Thursday 26 July 2018

Giliran MonSpace Pula Kena Serbu Dan Akaun Kena Beku


Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata serbuan tersebut melibatkan sebuah premis perniagaan syarikat itu di Ipoh, Perak dan 15 lagi di Lembah Klang meliputi empat premis perniagaan, lapan kediaman dan tiga pusat pelayan internet (server).
Katanya komputer dan pelbagai produk syarikat itu bernilai RM980,352 turut dirampas, selain menyita mata wang asing terdiri daripada Euro, Yuan dan Dolar Amerika bernilai RM93,879.20.
“Sebanyak 26 buah kenderaan dengan nilai RM6.2 juta telah dibekukan daripada transaksi pindah hak milik,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Menurutnya operasi itu turut membabitkan National Revenue Recovery Enforcement Team (NRRET) Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia.
Mohd Roslan berkata Ops Coin itu dijalankan hasil siasatan yang dijalankan sejak tahun lepas susulan enam aduan yang diterima daripada mangsa skim tersebut.
“Lima aduan berkenaan tidak mendapat pulangan daripada pelaburan yang dibuat, manakala satu lagi mengenai penggunaan logo BNM dalam laman web syarikat itu untuk meyakinkan orang ramai,” katanya.
Ditanya sama ada pengasas syarikat itu akan ditahan, katanya buat masa ini tiada tangkapan dibuat berikutan wanita berusia 48 tahun yang bergelar Datuk Seri itu memberikan kerjasama yang baik dalam siasatan.
“Bagaimanapun, kita telah mengambil tindakan membekukan perjalanan dia ke luar negara. Namanya telah disenarai hitam Jabatan Imigresen,” katanya.
Katanya kes disiasat dibawah Seksyen 27B, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.
Ditanya mengenai modus operansi syarikat itu, Mohd Roslan berkata seorang anggota perlu melabur antara RM500 sehingga RM5,000 dan mereka perlu mencari dua lagi anggota bagi mendapatkan semula modal dan pulangan mereka.
Pada Mei tahun lepas, dilaporkan seramai 71 warga China membuat laporan polis terhadap MonSpace di Balai Polis Bukit Jalil selepas mendakwa wang simpanan mereka ditipu syarikat itu.
Sumber: Bernama

Wednesday 25 July 2018

Kotor? Pusat Beli-belah Di P/Pinang Diarah Disinfeksi.



BAYAN LEPAS, 12 Zulkaedah 1439H, Rabu – Semua pasar raya dan pusat beli-belah di Pulau Pinang diarah melakukan kerja disinfeksi (sucihama) terhadap troli, alat permainan dan bangku yang ada di premis mereka berikutan peningkatan kes penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Afif Bahardin berkata arahan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang selepas pemeriksaan yang dijalankan mendapati alatan berkenaan adalah antara punca penularan penyakit tersebut.
Beliau berkata arahan itu dikeluarkan pada 20 Julai lepas dan premis terlibat disaran menggunakan larutan peluntur pada nisbah 1:10 iaitu satu bahagian peluntur dan 10 bahagian air.
“Ya betul memang ada arahan sedemikian seperti yang tular di media sosial… macam saya sebut sebelum ini, penularan HFMD bukan sahaja melalui troli di pasar raya atau pusat beli-belah malah menerusi tempat permainan kanak-kanak yang terdapat di situ.
“Jadi saya harap pemilik dan operator pasar raya serta pusat beli-belah terlibat mematuhi arahan yang telah dikeluarkan dengan membersihkan premis perniagaan mereka supaya dapat membendung penularan penyakit HFMD di Pulau Pinang,” katanya.
Dr Afif berkata, sekiranya terdapat anggota keluarga yang dijangkiti HFMD, mereka perlu mendapatkan rawatan segera dan dikuarantin di rumah supaya tidak menjangkiti orang lain jika berada di tempat awam.
Mengulas mengenai status terkini HFMD di Pulau Pinang, beliau berkata terdapat pertambahan kes baharu pada hari Ahad dan Isnin iaitu sebanyak 128 kes menjadikan jumlah terkini sehingga semalam ialah 2,559 kes berbanding 1,102 bagi tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata seramai 13 pesakit masih dirawat di Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya dan hospital swasta dengan keadaan mereka yang berusia setahun hingga 10 tahun terbabit dilaporkan stabil.
“Ketika ini sebanyak 23 premis masih ditutup akibat penularan wabak itu membabitkan empat sekolah rendah, taska (6), tadika (7), prasekolah (5) dan pusat jagaan (1). Sekolah dan kelas yang masih ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Juara, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Moh Ghee Pusat, SJKC Beng Teik Pusat dan SJKC Kwang Hwa,” katanya.
HFMD ialah penyakit disebabkan virus dan gejala penyakit itu adalah demam, ruam di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah serta gejala dan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).
HFMD disebabkan jangkitan virus khasnya daripada jenis Coxsackie A16 serta Enterovirus 71 (EV71) dan virus itu merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit. – Bernama

Monday 23 July 2018

Restoran Chef Wan Di Singapura Ditutup

Restoran Chef Wan Di Singapura Ditutup


SUNYI… Baru sekitar setahun sahaja dibuka, restoran Cef Wan di Esplanade, Singapura kini sudahpun tutup kedai menurut laporan agensi berita tempatan,Mediacorp.

Tinjauan wartawan agensi berkenaan di pekarangan premis tersebut lebih seminggu lalu mendapati pintu pagarnya tertutup rapi dan tertera sekeping kertas yang ditampal pada pintunya.
Ia berbunyi: “Closed for business” (Perniagaan ditutup). Mediacorpbertanya kepada staf restoran bersebelahan sama ada restoran Chef Wan’s Kitchen itu memang ditutup sementara atau atau sudah gulung tikar?
Kakitangan berkenaan menjawab dalam bahasa Inggeris bahawa penutupannya “permanent” (kekal).
Malah jika anda cuba meng-Google untuk cari atau tempah restoran bernama Chef Wan’s Kitchen ini, sebahagian hasil carian akan menunjukkan perkataan “Permanently closed” (Ditutup terus) atau “Closed” (Sudah ditutup).
Laman Facebook Chef Wan’s Kitchen juga nampaknya sudah ditutup.Mediacorp kemudian langsung menghubungi cef Melayu terkenal itu dan beliau mengesahkan bahawa restoran tersebut sudah ditutup.
Ini menjadikannya sebagai restoran kedua di Singapura yang dikaitkan dengan Cef Wan, atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail, terpaksa ditutup operasi di republik berkenaan hanya dalam tempoh tiga tahun.
Pada 2016 lepas, restoran 1 Market yang terletak di Plaza Singapura, di mana beliau menjadi ‘wajah’ restoran itu, juga ditutup setelah sekitar tiga setengah tahun beroperasi.
Ditanya tentang sebab musabab restoran itu, yang pernah dipujinya sebagai “lokasinya bagus”, Cef Wan antara lain menjawab bahawa para tukang masaknya di situ “tidak boleh memasak sepertimana saya lakukan”.
Ini luahan terus terang Cef Wan: “Saya tidak kata tukang masak Singapura bagus atau tidak. Cef yang bekerja di situ tidak menghasilkan masakan mengikuti resipi saya. Pergi bandingkan lontong I (saya) dengan lontong dia cukuplah.
“Bandingkan nasi lemak dia dengan nasi lemak I (saya) cukuplah. Berbuih-buih cakap berhari-hari hantar gambar, hari-hari buat macam-macam. Ada antara mereka pun sudah pernah kerja di 1 Market.”
Yang pasti, Cef Wan juga tidak menolak kemungkinan bahawa disebabkan beliau jarang berada di restoran tersebut, kualiti menu-menunya terjejas. Itu kami ajukan dan ini pengakuan beliau: “Saya tidak tahu. Mungkin juga.”
Difahamkan, Cef Wan menjadi rakan kongsi restoran itu yang mula dibuka pada hujung Julai 2017. Dalam temubual menerusi panggilan, Cef Wan menyanggah pandangannya tahun lalu tentang lokasi restoran itu yang “bagus”.
“Kami dapati sepanjang kontrak Wan setahun, tempat itu kurang menarik perhatian yang mencukupi. I perasan tempat tu agak terpencil macam menyorok saja. I rasa tempat tu bukan lokasi yang baik.
“Kita ambil tempat itu sementara dari pemilik restoran makanan Jepun dan Korea,” jelas cef peramah itu lagi kepadaMediacorp. Beliau juga mendakwa bahawa mungkin juga faktor “hiasan dalaman” jadi punca kegagalan.
“Saya bantu mereka menjalankan tempat itu seketika dengan perabot mereka. Sayang nak buang,” katanya.
Cef Wan berpendapat bahawa memang sukar sekiranya beliau tidak berada di restoran tersebut sepenuh masa untuk memantau sendiri urusan perniagaan restoran tersebut memandangkan beliau begitu sibuk di Kuala Lumpur.
Mediacorp terus menggali jawapan dari beliau. Jika sebelum membuka restoran Chef Wan’s Kitchen dahulu Chef Wan pernah berkata lokasi restoran di Esplanade itu adalah tepat sekali tetapi mengapa kini menjadi lain pula?
“Yang perfect (sempurna) itu ialah Esplanade tetapi ia bukan menjadi isu. Bila masanya dah tiba untuk ditutup, tutuplah. What is the big deal? (Apa masalahnya?) Saya dah beri mereka peluang, beri mereka resipi saya,” katanya.
Chef Wan namun berkongsi bahawa beliau tidak berasa rugi apa-apa menandatangani kontrak selama setahun bersama rakan kongsi Singapura untuk Chef Wan’s Kitchen kerana beliau diberi saham percuma sebenarnya.
“Saya rasa itu adalah sesuatu yang bijak. Satu tahun cukuplah untuk tengok prestasi mereka,” tambahnya. Beliau turut ditanya apakah perasaannya ketika mengambil keputusan untuk menutup Chef Wan’s Kitchen di Singapura.
Chef Wan yang dikenali dengan sifatnya yang kelakar itu menjawab dengan penuh selamba: “Lega. Kalau boleh nak sedekah pisang kat masjid. Jadi tak payah pening kepala.
“Tak payah tengok macam mana cef Singapura itu kena maki hamun siang malam pun tak buat jugak. Sedangkan I buat di Mandarin Oriental Hotel KL hari-hari. 800 orang saya sajikan semua hari-hari tidak ada masalah pun.”
Di tengah-tengah pelbagai persoalan diajukan tentang penutupan restorannya itu, tukang masak yang petah bercakap itu memberikan satu berita lain. Pasti untuk mengimbangi berita buruk penutupan Chef Wan’s Kitchen.
“Dah ada pun orang tawarkan pada I. Pelabur dari Singapura,” dedahnya tentang adanya tawaran untuk membuka sebuah restoran lain di Singapura nanti.
Meskipun restoran di Esplanade terpaksa ditutup atas pelbagai sebab, beliau menegaskan tidak pernah serik. Adalah lebih baik untuk menutupnya kerana adat perniagaan adalah ‘you win some, you lose some’.
Katanya lagi: “Jika akan datang ada rezeki, buatlah. Bukan rugi duit I pun. Satu sen pun I tak keluar. Mereka bagi percuma, siapa tak nak?”
Beliau turut ditanya jika penutupan restoran kedua itu akan menjejas imej atau namanya sebagai seorang cef terkenal. Ini jawapan langsung Cef Wan membela dirinya: “Orang meniaga mana ada serik?
“Tidak ada apa yang harus dimalukan. Dekat restoran I, imej I bagus. Orang makan masakan I selama empat tahun, tamu-tamu sana sini kata makanan I sedap. Apa nak takut pada imej?”. – Agensi/Mynewshub.TV
* Video bawah sekadar hiasan…

Friday 13 July 2018

Senarai 50 Individu Terkaya di Malaysia (2018)



Entri kali ini adalah mengenai senarai 50 individu terkaya di Malaysia untuk tahun 2018. Siapakah yang mendahului kedudukan itu? Senarai ini dikeluarkan oleh Forbes.com pada Mac yang lalu.

Tan Sri Robert Kuok masih kekal sebagai orang terkaya di Malaysia untuk tahun 2018. Beliau berada di kedudukan sebagai individu paling kaya di Malaysia sejak 13 tahun yang lalu.

Bilionair ini juga merupakan individu ke-96 paling kaya di dunia dengan kekayaan bernilai USD$14.8 bilion (RM57.7 bilion) yang sebahagian besarnya datang dari sektor minyak sawit, perkapalan dan hartanah.
Baca Juga : 8 Lebuhraya Paling Berhantu di Malaysia


Dalam senarai 50 orang bilionair dan jutawan ini, terdapat cuma 8 orang Melayu dan seorang wanita. Syed Mokhtar Al Bukhary yang berada di kedudukan ke-12 merupakan orang melayu terkaya di Malaysia ,manakala Norraesah Mohamad yang berada di kedudukan ke-48 merupakan wanita terkaya di Malaysia. 
Jadi , setelah melihat senarai ini , ada tak nama anda? Hehe, in shaa Allah jika kita kerja keras mungkin nama kita akan tersenarai juga. Mungkin buat masa ini kita berada di ranking terbawah, tetapi percayalah bahawa semua ini tidak penting. Yang penting adalah hati dan budi pekerti kita. *cewahh..


Semoga kita sama-sama termotivasi.

Sekian

P/S : Kalau salah seorang daripada mereka derma pada kita RM 1juta kan best. Btw, di mana kedudukan Dato Alif Syukri & Dato Vida ya? :)
Sumber : Forbes

Wednesday 11 July 2018

Mak Cun’s Adventure semakin digemari…




PERMAINAN digital Media Prima Labs, Mak Cun’s Adventure menerima sambutan hangat apabila dimuat turun sebanyak 250,000 kali sejak dilancarkan hujung Mei lalu.
Malah, permainan dinspirasikan daripada drama bersiri popular Mak Cun itu mencipta sejarah apabila mendapat lebih 100,000 muat turun dalam tempoh 10 hari pelancaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali berkata, aplikasi itu turut dimuat turun pengguna peranti mudah alih di Singapura, Brunei dan Indonesia.
“Pencapaian ini di luar jangkaan kerana pada mulanya, kami mensasarkan 100,000 muat turun untuk tempoh tiga bulan.
“Kejayaan itu tercapai dengan sokongan pemain dan pihak media,” katanya.
Selain menyediakan masakan di warung Mak Cun, Rafiq berkata aplikasi itu kini memperkenalkan butik Mak Cun sebagai usaha Media Prima Labs menambah baik kandungan permainan.
“Kami mahu memberi kepuasan dan cabaran kepada pemain. Bagi Butik Mak Cun, pemain perlu melayan pelanggan yang datang membeli pakaian, aksesori dan barang kosmetik.
“Istimewanya, beberapa elemen budaya tempatan seperti Baju Kurung diselitkan dalam permainan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Media Prima Labs bakal memperkenalkan 30 tahap baru kemahiran memasak dalam permainan Mak Cun’s Adventure, bulan depan.
Pemain kini boleh membeli ‘coins” dan ‘gems’ bagi membolehkan mereka ke tahap seterusnya.
Mak Cun’s Adventure boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store dan Apple App Store.(IH)

Monday 2 July 2018

Sambal ‘Saadiah’ Jualan Ogy Pilihan Jemaah Umrah

Sambal ‘Saadiah’ Jualan Ogy Pilihan Jemaah Umrah


HEBAT… Selain merupakan seorang pelakon wanita yang hebat dan disegani di Malaysia sehingga kini, rupa-rupanya aktres veteran Fauziah Ahmad Daud memang gemar memasak. 

Kecintaannya terhadap hobi memasak itulah yang turut membawa dirinya ke Singapura baru-baru ini bertemu peminat serta pembeli yang sanggup menunggu untuk mendapatkan pelbagai jenis sambal.
Menurut laporan agensi berita Singapura, MediaCorp, antara produknya ialah sambal goreng Saadiah, sambal ikan kurau masin berlado, sambal sotong kering serta pes nasi goreng yang dibotolkan.
Kesemua boleh bertahan selama tiga bulan. Beliau memulakan perniagaan tersebut tujuh tahun lepas secara online. Menerusi laman sosial Instagram juga, beliau menjual sambal goreng Saadiah.
Ia menggunakan resipi turun-temurun arwah ibunya iaitu seniwati Saadiah. Ketika ditemui Mediacorp untuk pameran anjuran MegaXpress International, Fauziah yang mesra dipanggil Ogy berkongsi rahsianya.
Beliau sebenarnya diajar memasak oleh arwah ibunya ketika usianya 15 tahun. Prinsip arwah ibunya ialah wanita harus tahu memasak kerana air tangan isterilah suami nak rasa.
Bermula daripada arwah neneknya, ketika beliau pernah tinggal di Boon Teck Road di Singapura, anak-anak keluarga penghibur Datuk Ahmad Daud ini rajin menjual kuih waktu petang.
“Saya sendiri lihat arwah nenek seorang ibu tunggal berjaya membesarkan dan didik cucu- cicit dengan hasil jual makanan. Mak menitik beratkan seorang wanita itu harus berdikari walaupun bersuami atau tidak,” kongsi Ogy.
Menceritakan lebih lanjut, anak seni serba boleh yang boleh menyanyi dan mengacara itu berkata, beliau mengambil masa dua bulan untuk mendapat kelulusan mencapai tahap piawaian arwah ibunya.
Ini antara mutiara yang pernah ditekankan ibu Ogy: “Arwah mak pernah kata pada saya, Fauziah kalau dah tak nak berlakon dan Fauziah nak meniaga sambal, janji dengan mak Fauziah jangan sesekali catu bahan-bahan.
“Dia kata, macam mana kita hendak makan sedap, begitu juga dengan orang yang membeli. Kamu tidak boleh jatuh muflis apabila kamu ikhlas memasak. Jadi saya berpegang pada itu.
“Semua pelanggannya pernah terperanjat dengan begitu padatnya pengisian produk makanan saya. Ada yang bertanya macam mana saya boleh buat untung?”
Berkat kesungguhannya memasak sendiri kesemua sambal-sambalnya itu, produk makan tersebut menjadi antara pilihan sebagai bekalan jemaah Malaysia yang bakal menunaikan umrah dan ibadah haji.
Malah ada juga orang Melayu menetap di luar negara membeli berkotak-kotak daripadanya jika mereka pulang sejenak ke Malaysia, kongsi bekas Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia menerusi filemAli Setan itu.
Kalau anda mahu tahu, beliau sendirilah yang akan memasak kesemua produk-produknya termasuk menumis lauk. “Kadang tak menang tangan,” katanya bersungguh-sungguh dalam pertemuan dengan MediaCorp ini.
“Saya tidak percaya kepada orang lain untuk membuatnya kerana orang lain itu tidak belajar dari arwah mak saya. Saya yang belajar, saya harus jaga warisan dia. Bila saya berlakon, saya tidak akan kompromi tentang mutu.
“Begitu juga bila memasak. Saya mempraktikkan apa yang saya bercakap ini, sememangnya saya tidak rasa kerugian kerana magisnya bila kita lakukan sesuatu dengan penuh kasih sayang, keikhlasan, orang akan tempah lagi.
Wanita hebat itu turut ditanya mengapakah keikhlasan itu penting dalam perniagaan memandangkan ada juga peniaga yang hanya mengutamakan keuntungan. Jelas beliau, agama Islam sendiri mengajar tentang keikhlasan apabila umatnya berbuat sesuatu. Sempat Ogy membuat komen ala seorang ustazah:
“Percayalah bahawa janji Allah itu pasti. Bila kita ikhlas, jujur, kita tidak mengira dengan apa yang kita berikan pada pelanggan, lain berkatnya kerana dengan hasil jualan itu kita boleh merasai wang ringgit yang kita dapat itu sangat-sangat diberkati Allah. Kita ingat dah habis kita belanja, eh ada lagi?”
Umum ketahui betapa seniwati Saadiah sebagai seorang insan seni sehingga kini tetap diingati. Apakah nama Allahyarhamha seniwati Saadiah itu sendiri sedikit sebanyak membantu melariskankan lagi sambal goreng Saadiah yang dijual Ogy sekarang ini?
Dengan tenang Ogy menjawab:
“Terus terang nama Allahyarhamha Hajjah seniwati Saadiah itu lebih kuat sebab peminat-peminat mengenalinya sebagai seorang seniwati. Tidak pernah terfikir di minda mereka bahawa arwah mak pandai memasak. Ia timbulkan satu keinginan ingin tahu bila orang tertanya-tanya apa sebenarnya sambal goreng Saadiah ni?
“Itu yang membuatkan orang lagi ingin memiliki, nak tahu dan merasai. Pada awalnya mereka tidak yakin memang saya yang memasak sehinggalah rancangan Melodi TV3 datang ke rumah dan saya sedang memasak dan mereka rakamkan. Barulah mereka tahu, passion saya selain dari berlakon, adalah memasak.”
Kesemua sambal yang dimasaknya tidak menggunakan bahan pengawet dan bertahan selama tiga bulan lamanya. Rahsianya adalah untuk menumis bawang dan cili selama empat jam untuk jumlah yang besar.
“Takkan saya nak bagi orang makan yang mentah? Cirit-biritlah orang tu (ketawa),” tambahnya berseloroh.
Beliau gembira kerana dapat meneruskan warisan arwah nenek dan ibunya yang gemar memasak. Bahkan, lebih membahagiakan Ogy adalah apabila ada juga pelanggan-pelanggan yang akan sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah ibu dan arwah bapanya setelah mereka membeli produk Fauziah Ahmad Daud.
“Itu sangat menyentuh perasaan bagi saya,” katanya.
Meskipun beliau gemar memasak dan berniaga kini, kerjaya lakonana tidak diabaikan. Drama lakonan terkininya menerusi watak Suraya berjudul Rahsia Hati Perempuan disiarkan di saluran Astro Ria baru-baru ini.
Namun, beliau akan hanya bersetuju menerima tawaran lakonan sekiranya naskhah tersebut dapat merangsang mindanya. Ini komen terus terang Ogy kepada Mediacorp:
“Saya memang seseorang yang pentingkan mutu dan professionalisme bila saya bekerja. Saya tidak akan mengambil naskah asal boleh. Bila saya membaca naskah itu, jiwa saya kena rasa. Formula itu yang saya pegang selama ini yang orang bertanya apa rahsia saya bertahan.
“Saya sangat-sangat takut jika saya tidak menjaga bakat yang Allah berikan ini. Saya amat takut kalau saya kecewakan guru-guru saya, amat takut kalau saya kecewakan peminat-peminat saya.”
Terangnya lagi, beliau begitu ambil berat tentang amanah dan tanggungjawab setiap kali beliau bersetuju untuk berlakon dan harus juga kekalkan apa yang dididik oleh guru-gurunya.
Antara mereka ialah ibunya seniwati Saadiah, seniman Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Rahim Razali dan Ahmad Yatim. Pesan guru-gurunya antara lain berpesan bahawa apa sahaja seni yang diceburi, bakat tersebut adalah satu pinjaman dari Allah SWT yang harus dijaga elok-elok.
“Bila saya melangkah masuk ke set, saya adalah watak. Maka itu setiap kali bila ditawarkan berlakon, saya akan minta naskhah dan mereka harus berikan saya masa untuk kaji siapa watak ini. Saya tidak mahu menipu peminat-peminat saya dari zaman filem Azura hinggalah Fauziah Ahmad Daud dalam abad 21 ini,” ujarnya serius seketika.
Maka tidak menghairankan apabila beliau memilih menjadi pengetua Ogy Centrestage & Academy. Ini agar dapat berkongsi ilmu. Antara lain, penubuhan akedemi tersebut diharapkan dapat melahirkan pelakon-pelakon yang juga berilmu dan berkualiti setelah menyertai bengkel-bengkel anjuran Fauziah Ahmad Daud itu.
– Agensi/Mynewshub.tv