Wednesday 25 November 2015

PAS persoal kenapa jual Edra dalam keadaan rugi

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa 1MDB rugi apabila melepaskan Edra Global Energy Berhad (Edra) kepada syarikat asing, China General Nuclear Power Corporation (CGN Group). – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 November, 2015.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa 1MDB rugi apabila melepaskan Edra Global Energy Berhad (Edra) kepada syarikat asing, China General Nuclear Power Corporation (CGN Group). – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 November, 2015. -

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) rugi apabila melepaskan Edra Global Energy Berhad (Edra) kepada syarikat asing, China General Nuclear Power Corporation (CGN Group).

Beliau mahu tahu kewajaran di sebalik jualan tersebut jika ia dibuat semata-mata bagi melunaskan hutang 1MDB selama ini.

"Mengikut maklumat yang diberikan 1MDB kepada awam pada 3 Jun 2015, 1MDB melabur hampir RM12 bilion membeli aset penjana kuasa (RM8.5 bilion dalam Powertek, RM2.3 bilion dalam KLPP, RM1.2 bilion dalam Jimah), dan ini tidak ditambah lagi dengan RM6 bilion hutang lapuk.

"Dan jualan kepada CGN pada RM9.83 bilion. Bukankah perbezaan RM2.17 bilion itu kerugian?

"Jika ya, mengapa jualan ini diraikan sebagai kejayaan? Ia boleh disebut sebagai kejayaan jika 1MDB dapat mengurangkan hutangnya menggunakan keuntungan yang dijana sendiri.

"Ia juga boleh disebut sebagai kejayaan jika 1MDB mendapat untung daripada jualan tersebut. Ini tidak. 1MDB mengurangkan hutangnya dengan menjual aset pada kadar merugikan," katanya dalam kenyataan.

Tuan Ibrahim juga menggesa 1MDB menjelaskan jika langkah sama akan diambil syarikat itu bagi melunaskan hutangnya.

"Apakah aset lain yang bakal dijual 1MDB untuk membayar hutangnya selain tanah yang diperolehinya dengan murah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang TUDM Sungai Besi?" katanya dalam kenyataan.

PKR menerusi Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli sebelum ini membantah penjualan itu yang menurut mereka membahayakan industri tenaga tanah air. - 25 November, 2015. (TMI)

Sunday 22 November 2015

Kisah Benar Di Sebalik Ayam KFC



Siapa yang tidak mengenali Kolonel Harland David Sanders, pengasas restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken, KFC dan kemudiannya menjadi duta dan simbol kepada syarikat berkenaan. Jika anda tidak mengenali beliau, beliau merupakan seorang lelaki tua yang berjanggut dan berbaju putih serta berkaca mata yang sering dipertontonkan oleh KFC di khalayak ramai. Itulah Kolonel Sanders.
Sejarah hidup kolonel Sanders, dilahirkan pada 9 September 1890 di Henryville, Indiana, Amerika Syarikat. Pada usia 6 tahun, ayahnya telah meninggal dunia manakala ibunya tidak mampu bekerja lagi sehingga beliau terpaksa menjaga adik lelakinya yang baru berumur 3 tahun.
Jika menceritakan tentang kolonel Sandlers, pasti anda semua mengetahui mengenai kegagalan beliau menawarkan resepi ayam gorengnya ke restoran-restoran. Pernah ditolak sehingga 1009 kali oleh individu dan pemilik restoran ketika menawarkan resepi ayam goreng KFC kepada mereka. Tetapi untuk entri kali ini bukan itu yang pihak kami akan ceritakan, kami akan membawakan 7 fakta menarik mengenai pengasas kentucky fried chicken  ini yang mungkin anda tidak tahu.

1. Kolonel Sanders bukan seorang kolonel tentera

Kolonel Sanders sememangnya seorang kolonel, tetapi beliau tidak memperoleh pangkat kolonel itu ketika berkhidmat di dalam tentera. Beliau memperolehi jawatan tersebut daripada Gabenor Lawrence Wetherby, wakil kerajaan negeri Kentucky yang membawa gelaran Kolonel Kentucky kepada dirinya. Tiada kewajipan yang perlu dilaksanakan ketika memegang gelaran ini dan tiada gaji yang diterima sepanjang menggunakan gelaran ini.

2. Kehidupannya penuh dengan kegagalan

Sanders baru berusia 6 tahun, bapanya pulang dari kerja dalam keadaan demam dan meninggal dunia pada hari yang sama. Ibu Sanders berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak disukai oleh Sanders dan terpaksa meninggalkan sekolah ketika berada di gred 7 untuk melepaskan diri daripada keluarganya. Sebagai seorang dewasa pula, beliau pernah melakukan pelbagai pekerjaan termasuk sebagai askar, bomba dan jurujual insurans. Sanders berkahwin, kemudian ditinggalkan isteri selepas beliau ditangkap menipu di samping sering bertukar pekerjaan. Kemudiannya beliau mendapat ijazah di dalam undang-undang, namun, sekali lagi dipecat kerana terlibat di dalam pergaduhan di tempat kerja dengan pelanggan sendiri.

3. Beliau menjual ayam goreng di stesen minyak

Sanders telah bekerja sebagai jurujual di Kentucky untuk syarikat tayar Michelin, dan hilang kerja pada tahun 1924 apabila Michelin menutup kilang mereka di New Jersey. Melalui hubungan ini, Pengurus Besar Standard Oil of Kentucky menawarkannya peluang untuk menjalankan perniagaan beliau sendiri di Nicolasville, KY. Kemudian Sanders telah diberikan ruangan di stesen minyak di North Corbin, KY. Sewanya percuma. Disini Sanders menjual ayam goreng di sebuah negara yang gemarkan ham dan steak pada waktu itu dan ianya adalah sesuatu yang janggal.

4. Beliau menjual perniagaan dengan harga $ 2 juta

Pada tahun 1964, Sanders telah menjadi salah seorang individu yang berjaya didalam mengendalikan francais perniagaan ayam goreng beliau. Walau bagaimanapun, akibat tekanan kerja yang berlebihan, beliau merasakan beliau tidak mampu untuk mengendalikan lagi perniagaan tersebut. Oleh sebab itu, beliau menjual perniagaan KFC ini dengan harga $ 2 juta dan memperolehi gaji tahunan sebanyak $ 40,000 kepada sekumpulan pelabur.

5. Kolonel Sanders mengutuk restorannya sendiri

Setelah perniagaan KFC dijual, pemilik baru KFC masih lagi menggunakan imej korporat yang sedia ada dengan mengangkat kolonel Sanders sebagai duta syarikat tersebut dimana beliau melakukan penjelajahan ke seluruh negeri di Amerika untuk merasai sendiri ayam goreng yang dihasilkan oleh KFC di restoran yang berbeza. Jika beliau tidak suka dengan apa yang beliau lihat atau makan, beliau akan memberitahu staf terbabit dengan menggunakan kata-kata kesat dan sumpah seranah.

6. Beliau membuka restoran seumpama KFC

Disebabkan perasaan yang tidak berpuas hati dengan kualiti makanan yang dihasilkan oleh KFC selepas francais itu dijual, Sanders memutuskan untuk membuka restoran yang bakal bersaing dengan KFC menerusi produk yang sama yang dikenali sebagai “The Colonel’s Lady” . Kemudian KFC menyaman Sanders diatas pembukaan restoran tersebut dan mereka memenangi kes ini dengan pampasan $ 1 juta dolar. Selepas kes terbabit, Sanders menjual restoran tersebut kepada pemilik baru. Restoran itu sehingga kini masih wujud di Shelbyville, KY, tetapi ianya lebih dikenali sebagai “Claudia Sanders Dinner House”.

7. Beliau meninggal dunia ketika berusia 90 tahun

Pada bulan Jun 1980, Sanders telah disahkan menghidap leukemia dan meninggal dunia pada tahun yang sama di sebuah Hospital Yahudi di Loiusville, KY kerana menghidap radang paru-paru. Sehingga kematiannya, Sanders masih membuat penampilan klasiknya yang mengenakan suit putih dan janggut putih.
Diharapkan fakta menarik mengenai pengasas KFC ini mampu menarik minat anda untuk lebih mengenali tentang siapa sebenarnya Kolonel Sanders. (IH)

Saturday 14 November 2015

Malaysia boleh tarik diri dari TPPA pada bila-bila masa, kata Mustapa

Selepas ia dikuatkuasakan, Malaysia masih boleh menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) jika Putrajaya merasakan ia tidak mendapat nilai dari wangnya, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, apa yang Putrajaya perlu lakukan hanya memberi notis 6 bulan untuk menarik diri daripada perjanjian perdagangan itu, yang pada masa ini terdiri daripada 11 negara lain.
"Kita boleh menarik diri pada bila-bila masa. Kita hanya perlu beri notis 6 bulan. Kita tidak akan diletakkan sekatan dan negara ini tidak akan diserang.
"Kita cuma akan rugi (kerana) tidak mendapat apa-apa faedah (sekiranya) berada di dalamnya," kata Mustapa dalam satu rancangan bual bicara secara langsung "SoalJawab" di TV3 hari ini.
Mustapa berkata jika Malaysia menandatangani TPPA tahun depan, akan terdapat tambahan dua tahun untuk ratifikasi, di mana Putrajaya terpaksa meminda undang-undang tempatan bagi menepati syarat-syarat perjanjian itu.
Perjanjian itu hanya akan dikuatkuasakan selepas proses ratifikasi itu.
Sebagai alternatif, Putrajaya boleh juga memilih untuk meneruskan perjanjian perdagangan itu tanpa melengkapkan proses ratifikasi.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa berkata, pengeluar kereta tempatan Proton dan Perodua akan tiada pilihan selain memperbaiki prestasi mereka atau mungkin tewas kepada firma lain sebaik sahaja TPPA berkuatkuasa.
Katanya, saingan sengit untuk kedua-dua syarikat itu, yang merupakan tunjang industri automotif tempatan, akan menjadi realiti apabila lebih banyak kereta luar masuk ke pasaran melalui TPPA.
Kedua-dua pembuat kereta adalah antara pemain tempatan yang mungkin berdepan kerugian akibat pelaksanaan TPPA, kata Mustapa.
Perjanjian perdagangan itu, sebaik sahaja dikuatkuasakan, dijangka membuka pasaran automotif tempatan dan menghentikan perlindungan ke atas mereka.
Pengguna, bagaimanapun, akan mendapat manfaat kerana persaingan yang terhasil akan memaksa kedua-dua syarikat itu untuk menaik taraf operasi dan produk mereka, dan mengeluarkan kereta yang lebih berkualiti pada harga yang rendah, kata Mustapa.
"Proton dan Perodua memegang lebih 50% pasaran. Mereka kereta nasional. Dengan persaingan yang baru, mereka perlu meningkatkan kualiti dan kecekapan mereka.
"Tetapi, ini baik untuk pengguna kerana mereka akan mendapat harga yang baik dan berkualiti," kata Mustapa semasa program televisyen itu.
Jika Malaysia menandatangani TPPA tahun depan, ia akan mempunyai akses kepada sebuah pasaran dengan 800 juta pengguna dan di negara-negara yang mencakupi hampir 40% daripada jumlah pengeluaran ekonomi dunia atau keluaran dalam negara kasar. (TMI)

Wednesday 4 November 2015

Aset kewangan Islam cecah AS$3.2 trilion menjelang 2020 - Thomson Reuters



KUALA LUMPUR: Aset kewangan Islam global dijangka meningkat kepada AS$3.2 trilion menjelang 2020, menurut Thomson Reuters, sumber maklumat pintar untuk perniagaan dan profesional terkemuka dunia.

Ketua Kewangan Islamnya, Mustafa Adil, berkata kewangan Islam dianggap sebagai sektor paling maju dalam pelbagai tonggak ekonomi Islam dan pertumbuhannya dalam industri global yang diukur mengikut nilai aset kewangan Islam. 

"Pada 2014, aset kewangan Islam berjumlah US$1.8 trilion, dengan perbankan Islam mewakili 74 peratus daripadanya, diikuti sukuk sebanyak 16 peratus," katanya di luar Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ke-11 di sini, hari ini. 

Beliau berkata, maklumat itu berdasarkan Perbadanan Islam bagi Pembangunan Sektor Swasta (ICD) Petunjuk Pembangunan Kewangan Islam Thomson Reuters 2015. 

"Menurut unjuran Thomson Reuters, aset kewangan Islam dijangka meningkat kepada AS$3.2 trilion menjelang 2020, dengan perbankan Islam mencecah AS$2.6 trilion," katanya. 

Memandangkan penerimaan global terhadap kewangan Islam terus meningkat, katanya lebih banyak korporat dan negara bukan islam mengumumkan inisiatif kewangan Islam seperti kewangan beretika atau peraturan patuh syariah, serta terbitan sukuk. 

Minat yang meningkat menunjukkan pelabur tertarik kepada faedah sekitar prinsip-prinsip etika kewangan Islam, hubungan kewangan kepada aset fizikal, aktiviti fiskal produktif dan pertumbuhan ekonomi sebenar. 

Dalam perkembangan lain, Mustafa berkata sektor makanan halal global dan gaya hidup, yang penggunaannya berjumlah AS$1.8 trilion pada 2014, diunjurkan meningkat kepada AS$2.6 trilion menjelang 2020, menurut dapatan daripada 'Laporan Ekonomi Islam Global 2015/2016'. 

"Sektor makanan halal, dengan penggunaan semasa sebanyak AS$1.13 trilion, dijangka berkembang kepada AS$1.56 trilion menjelang 2020, dengan permintaan untuk rawatan beretika haiwan sahaja menghasilkan pasaran makanan organik bernilai AS$100 bilion," katanya. 

Mustafa turut memberi pengenalan kepada Salaam, gerbang ekonomi Islam global, yang dilancarkan pada Sidang Kemuncak Ekonomi Islam Global di Dubai pada Oktober lalu. 

Alamat laman webnya, http://www.salaamgateway.com dan 90 peratus daripada kandungannya boleh diakses secara percuma, katanya. - BERNAMA