Wednesday 25 July 2018

Kotor? Pusat Beli-belah Di P/Pinang Diarah Disinfeksi.



BAYAN LEPAS, 12 Zulkaedah 1439H, Rabu – Semua pasar raya dan pusat beli-belah di Pulau Pinang diarah melakukan kerja disinfeksi (sucihama) terhadap troli, alat permainan dan bangku yang ada di premis mereka berikutan peningkatan kes penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Afif Bahardin berkata arahan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang selepas pemeriksaan yang dijalankan mendapati alatan berkenaan adalah antara punca penularan penyakit tersebut.
Beliau berkata arahan itu dikeluarkan pada 20 Julai lepas dan premis terlibat disaran menggunakan larutan peluntur pada nisbah 1:10 iaitu satu bahagian peluntur dan 10 bahagian air.
“Ya betul memang ada arahan sedemikian seperti yang tular di media sosial… macam saya sebut sebelum ini, penularan HFMD bukan sahaja melalui troli di pasar raya atau pusat beli-belah malah menerusi tempat permainan kanak-kanak yang terdapat di situ.
“Jadi saya harap pemilik dan operator pasar raya serta pusat beli-belah terlibat mematuhi arahan yang telah dikeluarkan dengan membersihkan premis perniagaan mereka supaya dapat membendung penularan penyakit HFMD di Pulau Pinang,” katanya.
Dr Afif berkata, sekiranya terdapat anggota keluarga yang dijangkiti HFMD, mereka perlu mendapatkan rawatan segera dan dikuarantin di rumah supaya tidak menjangkiti orang lain jika berada di tempat awam.
Mengulas mengenai status terkini HFMD di Pulau Pinang, beliau berkata terdapat pertambahan kes baharu pada hari Ahad dan Isnin iaitu sebanyak 128 kes menjadikan jumlah terkini sehingga semalam ialah 2,559 kes berbanding 1,102 bagi tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata seramai 13 pesakit masih dirawat di Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya dan hospital swasta dengan keadaan mereka yang berusia setahun hingga 10 tahun terbabit dilaporkan stabil.
“Ketika ini sebanyak 23 premis masih ditutup akibat penularan wabak itu membabitkan empat sekolah rendah, taska (6), tadika (7), prasekolah (5) dan pusat jagaan (1). Sekolah dan kelas yang masih ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Juara, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Moh Ghee Pusat, SJKC Beng Teik Pusat dan SJKC Kwang Hwa,” katanya.
HFMD ialah penyakit disebabkan virus dan gejala penyakit itu adalah demam, ruam di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah serta gejala dan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).
HFMD disebabkan jangkitan virus khasnya daripada jenis Coxsackie A16 serta Enterovirus 71 (EV71) dan virus itu merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit. – Bernama

No comments:

Post a Comment