Friday 23 September 2011

Bill Gates paling kaya di AS


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Status ekonomi AS yang tidak menentu sejak kebelakangan ini tidak menghalang pengasas gergasi perisian komputer Microsoft, Bill Gates mengungguli tempat teratas individu terkaya di AS selama 18 tahun berturut-turut.

Senarai tersebut yang di keluarkan oleh majalah Forbes kelmarin, turut menyenaraikan 400 orang terkaya di negara kuasa besar berkenaan.

Menurut majalah tersebut, nilai kekayaan pengasas bersama Microsft itu pada tahun ini ialah AS$59 bilion (RM185.82 bilion), bertambah sebanyak AS$5 bilion (RM15.74 bilion) sepanjang tahun ini berbanding setahun lalu.

Perkembangan itu meletakkan pelabur, Warren Buffet di tempat kedua dengan nilai kekayaan sebanyak AS$39 bilion (RM122.83 bilion).

Orang ketiga terkaya di AS ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Oracle, Larry Ellison dengan kekayaan berjumlah AS$33 bilion (RM103.93 bilion), bertambah AS$6 bilion (RM18.89 bilion) berbanding tahun lalu.

Spekulator mata wang George Soros pula berada di tempat ketujuh.

Beliau buat kali pertama berada dalam kedudukan 10 orang terkaya di negara tersebut.

Forbes menganggarkan kekayaan Soros bernilai AS$22 bilion (RM69.28 bilion).

Turut tersenarai dalam 10 orang paling kaya AS tahun ini ialah waris kepada pengasas rangkaian pasar raya Wal-Mart Stores Inc., Sam Walton.

Dalam senarai tersebut, Forbes menyatakan sebanyak 262 individu mengalami peningkatan nilai kekayaan, 72 pula menurun manakala 18 individu berada di dalam senarai 400 orang terkaya di AS buat pertama kali.

Terdapat 42 wanita yang turut tersenarai termasuk pengacara terkenal, Oprah Winfrey pada tangga ke-139, dengan anggaran kekayaan bernilai AS$2.7 billion (RM8.50 bilion). - AP

Tuesday 20 September 2011

Kena kelentong syarikat China


CHONG Chew menunjukkan laporan polis dan contoh bahan kimia palsu yang diterima daripada syarikat China pada sidang akhbar di Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA: Hasrat seorang ahli perniagaan untuk mendapatkan bekalan bahan-bahan kimia membuat jalan raya dari tiga buah syarikat di China berkecai apabila dia mendakwa ditipu pembekal tersebut hingga kerugian RM500,000 tiga bulan lalu.

Tan Chong Chew, 48, mendakwa, bahan yang dihantar merupakan tiruan dan berbeza sama sekali ketika dia membuat urusan pembelian pada pertengahan Mac lalu. Bahan tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada Jun lalu.

Dia yang mendapat tender dengan Jabatan Kerja Raya berkata, bahan kimia yang dipesan itu merupakan pepejal Petroleum Resin jenis C5 dan Titanium Dioxide. Ia akan dicampurkan dengan sejenis bahan kimia lain untuk membuat garisan putih jalan raya.

“Saya baru pertama kali berurusan dengan syarikat itu kerana syarikat sedia ada yang saya berurusan sejak 10 tahun lalu kehabisan bekalan,” dakwanya.

Chong Chew menambah, dia mengetahui mengenai syarikat itu ketika melayari Internet sebelum menghubungi syarikat itu. Mereka kemudian menghantar sampel bahan kimia menerusi kurier bagi meyakinkannya.

Menurutnya, selepas membuat pembayaran, syarikat itu menghantar empat kontena mengandungi bahan kimia tersebut tetapi ia tiruan selepas diuji.

“Saya cuba menghubungi syarikat itu tetapi mereka mengarahkan saya membuat bayaran tambahan untuk penghantaran seterusnya,” dakwanya lagi. (Kosmo)

Sunday 18 September 2011

Burger Malaysia di jalan Phonm Penh

BURGER Ziki's kini menjadi kegemaran anak muda di Kemboja.

SIAPA sangka konsep dan cita rasa burger jalanan yang popular di Malaysia juga mampu menempa nama di luar negara terutama negara-negara Indo China seperti Kemboja dan Vietnam. Idea yang mendapat sambutan menggalakkan itu berjaya dibuktikan melalui produk di bawah label Ziki’s Burger yang dimiliki sepenuhnya syarikat tempatan, Deminziki Co. Ltd. (Deminziki).

Malah, inisiatif Deminziki itu kini berjaya membawa konsep dan cita rasa burger jalanan yang mewarnai kehidupan rakyat di negara ini menjalar ke bandar raya Phonm Penh, Kemboja.

Berorientasi cita rasa Malaysia sepenuhnya, kombinasi daging burger tempatan buatan Ramly menjadi sandaran utama Ziki's Burger dalam menawan hati penduduk Phonm Penh. Pengarah Eksekutif Deminziki, Md. Arfizal Md. Ariffin berkata, idea memperkenalkan konsep burger jalanan ke negara itu dibuat atas dua sebab.

Sebab pertama, menurutnya peluang terbuka seiring dengan kepesatan ekonomi Kemboja yang kini sedang pesat membangun dan mempunyai potensi pasaran yang luas kepada pelabur luar selepas era zaman pemerintahan zalim tentera Pol Pot.

“Lagi pun, kini ledakan industri makanan segera berlaku di Kemboja dan ia tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Kita boleh lihat kemunculan banyak restoran makanan segera seperti piza, pasta, burger dan ayam goreng.

“Jadi kami mencuba nasib memperkenalkan Ziki’s Burger sejak beberapa tahun dahulu dan ternyata ia menerima sambutan yang baik. Sehingga kini kami sudah mempunyai 40 gerai burger di seluruh pelosok Pnom Penh dan ia dijangka bertambah dalam masa terdekat,” ujarnya.

Perkara kedua, menurut Md. Arfizal, kolaborasi syarikat usahasama Malaysia dan Kemboja telah melancarkan rangkaian kios burger halal pertama seumpamanya pada 11 Mei lalu sebagai pilihan makanan halal kepada masyarakat Islam Kemboja dan pelancong luar.

Bermula dengan pemilihan lokasi strategik di sekitar Phnom Penh sebelum menempatkan kios kini di kawasan tumpuan ramai.

Bagi memastikan produk tersebut dikenali, pelbagai promosi dijalankan sebagai usaha menarik minat penduduk Kemboja bagi merasai keenakan burger jalanan yang begitu asing pada mereka, katanya.

“Setiap hari pasti akan ada kios-kios terpilih sekitar bandar menjalankan promosi istimewa termasuk pengedaran risalah tentang jenama Ziki’s Burger,” katanya.

Kini selepas dua bulan memulakan operasi, Ziki’s Burger berjaya menggandakan jumlah kiosnya menjadi 40 buah sejajar dengan sasaran menjadikan 100 buah kios menjelang hujung tahun ini.

Keenakan burger Malaysia

Sama seperti burger di negara ini, kualiti, rasa dan bentuknya tetap dikekalkan sebagai penanda aras.

Ciri-ciri keunikan burger jalanan, burger untuk semua lapisan masyarakat ditonjolkan supaya penduduk tidak rasa janggal dan hairan ia lebih murah berbanding harga ditawarkan di restoran.

Ban lembut, mayonis, salad, bawang menjadi pelengkap kepada daging burger keluaran Ramly yang diimport ke Phonm Penh.


BEBERAPA kakitangan Ziki's Burger melakukan promosi di jalan Phonm Penh termasuk menggunakan maskot berbentuk burger.

Rata-rata pelanggan yang merasai burger keluaran Ziki’s berpuas hati dengan rasa asli daging yang digunakan berbanding burger tempatan yang dijual di restoran.

Menurut Md. Arfizal, hasil maklum balas para pelanggan, kualiti daging yang enak menjadi pilihan kenapa mereka kembali memilih burger keluaran Ziki’s.

Faktor harga yang lebih murah berbanding burger yang dijual di restoran turut menyebabkan ia menjadi tarikan utama bagi warga Phonm Penh untuk tidak lokek mengeluarkan wang saku.

Pada harga semurah RM3.30, Ziki’s Burger mampu terjual kira-kira 500 biji sehari.

“Pelanggan kita berusia 40 tahun ke bawah dan kebanyakan yang menggemari produk kita merupakan remaja,” katanya.

Katanya, biarpun jenama Ziki’s Burger masih baru namun, dengan sambutan yang diberikan sejak ia diperkenalkan, beliau yakin burger keluarannya mampu bersaing dan berkembang menjadi jenama digemari.

“Kita tahu bukan mudah untuk kita ubah cara pemakanan sesuatu masyarakat, namun dengan perkembangan cara hidup masa kini yang lebih mendesak burger bakal menjadi pilihan masyarakat Kemboja,” katanya.

Salah seorang pelanggan, Chin Phearum, 23, berkata, kali pertama menikmati keenakan Ziki’s Burger membuatkan beliau tertarik dengan rasa daging sebenar yang berlainan dengan burger keluaran tempatan.

Katanya, rasa yang enak membuatkan beliau teruja untuk membeli kali kedua burger tersebut.

“Kami di sini jarang boleh menikmati burger kerana ia agak mahal jika hendak dibeli di restoran. Ada juga gerai yang menjual burger tetapi, mereka mengeluarkan daging yang dihasilkan sendiri. Rasanya kurang enak berbanding burger biasa,” katanya.

Sementara itu, mengenai cara memasak pula, Md. Arfizal berkata, ia dipantau mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pengeluar daging burger Ramly bagi menjamin keenakan daging tersebut tidak terjejas apabila dimasak.

Antara pilihan menu yang terdapat di kedai Ziki's Burger ketika ini ialah, burger ayam, daging, ayam dan daging istimewa.

Bagi menjaga aspek kualiti makanan, kios Ziki’s Burger diubah suai mengikut keperluan penduduk di sana.

“Kios-kios yang ditempah khas pada asasnya sama seperti kios-kios burger yang terdapat di Malaysia, cuma apa yang membezakan ialah ia lebih bersih dan dilengkapi sistem penyerap minyak dan asap,” kata Arfizal.

Menurutnya, para pekerja pula diwajibkan memakai uniform lengkap berserta dengan apron sebagai penampilan diri kemas dan bersih.


ZIKI'S menawarkan empat jenis burger di gerainya di Phonm Penh.


Ketika penyediaan makanan para pekerja diwajibkan menggunakan sarung tangan plastik bagi menjaga kualiti dan kebersihan burger yang hendak dibungkus sebelum diserahkan kepada pelanggan.

Program untuk belia Islam

Program Pembangunan dan Pencapaian Usahawan Kecil (SEDAP) merupakan platform utama membantu belia-belia Islam Kemboja keluar daripada belenggu masalah kemiskinan.

Dengan menerapkan pembangunan kapasiti, belia-belia Islam Kemboja diberikan latihan menjadi usahawan kecil untuk berdikari.

Salah seorang pekerja Ziki’s Burger, Reh Vanny, 20, peluang yang diberikan amat bermakna buat dirinya.

Katanya, apa yang ditawarkan oleh majikannya itu jauh lebih baik dan mampu membuatkan beliau mula berjinak-jinak dengan bidang perniagaan.

“Sebagai kaum minoriti di sini tidak banyak yang boleh dilakukan terutama dalam bidang perniagaan. Apa yang ditawarkan oleh Ziki’s Burger terlalu istimewa untuk ditolak,” katanya.

Bagi Pengurus Besar Deminziki Kemboja, Fauzy Ahmad, menerusi SEDAP, belia-belia Islam Kemboja bakal dilatih membina kemampuan, ketahanan dan kemahiran perniagaan.

Buat permulaan 40 orang belia kini sedang dilatih menjadi usahawan kecil sehingga mereka betul-betul mahir dan kemudian bakal ditawarkan peluang membuka kios burger sendiri.

“Dengan membuka kios sendiri keuntungan jualan bakal dimiliki melalui penjualan burger,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan Ziki's Burger boleh diikuti melalui laman web www.zikiburger.blogspot.com atau di laman sosial facebook. (Sumber Kosmo)

Thursday 15 September 2011

Asas Ekonomi Islam, Apa Istimewa?



CATATAN SANTAI IH: Kuliah Eko IH (siri 3)

ASAS-ASAS ekonomi Islam, apa Istimewanya? Istimewanya, bolehlah dirumuskan kepada 3 perkara atau 3 gabungan.

Satu: Gabungan antara perkara yang tetap dengan perkara berubah.

Dua: Gabungan antara dua maslahah iaitu maslahah individu dan maslahah umum.

Tiga: Gabungan antara maslahah kebendaan dan keperluan kerohanian.

Huraian Satu:

Ekonomi Islam dari usul merupakan “Iqtisad Ilahi”, atau ekonomi bertunjangkan sistem Tuhan. Dari segi pelaksanaan merupakan “Iqtisad wada’ie” iaitu ekonomi yang menggabungkan antara asas tetap dengan perkara pelaksanaan berubah.

Asas yang tetap iaitu segi asas-asas yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Usul-usul ini tidak berubah walaupun berlakunya perubahan tempat dan masa.

Asas berubah dan berkembang iaitu cara pelaksanaan berdasarkan usul-usul tetap yang boleh berubah kerana faktor persekitaran, tempat dan masa. Ia dikenali sebagai “sistem ekonomi Islam” seperti ijtihad Saidina Umar bin Khatab. Ijtihad yang menganggap tanah pembukaan di Syam dan Iraq sebagai milik negara dan tidak lagi menyerahkan tanah tersebut kepada individu pembukanya, sebagai harta rampasan perang iaitu Ghanimah

Dari keterangan di atas dapat disimpulkan bahawa ekonomi Islam terdiri dari 3 aspek terpenting:

  1. Ekonomi Islam iaitu ekonomi Ilahi dari segi ideologi dan wada’ie dari segi pelaksanaannya.
  2. Ekonomi Islam sesuai untuk semua tempat, masa dan tidak terikat dengan peringkat tertentu dari segi sejarah.
  3. Peraturan ekonomi Islam berlainan dengan kelainan tempat dan masa, ia tidak terikat dalam bentuk dan saiz tertentu.

Dari sini adalah satu kesilapan jika sekiranya ada suara-suara yang ingin mengembalikan ekonomi Islam seperti zaman khulafa Al-Rasyidin sedangkan zaman kita bukanlah zaman khulafa’ al-Rasyidin. Kerana masalah baru yang timbul memerlukan ijtihad dan pelaksanaan yang berlainan dengan zaman-zaman sebelumnya.

Perubahan pelaksanaan mungkin boleh berlaku dalam satu masa tapi berlainan tempat. Umpamanya pelaksanaan di Malaysia mungkin berlainan di negara-negara lain. Memang pelaksanaan ekonomi Islam pada zaman khulafa merupakan contoh berdasarkan asas syarak, tetapi ia bersesuaian pada masa itu. Apabila pertumbuhan telah berkembang, maka pelbagai bentuk dan saiz yang memerlukan kepada kaedah dan cara metodologi yang baru.

Perbezaan-perbezaan pelaksanaan dibolehkan asalkan ia tidak bercanggah dengan prinsip syariat asas bagi sistem ekonomi Islam. Segala bentuk ijtihad yang ingin dikeluarkan mestilah merujuk kepada syariat Islam dan hukum berkaitan dengannya.

Huraian Dua:

Gabungan antara dua maslahah iaitu maslahah individu dan maslahah masyarakat memerlukan keseimbangan diantara keduanya, disamping kepentingan negara. Negara perlukan pendapatan tinggi melalui hasil kekayaan sumber asli, cukai, zakat pinjaman, dan pengagihan saksama di kalangan masyarakat bagi memenuhi keperluan asas mereka. Seseorang itu bebas memiliki harta tetapi ia terikat dengan kepentingan umum yang perlu ditunaikan.

Keseimbangan antara dua kepentingan ini amat penting bagi menjamin taraf hidup dan jaminan sosial yang kuat. Umat Islam merupakan umat sederhana, seimbang dan pertengahan dalam semua bidang hidup. Kepentingan ekonomi dalam setiap individu dan masyarakat, sewajibnyanya ada keseimbangan. Iaitu mengikut keutamaan dari segi dharuri, Hajiyyat dan Tahsinat. Dan juga menjaga kuliyyat al-khamsah iaitu agama, diri, akal, keturunan dan maruah.

Ekonomi Islam tidak menjadikan kepentingan individu sebagai matlamat dan menafikan hak-hak kepentingan umum, bukan seperti ekonomi kapitalis. Atau bukan hanya mementingkan aspek kepentingan umum sehingga menolak kepentingan individu dalam menikmati taraf hidup sempurna, seperti yang berlaku kepda ekonomi sosialis.

Ekonomi Islam adalah menjaga perseimbangan antara kedua kepentingan tersebut seperti ungkapan dalam al-Quran, firman Allah yang bermaksud: “Kamu tidak menganiaya dan tidak pula dianiaya” (al-Baqarah 279)

Huraian Tiga:

Manusia diciptakan oleh Allah SWT mempunyai sifat sukakan harta kekayaan. Al-Quran telah menceritakan perkara itu dengan firmanNya yang bermaksud:

“Dan dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-anak, harta benda yang banyak berpikul-pikul, daripada emas dan perak, kuda peliharaan yang hebat lagi terlatih dan binatang-binatang ternakan serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah) Allah telah menyediakan tempat yang sebaik-baiknya untuk kembali (iaitu syurga).” (Al-Imran 14)

“Dan sesungguhnya manusia sangat bakhil kerana terlalu sayangkan harta.”(al-Aadiyaat 8)

Kedua-dua ayat ini menjelaskan mengenai sifat manusia terlalu sayangkan harta benda, yang menyebabkan mereka telah lalai dalam proses membina diri melalui tazkiyatun nafs. Berlaku tidak keseimbangan antara amalan kerohanian dengan pencarian harta kekayaan. Mereka terlalu asyik mencari harta kekayaan sehingga lupa untuk bersyukur kepada Allah melalui sembahyang, berdoa, bersedekah dan melakukan amalan kebajikan untuk masyarakat dan negara.

Allah sangat gembira jikalau hambaNya yang mempunyai harta kekayaan tetapi ianya tidak melalaikan dari sentiasa mengingati Allah.

Firman Allah bermaksud: “Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula oleh jual beli dari mengingati Allah, daripada membayar zakat. Mereka takut kepada satu hari pada hari itu hati dan penglihatan menjadi goncang.”(an-Nur 37)

Oleh kerana manusia dijadikan oleh Allah yang mengandungi unsur-unsur kerohanian dan kebendaan, ia memerlukan perseimbangan antara kedua-duanya. Islam mencantumkan aspek kerohanian dan material kehidupan ini dengan begitu lengkap dan kukuh. Yang menjadi sumber kekuatan bersama bagi menuju kesejahteraan dan kebahagian hidup manusia. Pemisahan antara dua aspek ini akan mengakibatkan kepincangan hidup manusia.

Pada hakikatnya, tidak ada pembahagian dan pemisahan antara aspek kerohanian dan material dalam Islam. Kedua-duanya hendaklah selari dan seimbang. Oleh itu masyarakat Islam akan mencapai kejayaan sekiranya mereka mencapai tahap semaksima dari segi kerohanian dan memenuhi keperluan asas kehidupan dengan sempurna dan lengkap secara seimbang. Keperluan, asas yang diperlukan oleh manusia adalah terdiri dari aspek pekerjaan, tempat tinggal sempurna, makan-pakai cukup dan pendidikan bagi mengembangkan bakat yang sedia ada dalam setiap individu.

Saranan:

Ini, antara saranan-saranan bagi menjayakan ilmu Ekonomi Islam

  • Merumus semula metodologi ilmu ekonomi Islam yang sesuai pada konteks masa kini, berdasarkan persekitaran, masa dan tempat.
  • Melaksanakan perbelanjaan perbandingan antara sistem ekonomi lain dengan ekonomi Islam dari segi ideologi, cara pelaksanaan dan keistimewaaannya.
  • Mengkaji segala khazanah ilmu silam berkaitan dengan fiqh muamalat, dan mengeluarkan pendapat-pendapat bagi menyediakan satu sukatan pelajaran yang sempurna.
  • Menyediakan para cendiakawan Muslim pakar dalam bidang ekonomi dengan memberi galakkan kepada mereka bagi membuat penyelidikan.
  • .Menubuhkan pusat-pusat penyelidikan ekonomi, menggalakkan kerjasama dalam bidang penyelidikan ilmu ekonomi antara universiti-universiti dan mengkaji tesis M.A dan PhD dalam bidang ekonomi.
Sekian, Wallahu aklam. Bersambung lagi.

Catatan Santai Ibnu Hasyim
Kuliah Eko IH (siri 3)
alamat: ibnuhasyim@gmail.com
KL 14 Sept 11.

Monday 12 September 2011

Bajet 2012: Langkah liberalisasi ekonomi dijangka

KL 12 Sept 11: Lebih banyak langkah-langkah meliberalisasikan ekonomi dijangka akan diumumkan pada pembentangan bajet akan datang, menurut laporan majalah perniagaan Forbes Asia yang mewawancara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. azlan"Dalam pembentangan bajet pada bulan Oktober ini, akan ada pusingan liberalisasi," perdana menteri dipetik sebagai berkata walaupun beliau tidak memberikan butiran tersebut. "Kami telah meliberalisasikan ekonomi, tetapi saya perlu mententeramkan kebimbangan dalam negeri bahawa membuka terlalu cepat itu mungkin satu ancaman. "Liberalisasi adalah baik untuk daya saing mampan jangka panjang. Ia membina kekuatan intrinsik kami - bukan melalui perlindungan atau subsidi," katanya. Pada tahun 2009, kerajaan meliberalisasikan sektor perkhidmatan dan kewangan yang menyaksikan 30 peratus ekuiti bumiputera bagi kira-kira 27 perkhidmatan sub-sektor dihapuskan. Kerajaan juga melonggarkan syarat pelesenan dan had ekuiti asing bagi bank pelaburan. Bajet 2012 dijadualkan pada 7 Oktober ini selepas parlimen bersidang semula pada 3 Oktober. azlanNajib juga mengulangi hasratnya meneruskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tetapi menekankan keperluan mendapatkan sokongan dalam negeri. "Kami telah meluaskan asas cukai kami. Pada prinsip, kami bersetuju meneruskan GST, yang memperuntukan asas pendapatan yang kukuh apabila dilaksanakan. Tetapi sekali lagi, saya perlu membabitkan orang ramai dan menyalinkan rakyat bahawa ia adalah satu langkah yang baik,” katanya. (Malaysiakini)

Monday 5 September 2011

Ekonomi Islam, Sejauh Mana Perlaksanaan Masakini?

CATATAN SANTAI IH: Kuliah Eko IH (siri 2)
Tok Guru Nik Aziz & Prof Dr Yusof Qrdhawi antara ulama yang menjadi rujukan umat Islam masakini..

KIRA-KIRA 900 juta umat Islam di dunia ini, merangkumi 45 buah negara merupakan satu jumlah yang amat besar. Malangnya kebanyakan negara tersebut masih lagi mengunakan ideologi ekonomi kapitalis, sosialis dan lain-lain lagi. Kefahaman mereka mengenai ekonomi Islam agak kurang menyebabkan umat Islam jadi mundur.

Melihat sejarah ekonomi Islam mutakhir, pada awal kurun ini ilmu ekonomi Islam mula dikaji selidik oleh para cendiakawan dan para ulamak Muslim dalam merangka ekonomi Islam yang lebih konkrit. Hal ini berlaku selepas kebanyakan negara Islam mencapai kemerdekaan. Sistem ekonomi barat yang tidak pentingkan aspek kemanusian dan akhlak, memaksa cendiakawan Muslim bertambah yakin bahawa ekonomi Islam merupakan alternatif terbaik, bagi umat Islam dalam mencapai kebahagian hidup hakiki.

Bagi dunia Islam pendidikan ilmu ekonomi Islam telah mula diperkenalkan dan proses membina masyarakat berteras aspek-aspek ekonomi Islam mula mendapat perhatian. Sumber-sumber ilmu ekonomi Islam amat banyak tetapi terbiar sehinggalah pada waktu ini munculnya cendiakawan Muslim mula meneroka dan menggali khazanah ilmu ekonomi Islam yang telah lama tersohor. Beberapa persidangan mengenai ekonomi Islam telah diadakan seperti:

Satu: Persidangan antarabangsa pertama ekonomi Islam diadakan di Mekah anjuran Universiti Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Febuari 21-26 1976. Kertas kerja persidangan ini telah dibukukan dalam bahasa Arab dan Inggeris, diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dua: Persidangan ekonomi Islam diadakan di London pada Julai 1977 anjuran Majlis Islam Eropah (Islamic Council of Europe). Kertas kerjanya telah dicetak pada tahun 1979 oleh Majlis Islam Eropah dengan tajuk “The Muslem World and the future Economic order”.

Tiga:

(i) Persidangan Ekonomi Islam anjuran Liga Negara-negara Arab pada 9 hingga 11 Febuari 1983 yang diadakan di Universiti Jordan, Amman.

(ii) Persidangan kedua ekonomi Islam yang diadakan di Islamabad, Pakistan pada 19 hingga 23 Mac 1983 anuran Universiti Islamabad dengan kerjasama Pusat Antarabangsa Penyelidikan Ekonomi Islam di Jeddah.

(iii) Persidangan Metodologi Ekonomi dalam Islam antara teori dan pelaksanaan yang diadakan di Kaherah pada 9 hingga 12 April 1983 anjuran Universiti Mansurah Mesir.

(iv) Pesidangan Antarabangsa Ekonomi Islam yang diadakan di Paris pada April 1983.

Empat: Persidangan-persidangan yang diadakan oleh Lujnah Penyelidikan Islam Universiti al-Azhar juga membincangkan topik ekonomi Islam, peranan zakat, penyelidikan harta dan lain-lain. Persidangan ini telah diadakan semenjak tahun 1964 dan sebanyak sembilan persidangan telah diadakan. Antara pembentang kertas kerja yang berkaitan dengan ilmu ekonomi Islam seperti Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Dr. Ali Abdul Wahid Wafi dan lain-lain.

Lima: Persidangan Lujnah Fiqh Islami kali ke sembilan yang diadakan di Dubai pada 1hb-6hb Zulkaedah 1515 bersamaan 1hb-6hb April juga telah membahaskan mengenai ekonomi Islam mengenai saham, pertukaran wang, perjualan emas, penggunaan cek dan sebagainya. Sebelum ini Persidangan Antarabangsa Fiqh Islami kali pertama diadakan di Paris pada 1951, kali kedua di Damsiq pada April 1961, kali ketiga di Kaherah pada Mei 1967, kali keempat di Tunis pada Januari 1975 dan kali kelima di Riyadh pada November 1977.

Enam: Di dalam negara-negara Islam, Malaysia agak kehadapan dalam isu-isu ekonomi Islam dengan penubuhan institusi-institusi ekonomi yang sekarang menampakkan hasilnya yang memuaskan sepeti Bank Islam, Takaful Islam, Baitul Mal, Tabung Haji, YPEIM dan lain-lain. Malah subjek ekonomi Islam juga telah diajar di peringkat sekolah menengah dan Universiti berbanding dengan negara-negara lain yang masih lagi mengajar ekonomi sosialis dan kapitalis. Subjek ekonomi tidak diajar dengan lengkap dan “comperative” dengan sistem yang lain.

Universiti al-Azhar mengajar subjek ekonomi Islam sebagai satu subjek selepas rombakannya pada tahun 1961 dalam Kuliah Perdagangan dan Kuliah Syariah (bahagian siyasah syari’yyah diperingkat pengajian tinggi), Universiti Raja Abdul Aziz di Jeddah juga mengajar subjek ini sejak penubuhannya pada tahun 1964.(10). Walaubagaimanapun ia tidak dapat menghasilkan pakar-pakar dalam bidang ekonomi sehingga rombakkan telah dibuat selepas Muktamar Ulamak Muslim di Kaherah pada September 1972 mengenai pentingnya ekonomi Islam diajar di kolej-kolej serta universiti di negara-negara Islam.

Selepas Muktamar Antarabangsa Ekonomi Islam di Mekah pada 1976, barulah perubahan-perubahan bagi mengajar pelajaran ekonomi Islam semakin berhasil dengan rombakan di Universiti al-Azhar. Dengan mengadakan pengajian diperingkat ijazah lanjutan dalam bidang ekonomi Islam(11) dan juga Universiti Raja Abdul Aziz, Jeddah, Universiti Jordan Amman, Universiti Umm Durman Khartoum, Universiti Karachi di Karachi, Universiti Punjab di Lahore. Di Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa telah memperkenalkan subjek ilmu ekonomi Islam sejak awal penubuhannya.

Tujuh: Satu persidangan siyasah syari’yyah telah diadakan pada 23 & 24 Januari 1995 anjuran kerajaan negeri Terengganu juga telah membincangkan mengenai ekonomi di Malaysia. Antara pembentang kertas kerja ialah Datuk Syed Othman Al Habshi dan Datuk Dr Abdul Halim Ismail.

Bagi menjayakan prinsip ekonomi Islam, ia memerlukan beberapa aspek berikut:

  • Ia memerlukan kepada pakar-pakar perunding mengenai ekonomi Islam sehingga dapat mengeluarkan kaedah serta jalan penyelesaian berdasarkan asas-asas syariat Islam.
  • Memerlukan ijtihad yang baru dalam perkara-perkara yang tidak pernah disentuh oleh fuqaha dahulu atau timbulnya perkara yang memerlukan kepada ijtihad kerana perubahan masa, tempat dan keadaan sosial. Ijtihad serta pendapat ulamak dahulu mungkin berdasarkan situasi zamannya, maka perkara itu telah berubah. Pada zaman sekarang satu kaedah fiqh menyatakan perubahan hukum berdasarkan perubahan masa dan tempat.
  • Mereka hendaklah menjelaskan konsep ekonomi Islam dengan jelas. Pada hari ini kebanyakkan orang menggambarkan bahawa Islam hanya menyatakan persoalan riba semata-mata tanpa ada jalan penyelesaian bagi perniagaan dan perdagangan dalam Islam.
Bagaimna pula perkembangan pebelanjaran Ekonomi Islam, dan buku-buku rujukannya?

Pada awal permulaan Islam, perkembangan ekonomi Islam agak terhad iaitu hanya berkisar mengenai pertanian dan pedagangan. Ulamak-ulamak pada masa ini hanya mengeluarkan hukum pada masalah yang tertentu sahaja. Perkembangan ekonomi Islam semakin berkembang pesat apabila negara Islam dikatakan semakin luas. Maka lahirlah ulamak-ulamak yang mengarang kitab-kitab mengenai muamalat perdagangan dan jual beli pada kurun kedua hijrah.

Walaubagaimanapun, ia bukanlah satu subjek yang khusus malah ia terangkum dalam bab feqah yang lain. Kitab-kitab feqah turath yang membicarakan mengenai persoalan ekonomi dan muamalat:

Fiqh Maliki

  1. Al-Mudawanah al-Kubra-Imam Malik bin Anas, diriwayat oleh Imam Shahnun.
  2. Bidayaul Mujtahid Wa Nihayatul Muqtasid-Imam Abu Walid Muhammad bin Rush.(w595)
  3. Al-Jamei Al-Ahkam al-Quran- Imam Abdullah Al-Qurtubi (w671)
  4. Syarah al-Kabir –Imam Ahmad Al-Dardir.(w1201 H)
  5. Hasiyah al-Dasuki – Muhammad bin Ahmad bin Arfah al- Dasuki (w 1230 H)

Fiqh Hanafi

  1. Al-Ahkam al-Quran- Abu Bakar ar-Razi Al-Jasas.(w370 H)
  2. Mabsud – Imam Syamsuddin Syarhasi (w483 H)
  3. Tuhfatul Fuqaha – Imam Alauddin As-Samarqandi (w540 H)
  4. Bada’iq As-Sana’iq Fi Tertib Syara’iq – Imam Alauddin Al-Kasani (w587)
  5. Radu al-Muktar ala Dar al- Muktar – Ibnu Abidin (1252 H)

Fiqh Syafie

  1. Al-Umm – Imam Muhammad bin Idris As-Syafie (w 201 H)
  2. Al-Ahkam al-Sultaniah – Abu Hassan Al-Mawardi (w 450 H)
  3. Al-Majmuk – Imam Nawawi (w 657 H), Imam Subki dan Imam Mutie’
  4. Al-Asbah Wan Naza’ir – Imam Jalaluddin As-Sayuti (w 911)
  5. Mugni Muhtaj syarah Minhaj – Syarbini (w 977 H)
  6. Nihayatul Muhtaj Ila Syarah al-Minhaj – Imam Ar-Ramli (w1004 H)

Fiqh Hambali

  1. Al-Ahkam al-Sultaniah – Abu Yala’ Al-Hanbali (w 458 H)
  2. Al-Mugni – Imam Ibnu Muhammad bin Qudamah (w 620 H)
  3. Al-Fatwa Al-Kubra – Imam Taqiuddin bin Taimiyah (w 728 H)
  4. ‘Ilam Al-Mawaqi’ien – Imam Ibnu Qaiyim (w 751 H)

Fiqh Perbandingan

  1. al-Mahally – Imam Abi Muhammad Hazim Az-Zahiri al-Andalusi (w 456H)
  2. Ar-Raudah Al-Nada’ir – Imam Syarifuddin as-San’ani (w 1221 H) iaitu syarah kepada kitab Majmuk Fiqh al-Kabir karangan Imam Zaid bin Ali (w 132 H) merupakan kitab bagi fiqh Zaidiah.

Kitab turath berkaitan ekonomi Islam

  1. Kharaj-Abu Yusuf Yaakub bin Ibrahim Al-Kufi al-Ansari(w172H). Beliau mengarang kitab ini atas permintaan khalifah Harun ar-Rasyid bagi pengurusan perbendaharaan wang negara.
  2. Kharaj- Yahya bin Adam al-Qarsy (w 203H)
  3. Amwal- Abu Ubai Qassim bin Salam (w 224 H)
  4. Amwal- Al-Hamid bin Zanjawiyah (w 251H)
  5. Futuhul Buldan- Ahmad bin Yahya Jabir- dikenali dengan Balazari (w 329 H)
  6. Muqadimah- Abdul Rahman Abu Zaid Waliuddin bin Khaldun (w 808 H)
Sekian.. sebagai jawapan kepada sejauh mana perlaksanaan ekonomi Islam masakini, walaupun sebenarnya, huraian ini jauh dari lengkap dengan yang berlaku sebenarnya.

Nota kaki kuliah Eko IH siri1 & 2.

  1. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim
  2. Abu Daud, Sunan Abu Daud, cetaka Isa Halabi, Kaherah jilid 2 hal. 124
  3. Abu Daud, op. Cit jilid 1 hal. 481
  4. Ibid, jilid 2 hal. 122
  5. Al-Bukhari, Al-Adabul Mufrad, hal. 52:112
  6. Muslim, Shahih Muslim, jilid 4 hal. 1987:34
  7. Al-Bukhari, Shahih Bukhari, jilid 8 hal. 15
  8. Riwayat oleh Muslim
  9. Diriwayatkan oleh Nasa’ie
  10. Dr. Sauqi al-Fanqari, Takrif bi Iqtisad Islami, Kem. Wakaf Mesir, 1995 hal. 11
  11. Ibid, hal. 12
Catatan Santai Ibnu Hasyim
Kuliah Eko IH (siri 2)
alamat: ibnuhasyim@gmail.com
KL 4 Sept 11.
Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-41: Kerukunan Umat Beragama

E-Buku IH-41: Kerukunan Umat Beragama

Friday 2 September 2011

Ekonomi Malaysia parah jika Amerika-Eropah terbersin

Neo Chee Hua | Sep 02, 2011

Meskipun Malaysia pernah mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK, atau GDP, singkatan dalam bahasa Inggeris) dengan kadar 7.2% pada tahun 2010, "bukti pemulihan" selepas kemelut ekonomi global tahun 2008/09, namun kepesatan ini hanya muncul sekelip mata. Seandainya kita meneliti data pertumbuhan ekonomi untuk 18 bulan yang lalu, jelas ia memperlihatkan graf yang menurun.

Menurut maklumat Jabatan Perangkaan Malaysia, biarpun Malaysia mencatat kadar pertumbuhan mendadak, iaitu 7.2% secara keseluruhannya pada tahun 2010, namun seandainya diteliti pertumbuhan setiap musim, ia menjunam dari 10.1% pada musim pertama tahun 2010 hingga 4.8% pada musim keempat. Mengorak langkah memasuki tahun 2011, momentum pertumbuhan ekonomi bukan sahaja tidak terpacu, sebaliknya merosot dari 4.9% pada musim pertama kepada 4% pada musim kedua.

Pertumbuhan ekonomi negara kita yang perlahan berkait rapat dengan struktur ekonomi negara yang rapuh. Sama ada permintaan luaran (external demand) mahupun permintaan domestik, keadaannya tidak diperbaiki susulan daripada pelan transformasi ekonomi negara oleh Perdana Menteri Najib Razak dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, malah kembali kepada keadaan statik sebagaimana zaman pasca kemelut 1997 dan sebelum kemelut ekonomi global 2008.

Perdagangan luar menyusut

Dari segi permintaan luaran, perdagangan luar negara kita sedang menyusut secara beransur-ansur. Pertumbuhan eksport diperlahankan dari 19.1% pada musim pertama tahun 2010 kepada 4.1% pada musim kedua tahun 2011; sementara pertumbuhan import pula menyusut dari 27.8% kepada 2.7% dalam tempoh yang sama.

Selain itu, angka import/eksport setiap bulan juga memperlihatkan kemerosotan - dari pertumbuhan dua digit setiap bulan dalam enam bulan pertama tahun 2010 kepada satu digit dalam enam bulan pertama tahun 2011. Pertumbuhan import setiap bulan turut menunjukkan pola yang sama, mengakibatkan lebihan dagangan kita yang "dibina" selepas kemelut ekonomi 1997 semakin menyempit.

Keterbukaan ekonomi Malaysia kepada luaran agak tinggi (dengan nilai eksport mencakupi nisbah kira-kira 100% GDP), mengakibatkan Malaysia agak peka terhadap perubahan suasana global. Justeru itu, pertumbuhan ekonomi kita tidak terelak daripada menjunam apabila ekonomi global diperlahankan.

Masih bergantung kepada pasaran Amerika-Eropah

Pasaran eksport negara kita bergantung kepada negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun sekian lama ini. Lebih-lebih lagi, banyak produk komersial yang dieksport Malaysia adalah pembuat peralatan asal (Original Equipment Manufacturer, OEM), bahan perantaraan yang digunakan untuk menghasilkan produk akhir, malah bahan mentah - kekurangan rantai produk nilai tinggi- mengakibatkan kita masih berada pada tahap rantai pembuatan dan eksport produk bernilai rendah.

Dalam keadaan di mana negara Asia menyasarkan pasaran eksport yang sama (negara maju), negara kita bukan sahaja terperangkap dalam persaingan harga barangan, nilai mata wang, malah menjadi rapuh kerana sensitiviti yang tinggi ke atas perubahan ekonomi negara maju.

Satu kajian Asia Development Bank (ADB) yang dikemukakan pada awal tahun 2010, berjudul The Ties that bind Asia, Europe and United States melaporkan bahawa, walaupun perdagangan antara negara rantau Asia (melainkan Jepun) berkembang pesat, namun kebanyakannya ditunjangi intermediate good, yang mana tujuan utamanya adalah untuk kegunaan dieksport semula.

Dengan kata lain, kebanyakan perdagangan eksport antara negara Asia bertujuan untuk kegunaan menghasilkan produk akhir, dan dieksport semula ke negeri di luar rantau Asia, iaitu negara industri utama seperti Amerika dan Eropah, yang menjadi destinasi terakhir produk barangan Asia.

Menurut laporan tersebut, meskipun 40.4% eksport rantau Asia (termasuk Malaysia) adalah Asian Intraregional Trade, namun hanya 22.2% produknya dipasarkan dalam rantau Asia. Secara perbandingan, walaupun pasaran seperti Amerika-Eropah, Jepun mencakupi nisbah 59.6% daripada eksport rantau Asia, namun pada hakikatnya ia mencakupi nisbah 77.8%, dengan Amerika Syarikat (25.1%), Eropah (22.7%) dan Jepun (11.4%).

Malah, sehingga Jun 2011, Singapura, China, Jepun, Eropah, Amerika Syarikat, Thailand, Indonesia, Korea, Taiwan dan Hong Kong mencatat 77.9% daripada eksport Malaysia. Namun, ia tidak termasuk eksport secara tidak langsung ke negara Amerika-Eropah, iaitu bahan perantaraan yang dieksport ke negeri lain, yang kemudiannya diproses semula dan dieksport ke negara Amerika-Eropah.

Misalnya, 13% produk Malaysia yang dieksport ke China digunakan untuk diproses semula, dan dieksport ke negara Amerika-Eropah kemudiannya. Dengan kata lain, kebergantungan negara kita terhadap pasaran Amerika-Eropah lebih tinggi daripada angka yang dipaparkan. Oleh itu, kita bukan sahaja berdepan dengan risiko eksport langsung ke negara Amerika-Eropah, malah juga risiko eksport China ke negara tersebut yang menggunakan bahan perantaraan ekport kita.

Oleh itu, ketika kemelesetan ekonomi Amerika-Eropah pada tahun 2008/09, jumlah eksport Malaysia telah jatuh 16.6%. Pada masa yang sama, import negara kita pada tahun yang sama juga menurun 16.6%, kerana hampir 80% import kita adalah bahan perantaraan yang digunakan untuk pemprosesan semula bagi diekport semula. Juga, tsunami dan gempa bumi Jepun pada Mac 2011 memberi kesan negatif kepada ekonomi negara kita, sehingga pertumbuhan ekonomi diperlahankan kepada 4% pada musim kedua.

Oleh itu, seandainya ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah mengalami krisis buat kali kedua, maka ekonomi dunia akan menjadi tidak menentu, lantas negara kita akan berdepan dengan cabaran yang lebih sengit pada tahun 2012.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut dan diterjemah dari teks asal yang disiarkan pada 20 Ogos 2011. (IH)

Qadhafi Lemah, Perusahaan Asing Mulai Sibuk



Jum'at, 02 September 2011:

Di saat Libya dalam kondisi kaca balau, perusahaan energi Italia Eni, yang merupakan produsen minyak asing terbesar di Libya, telah menandatangani sebuah pakta dengan pimpinan pemberontak untuk memulai kembali produksi.

Eni menandatangani persetujuan itu Senin di Benghazi dengan Dewan Transisi Nasional. Dewan itu merupakan badan pengatur untuk kelompok pemberontak yang telah menguasai Libya meskipun masih belum berhasil menemukan diktator Libya, Moammar Qadhafi.

Eni memperkecil operasinya di Libya selama pemberontakan enam bulan, dan menurunkan produksinya dari 280 ribu barel menjadi 50 ribu barel minyak mentah per hari.

Eni dan pemimpin pemberontak mengatakan mereka akan memulihkan operasi perusahaan itu secara cepat. Tetapi CEO Eni, Paolo Scaroni mengatakan minggu lalu bahwa ini butuh 18 bulan sampai operasi pulih sepenuhnya. Kerusakan luas terjadi pada lapangan minyak perusahaan itu.

Eni merupakan satu dari beberapa perusahaan minyak global yang berusaha memulai kembali produksi mereka di Libya.

Sebelum pemberontakan, Libya memproduksi 1,8 juta barel per hari, sekitar 2 persen dari produksi minyak dunia. Tetapi ketika terjadi pemberontakan, produksi minya menurun menjadi hanya 60 ribu barel per hari.

Rebutan Asing

Sebelumnya, pemberontakan di Libya, Inggris siudah mengumumkan akan mengambil alih kontrol perdagangan minyak di Libya. Keputusan ini dilakukan menyusul keberhasilan pemberontak Libya yang telah berhasil menguasai dua tempat utama produksi minyak Libya.

Pemberontak bahkan telah mengatakan, akan mulai mengekspor minyak. Para pemberontak berharap bisa menghasilkan antara 100.000 dan 130.000 barel per hari dan akhirnya bisa meningkat menjadi 300.000 barel per hari.

Menteri Pertahanan Inggris Liam Fox bulan Maret sempat mengatakan kepada media Inggris BBC bahwa dia terutama ingin menjamin keamanan di pelabuhan. Dia percaya hal ini akan memulihkan keseimbangan dalam perdagangan minyak Libya.

Sebagaimana diketahui, pantai di Ras Lanouf dan Brega bertanggung jawab atas produksi ekspor minyak Libya dan hampir sudah menghentikan kegiatan produksinya semenjak pemberontakan mulai muncul 15 Februari lalu.

Laporan Statistik Energi British Petroleum (BP) pada 2009 menyebut, Libya sebagai eksportir terbesar ke-12 di dunia dengan sumber cadangan minyak terbesar di Afrika.
Beberapa perusahaan minyak besar dunia beroperasi di sana, seperti Repsol (Spanyol), BP (Inggris), Shell (Belanda), Gazprom (Rusia), Statoil (Norwegia), dan Medco (Indonesia).

Sulit diterima dengan akal bila intervensi Barat ke Libya ini tidak terkait dengan usaha ‘penjarahan’ minyak Libya. (IH/Hidayatullah)