Saturday 14 November 2015

Malaysia boleh tarik diri dari TPPA pada bila-bila masa, kata Mustapa

Selepas ia dikuatkuasakan, Malaysia masih boleh menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) jika Putrajaya merasakan ia tidak mendapat nilai dari wangnya, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, apa yang Putrajaya perlu lakukan hanya memberi notis 6 bulan untuk menarik diri daripada perjanjian perdagangan itu, yang pada masa ini terdiri daripada 11 negara lain.
"Kita boleh menarik diri pada bila-bila masa. Kita hanya perlu beri notis 6 bulan. Kita tidak akan diletakkan sekatan dan negara ini tidak akan diserang.
"Kita cuma akan rugi (kerana) tidak mendapat apa-apa faedah (sekiranya) berada di dalamnya," kata Mustapa dalam satu rancangan bual bicara secara langsung "SoalJawab" di TV3 hari ini.
Mustapa berkata jika Malaysia menandatangani TPPA tahun depan, akan terdapat tambahan dua tahun untuk ratifikasi, di mana Putrajaya terpaksa meminda undang-undang tempatan bagi menepati syarat-syarat perjanjian itu.
Perjanjian itu hanya akan dikuatkuasakan selepas proses ratifikasi itu.
Sebagai alternatif, Putrajaya boleh juga memilih untuk meneruskan perjanjian perdagangan itu tanpa melengkapkan proses ratifikasi.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa berkata, pengeluar kereta tempatan Proton dan Perodua akan tiada pilihan selain memperbaiki prestasi mereka atau mungkin tewas kepada firma lain sebaik sahaja TPPA berkuatkuasa.
Katanya, saingan sengit untuk kedua-dua syarikat itu, yang merupakan tunjang industri automotif tempatan, akan menjadi realiti apabila lebih banyak kereta luar masuk ke pasaran melalui TPPA.
Kedua-dua pembuat kereta adalah antara pemain tempatan yang mungkin berdepan kerugian akibat pelaksanaan TPPA, kata Mustapa.
Perjanjian perdagangan itu, sebaik sahaja dikuatkuasakan, dijangka membuka pasaran automotif tempatan dan menghentikan perlindungan ke atas mereka.
Pengguna, bagaimanapun, akan mendapat manfaat kerana persaingan yang terhasil akan memaksa kedua-dua syarikat itu untuk menaik taraf operasi dan produk mereka, dan mengeluarkan kereta yang lebih berkualiti pada harga yang rendah, kata Mustapa.
"Proton dan Perodua memegang lebih 50% pasaran. Mereka kereta nasional. Dengan persaingan yang baru, mereka perlu meningkatkan kualiti dan kecekapan mereka.
"Tetapi, ini baik untuk pengguna kerana mereka akan mendapat harga yang baik dan berkualiti," kata Mustapa semasa program televisyen itu.
Jika Malaysia menandatangani TPPA tahun depan, ia akan mempunyai akses kepada sebuah pasaran dengan 800 juta pengguna dan di negara-negara yang mencakupi hampir 40% daripada jumlah pengeluaran ekonomi dunia atau keluaran dalam negara kasar. (TMI)

No comments:

Post a Comment