Saturday 26 May 2018

Serunding Dapat Permintaan Tinggi Menjelang Aidilfitri




TUMPAT – Permintaan terhadap pelbagai jenis serunding meningkat ketika ini kerana selain dijadikan pembuka selera terutama semasa bersahur, ia turut dijadikan inti dalam aneka kuih terutama karipap mini untuk dihidangkan semasa sambutan Aidilfitri.

Antara serunding yang mendapat pemintaan tinggi adalah keluaran Syarikat Serunding Rahmah di sini yang telah menghasilkan 200 kilogram serunding daging, ayam dan ikan bagi memenuhi permintaan.
Pengurus syarikat itu, Wan Asmariah Wan Muhammad berkata serunding mendapat permintaan kerana rasanya yang unik dengan pelbagai jenis rempah ratus dan baunya yang harum.
“Menjelang Ramadan, saya akan menghasilkan kira-kira 200 kilogram serunding daging, ikan dan ayam bagi memenuhi permintaan pelanggan berbanding pada hari biasa yang hanya mengikut permintaan,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Laut di sini, hari ini.
Wan Asmariah, yang merupakan generasi keempat pembuat serunding berkata serunding daging lembu tempatan mendapat permintaan tinggi dan syarikatnya menjual serunding berkenaan dengan harga RM60 satu kilogram.
Harga serunding daging lembu import pula adalah RM52 satu kilogram, ayam (RM52 satu kilogram) dan ikan (RM42 satu kilogram), katanya.
Beliau berkata proses pembuatan serunding terutamanya daging agak rumit apabila perlu merebus bahan mentah itu selama lima jam bagi melembutkannya sebelum ia dicarik halus.
“Pada keesokan hari, daging yang telah dicarik halus itu akan dimasak bersama santan dan beberapa rempah ratus yang lain seperti serbuk ketumbar, serbuk jintan, bawang merah, santan dan cili kering.
“Ia juga dimasak di atas dapur kayu api dan tiada sebarang mesin digunakan bagi mengekalkan rasa tradisionalnya,” katanya.
Wan Asmariah berkata produk serunding mereka turut dipasarkan ke seluruh negara selain Singapura dan Brunei.
Syarikat itu turut mempunyai wakil pengedar di Pahang, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, katanya. –
Bernama

No comments:

Post a Comment