Tuesday 27 February 2018

Ubat Batuk Cap Ibu Dan Anak Laris Di New York, AS.


INGAT lagi iklan ubat batuk yang cukup popular bagi kanak-kanak yang membesar pada zaman 90-an iaitu ubat batuk Cap Ibu dan Anak?

Setiap kali dipaksa untuk ‘menelan’ ubat itu, pasti ianya menjadi igauan ngeri kerana rasanya yang berherba dan bertekstur likat seperti kicap pekat!
Namun, tahukah anda ubat batuk bernama Nin Jiom Pei Pa Koa ini sedang laris di pasaran New York, Amerika Syarikat?
Mula menjadi popular selepas sebuah artikel di dalam akhbar Wall Street Journalmenyiarkan tentang kemujaraban ubat batuk ini, Pei Pa Koa kini menjadi uba batuk paling dicari oleh masyarakat di kota metropolitan itu.
Segalanya bermula apabila Alex Schweder, seorang arkitek dan profesor reka bentuk di Institut Pratt, mengalami batuk-batuk yang teruk selama 10 hari namun ‘kebah’ hanya selepas 15 minit mengambil ubat batuk tersebut.
Schweder diperkenalkan kepada Pei Pa Koa itu oleh teman wanitanya yang tahu tentang ubat itu semasa dia tinggal di Hong Kong 30 tahun lalu.
Schweder terkejut dengan kesan ‘magis’ ubat batuk itu dan mula mengesyorkan produk itu kepada semua kenalannya. Tidak lama kemudian, Pei Pa Koa mula popular di kota New York!
Malah, pengilang ubat batuk tradisional Cina berasaskan herba dan madu itu iaitu Kingworld Medicines Group melaporkan bahawa saham mereka meningkat 25 peratus selepas produk mereka mula mendapat tempat di AS.
Permintaan terhadap Pei Pa Koa begitu tinggi sehingga ianya dijual pada harga melambung iaitu US$70 (RM273.85) bagi sebotol yang berkandungan 300ml, laporWall Street Journal lagi.
Selain di toko ubat tradisional Cina di Chinatown, ubat batuk itu turut dijual melalui platfrom dalam talian laman web gedung Walmart pada harga US$13.29 (RM60) sebotol.
Bayangkan, ubat batuk yang ibu-ibu kita terpaksa ‘bancuh’ dengan air sejuk dahulu semata-mata mahu kita mudah menelan ubat tersebut kini menjadi komoditi hangat di AS. Selepas ini produk Asia apa pula yang jadi tular di sana ya? – MYNEWSHUB.CC


Monday 26 February 2018

Rugi lebih RM20,000 ditipu Macau Scam.


Macau Scam: Baca ini kalau tak nak ditipu!
RAUB: Juruterapi pergigian kerugian RM26,300 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai kastam dan polis.
Anggota sindiket menghubungi mangsa mendakwa dia terbabit kes dadah serta penggubahan wang haram sebelum diarahkan membuka akaun sebuah bank dan memindahkan wang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula Khamis lalu apabila mangsa dihubungi seorang suspek yang menyamar pegawai Kastam Bukit Kayu Hitam, Kedah.
"Suspek mendakwa mangsa mempunyai kes dan hutang cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM16,702.38.
"Bagaimanapun mangsa menafikan sebelum diminta membuat aduan kepada dua lagi suspek yang menyamar polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
"Dua suspek berkenaan kononnya membuat semakan terhadap mangsa dan mendapati dia terbabit dalam kes dadah serta penggubahan wang haram," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa diminta membuka akaun di sebuah bank bagi membolehkan wang miliknya diaudit oleh juruaudit dilantik.
Jumaat lalu kira-kira jam 2 petang, mangsa membuka akaun di bank terbabit dan kemudian memasukkan wang RM26,400 ke dalam akuan berkenaan.
"Mangsa dihubungi seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis yang meminta menyerahkan segala butiran akaun bersama nombor pengenalan peribadi (PIN) kad ATM.
"Pada hari sama juga berlaku tiga pindahan wang ke dalam satu akaun dengan jumlah keseluruhan RM26,300. Mangsa dimaklumkan bahawa wang berkenaan akan dipulangkan semula pada keesokan hari (Sabtu)," katanya.
Mohd Wazir berkata, pada hari dijanjikan mangsa membuat semakan akaun dan mendapati tiada wang berkenaan dan sedar ditipu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan suspek," katanya.

Thursday 22 February 2018

UAE Lancar Susu Formula Bayi Berasaskan Unta


UAE Lancar Susu Bayi Berasaskan Unta Pertama Dunia

DUBAI – Sebuah syarikat berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendedahkan susu tepung unta untuk bayi yang pertama di dunia, khususnya kanak-kanak alah terhadap formula susu lembu.

Emirates Industry for Camel Milk & Products (EICMP) melancarkan produk jenama Camelicious itu semasa Gulfood 2018, ekspo dagangan makanan dan minuman antarabangsa yang berlangsung di sini dari 18 hingga 22 Februari.
Produk serbuk tenusu tersebut, yang dikatakan amat sesuai diminum oleh kanak-kanak berusia antara satu sehingga tiga tahun, menyasarkan kepada golongan bayi ada alahan terhadap tepung rumusan berasaskan susu lembu.
Untuk rekod, susu unta, merupakan minuman asas kepada golongan nomad Arab Badwi di rantau Teluk Parsi, yang meneruskan amalan meminum susu haiwan lasak gurun tersebut kerana kaya dengan vitamin sehingga ke hari ini.
Susu dan daging unta mendapat perhatian ramai pihak baru-baru ini ekoran ada produk tertentu yang dikenali sebagai coklat unta, burger unta dan kini pula susu tepung unta mula disediakan di pasaran antarabangsa.
Syarikat EICMP ditubuhkan sejak 2003 dan kini memiliki 500 pekerja di Dubai itu menyifatkan produk Camelicious tersebut dapat muncul sebagai “susu tepung bayi pertama yang diproses daripada susu unta” di seluruh dunia.
“Susu unta amat penting dalam budaya Islam dan Arab secara amnya serta budaya dan warisan UAE khususnya,” kata pengurus besar syarikat berkenaan, Saeed Juma Bin Subaih yang dipetik agensi berita antarabangsa AFP.
EICMP selain terkenal dalam memasarkan susu segar unta, ia turut menjual pelbagai produk yang berasaskan unta termasuk ais krim, yogurt dan minuman ringan dalam pelbagai perisa. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

ANAK SYARIKAT MAXIS, AIRCEL BAKAL DIFAILKAN BANKRAP




Aircel Ltd, syarikat telekomunikasi India dibawah kelolaan Maxis Communications Bhd kini diambang bankrap berdasarkan laporan dariapda The Economic Times.
Dilaporkan setakat ini jumlah hutang yang ditanggung Aircel adalah sebanyakRs155 bilion (RM9.48 bilion). Keadaan menjadi lebih parah apabila syarikat ini gagal untuk membuat sebarang bayaran sejak September lalu berikutan.
Sumber: The Malaysian Insight
Dalam usaha untuk memastikan syarikat dibawah Maxis ini difailkan Bankrap, Maxis dilaporkan bakal melabur sebanyak $500 juta (RM1.9 bilion) sehingga $1.1 bilion (RM4.3 bilion) dalam usaha untuk melangsaikan hutang yang ditanggung Aircel.
Perubahan beberapa direktor di dalam syarikat antara yang bakal dibuat Aircel dalam tugas untuk mencari beberapa syarikat yang sudi untuk melabur kepada mereka.
Melihat kepada jumlah wang yang dilaburkan Economic Times berpendapat Aircel masih berpeluang untuk bangkit semula bersaing bersama-sama syarikat telokomunikasi India yang lain.
Sumber asal : thevocket.com

Tuesday 20 February 2018

Modal Baru UMNO: Singapura Naikkan Kadar GST Dari 7% ke 9%



SINGAPURA - Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dinaikkan dari tujuh kepada sembilan peratus dalam tempoh tujuh tahun akan datang, lapor portal berita berbahasa Melayu republik itu, Berita Harian.sg.

Langkah tersebut mengambil kira peningkatan perbelanjaan pemerintah dalam penjagaan kesihatan, infrastruktur dan keselamatan, yang dijangkakan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang.
Menurut Menteri Kewangan Heng Swee Keat dalam pembentangan Belanjawan Singapura 2018 hari ini, kenaikan itu akan dikuatkuasakan antara tahun 2021 dan 2025.
Heng berkata bahawa langkah tersebut perlu kerana “setelah mempertimbangkan pilihan yang lain untuk menguruskan perbelanjaan pada masa akan datang dengan berjimat dan meminjam untuk infrastruktur, jurang masih didapati.”
Ini merupakan kali kedua kadar GST dinaikkan.
Pada tahun 2007, kadar cukai dinaikkan daripada lima peratus ke tujuh peratus dan diumumkan oleh bekas Menteri Kewangan ketika itu, Lee Hsien Long semasa pembentangan Belanjawan pada 15 Februari 2007. – MYNEWSHUB.CC

Tuesday 6 February 2018

Inilah punca harga bitcoin merudum.

Inilah punca harga bitcoin merudum Pihak berkuasa China telah mengetatkan transaksi luar negara serta proses kawal selia diteruskan - REUTERS/Fail

SELEPAS mencecah paras tertinggi sehingga AS$20,000 (RM78,000) enam minggu lalu, harga Bitcoin terus menjunam kepada AS$7,000 pada Isnin.

Kedudukan ini merupakan paras terendah yang pernah dicatatkan sejak November 2017 dan ia disumbangkan dengan peraturan yang lebih ketat khususnya di China dan India.

Menurut portal CoinMarketCap, dagangan mata wang digital terbabit didagangkan 16 peratus lebih rendah pada 19:30 GMT.


Bank Pusat China dilaporkan akan 'mengetatkan peraturan' terutamanya penyertaan rakyat China dalam transaksi wang kripto luar negara.

Mengikut laporan South China Morning Post, pihak berkuasa China telah mengetatkan transaksi luar negara serta proses kawal selia diteruskan.

"Risikonya masih ada, ini didorong oleh penerbitan dana haram serta jualan piramid," lapor portal berkenaan.

Minggu lalu, India yang menyumbang kira-kira 10 peratus daripada semua urus niaga Bitcoin dunia telah mengambil segala langkah untuk menghapuskan penggunaan aset matawang kripto.

Selain daripada langkah kawal selia yang semakin ketat di seluruh dunia, keputusan bank-bank utama untuk mengharamkan penggunaan kad kredit bagi pembelian wang kripto turut menyumbang kepada harga pasaran. (AA)

Monday 5 February 2018

Jangan tertipu dengan produk makanan tambahan

 Menteri Kesihatan, Datuk Seri S.Subramaniam berucap pada Majlis Pelancaran Minggu Kanser Sedunia di Shantanand Auditorium, Temple of Fine Arts, Brickfields, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 FEBRUARI 2018 


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terpengaruh dengan penjualan produk makanan tambahan yang kononnya mempunyai kelebihan mengurangkan risiko penyakit kanser.
Menterinya Datuk Sri Dr S. Subramaniam berkata pengguna perlu bijak menilai produk yang dijual di pasaran berbanding perubatan saintifik yang diiktiraf dan selamat untuk dimakan.
“Suplemen untuk cara hidup yang sihat tiada masalah tetapi ambil suplemen kerana ia akan mengurangkan risiko Kanser, itu satu perkara yang tidak digalakkan kerana dalam sesuatu ubat itu ada perakuan bahawa vitamin atau suplemen boleh mengurangkan kanser,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Minggu Kanser Sedunia 2018 di Temple of Fine Arts di Brickfields.
Menurut Subramaniam lagi, KKM hanya melulus dan mendaftarkan ubat-ubatan yang mempunyai bukti dari sudut saintifik.
“Kemudian farmasi kami tidak akan mendaftarkan produk berkenaan kerana perakuan berkenaan. Jika mereka mahu mendaftarkan produk, mereka perlu kemukakan bukti perakuan berkenaan. Kalau mereka tidak boleh berikan bukti sains, jadi kami tidak akan benarkan pendaftaran produk berkenaan,” tambahnya.
Beliau dalam masa yang sama juga berharap agar pengeluar produk dalam negara mematuhi peraturan khususnya yang melibatkan kesihatan dan keselamatan.
“Namun, di luar, mungkin mereka masih ramai yang menjual produk ini dan mendakwa ada perakuan (mampu kurangkan risiko kanser).
“Jadi sangat penting pengguna dapat mengenal pasti produk ini melainkan ada doktor perubatan sendiri yang mengesahkan produk berkenaan mampu mengurangkan risiko berkenaan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

Saturday 3 February 2018

Dadah ditemui dalam kopi perisa durian. -ACP Anuar Omar



GEORGE TOWN: Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan kopi pracampuran yang diminum 2 lelaki Nepal sehingga menyebabkan mereka mengalami gejala letih teruk, dipercayai mengandungi bahan asing disyaki sejenis dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar berkata, ujian analisis sampel kopi yang dijalankan pegawai teknologi makanan, makmal keselamatan dan kualiti makanan Pulau Pinang mendapati ada kandungan dadah, namun belum dapat dipastikan jenisnya.

“Hasil analisis sampel paket kopi yang diberikan seorang wanita tidak dikenali kepada 2 pengawal keselamatan itu juga menunjukkan paket itu telah dibuka dan dilekatkan semula kerana bahagian bawah paket itu menunjukkan kesan koyak.
“Berat paket yang dilekatkan semula itu juga menunjukkan penambahan lebih 10g daripada berat asal iaitu 40g kepada 50g dan dalam serbuk kopi itu mengandungi bendasing berwarna hijau berbeza dengan paket asal,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, sampel kopi itu juga dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengenal pasti jenis sebenar dadah yang dicampur dalam paket tersebut.

Anuar berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan wanita yang memberikan kopi pracampuran itu kepada 2 lelaki Nepal berkenaan.
Beliau berkata, 2 wanita yang turut dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas minum kopi itu kerana mengalami gejala sama dalam kejadian 27 Januari lepas, mendapat kopi itu daripada orang yang menderma kepada sebuah tokong.

Seramai 5 individu, termasuk 2 wanita dirawat di HPP selepas mengalami gejala letih dan lemah teruk, malah ada yang tidak sedarkan diri selepas dipercayai minum sejenis kopi sejak Ahad hingga Selasa lalu.

Mereka yang berusia 19 hingga 62 tahun itu ditahan di wad untuk pemerhatian dan beberapa ujian dijalankan. Tiga daripadanya dibenarkan keluar wad selepas keadaan mereka bertambah baik.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah ketika dihubungi berkata, tiada kes baharu dilaporkan dan siasatan berhubung sampel kopi serta ujian ke atas pesakit selesai dijalankan. (TKO)

Thursday 1 February 2018

Sasar Jadi Pengeluar Buah Tin Terbesar Asia Tenggara

Buah Tin


PADANG BESAR – Perlis menyasarkan untuk menjadi pengeluar buah tin terbesar di Asia Tenggara menerusi ladangnya di Lembah Chuping di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata ladang seluas 10 hektar itu yang ditanam dengan 16,000 batang pokok merupakan ladang komersial tunggal terbesar di rantau ini.
“Kami bekerjasama dengan syarikat tempatan FigDirect Sdn. Bhd. sebagai rakan kongsi untuk meneraju projek,” katanya kepada pemberita pada Pelancaran IMT-GT: ‘Perlis Superfruits’ dan Pertukaran Memorandum Perjanjian, di sini hari ini.
Beliau berkata ladang terbabit mula beroperasi pada Disember 2016 dan hasil pertama dituai pada April 2017.
Selain itu katanya projek tersebut turut melibatkan penanaman buah berkhasiat tinggi (superfruits) lemon seluas 10 hektar dan gac (5 hektar) iaitu kumpulan buah yang kaya dengan antioksidan, fiber, vitamin dan mineral.
“Projek ini merupakan usaha sama yang diterajui oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia serta rangkaian universiti IMT-GT yang menyasarkan penanaman superfruits.
“Projek disasar dapat menyumbang kepada pelan tindakan negara berhubung keselamatan makanan dan nutrisi,” katanya.
Selain itu, Azlan berkata projek berkenaan juga antara usaha transformasi kerajaan negeri untuk menjadi hab pengetahuan tentang superfruits di negara ini. – BERNAMA

2 Lelaki Dirawat Di HPP Selepas Minum Sejenis Kopi




GEORGE TOWN – Dua lelaki mengalami simptom letih dan lemah yang teruk sehingga terpaksa dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, dipercayai selepas meminum sejenis kopi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Wan Mansor Hamzah berkata dua lelaki itu masih menerima rawatan di HPP dan dilapor berada dalam keadaan stabil.
“Mereka mendapatkan rawatan di Bahagian Kecemasan HPP hari ini kerana mengalami beberapa simptom antaranya letih dan lemah yang teruk.
“Dua lelaki itu mendakwa gejala berkenaan berlaku selepas minum sejenis kopi.
“Pihak kami menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan dua lelaki itu serta sedang membuat beberapa ujian termasuk ujian darah ke atas mereka untuk mengenal pasti punca sebenar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan sampel kopi berkenaan untuk diuji bagi memastikan sama ada ia berpunca daripada minuman itu atau tidak.
Dr. Wan Mansor berkata Jabatan Kesihatan Pulau Pinang akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas mendapat keputusan berhubung ujian terhadap mangsa dan sampel kopi berkenaan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mengalami simptom sama supaya mendapatkan rawatan segera di mana-mana klinik atau hospital berdekatan mereka.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdulah dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau hari ini berkata pihaknya mengesan berita yang ditularkan melalui aplikasi WhatsApp berhubung beberapa pesakit yang mendapatkan rawatan di HPP selepas meminum sejenis kopi.
Beliau berkata Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sedang membuat siasatan mendalam mengenai perkara itu dan akan memaklumkan kepada umum sebaik mendapat kepastian.
“Masyarakat dinasihat supaya menjaga kebersihan dan keselamatan makanan atau minuman serta segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan sekiranya mengalami apa-apa gejala penyakit,” katanya. – BERNAMA