Wednesday 25 November 2015

PAS persoal kenapa jual Edra dalam keadaan rugi

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa 1MDB rugi apabila melepaskan Edra Global Energy Berhad (Edra) kepada syarikat asing, China General Nuclear Power Corporation (CGN Group). – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 November, 2015.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa 1MDB rugi apabila melepaskan Edra Global Energy Berhad (Edra) kepada syarikat asing, China General Nuclear Power Corporation (CGN Group). – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 November, 2015. -

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) rugi apabila melepaskan Edra Global Energy Berhad (Edra) kepada syarikat asing, China General Nuclear Power Corporation (CGN Group).

Beliau mahu tahu kewajaran di sebalik jualan tersebut jika ia dibuat semata-mata bagi melunaskan hutang 1MDB selama ini.

"Mengikut maklumat yang diberikan 1MDB kepada awam pada 3 Jun 2015, 1MDB melabur hampir RM12 bilion membeli aset penjana kuasa (RM8.5 bilion dalam Powertek, RM2.3 bilion dalam KLPP, RM1.2 bilion dalam Jimah), dan ini tidak ditambah lagi dengan RM6 bilion hutang lapuk.

"Dan jualan kepada CGN pada RM9.83 bilion. Bukankah perbezaan RM2.17 bilion itu kerugian?

"Jika ya, mengapa jualan ini diraikan sebagai kejayaan? Ia boleh disebut sebagai kejayaan jika 1MDB dapat mengurangkan hutangnya menggunakan keuntungan yang dijana sendiri.

"Ia juga boleh disebut sebagai kejayaan jika 1MDB mendapat untung daripada jualan tersebut. Ini tidak. 1MDB mengurangkan hutangnya dengan menjual aset pada kadar merugikan," katanya dalam kenyataan.

Tuan Ibrahim juga menggesa 1MDB menjelaskan jika langkah sama akan diambil syarikat itu bagi melunaskan hutangnya.

"Apakah aset lain yang bakal dijual 1MDB untuk membayar hutangnya selain tanah yang diperolehinya dengan murah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang TUDM Sungai Besi?" katanya dalam kenyataan.

PKR menerusi Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli sebelum ini membantah penjualan itu yang menurut mereka membahayakan industri tenaga tanah air. - 25 November, 2015. (TMI)

No comments:

Post a Comment