Monday 13 October 2014

Pelancongan sumbang RM1.69b kepada Kelantan



KOTA BHARU: Sektor pelancongan kekal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Kelantan sehingga berjaya memungut sejumlah RM1.69 bilion tahun lalu.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, sektor itu juga memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan.

Katanya, jumlah tersebut diperolehi berdasar kunjungan pelancong seramai 4.84 juta orang sepanjang tahun 2013.

“Kebudayaan rakyat Kelantan antara produk utama pelancongan di negeri ini. Program penghayatan Islam seperti Madinah Ramadan, kuliah agama di Medan Ilmu menjadi produk utama pelancongan,” katanya ketika membentang Belanjawan Kelantan 2015 pada persidangan Dun petang ini.

Kata beliau bagi mempergiatkan program pelancongan kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM2.2 juta tahun hadapan untuk program pembangunan pelancongan, kesenian dan kebudayaan.

Manakala RM800,000 bagi pembangunan infrastruktur pelancongan. Selain itu sebanyak RM2.6 juta projek hakisan pantai membabitkan kawasan pelancongan.

Ustaz Ahmad berkata, kerajaan negeri akan memperhebatkan promosi destinasi-destinasi pelancongan menarik di Kelantan kepada pelancong asing.

“Menerusi projek berimpak tinggi pula kerajaan negeri akan mempertingkat pembangunan perbandaran dan industri.

“Projek Lagenda Tunjong di Bandar Baru Tunjong dijangka menarik pelaburan berjumlah RM1.2 bilion, projek kilang simen bersepadu di Gua Musang pula RM1.2 bilion,” katanya.

Sehubungan itu katanya kerajaan negeri akan terus menyokong dan menggalakkan penglibatan pihak swasta dalam projek berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat. - HARAKAHDAILY 13/10/2014