjelaskan mengenai bagaimana SST akan memberi kesan terhadap harga barang, Ameer memberikan contoh sekiranya kadar cukai berkenaan terbahagi kepada tiga iaitu sifar peratus, lima peratus dan 10 peratus.
Memiliki lebih 70 pasar raya di seluruh negara, Ameer menerangkan meskipun angka kadar cukai berkenaan merupakan satu andaian namun sebagai seorang ahli perniagaan yang terlibat dengan proses rantaian bekalan, pengilangan, mengedar serta menjual, beliau berkata harga barangan berubah mengikut kadar SST.
“Kita (Mydin) buat semua, sudah tentu kita tahu. Sudah tentu ia andaian.
“Kalau nak senang kita ambil begini: pengilang biasanya ambil keuntungan dalam 20 peratus, ini margin. Sudah tentu ada yang ambil keuntungan 15 peratus, 25 peratus tetapi ini kita andai secara umum. Kita perlu andaikan sesuatu dan berikan angka.
“Pemborong pula akan ambil (keuntungan) lima atau 10 peratus sahaja begitu juga dengan pengedar.
“Kalau di butik, margin keuntungan ialah 300 peratus. Baju kalau beli dengan harga RM100, ia akan dijual dengan harga RM400. Kalau di pasar raya contohnya di Mydin, kami beli RM100, jual RM120.
“Jadi kita ambil margin 20 peratus (pengilang), 10 peratus (pengedar) dan 20 peratus (penjual). Kalau kita ambil pengiraan begini, semua barang yang SST sifar peratus akan murah berbanding enam peratus GST.
“GST mempunyai tiga peringkat tetapi diakhirnya hanya enam peratus,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, sekiranya barangan yang dikenakan SST pada kadar lima peratus, harga barangan itu pada akhirnya mempunyai harga hampir sama semasa GST dilaksanakan.
“(Jika lima peratus) maknanya tiada beza jika kerajaan melaksanakan SST atau GST, harganya sama.
“Tetapi jika ada barangan yang dikenakan 10 peratus SST, harga barang akan mahal. Tak boleh cakap tak akan ada barang yang tak naik harga,” jelas Ameer lagi.
Selain itu, dalam wawancara sama, Ameer turut menggesa agar kerajaan menyenaraikan segara barangan yang akan dikenakan SST.
Katanya, ia bagi memudahkan ahli perniagaan untuk melabel serta menulis harga barangan sekiranya ia diimport.
“Saya tak tahu kenapa nak tangguh umum kadar (terhadap barangan). Sekurang-kurangnya kita perlu tahu, September tinggal sebulan sahaja lagi. Barang yang dah dipesan dah nak masuk, harga nak kena tulis.
“Kalau naik lima peratus, kena naikkan harga lima peratus. Kalau 10 peratus, kena tukar harga. Barang kita dah pesan enam bulan lalu,” katanya.
Sehubungan itu, Ameer juga memberi cadangan kepada pihak kerajaan agar tidak terburu-buru membatalkan GST.
Menurutnya, sebelum pelaksanaan SST ingin dibuat, kerajaan perlu cuba menurunkan kadar GST terlebih dahulu bagi memberi gambaran sama ada ia bagus untuk negara atau tidak.
“Kalau kerajaan nak buat sangat SST, buatlah. Tapi boleh tak mereka buat GST satu peratus dulu, dari situ kerajaan akan tahu. Jadi janganlah mansuhkan dulu.
“Sekarang kerajaan dah rugi beberapa bilion sebab nak tunggu SST.
“(Jika tak jadi batal GST) mereka boleh minta maaf, cakap: saya silap, mari kita laksana GST dua peratus bukan mansuhkan.
“Tapi mereka takut. Saya rasa mereka lupa yang mereka sekarang yang mentadbir negara. Saya rasa rakyat akan faham (jika tidak jadi hapuskan GST),” kata ahli perniagaan berusia 62 tahun itu lagi. – Mynewshub.TV




Wednesday 1 August 2018

Harga Minyak Dunia Terus Merosot


TOKYO – Harga minyak merosot hari ini selepas data industri menunjukkan simpanan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) mengalami kenaikan tidak dijangka.

Ia meletakkan permulaan bulan baharu dalam wilayah negatif selepas penurunan bulanan terbesar dalam tempoh dua tahun pada Julai.
Niaga hadapan minyak mentah Brent pada Oktober jatuh 29 cents, atau 0.4 peratus kepada AS$73.92 setong pada 0044 GMT, menambah kerugian kepada 1.8 peratus dalam sesi sebelumnya.
Niaga hadapan minyak mentah AS susut 44 cents, atau 0.6 peratus, pada AS$68.32 setong, kejatuhan hampir dua peratus pada Selasa.
Minyak mentah Brent merosot lebih enam peratus pada Julai, manakala niaga hadapan minyak mentah AS mencatatkan penurunan sekitar tujuh peratus, penurunan bulan terbesar bagi kedua-dua penanda aras itu sejak Julai 2016.
Data daripada Institut Petroleum Amerika (API) menunjukkan inventori minyak mentah domestik meningkat sebanyak 5.6 juta tong minggu lalu. Reuters menjangkakan kejatuhan sebanyak 2.8 juta tong. – REUTERS