Thursday 26 June 2014

Peralat Melayu & Bumiputera untuk kayakan kroni


 


KUALA LUMPUR: Siasatan yang dilakukan terhadap projek konsesi pembinaan kampus UiTM mendapati, wujud syarikat Bumiputera yang bukan sahaja mempunyai 'kepakaran' dalam rundingan konsesi dengan kerajaan malah menyerahkan pula projek yang diperolehi kepada syarikat bukan Bumiputera.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, kaedah rundingan terus yang digunakan pentadbiran Najib dengan berselindung di sebalik “private finance initiatives” (PFI) begitu mudah disalahgunakan dan terdedah kepada amalan rasuah.

"Melalui kaedah rundingan terus ini, ahli perniagaan yang mempunyai akses dengan pimpinan Umno dan pegawai tinggi kerajaan berpeluang mendapat konsesi-konsesi yang diikat dalam tempoh yang lama dan boleh merugikan rakyat," ujarnya.

Beliau memberi contoh syarikat yang diberi konsesi membina kampus UiTM Kota Samarahan iaitu Rekajaya Projek Sdn Bhd yang turut dianugerahkan konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) melalui satu konsortium.

Syarikat-syarikat yang dikuasai ahli perniagaan ini, tambahnya boleh diibaratkan sebagai "pakar perunding konsesi" yang berurusan dengan Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun ujar beliau, sebaik berjaya mendapatkan konsesi-konsesi pembinaan, projek pembinaan diberikan pula kepada syarikat bukan Bumiputera sama ada melalui perkongsian (joint venture) atau sub-kontrak.

"Di dalam kes pembinaan Lebuhraya LATAR dan UiTM cawangan Kota Samarahan, pembinaannya dikendalikan oleh Binapuri Holdings Berhad, sebuah syarikat pembinaan bukan Bumiputera yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur," dedah beliau.

Rafizi menambah, semakan mendapati kos pembinaan dua projek konsesi itu dibiayai melalui pinjaman dengan Bank Pembangunan Berhad, sebuah bank milik penuh kerajaan.

"Saya mengambil contoh konsesi penswastaan UiTM cawangan Kota Samarahan ini untuk menunjukkan bagaimana kaedah PFI yang dijadikan alasan untuk memberi anugerah konsesi kepada ahli-ahli politik Umno dan rakan perniagaan mereka sebenarnya samalah dengan Kerajaan Persekutuan menanggung sendiri kos pembiayaan tanpa perlu diikat dengan perjanjian konsesi 23 tahun yang membebankan rakyat," ujarnya.

Beliau berkata, alasan kononnya kontraktor Bumiputera berpeluang dianugerahkan projek melalui program konsesi juga diragui kerana jelas projek yang diperolehi diserahkan pula kepada syarikat bukan Bumiputera.

Rafizi turut mempertikaikan pembiayaan projek melalui Bank Pembangunan, sebuah bank milik penuh Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, jika kampus-kampus tersebut dibina sendiri kerajaan dengan meminjam dari Bank Pembangunan, pasti kos yang ditanggung adalah jauh lebih murah.

"Siri penswastaan UiTM menjadi bukti bagaimana nama Melayu dan Bumiputera disalahgunakan untuk mengkayakan kroni Umno.
"Saya akan terus bersuara mendesak kebertanggungjawaban dan ketelusan di dalam kaedah PFI supaya Umno tidak sewenang-wenangnya menganugerahkan konsesi yang akan membebankan rakyat kelak," ujar beliau. - HARAKAHDAILY, 26/6/2014

Tuesday 24 June 2014

Hotel lima bintang berkonsep Islam di Kelantan


KOTA BHARU: Kelantan melangkah setapak lagi ke hadapan apabila sebuahhotel berkonsep ‘meningkatkan iman dan mendekati Islam’ dibina di negeri ini.

Hotel itu melibatkan kos RM300 juta setinggi 30 tingkat dikenali Damai Hotel & Suites (Damai HS) akan dibina di Jalan Telipot dekat sini.

Upacara pecah tanah pembinaannya disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra hari ini.

Damai HS milik syarikat Usahasama Seri Cemerlang Sdn Bhd (USC) dimiliki sepenuhnya Bumiputera.

Pengerusi USC Tengku Datin Fatihah Al-Marhum Sultan Ibrahim berkata, hotel tersebut berciri mesra alam bertaraf lima bintang yang pertama seumpamanya di Kelantan.

Katanya, Damai HS berkonsep senibina Islam yang melambangkan Islam itu progresif, berdaya saing serta maju ke hadapan.

“Hotel terbabit menghayati konsep dan ciri-ciri senibina Islam termasuk reka bentuk dan operasinya nanti berlandaskan ciri-ciri syariah.
“Konsepnya juga bertepatan dengan lanskap budaya dan resam Kelantan yang berpegang kepada ajaran Islam sebagai amalan kehidupan di Serambi Mekah ini,” katanya pada majlis tersebut.

Pembinaan hotel itu dijangka siap pada 2018, terletak berhadapan Istana Telipot dan tidak jauh dari Masjid Sultan Muhammad V. - HARAKAHDAILY 24/6/2014

Friday 20 June 2014

Taiwan Siap Produksi Massal Apple Smartwatch


iWatch, jam pintar (smartwatch) keluaran Apple Inc.
iWatch, jam pintar (smartwatch) keluaran Apple Inc.

TAIPEI -- Perusahaan raksasa Taiwan, Quanta Computer Inc akan memproduksi massal Apple smartwatch pertama Juli 2014. Seorang sumber yang berkepentingan dengan teknologi ini mengatakan sebagai raksasa teknologi, Amerika Serikat (AS) mencoba membuktikan mereka masih bisa berinovasi melawan saingannya, Samsung Electronics Co Ltd.

Jam tangan yang masih belum pasti namanya (sementara iWatch) itu akan diproduksi oleh Quanta yang sebelumnya fokus menggarap laptop dan iPod. Akan tetapi, lini produk ini akhir-akhir ini menurun, sehingga perusahaan ini menggandeng Hon Hai Precision Industry Co, salah satu pemasok terbesar Apple, untuk terlibat dalam produksi ini.

Dilansir dari Reuters, Jumat (20/6), seperti kebanyakan jam pintar (smartwatch) lainnya, Apple akan menaruh beberapa fungsi independen, misalnya aplikasi pengiriman pesan tertulis dan percakapan suara (voice chat). Perangkat ini hanya akan kompatibel dengan gadget yang menjalankan aplikasi iOS Apple, seperti iPhone.

Kebanyakan smartwatch mengumpulkan data tentang denyut jantung pengguna dan metrik kesehatan lainnya. Gadget ini nantinya juga memfasilitasi tugas-tugas seperti pemeriksaan e-mail dan membuat panggilan telepon.

Sumber lainnya mengatakan LG Display CO Ltd akan menjadi perusahaan pemasok ekslusif layar untuk batch awal produksi gadget ini. Ini akan berisi sensor yang bisa memonitor pulsa pengguna. Perusahaan berbasis Singapura, Heptagon akan menangani secara khusus sensornya dan ikut serta sebagai pemasok. Sejauh ini, Apple, Quanta, LG Display, dan Heptagon masih belum bisa memberikan komentar.

Sunday 15 June 2014

Yatt Hamzah Mahu Pasarkan 'Suci' Ke Peringkat Antarabangsa

Yatt mahu melancarkan rangkaian pakaian muslimahnya di luar negara.

KUALA LUMPUR: Pengusaha pakaian muslimah dan pelakon, Yatt Hamzah berhasrat memperkenalkan jenama pakaian muslimahnya, Suci, ke peringkat antarabangsa dan seterusnya membuka cawangan butiknya di negara-negara di rantau Asia.
Menyasarkan Brunei dan Singapura sebagai lokasi pembukaan butik yang seterusnya, Yatt kini mempunyai sebuah butik di ibu kota.

"Saya melihat Brunei dan Singapura sebagai pasaran berpotensi besar di samping telah mempunyai pelanggan tetap dari kedua-dua negara itu," kata Yatt ketika ditemui di Pameran Hijab Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIHF) 2014.

Pelakon dan peragawati muslimah turut menyasarkan jualan segera di Pameran Hijab sebanyak RM10,000 sehari.

Suci menyediakan 30 koleksi busana muslimah serta tudung dan setiap koleksi jenama tersebut menampilkan rekaan tersendiri serta warna yang berlainan.

Potongan harga sehingga 70 peratus akan diberikan kepada pengunjung pameran bagi setiap pembelian tudung dan jubah di gerainya.

Yatt berkata KLIHF 2014 memberi peluang kepadanya untuk beramah mesra dengan peminat-peminatnya serta dapat bersaing secara sihat dengan jenama lain.

Memanfaatkan jualan dalam talian yang bermula sejak Jun 2013, Yatt telah mengorak langkah ke hadapan dengan pembukaan butik.

"Untuk masa hadapan, saya berharap untuk mendaftarkan perniagaan kepada sendirian berhad bagi memudahkan usaha mengembangkan jenama saya," tambahnya lagi. (mStar)

Tuesday 10 June 2014

3 pilihan MAS: Suntik modal, jual atau isytihar bankrap.



KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) selaku pemegang saham terbesar Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) sedang menimbang tiga pilihan dalam usaha menyelamatkan syarikat penerbagan kebangsaan itu.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokthar berkata, tiga pilihan itu adalah menjual syarikat tersebut, menyuntik tambahan modal atau mengisytiharkan bankrap.

Semua pilihan itu kata beliau, bergantung kepada kesannya ke atas kewangan MAS serta kepentingan sosial dan imej negara.

Beliau juga menjelaskan bantuan kepada MAS oleh Khazanah adalah menggunakan wang pembayar cukai dan perkara itu juga harus dipertimbangkan dalam membuat keputusan.

"MAS merupakan pelaburan teras Khazanah kerana syarikat itu menjaga kepentingan negara," katanya pada sidang akhbar sempena persidangan Invest Malaysia 2014 di sini hari ini.

Dilaporkan MAS kerugian RM1.2 bilion pada tahun 2013 manakala kerugian bersih pada suku pertama 2014 adalah sebanyak RM433.4 juta.

Imej syarikat penerbangan itu juga semakin terjejas selepas tragedi kehilangan pesawat penerbangan MH370 sejak Mac lalu. - HARAKAHDAILY 10/6/2014

Wednesday 4 June 2014

Beli alat besarkan zakar, dapat kanta pembesar

 

Seorang lelaki berang apabila alat yang dibelinya melalui  talian untuk membesarkan saiz zakarnya hanya mampu membuatnya nampak lebih besar tanpa sebarang pembesaran fizikal.

Menurut laporan Star Online, setelah membelanjakan RM450, beliau hanya menerima kanta pembesar.

Berang dengan apa yang berlaku, lelaki itu mengadu kepada MCA.

Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Michael Chong berkata lelaki dari Seri Kembangan itu, yang hanya dikenali sebagai Ong, adalah mangsa penipuan dalam talian.

"Apabila menerima bungkusan, dia terkejut apabila mendapati kanta pembesar di dalamnya," Chong dipetik sebagai berkata.

Untuk memburukkan lagi keadaan - tidak pasti sama ada ianya satu gurauan atau sebaliknya - ia datang dengan arahan ringkas yang berbunyi: "Jangan gunakan di bawah cahaya matahari".

Chong berkata Ong adalah antara beberapa mangsa yang kerugian sejumlah RM80,000 tahun ini sahaja kerana menjadi mangsa penipuan sedemikian. (MK)

Tuesday 3 June 2014

Iklan Ganjil! Ini, Bakal Manusia Terkaya Dunia?





PETALING JAYA: Orang ramai yang melalui susur masuk dan keluar dari kedua-dua arah Jambatan Pulau Pinang kini tertanya-tanya siapakah lelaki muda yang muncul dalam papan iklan gergasi yang mendakwa dia adalah 'Bakal Orang Terkaya Di Dunia'.

Lelaki yang muncul dalam papan iklan gergasi tersebut dipercayai seorang warganegara China dan bukannya rakyat tempatan.

Seorang pengguna harian Jambatan Pulau Pinang, B.C Ong ketika menghubungi mStar Online memberitahu, papan iklan itu menimbulkan persoalan dan tanda tanya kepada orang ramai kerana ia tidak mempromosikan jenis perniagaan atau produk yang ingin diperkenalkan tetapi hanya wajah lelaki berkenaan.

"Pada papan iklan gergasi itu hanya terdapat gambar seorang lelaki muda yang bernama Zhang Jian selain tertulis "Bakal orang terkaya di dunia.
"Di sudut atas dan bawah papan itu pula tertulis dua laman web iaitu WWW.YLSM.HK dan www.cdtup.com. Tiada sebarang produk atau nama syarikat yang diperkenalkan di situ," katanya lagi.

Tambah Ong, berikutan itu, timbul persoalan mengenai perniagaan apakah disebalik papan tanda tersebut.
Sementara itu, hasil siasatan mStar di laman web tersebut dan laman sosial Facebook, https://www.facebook.com/jutawanyslm‎ mendapati, ia adalah sebuah kumpulan jutawan YslmLM.hk atau 'Group Jutawan Yslm.hk'.
Tiada produk yang diiklankan selain meminta orang ramai supaya menjana pendapatan dengan cara termudah tanpa perlu bekerja dan hanya 'bergoyang kaki' selepas mencari dua atau tiga rakan tajaan.

Untuk menyertainya, setiap peserta diberi pilihan untuk membeli pakej seperti VIP (RM300), VVIP (RM900), Emas (RM2,100) dan Intan RM4,500. Ia dijual secara lot.
Setiap peserta kemudian perlu mencari tajaan (downline) untuk membeli pakej itu sebagai usaha meningkatkan pendapatan kepada penaja (upline).
Setiap lot yang bermula dengan RM300 setahun didakwa mampu menjana pendapatan sehingga RM1,800 setahun manakala bagi lot bernilai RM4,800 setahun akan memberi pulangan berjumlah RM54,000 setahun.
Dari laman sosial tersebut, terdapat pautan yang membawa ke laman web http://www.jutawanyslm2u.com/.

Di laman web berkenaan menceritakan bahawa YSLM merupakan syarikat yang berpusat di China dan mengeluarkan lebih 3,000 produk yang tidak disenaraikan.
Syarikat itu milik seorang pemuda bernama Zhang Jian, berusia 26 tahun seperti yang terpapar pada papan iklan gergasi di laluan Jambatan Pulau Pinang serta menetap di China.
Turut disenaraikan ialah pejabat pertama YSLM di Setiawalk Puchong, Selangor yang telah dirasmikan pada 15 Januari yang lalu.
YSLM dikatakan berdaftar dibawah Akta Jualan Langsung di negara ini untuk melakukan perniagaan berkenaan.
Misi utama syarikat tersebut atau pemiliknya ialah menjadi individu terkaya di dunia dalam tempoh lima tahun. (mStar)