Thursday 16 August 2018

Sistem Perbankan Cara Rasulullah SAW





Fungsi bank sebagai tempat untuk menyimpan wang dan menguruskan sistem kewangan sudah wujud sejak begitu lama, malahan sudah dipraktikkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Namun begitu, terdapat percanggahan pendapat di kalangan para ilmuan Islam mengenai wujudnya sistem perbankan di zaman Rasulullah.
Bagi mereka yang mendalami dan menyusuri sejarah Islam, pasti akan mendapati bahawa wujudnya beberapa asas kepada bank di zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda. Sebagai contoh, terdapat proses penerimaan deposit harta, pinjaman wang untuk keperluan dan penggunaan perniagaan selain daripada proses pengiriman wang.

Dua Prinsip Perbankan Zaman Rasulullah SAW

Dikatakan pada zaman Nabi Muhammad SAW, telah diamalkan dua prinsip yang berkaitan dengan perbankan dan kewangan Islam; iaitu Prinsip At-Ta’awun dan prinsip menghindari Al-Ikhtinaz, iaitu membiarkan wang yang tidak digunakan disimpan dan tidak berpusing dalam transaksi yang bermanfaat. Rasulullah SAW sangat dipercayai oleh masyarakat Makkah dan baginda telah diamanahkan untuk menerima simpanan harta.
Sehingga pada saat-saat terakhir sebelum baginda berhijrah ke Madinah, Baginda meminta Ali bin Abi Thalib r.a untuk mengembalikan semua harta itu kepada para pemiliknya. Dalam konsep ini, pihak yang menyerahkan harta untuk disimpan tidak dapat memanfaatkan harta tersebut.
Berbeza dengan Rasulullah SAW, Zubir bin Awwam yang merupakan sahabat Baginda lebih suka menerima harta sebagai bentuk pinjaman daipada dianggap sebagai deposit. Kerana ianya bersifat pinjaman, Zubair dapat memanfaatkan harta yang dipinjam, sekaligus berkewajiban untuk mengembalikannya secara kekal.
Beberapa sahabat Rasulullah SAW pula pernah melakukan pengiriman wang, di antaranya adalah Ibnu Abbas yang pernah mengirim wang ke Kufah. Manakala Abdullah bin Zubair yang berada di Mekah pula, pernah mengirim wang kepada adiknya Misab bin Zubair yang berada di Iraq.

Guna Cek Pun Dah Wujud.

Selain daripada itu, cek juga turut digunakan dan dikenali secara meluas seiring dengan meningkatnya perdagangan di antara negeri Syam dan Yaman. Umar bin Khatab R.A sendiri telah menggunakan cek untuk membayar elaun kepada mereka yang berhak. Dengan cek tersebut, mereka yang mendapatkannya berhak mengambil gandum di Baitul Mal yang pada masa itu diimport dari Mesir.
Selain telah wujudnya fungsi menerima deposit harta, atau fungsi pinjam-meminjam, dan fungsi pengiriman wang; pada zaman Rasulullah SAW juga telah melakukan fungsi pemberian modal kerja yang berdasarkan kepada konsep mudharabah, musyarakah, muzara’ah dan musaqah. Ianya telah diamalkan dengan kaum Muhajirin dan kaum Ansar dengan jayanya.
Sudah begitu lama rupanya sejarah perbankan Islam ini. Mari sama-sama kita praktikkan sistem kewangan dan perbankan Islam, sebagai seruan untuk melakukan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.
Sumber Rujukan:
(Majalah Labur)

No comments:

Post a Comment