Saturday 26 May 2018

Serunding Dapat Permintaan Tinggi Menjelang Aidilfitri




TUMPAT – Permintaan terhadap pelbagai jenis serunding meningkat ketika ini kerana selain dijadikan pembuka selera terutama semasa bersahur, ia turut dijadikan inti dalam aneka kuih terutama karipap mini untuk dihidangkan semasa sambutan Aidilfitri.

Antara serunding yang mendapat pemintaan tinggi adalah keluaran Syarikat Serunding Rahmah di sini yang telah menghasilkan 200 kilogram serunding daging, ayam dan ikan bagi memenuhi permintaan.
Pengurus syarikat itu, Wan Asmariah Wan Muhammad berkata serunding mendapat permintaan kerana rasanya yang unik dengan pelbagai jenis rempah ratus dan baunya yang harum.
“Menjelang Ramadan, saya akan menghasilkan kira-kira 200 kilogram serunding daging, ikan dan ayam bagi memenuhi permintaan pelanggan berbanding pada hari biasa yang hanya mengikut permintaan,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Laut di sini, hari ini.
Wan Asmariah, yang merupakan generasi keempat pembuat serunding berkata serunding daging lembu tempatan mendapat permintaan tinggi dan syarikatnya menjual serunding berkenaan dengan harga RM60 satu kilogram.
Harga serunding daging lembu import pula adalah RM52 satu kilogram, ayam (RM52 satu kilogram) dan ikan (RM42 satu kilogram), katanya.
Beliau berkata proses pembuatan serunding terutamanya daging agak rumit apabila perlu merebus bahan mentah itu selama lima jam bagi melembutkannya sebelum ia dicarik halus.
“Pada keesokan hari, daging yang telah dicarik halus itu akan dimasak bersama santan dan beberapa rempah ratus yang lain seperti serbuk ketumbar, serbuk jintan, bawang merah, santan dan cili kering.
“Ia juga dimasak di atas dapur kayu api dan tiada sebarang mesin digunakan bagi mengekalkan rasa tradisionalnya,” katanya.
Wan Asmariah berkata produk serunding mereka turut dipasarkan ke seluruh negara selain Singapura dan Brunei.
Syarikat itu turut mempunyai wakil pengedar di Pahang, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, katanya. –
Bernama

Friday 25 May 2018

Terengganu Diiktiraf Destinasi Mesra Muslim




SEKTOR pelancongan Terengganu mencatat satu lagi kejayaan apabila diiktiraf sebagai Destinasi Mesra Muslim, selain Banda Acheh, Indonesia.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengiktirafan Anugerah Standard Kualiti Islam (IQS) daripada Universal Crescent Standard Center (UCSC) itu, menjadi pemangkin untuk kerajaan negeri mencapai sasaran menjadikan negeri penyu ini sebagai Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa.
Beliau berkata, pengiktirafan yang mengujakan itu juga diharap dapat menarik lebih ramai pelancong dari Asia Barat dan negara Timur Tengah untuk berkunjung ke negeri ini.
“Terengganu sebenarnya banyak kapasiti pelancongan yang boleh dibangunkan untuk menjadi hab pelancongan.
“Sekarang ini kita lihat, negara menerima ramai pelancong Timur Tengah, bagaimanapun sebahagian besar mereka ini tidak datang ke Terengganu.
“Jadi pengiktirafan sebagai Destinasi Mesra Muslim ini diharap dapat menjadi alat untuk kita menarik perhatian pelancong Timur Tengah untuk datang ke Terengganu.
“Kalau diikutkan, Terengganu mempunyai tarikan pelancongan serba lengkap dengan jajaran pantai dan pulaunya yang tercantik, alam semula jadi yang memukau selain terkenal sebagai tapak penyebaran Islam.
“Namun masih kurang menerima pelancong dari negara Timur Tengah,” katanya selepas Majlis Penyerahan Anugerah Standard Kualiti Islam daripada UCSC dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Portfolio Pelancongan di Kuala Terengganu, semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abd. Razak.
Mengenai kemungkinan tema pelancongan Islamik itu akan menjejaskan kemasukan pelancong bukan Islam terutama dari negara Barat dan China, beliau berkata, ia persepsi salah yang perlu diperbetulkan.
“Sebenarnya ramai tidak faham dalam bidang pelancongan juga, kita ada pertimbangan Islam dan sebagai kerajaan di bawah pentadbiran PAS sudah tentu kita mahu menitikberatkan pelaksanaan tema Islam itu dalam semua aspek.
“Mungkin di awalnya ada sedikit rasa kurang selesa bagi pelancong bukan Islam, tetapi saya yakin apabila mereka faham mengenainy ia tidak akan menjadi masalah kerana tidak ada apa yang boleh menjejaskan mereka pun (pelancong bukan Islam),” katanya. – Metro Online

Tuesday 22 May 2018

Wilayah Satun Harap Hubungan Baik Diteruskan. Ada Peluang Niaga?




ADA peluang niaga? Demi manfaat pada kedua-dua belah pihak, wilayah Satun, Thailand harap hubungan baik antaranya dengan kerajaan Malaysia yang baharu dapat dikekalkan.

Menurut portal online tempatan, Gabenor Wilayah Satun, Patarapon Ratanaphichetchai berkata sejak sekian lama wilayah di semenanjung Thailand itu mempunyai hubungai baik dengan Kerajaan Malaysia terutamanya Perlis.
Pihaknya berharap lebih banyak kerjasama seperti dalam sektor pelancongan dapat dirancang antara kedua-dua belah pihak lebih-lebih lagi apabila Satun Geopark mendapat pengiktirafan dari UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu).
“Ini boleh dilakukan melalui MoU (memorandum persefahaman), apatah lagi apabila tapak Sarun Geopark baru mendapat pengiktirafan daripada UNESCO sebagai tapak warisan pertama global di Thailand,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam program Ziarah Mahabbah Raja Muda Perlis Bersama Delegasi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke Wilayah Satun di sini semalam.
Lebih 150 golongan asnaf di wilayah berkenaan diberi sumbangan sempena Ramadan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat mencemar duli.
Sementara itu, Syed Omar Sharifuddin berharap projek membina laluan pintu masuk ketiga antara Perlis dan Wilayah Satun di Batu Putih, Kuala Perlis dapat direalisasikan.
“Kita percaya dengan pembukaan pintu masuk ini yang projeknya masih diteliti pihak kerajaan Pusat, hubungan baik antara kedua-dua (Wilayah Satun dan Perlis) dapat ditingkatkan khususnya dalam aspek pelancongan,” katanya. (IH)

Monday 21 May 2018

Nasi Beriani Dalam Buluh Tampil Kelainan





GEORGE TOWN – Selain nasi kandar, nasi beriani adalah antara makanan popular yang wajib dicuba sekiranya berkunjung ke Pulau Mutiara ini.

Kebiasaannya, nasi beriani yang dijual di kedai-kedai dimasak dalam periuk mahupun belanga, namun cef T. Gunaseelan, 26, menampilkan kelainan dengan memasak nasi tersebut di dalam buluh.
“Pulau Pinang memang terkenal dengan makanan. Saya lakukan penyelidikan dalam internet dan media sosial serta mendapat idea untuk memasak nasi beriani di dalam buluh.
“Orang ramai teruja apabila melihatnya. Pada mulanya saya cuba dengan kawan-kawan serta ibu bapa saya dan mereka kata idea nasi beriani dengan aroma buluh itu amat baik.
“Saya mulakan dengan perkhidmatan katering terlebih dahulu sejak setahun lepas sebelum mengambil keputusan membuka gerai,” katanya kepada Bernama, di sini.
Selain menjalankan kajian, beliau turut menggunakan pengalamannya bekerja di hotel selama lima tahun bagi mendapatkan kelainan dan resipi terbaik sebelum mengambil keputusan berhenti kerja sebagai cef.
Gunaseelan yang juga bekas pelajar Politeknik Seberang Perai itu berkata beliau turut mencuba nasi beriani daripada pelbagai kedai sebelum berjaya menghasilkan resipi terbaik hasil gabungan air tangannya dan ibu.
“Nasi yang sudah separuh masak saya masukkan dalam buluh dicampur sekali dengan kuah dan daging sebelum masak semula selama 45 hingga 50 minit. Saya akan kukus nasi ini, bila pelanggan tempah mereka akan dapat nasi yang panas,”katanya.
Anak sulung daripada empat beradik itu kini mengusahakan gerai makan yang dibuka setiap hari kecuali Rabu bersama ibunya sepenuh masa, bermula dari 11 pagi hingga 3 petang dan dilanjutkan hingga 7 malam sempena sambutan Ramadan.
Beliau berkata pelanggan Muslim tidak perlu bimbang untuk menikmati nasi beriani dari gerainya itu kerana ayam dan daging yang digunakan diperoleh dari pembekal Muslim.
Katanya sambutan yang diterima sangat menggalakkan sehingga pihaknya terpaksa menambah bilangan buluh yang kebanyakannya diambil dari Balik Pulau, Sungai Ara, Telur Kumbar dan Kulim, Kedah, bagi menampung permintaan tinggi termasuk ketika Ramadan ini.
Gunaseelan juga merancang untuk mengembangkan perniagaannya dengan membuka tempahan set nasi beriani ayam, kambing dan ikan berharga antara RM11 dan RM13 yang boleh didapati di gerainya itu bagi penghantaran dari rumah ke rumah. – BERNAMA

Sunday 20 May 2018

China setuju tingkat import AS



WASHINTON – China telah bersetuju untuk mengambil langkah-langkah bagi meningkatkan import dari Amerika Syarikat untuk mengurangkan defisit perdagangan pesaingnya itu, kata kedua-dua negara.


Bagaimanapun, kedua-dua negara itu tidak menyebut secara terperinci sasaran untuk memenuhi AS$ 200 bilion itu.
Beijing dan Washington bersetuju akan terus berunding mengenai langkah-langkah yang mana China akan mengimport lebih banyak komoditi dari Amerika Syarikat untuk menutup jurang perdagangan tahunan AS$ 335 bilion antara kedua-dua negara.
“Terdapat satu konsensus untuk mengambil langkah-langkah berkesan bagi mengurangkan secara ketara defisit perdagangan Amerika Syarikat bagi barangan dengan China.
“Untuk memenuhi keperluan pengguna yang semakin meningkat dan keperluan pembangunan ekonomi yang berkualiti tinggi, China akan meningkatkan pembelian barangan dan perkhidmatan Amerika Syarikat secara signifikan,” dalam satu kenyataan bersama.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas rundingan bersama antara dua negara yang diadakan pada hari Khamis dan Jumaat lalu.
Sebelum ini Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengancam akan mengenakan tarif hingga AS$ 150 bilion untuk barang-barang China untuk memerangi penyelewengan teknologi Beijing.
Beijing pula bertindak balas dengan mengancam untuk mengenakan tarif ke atas beberapa import Amerika Syarikat yang terbesar, di antaranya pesawat, kacang soya dan auto.
Trump telah mengurangkan defisit perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang menjadi janji semasa kempen pilihan raya presiden.
Washington menuntut agar China mengurangkan lebihan perdagangannya dengan nilai AS$ 200 bilion, angka yang didakwa mustahil oleh kalangan ahli-ahli ekonomi untuk dicapai.
Pengurangan besar seperti itu memerlukan perubahan besar dalam dasar bagi komposisi perdagangan antara kedua-dua negara. – MalaysiaGazette

Thursday 17 May 2018

Sifar GST lonjak saham pengguna




KUALA LUMPUR – Saham-saham berkaitan pengguna melonjak dalam dagangan hari ini selepas kerajaan melaksanakan sifar peratus dalam Cukai Barangan dan Perkhidmatan mulai 1 Jun ini.
Saham British American Tobacco Malaysia naik 4.9%, Bonia Corp (+4.4%), Power Root (+4.1%) dan Padini (+3.7%)
Indeks Produk Pengguna Bursa Malaysia meningkat 6.4% minggu ini. – MalaysiaGazette

Wednesday 16 May 2018

'datuk' ditahan, bantu siasatan kes forex

Pemilik syarikat produksi bergelar datuk ditahan, bantu siasatan kes forex
Mangsa telah ditawarkan untuk menyertai satu skim pelaburan di mana skim tersebut didakwa mampu memberi keuntungan berlipat ganda kepada mangsanya. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR: Pemilik syarikat produksi bergelar  Datuk ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan pelaburan Global Wave Gold Forex (GWGFX) dan Bitcoin Bitkingdom, melibatkan 23 laporan polis dengan jumlah kerugian sebanyak RM13.9 juta.

Menurut sumber, suspek yang berusia 35 tahun itu telah ditahan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urus Setia Ketua Polis Negara (AMLA) di Menara 238, Jalan Tun Razak kira-kira  5.30 petang Isnin.

Permohonan reman bagi suspek akan dilakukan 10 pagi hari ini.Suspek merupakan seorang pemilik sebuah syarikat produksi yang pernah bekerjasama dalam pembikinan sebuah filem terkenal tempatan.

Penahanan suspek itu susulan laporan penipuan pelaburan oleh seorang wanita berusia 47 tahun. Menurut laporan, mangsa telah berkenalan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Datuk Paduka Shakiran pada awal September 2014.

Mangsa telah ditawarkan untuk menyertai satu skim pelaburan di mana skim tersebut didakwa mampu memberi keuntungan berlipat ganda kepada mangsanya.

Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya tertipu selepas tidak memperoleh sebarang bayaran keuntungan seperti yang dijanjikan lalu membuat laporan polisdi Balai Polis Kajang pada 2 Nov tahun lepas.
-- BERNAMA

Thursday 10 May 2018

Ringgit Malaysia Jatuh Sejurus Mahathir Berkuasa




MERUDUM TERUK… Selepas Pakatan Harapan (PH) dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN), mata wang Malaysia terus jatuh dalam dagangan luar.

Lapor stesen Channel News Asia, kejatuhan nilai ringgit hanya berlaku dalam tempoh sehari daripada 2.4 peratus kepada 4.07 berbanding nilai dolar Amerika Syarikat dan terus turun sebanyak 1.7 peratus pada jam 9 pagi tadi.
Ia diburukkan lagi apabila agensi penarafan global Moody’s dalam nota laporan terkini kajiannya berkata ekoran kekalahan BN, situasi semasa kewangan untuk Malaysia kini berada dalam wilayah yang belum dapat dipastikan.
“Kemenangan kejutan oleh parti gabungan Mahathir mungkin akan menyaksikan turun naik nilai mata wang negara dan pasaran Malaysia,” kata Sian Fenner, ketua ekonomi Asia di firma Oxford Economics.
Sementara itu, pihak Bursa Malaysia di ibu negara mengumumkan penangguhan operasi urus niaga dagangan dengan menetapkan cuti pada hari ini dan esok seperti yang diisytiharkan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Dalam pada itu, Mahathir dilaporkan berjanji konon untuk memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengkaji semula segala kemasukan pelaburan asing.
Moody’s ketika mengulas isu itu berkata beberapa janji kempen Mahathir, termasuk pembatalan GST dan pengenalan semula subsidi bahan bakar, boleh beri kesan kepada hutang Malaysia. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

Monday 7 May 2018

Minat Ibu Dorong Anak Usahakan Madu Kelulut.

MARAN – Bermula daripada minat ibunya yang gemar memakan madu, Mohd Hurmadi Maamor, anak peneroka Felda Jengka 11, mula menceburi bidang keusahawanan madu kelulut.
Anak muda berusia 27 tahun itu berkata memandangkan harga madu yang agak mahal, beliau mula mengambil inisiatif belajar dengan seorang pengusaha madu di Jerantut dan membeli empat sarang madu kelulut daripada pengusaha itu.
“Emak saya memang suka makan madu, saya nak belikan untuk mak, harga madu ini mahal, jadi saya belajar dengan seorang pengusaha madu…kemudian saya mula membela lebah kelulut di depan rumah saya sendiri,” katanya kepada Bernama.
Kini, beliau mampu menjual sekitar 200 botol madu setiap bulan dan mula melebarkan perniagaannya kepada produk sabun berasaskan madu kelulut yang diusahakannya seorang diri di rumahnya selain turut berjinak dengan penanaman pokok tin di tanah terbiar di belakang rumahnya.
Mohd Hurmadi adalah antara kisah generasi muda Felda yang gigih berusaha meningkatkan lagi taraf hidup mereka, selepas generasi pertama mendapat peluang menyertai Felda dalam usaha membantu orang Melayu miskin mentransformasikan kehidupan mereka.
Beliau yang baru berkahwin berkata banyak ilmu penjagaan madu kelulut, pembuatan sabun madu kelulut dan penjagaan pokok tin diperoleh daripada kawan-kawan dan Internet.
Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata beliau dari awal memang tidak berniat meninggalkan Felda dan tidak langsung memikirkan masalah pendapatan sekiranya beliau terus menetap di penempatan itu.
“Asalnya memang saya minat berkebun, orang cakap berbakti kepada tanah ini tak rugi. Tanah di Felda ini banyak. Jadi apalah salahnya kalau kita gunakannya kerana ia menjanjikan pelbagai peluang pendapatan kepada mereka yang bersungguh-sungguh ingin mengusahakannya,” katanya.
Beliau kini dalam proses memohon bantuan daripada pihak Felda untuk mendapatkan pembiayaan bagi memperluaskan perniagaannya di peringkat lebih tinggi.
“Kalau dapat pembiayaan ini baru saya boleh fikir untuk pasarkan produk, macam sabun ini, kena dapat kelulusan agensi-agensi tertentu, semuanya pakai duit, insya-Allah sekiranya dapat pembiayaan nanti, bolehlah juga saya fikir untuk buka kedai,”katanya.
Beliau yakin, Felda walaupun tanpa penerokaan tanah baharu, menyediakan pelbagai peluang pendapatan bagi generasi baharu yang tidak berniat berhijrah. – BERNAMA

Sunday 6 May 2018

Pembuatan Bedak Sejuk Tradisional Di Balik Pulau




BALIK PULAU – Kampung Kuala Jalan Bharu di sini telah berusia hampir 100 tahun dan rata-rata penduduk di kawasan itu adalah nelayan.

Bagaimanapun, di tengah-tengah kampung itu terdapat sebuah bangsal, yang mengeluarkan bedak sejuk yang dihasilkan secara tradisional dan diusahakan sejak 38 tahun lepas.
Yeoh Siong Huat, 41, berkata perniagaan itu diwarisi daripada mendiang ayahnya yang merupakan penduduk asal kampung berkenaan.
Yeoh berkata bedak sejuk yang dihasilkannya itu hanya menggunakan bahan-bahan asli tanpa pengawet dan cahaya matahari sebagai pengering. Antara bahan yang digunakan ialah beras, air dan daun pandan sebagai pewangi.
Beliau berkata proses untuk menghasilkan bedak sejuk itu agak rumit dan ambil masa kerana beras perlu direndam selama sebulan dengan airnya diganti setiap minggu untuk mengurangkan bau dan menjamin kebersihan produk.
“Kalau cuaca hujan, kadang-kadang dalam satu bulan, satu kilogram pun susah nak dapat sebab kami memang bergantung kepada matahari… tapi jika cuaca baik, paling banyak kami pernah hasil dalam satu bulan ialah 300 kilogram,” katanya.
Yeoh berkata bangsal tempat beliau menghasilkan bedak sejuk itu sering dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara dan beliau sering kali diminta menunjukkan demonstrasi cara menghasilkan bedak sejuk secara tradisonal kepada pelancong.
Selain dijual secara meluas di negara ini, bedak sejuk berjenama Lean Seng itu turut dipasarkan di Taiwan, China dan Singapura secara runcit dan pukal. (IH)