Thursday 22 February 2018

UAE Lancar Susu Formula Bayi Berasaskan Unta


UAE Lancar Susu Bayi Berasaskan Unta Pertama Dunia

DUBAI – Sebuah syarikat berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendedahkan susu tepung unta untuk bayi yang pertama di dunia, khususnya kanak-kanak alah terhadap formula susu lembu.

Emirates Industry for Camel Milk & Products (EICMP) melancarkan produk jenama Camelicious itu semasa Gulfood 2018, ekspo dagangan makanan dan minuman antarabangsa yang berlangsung di sini dari 18 hingga 22 Februari.
Produk serbuk tenusu tersebut, yang dikatakan amat sesuai diminum oleh kanak-kanak berusia antara satu sehingga tiga tahun, menyasarkan kepada golongan bayi ada alahan terhadap tepung rumusan berasaskan susu lembu.
Untuk rekod, susu unta, merupakan minuman asas kepada golongan nomad Arab Badwi di rantau Teluk Parsi, yang meneruskan amalan meminum susu haiwan lasak gurun tersebut kerana kaya dengan vitamin sehingga ke hari ini.
Susu dan daging unta mendapat perhatian ramai pihak baru-baru ini ekoran ada produk tertentu yang dikenali sebagai coklat unta, burger unta dan kini pula susu tepung unta mula disediakan di pasaran antarabangsa.
Syarikat EICMP ditubuhkan sejak 2003 dan kini memiliki 500 pekerja di Dubai itu menyifatkan produk Camelicious tersebut dapat muncul sebagai “susu tepung bayi pertama yang diproses daripada susu unta” di seluruh dunia.
“Susu unta amat penting dalam budaya Islam dan Arab secara amnya serta budaya dan warisan UAE khususnya,” kata pengurus besar syarikat berkenaan, Saeed Juma Bin Subaih yang dipetik agensi berita antarabangsa AFP.
EICMP selain terkenal dalam memasarkan susu segar unta, ia turut menjual pelbagai produk yang berasaskan unta termasuk ais krim, yogurt dan minuman ringan dalam pelbagai perisa. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

Post a Comment