Monday 23 July 2018

Restoran Chef Wan Di Singapura Ditutup

Restoran Chef Wan Di Singapura Ditutup


SUNYI… Baru sekitar setahun sahaja dibuka, restoran Cef Wan di Esplanade, Singapura kini sudahpun tutup kedai menurut laporan agensi berita tempatan,Mediacorp.

Tinjauan wartawan agensi berkenaan di pekarangan premis tersebut lebih seminggu lalu mendapati pintu pagarnya tertutup rapi dan tertera sekeping kertas yang ditampal pada pintunya.
Ia berbunyi: “Closed for business” (Perniagaan ditutup). Mediacorpbertanya kepada staf restoran bersebelahan sama ada restoran Chef Wan’s Kitchen itu memang ditutup sementara atau atau sudah gulung tikar?
Kakitangan berkenaan menjawab dalam bahasa Inggeris bahawa penutupannya “permanent” (kekal).
Malah jika anda cuba meng-Google untuk cari atau tempah restoran bernama Chef Wan’s Kitchen ini, sebahagian hasil carian akan menunjukkan perkataan “Permanently closed” (Ditutup terus) atau “Closed” (Sudah ditutup).
Laman Facebook Chef Wan’s Kitchen juga nampaknya sudah ditutup.Mediacorp kemudian langsung menghubungi cef Melayu terkenal itu dan beliau mengesahkan bahawa restoran tersebut sudah ditutup.
Ini menjadikannya sebagai restoran kedua di Singapura yang dikaitkan dengan Cef Wan, atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail, terpaksa ditutup operasi di republik berkenaan hanya dalam tempoh tiga tahun.
Pada 2016 lepas, restoran 1 Market yang terletak di Plaza Singapura, di mana beliau menjadi ‘wajah’ restoran itu, juga ditutup setelah sekitar tiga setengah tahun beroperasi.
Ditanya tentang sebab musabab restoran itu, yang pernah dipujinya sebagai “lokasinya bagus”, Cef Wan antara lain menjawab bahawa para tukang masaknya di situ “tidak boleh memasak sepertimana saya lakukan”.
Ini luahan terus terang Cef Wan: “Saya tidak kata tukang masak Singapura bagus atau tidak. Cef yang bekerja di situ tidak menghasilkan masakan mengikuti resipi saya. Pergi bandingkan lontong I (saya) dengan lontong dia cukuplah.
“Bandingkan nasi lemak dia dengan nasi lemak I (saya) cukuplah. Berbuih-buih cakap berhari-hari hantar gambar, hari-hari buat macam-macam. Ada antara mereka pun sudah pernah kerja di 1 Market.”
Yang pasti, Cef Wan juga tidak menolak kemungkinan bahawa disebabkan beliau jarang berada di restoran tersebut, kualiti menu-menunya terjejas. Itu kami ajukan dan ini pengakuan beliau: “Saya tidak tahu. Mungkin juga.”
Difahamkan, Cef Wan menjadi rakan kongsi restoran itu yang mula dibuka pada hujung Julai 2017. Dalam temubual menerusi panggilan, Cef Wan menyanggah pandangannya tahun lalu tentang lokasi restoran itu yang “bagus”.
“Kami dapati sepanjang kontrak Wan setahun, tempat itu kurang menarik perhatian yang mencukupi. I perasan tempat tu agak terpencil macam menyorok saja. I rasa tempat tu bukan lokasi yang baik.
“Kita ambil tempat itu sementara dari pemilik restoran makanan Jepun dan Korea,” jelas cef peramah itu lagi kepadaMediacorp. Beliau juga mendakwa bahawa mungkin juga faktor “hiasan dalaman” jadi punca kegagalan.
“Saya bantu mereka menjalankan tempat itu seketika dengan perabot mereka. Sayang nak buang,” katanya.
Cef Wan berpendapat bahawa memang sukar sekiranya beliau tidak berada di restoran tersebut sepenuh masa untuk memantau sendiri urusan perniagaan restoran tersebut memandangkan beliau begitu sibuk di Kuala Lumpur.
Mediacorp terus menggali jawapan dari beliau. Jika sebelum membuka restoran Chef Wan’s Kitchen dahulu Chef Wan pernah berkata lokasi restoran di Esplanade itu adalah tepat sekali tetapi mengapa kini menjadi lain pula?
“Yang perfect (sempurna) itu ialah Esplanade tetapi ia bukan menjadi isu. Bila masanya dah tiba untuk ditutup, tutuplah. What is the big deal? (Apa masalahnya?) Saya dah beri mereka peluang, beri mereka resipi saya,” katanya.
Chef Wan namun berkongsi bahawa beliau tidak berasa rugi apa-apa menandatangani kontrak selama setahun bersama rakan kongsi Singapura untuk Chef Wan’s Kitchen kerana beliau diberi saham percuma sebenarnya.
“Saya rasa itu adalah sesuatu yang bijak. Satu tahun cukuplah untuk tengok prestasi mereka,” tambahnya. Beliau turut ditanya apakah perasaannya ketika mengambil keputusan untuk menutup Chef Wan’s Kitchen di Singapura.
Chef Wan yang dikenali dengan sifatnya yang kelakar itu menjawab dengan penuh selamba: “Lega. Kalau boleh nak sedekah pisang kat masjid. Jadi tak payah pening kepala.
“Tak payah tengok macam mana cef Singapura itu kena maki hamun siang malam pun tak buat jugak. Sedangkan I buat di Mandarin Oriental Hotel KL hari-hari. 800 orang saya sajikan semua hari-hari tidak ada masalah pun.”
Di tengah-tengah pelbagai persoalan diajukan tentang penutupan restorannya itu, tukang masak yang petah bercakap itu memberikan satu berita lain. Pasti untuk mengimbangi berita buruk penutupan Chef Wan’s Kitchen.
“Dah ada pun orang tawarkan pada I. Pelabur dari Singapura,” dedahnya tentang adanya tawaran untuk membuka sebuah restoran lain di Singapura nanti.
Meskipun restoran di Esplanade terpaksa ditutup atas pelbagai sebab, beliau menegaskan tidak pernah serik. Adalah lebih baik untuk menutupnya kerana adat perniagaan adalah ‘you win some, you lose some’.
Katanya lagi: “Jika akan datang ada rezeki, buatlah. Bukan rugi duit I pun. Satu sen pun I tak keluar. Mereka bagi percuma, siapa tak nak?”
Beliau turut ditanya jika penutupan restoran kedua itu akan menjejas imej atau namanya sebagai seorang cef terkenal. Ini jawapan langsung Cef Wan membela dirinya: “Orang meniaga mana ada serik?
“Tidak ada apa yang harus dimalukan. Dekat restoran I, imej I bagus. Orang makan masakan I selama empat tahun, tamu-tamu sana sini kata makanan I sedap. Apa nak takut pada imej?”. – Agensi/Mynewshub.TV
* Video bawah sekadar hiasan…

No comments:

Post a Comment