Monday 30 January 2012

Harga Gula Naik Konon, Rakyat Dibodohkan -DAP

DAP membidas kerajaan pimpinan BN kerana cuba memperbodohkan orang ramai dengan membuat dakwaan bahawa subsidi gula dinaikkan kerana harga dunia yang meningkat sedangkan hakikatnya harga gula di seluruh dunia turun sejak enam bulan yang lalu.

dap scholarship fund pc 130607 tony pua"Oleh yang demikian, dengan mengekalkan harga gula pada RM2.30, kerajaan sebenarnya telah memberi subsidi yang kurang, dan bukannya subsidi tambahan, seperti yang dengan bangganya didakwa oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri lsmail Sabri Yaakob.

"Apakah lsmail Sabri cuba untuk menipu rakyat dengan mendakwa kononnya Malaysia telah meningkat lagi subsidi gula kerana harga bahan itu di seluruh dunia telah meningkat walaupun hakikatnya adalah sebaliknya?" kata setiausaha publisiti DAP Tony Pua (kiri) dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk laporan akhbar Jumaat lalu, di mana menteri berkenaan mendakwa bahawa kerajaan menanggung subsidi yang kian meningkat iaitu daripada 20 sen kepada 54 sen sekilogram gula bagi mengekalkan harga pada RM2.30.

Dalam laporan akhbar The Star itu, Ismail Sabri memuji kerajaan kerana mampu mengekalkan harga gula walaupun pada hakikatnya bahawa "harga gula global terus melambung".

Dalam menyangkal dakwaan itu, Pua berkata apa yang sangat menarik ialah harga gula global dalam tempoh enam bulan yang lalu sejak kenaikan harga terakhir pada bulan Mei 2011 sebenarnya telah turun dengan ketara dan tidak melambung.

Saturday 28 January 2012

PAS Johor minta Jcorp batal ambilalih KFC

(Demo yang dipimpin Dr Mahfodz, Pesuruhjaya PAS Johor bagi membantah pengambilalihan KFC oleh Jcorp )

KUALA LUMPUR, 28 Jan: PAS Johor terus mendesak syarikat kerajaan negeri (GLC), Johor Corporation (JCorp) membatalkan cadangannya untuk mengambil alih KFC Holdings Bhd (KFC) dan QSR Brands Bhd (QSR) melalui syarikat tujuan khas, Massive Equity Sdn. Bhd. (MESB).

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, pengambilalihan itu memberikan implikasi yang besar kepada bumiputera apabila 49% saham dalam KFCH dan QSR akan terlepas kepada warga asing melalui pemilikan 49% saham oleh CVC Capital Partners dalam MESB.

"Implikasi yang sangat besar apabila kepentingan QSR dan KFCH terlepas kepada pihak asing adalah nasib ratusan kontraktor bumiputera yang dibimbing oleh JCorp bagi membekalkan barangan kepada rangkaian restoran KFC, Pizza Hut, Ayamas dan RasaMas termasuk juga penternak-penternak ayam kontraknya," kata beliau kepada Harakahdaily.

Tambah beliau, pengambilalihan tersebut akan menambahkan hutang JCorp samada di peringkat syarikat atau kumpulan sebanyak RM5.2 bilion.

"JCorp sekarang ini mempunyai tunggakan hutang sebanyak RM6 bilion dan RM3.58 bilion perlu dijelaskan pada Julai ini bilamana bon yang diterbitkan pada tahun 2002 akan matang.

"Adalah satu tindakan yang tidak berhemah dan bijaksana dalam keadaan beban hutang yang banyak sepatutnya strategi yang diambil adalah untuk mengurangkan beban hutang bukan sebaliknya," katanya.

Dalam pengambilalihan ini, JCorp berkerjasama dengan CVC Capital Partner Asia Pacific (GVC) bagi menubuhkan MESB.

JCorp memegang 51 peratus kepentingannya manakala 49 peratus dipegang oleh CVC.

CVC merupakan sebuah firma ekuiti persendirian dan peunding pelaburan asing yang ditubuhkan di London pada tahun 1981 sebagai firma modal teroka kepada Citigroup (Citigroup Venture Capital-CVC) milik Yahudi.

MB Johor berbohong

Sementara itu, Dzulkefly (gambar) turut mendakwa Menteri Besar Johor, Abdul Ghani Othman yang juga Pengerusi JCorp berbong dalam kenyataannya baru-baru ini.

Abdul Ghani menyatakan bahawa CVC dipilih sebagai rakan kongsi dalam pengambilalihan ini, bukan Lembaga Tabung Haji (LTH) atau Felda kerana CVC mempunyai prestasi cemerlang dan berpengalaman luas dalam menguruskan perniagaan sama dan membuat pelaburan di rantau ini.

"Kenyataan ini merupakan satu pembohongan kerana CVC adalah syatikat ekuiti persendirian dan perunding pelaburan bukannya pengendali rangkaian restoran makanan segera. CVC sebenarnya tidak mempunyai pengalaman langsung dalam mengendalikan perniagaan rangkaian restoran makanan segera," katanya.

Abdul Ghani juga berkata proses pengambilalihan adalah sebahagian dari “Proses Rasionalisasi” perniagaan JCorp agar bahagian tertentunya menumpu kepada perniagaan utama seperti Kulim (M) Bhd. tidak lagi terlibat dalam perniagaan runcit makanan tetapi menumpukan kepada perniagaan utamanya sahaja iaitu perladangan.

Jelas Dzulkefly, proses rasianolisasi dilaksanakan di dalam dunia korporat apabila sesuatu organisasi perniagaan menghadapi masalah di dalam pentadbirannya atau perniagaannya tidak mencapai sasaran prestasi yang diharapkan.

"Dalam kes QSR dan KFCH, kedua-dua syarikat adalah merupakan syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia yang telah mencatatkan prestasi perniagaan yang sangat baik dari segi jualan, keuntungan dan jumlah bilangan outletnya sepanjang berada di bawah pengurusn Kulim (M) Bhd.

"Dengan kata lain QSR dan KFCH bukanlah syarikat yang “tenat atau sakit” tetapi sebaliknya adalah merupakan “syarikat lubuk emas JCorp” dengan jualan kasar mencecah RM3 bilion setahun," jelasnya.

Sehubungan itu, satu memorandum diserahkan ke pejabat Menteri Besar Johor, Khamis lalu oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad disertai kira-kira 200 orang wakil PAS dari setiap daerah.

Dzulkefly juga berkata, siri jelajah juga akan diadakan ke setiap daerah bagi menjelaskan isu melibatkan kepentingan bumiputera itu.

"Rakyat Johor perlu sedar bahawa JCorp adalah syarilat GLC milik mereka, bukannya milik Umno BN yang boleh difaraidkan sesuka hati mereka.

"Ia adalah milik khazanah rakyat Johor yang perlu sentiasa dipelihara dan dipertahankan," katanya. (Hrkh)

Friday 13 January 2012

Malaysia pusat wang haram Asia?

Oleh Dr Rosli Yaakop

Dalam laporan bertajuk “Aliran Wang Haram dari Negara-negara Sedang Membangun: 2002-2006 (Illicit Financial Flows from Developing Countries: 2002-2006) yang diterbitkan dalam tahun 2008, Global Financial Integrity (GFI), sebuah pertubuhan penyiasatan kewangan antarabangsa, mendedahkan wang haram (illicit money) berjumlah USD1 trilion mengalir keluar meninggalkan negara-negara sedang membangun setiap tahun dalam tempoh 2002-2006.

Di dalam laporan selanjutnya yang diterbitkan dlam tahun 2011 bertajuk “Aliran Wang Haram dari Negara-negara sedang Membangun: 2000-2008 – Kemaskini dengan Fokus kepada Negara-Negara Asia” (Illicit Financial Flows from Developing Countries: 2000-2008 – Update with a Focus on Asia), pertubuhan itu mendapati pemindahan wang haram yang lebih besar, iaitu, US1.26 trilion, berlaku setiap tahun dalam tempoh 2002-2008. GFI di dalam laporan yang dikemaskinikan ini menyebut perkara-perkara berikut:

Negara-negara Asia adalah penjana utama wang haram menyumbang sebanyak 44.4% kepada jumlah aliran wang haram dunia.

10 negara menyumbang sebanyak 70% kepada jumlah aliran wang haram dunia terdiri dari, mengikut urutan ranking masing-masing, China (USD2.18 trilion), Russia (USD427 bilion), Mexico (USD416 bilion), Saudi Arabia (USD302 bilion), Malaysia (USD291 bilion), Emiriyyah Arab Bersatu (USD276 bilion), Kuwait (USD242 bilion), Venuzuela (USD157 bilion), Qatar (USD138 bilion) dan Nigeria (USD130 bilion).

Lima negara Asia yang mengalami pemindahan wang haram ke luar negeri yang besar terdiri dari China (USD2.18 trilion), Malaysia (USD291 bilion), Filipina (USD109 bilion), Indonesia (USD104 bilion) dan India (USD104 bilion). Kelima-lima negara ini menyumbang 96.5% kepada jumlah aliran keluar wang haram dari Asia.

Aliran keluar wang haram dari negara-negara pengeksport petroleum seperti Russia, Emiriyyah Arab Bersatu, kuwait dan Nigeria semakin meningkat. Bagi Malaysia, laporan terkini terbitan GFI itu mendedahkan sebanyak US291 bilion (RM1,077 bilion) wang haram telah mengalir keluar dari negara ini dalam tempoh 9 tahun (2000-2008).

Penemuan ini amat memeranjatkan kerana, pertama, dari kalangan 152 buah negara, aliran keluar wang haram dari Malaysia adalah yang kelima terbesar di dunia dan yang kedua terbesar di kalangan lima negara Asia, tidak sepadan dengan saiz ekonomi.

Dari segi saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Malaysia adalah sebuah ekonomi yang kecil pada kedudukan ke 38 dari 190 buah negara. Kedudukan Malaysia dalam aliran keluar wang haram jauh lebih buruk berbanding negara Thailand (ke 24) yang saiz ekonominya lebih besar, Brunei (ke 30), Bangladesh (ke 46) dan Zimbabwe (ke 73).

Kedua, dalam tempoh kajian (2000-2008) Malaysia menguatkuasakan kawalan pertukaran asing yang ketat yang tidak membenarkan warga negara dan pelabur asing membawa wang ke luar negera sesuka hati. Sejak 1998, pasaran luar persisiran pantai bagi ringgit telah dihentikan, matawang ringgit denominasi besar (RM1000 dan RM500) dimansuhkan, pelabur-pelabur luar dibenarkan menghantar dividen ke luar negara hanya selepas satu tahun ia diperolehi dan pelbagai lagi sekatan yang menghalang aliran keluar dana dari Malaysia.

Ketiga, aliran keluar wang haram itu berterusan dalam tempoh yang panjang sedangkan di Bank Negara Malaysia telah diwujudkan Unit Perisikan Kewangan atau Financial Inteligence Unit (sejak 2002) bagi mengesan aktiviti penyeludupan wang haram ke luar negara dan juga Bank Negara menguatkuasakan undang-undang “money laundering.”

Ini mengundang persoalan: Bagaimanakah wang haram yang begitu besar jumlahnya boleh mengalir keluar dari Malaysia tanpa dapat dikesan oleh “radar” Bank Negara Malaysia?

Wang haram atau “illicit money” adalah wang yang dijana oleh pemiliknya secara tidak sah atau menyalahi undang-undang dan dipindahkan ke luar negara atau digunakan oleh pemiliki dengan cara yang melepasi pengesanan dan rekod oleh pihak berkuasa di negara asal wang berkenaan.

Sebahagian besar wang haram ini mengambil bentuk wang rasuah, bayaran komisyen yang tidak sah, pelarian dari cukai, wang rompakan dan penipuan, wang dari hasil penjualan dadah dan wang yang dijana dari pelbagai kegiatan haram. Ianya mengalir keluar negara dengan pelbagai cara seperti pemesongan nilai perdagangan (trade mispricing), penyeludupan, pergerakan wang tunai secara pukal (misalnya, dimuatkan di dalam kapal terbang pribadi) dan pindahan telegrafik (wire transfer).

Bagi Malaysia, memandang amalan rasuah amat berleluasa dan semakin teruk, maka dipercayai wang haram yang mengalir keluar dari Malaysia ke luar negara sebahagian besarnya adalah wang rasuah. Besarnya jumlah wang haram yang meleleh ke luar adalah satu mercu tanda penunjuk kepada parahnya gejala rasuah di Malaysia. Ia mensahihkan kedudukan Malaysia sebagai negara ke 60 dalam indeks persepsi rasuah dunia (2010).

Aliran keluar wang haram yang begitu besar dan gagal pula dikesan oleh pihak berkuasa menimbulkan berbagai kekhuatiran.

Pertama, dikhuatiri di Malaysia wujud sindiket penyeludupan wang haram ke luar negara yang gagal dikesan dan dibenteras oleh pihak berkuasa.

Kedua, dikhuatiri aktiviti penyeludupan wang haram ke luar negara ini melibatkan “pemakan rasuah” bertaraf “ikan jerung” kerana tidak mungkin pemakan-pemakan rasuah yang bertaraf “ikan bilis” memiliki kemampuan untuk memindahkan wang haram ke luar negara selain daripada menyimpan wang itu di bawah tilam di kamar tidur.

Ketiga, yang paling dikhuatiri ialah kegiatan pemindahan wang haram ke luar negara ini mungkin mendapat restu dan perlindungan dari pihak berkuasa termasuklah pihak berkuasa Kastam dan Bank Negara Malaysia. Ketidakberkesanan penguatkuasaan undang-undang yang ada dan lemahnya pihak berkuasa untuk bertindak mungkin disebabkan wujudnya “tangan-tangan ghaib” yang lebih berkuasa.

Wang haram yang berjaya dipindahkan ke luar negara akhirnya akan disimpan bank-bank di negara maju yang menyediakan kemudahan akaun rahsia (secret account) seperti yang disediakan oleh Swiss Bank (di bawah Swiss Banking Act 1934) atau dilaburkan dalam pelaburan hartanah di luar negara. Banyak maklumat dipaparkan di dalam media massa tentang cerita-cerita rakyat Malaysia memiliki akaun bank yang besar di luar negara dan memiliki hartanah di lokasi yang dihuni oleh golangan kaya dan terkenal namun jarang sekali didengar tentang laporan penyiasatan tentang asal usul wang itu.

Tidak lama dahalu seorang ahli politik bertaraf menteri besar telah ditangkap oleh pegawai kastam di sebuah negara maju kerana cuba menyeludup wang tunai berjuta-juta ringgit nilainya ke negara itu tetapi undang-undang di Malaysia seolah-olah tidak cukup taring untuk bertindak tegas ke atas penyeludup wang haram itu.

Sejak kebelakangan ini pula banyak berita yang menuduh seorang ahli politik dari Malaysia bertaraf ketua menteri dan ahli keluarga memilki pelbagai pelaburan dan aset di luar negara bernilai berbilion-bilion ringgit, namun tiada penyiasatan serius dijalankankan oleh pihak berkuasa, mensahihkan sangkaan bahawa di sana ada tangan-tangan ghaib yang melindungi pemakan rasuah menyeludup wang haram ke luar negara.

Apabila sejumlah wang sesebuah negara dipindahkan ke negara lain, peredaran wang yang dipindahkan itu terhenti. Dalam istilah ekonominya dikatakan “jumlah wang itu telah dibunuh.” Wang yang beredar dari tangan ke tangan – dari pengguna kepada pengeluar barangan dan dari pengeluar kepada pembekal faktor pengeluaran (modal, buruh, pemilik tanah dan bangunan dan pembekal bahan mentah) - akan mewujudkan kegiatan ekonomi dan menjana pekerjaan, pendapatan dan kekayaan.

Selagi wang itu beredar dari tangan ke tangan di dalam negara, maka selama itulah wang itu akan terus menyumbang kepada pembesaran dan pertumbuhan kegiatan ekonomi, pendapatan dan kekayaan. Ini bermakna wang negara yang ditompokkan di dalam bank luar negara merugikan negara dan semakin besar jumlah wang yang dilarikan maka semakin besar kesan negatifnya kepada ekonomi negara. Rendahnya kadar pertumbuhan ekonomi dalam tempoh satu dekad yang lepas rupa-rupanya disebabkan, antara lain, oleh besarnya jumlah wang yang “dibunuh.”

Besarnya jumlah wang haram mengalir ke luar negara secara berterusan dalam jangka masa yang panjang telah menyebabkan ekonomi Malaysia terperangkap dalam jerat “ekonomi berpendapatan pertengahan.” Wang yang sebegitu besar jumlah, seandainya kekal beredar di dalam negara, mampu melonjakkan pendapatan negara ke tahap yang lebih tinggi. Oleh itu diyakini sekiranya amalan rasuah dapat dibanteras, pacuan roda ekonomi Malaysia akan menjadi lebih pantas.

Subang Jaya
Jumaat, 13 Januari 2011

Tuesday 10 January 2012

Pendapatan Kerajaan Tidak Mampu Bayar Pinjaman.

Hutang negara dan GDP sama menjelang 2019 jika Putrajaya terus boros, kata pakar ekonomi

KUALA LUMPUR, 10 Jan — Hutang Malaysia akan mencecah 100 peratus Keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2019 sekiranya Putrajaya berterusan meminjam lebih daripada hasil pendapatan, kata pakar ekonomi.

Bekas pengarah ekskutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Mohamad Ariff Abdul Kareem mengingatkan bahawa kadar perolehan pendapatan kerajaan pusat terlalu perlahan dan tidak mampu membayar pinjaman yang meningkat 53.1 peratus KDNK pada 2010.

Beliau berkata jumlah hutang ditanggung kerajaan tidak terlalu besar namun kadar pertumbuhan dalam beberapa tahun kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan.

Nisbah hutang-KDNK meningkat dari 41.1 peratus pada 2008 kepada 53.1 peratus pada 2010 manakala hutang kerajaan bertambah 14.6 peratus pada 2008 dan 18.3 peratus pada 2010, jauh mengatasi pertumbuhan KDNK negara, tambah Mohamad Ariff.

“Jika tiada perancangan untuk mengubah trend ini dalam perbelanjaan dan hasil negara, hutang negara akan mencecah 100 peratus KDNK menjelang 2019.

“Sekiranya pertumbuhan hutang semakin laju, ini boleh berlaku tidak lama lagi,” katanya melalui emel kepada The Malaysian Insider.

Mohamad Ariff menjelaskan ketika kerajaan mengambil langkah rangsangan fiskal untuk menghadapi krises ekonomi dunia yang mana ia digunakan untuk pembangunan infrastruktur terdapat keperluan untuk mengurangkan perkhidmatan awam, yang menjadi asas pengurusan perbelanjaan Putrajaya.

Katanya perkhidmatan awam Malaysia - terbesar setiap kapita di Asia Pasifik mengikut OECD - meningkat dari 23.3 peratus pada 2007 operasi bajet kepada 33.1 peratus pada 2010, meningkat kepada 41.6 peratus pada 2010 jika bayaran pencen dimasukkan.

Ini adalah beban kewangan utama kerajaan iaitu daripada kos berlebihan, pembaziran dan rasuah yang didedahkan setiap tahun oleh Ketua Audit Negara, kata seorang profesor dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF).

“Ia satu keperluan untuk kerajaan mengawal perbelanjaan yang mana ia termasuk mengurangkan perkhidmatan awam, membawa kerajaan untuk meningkatkan ketelusan dan tanggungjawab serta melaksanakan reformasi kutipan cukai untuk mendapat pendapatan,” kata Mohamad Ariff.

Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings Bhd Dr Yeah Kim Leng berkata Putrajaya perlu mempunyai “kemahuan politik” untuk melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP), yang bertujuan untuk menhentikan kenaikan defisit.

“Kita mesti melakukannya secara konsisten kerana (defisit fiskal) merupakan kelemahan utama ekonomi Malaysia,” katanya.

Yeah berkata Malaysia akan berada dalam kedudukan terbaik untuk mengurangkan defisit fiskal untuk jangka masa panjang jika Putrajaya kekal melaksanakan rancangan itu tetapi mengingatkan ia berdasarkan pertumbuhan tahunan KDNK antara lima hingga enam peratus.

Ini kerana mana-mana kelembapan ekonomi yang berlaku akan mendorong berlakunya potongan gaji dan kadar pengangguran lebih tinggi, yang akan memberikan impak negatif kepada hasil cukai, katanya.

“Terdapat satu hubungan antara pertumbuhan dan hasil kerajaan,” katanya menambah pengurangan setiap satu peratus dalam pertumbuhan KDNK, kutipan cukai akan menurun 0.8 petaus.

“Semasa perlahan kita boleh jangkakan defisit kewangan kerajaan sebenarnya besar.”

Beliau menambah bahawa kerajaan tidak mempunyai masa untuk mengukuhkan kedudukan fiskal sebagai pendapatan daripada sektor minyak dan gas, yang membantu meningkatkan jumlah pendapatan kerajaan kira-kira 40 peratus, namun dijangka akan menurun dalam tempoh lima hingga 10 tahun kerana hasil minyak Malaysia berkurangan. (The Malaysian Insider)

Sunday 8 January 2012

Kad Kredit: Israel Ancam Balas Tindakan Hacker Saudi

Timbalan Menteri Luar Negeri Israel Danny Ayalon berjanji akan membalas terhadap penyiaran online dari ribuan perincian kad kredit warga Israel oleh seorang hacker Arab Saudi.

"Israel memiliki kemampuan aktif untuk menyerang mereka yang berusaha untuk merosak, dan tidak ada agen atau hacker yang akan kebal dari tindakan pembalasan kami," katanya pada hari Sabtu lalu (7/1).

Sebelumnya dilaporkan, seorang hacker berusia 19 tahun Saudi mendedahkan perincian sekitar 6.000 akaun aktif warga Israel Khamis malam lalu .

Hacker, mengidentifikasi dirinya sebagai 0xOmar, mendakwa telah menerbitkan perincian dari 400.000 kad kredit warga Israel.

0xOmar menyalahkan "lobi Zionis" atas tindakan bengis mereka di Palestin sehingga dia membocorkan perincian kad kredit, dalam sambutannya yang dipublikasikan di Internet.

"Saya sudah meng-hack lebih dari yang dapat anda bayangkan," tulis hacker itu, mendakwa bahawa dia mengumpulkan hampir satu juta nombor kad kredit warga Israel dan akan segera mendedahkan semuanya.(IH/sumber)

Berita Bergambar: Perkebunan Teh Nairobi, Kenya

Klik gambar di bawab ini...

Kenya merupakan salah satu negara pengekspor terbesar teh hitam. Namun pada bulan Januari ini, produksi teh di Kenya menurun akibat suhu udara yang dingin di beberapa wilayah. Sekitar 20 juta kilogram daun teh rusak dan layu. (Foto: REUTERS/Thomas Mukoya)

Saturday 7 January 2012

Pelajar Jurutera Indonesia Buat Kereta Sendiri


SEORANG pelajar jurutera menunjukkan enjin kereta Kiat Esemka di Solo, Jawa Tengah semalam.

SOLO - Kereta prototaip buatan pelajar-pelajar kejuruteraan Indonesia telah mendapat sambutan menggalakkan daripada beberapa pegawai kanan pentadbiran negara ini yang mahu membelinya.

"Sepuluh buah kereta Kiat Esemka dihasilkan di bengkel Kiat Motor di bandar ini," kata pemilik bengkel tersebut, Sukiyat.

Model pertama dikeluarkan pada 2009 tetapi laporan media menyatakan Datuk Bandar Solo, Joko Widodo telah membeli sebuah kereta tersebut untuk kegunaan pejabat.

Beberapa pegawai lagi mula menunjukkan minat untuk membeli kereta tersebut yang dibina untuk lapan tempat duduk dan empat tempat duduk.

Kereta tersebut mendapat pujian Presiden Susilo bambang Yudhoyono.

Menurut Sukiyat: "Buat masa ini, ia mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk menghasilkan sebuah kereta."

Sebanyak 80 peratus komponen kereta itu dibuat di Indonesia dan kos pengeluaran pada skala kecil ialah di antara AS$8,200 (RM25,797) hingga AS$10,400 (RM32,718).

Kereta itu dikeluarkan sebagai satu latihan untuk pelajar sekolah tinggi vokasional dan bengkel itu belum bersedia untuk membuat pengeluaran pada skala besar-besaran. - AFP

DC Avanti supercar pertama India

BENTUK kereta DC Avanti yang dipamerkan pada Ekspo Motor Delhi di New Delhi kelmarin.

NEW DELHI - Firma reka bentuk, DC Design memperkenalkan jentera supercar pertama India yang diberi nama DC Avanti.

Jentera tersebut dilancarkan oleh pelakon terkenal Bollywood, Amitabh Bachchan pada Ekspo Motor Delhi 2012 kelmarin. Kereta itu dikuasakan oleh unit enjin bersesaran 2.0 liter empat silinder yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 240 kuasa kuda.

Menurut laman kenderaan RushLane di Internet semalam, enjin daripada Ford Ecoboost yang ditala khas untuk menjana lebih kuasa tersebut dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan. Dipasang dengan rim aloi bersaiz 19 inci, kelajuan maksimum yang dihadkan secara mampu dicapai oleh DC Avanti ialah 250 kilometer sejam (km/j).

Jentera itu akan mula dijual pada tahun 2013 di semua pengedar DC di seluruh India. Bakal diproduksi pada tahun 2013, ia merupakan ciptaan pereka Dilip Chhabria. Kereta itu dijual pada harga kira-kira AS$70,000 (RM220,219).

"Kami sangat teruja untuk memperkenalkan DC Avanti pada hari ini. DC Avanti bukan sekadar menjadi manifestasi kepada minat yang mendalam terhadap kereta sport.

"Malah ia membuktikan kemampuan kami yang kini sudah bergerak daripada penggayaan kepada penghasilan prototaip penuh," katanya.

DC dilihat mengikut langkah banyak firma reka bentuk Itali misalnya Bertone, Ghia, Pininfarina dan Stola yang turut menghasilkan kereta edisi terhad masing-masing untuk dijual kepada pasaran umum. Tempahan berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat akan dibuka sebaik sahaja ekspo itu berakhir. Penghantarannya dijadual bermula suku terakhir 2013. - Agensi

Friday 6 January 2012

Polis Singapura siasat pengeluaran tidak sah akaun POSB/DBS

SINGAPURA 06/01/2012 2:56am: Polis Singapura sedang menyiasat beberapa kes pengeluaran secara tidak sah dari akaun bank DBS dan POSB yang dikatakan dibuat di Malaysia.

Televisyen tempatan Channel NewsAsia melaporkan beberapa orang pelanggan Bank DBS dan POSB memberitahu DBS pada Rabu bahawa pengeluaran itu dibuat di Malaysia menerusi ATM DBS/POSB dan kad debit.

Sehingga 8 malam tadi, kira-kira 200 pelanggan telah memberitahu bank itu mengenai pengeluaran secara tidak sah.

Purata setiap amaun dikeluarkan kira-kira S$1,000.

Media tempatan berkata pengarah urusan Bank DBS dan ketua bagi kumpulan banking pengguna (Singapura), Jeremy Soo, memberitahu MediaCorp bahawa pihak bank telah ”de-activate” kad berkenaan serta merta dan akan menampung ganti rugi pelanggan sepenuhnya.

DBS berkata sesiapa yang mendapati kad ATM dan kad debit mereka diganggu hendaklah menghubungi pihak bank dengan segera di 1800-220-1111 atau di mana-mana cawangan DBS/POSB.

Ia memberi jaminan kepada pelanggan bahawa mereka akan dibayar ganti rugi sepenuhnya bagi sebarang pengeluaran tidak sah dalam tempoh 24 jam. — BERNAMA