Tuesday 30 January 2018

'Ejen' pakej umrah tipu 16 jemaah ditahan.

'Ejen' pakej umrah tipu 16 jemaah ditahan

KUANTAN: Seorang wanita ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, hari ini kerana dipercayai terlibat dalam kes penipuan urusan pakej umrah membabitkan 16 mangsa dengan kerugian berjumlah RM117,500 tahun lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek yang berusia 48 tahun itu ditahan pada jam 11.35 pagi selepas memberi keterangan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) IPD Kuantan.

"Berdasarkan fakta kes, pada 25 Januari tahun lalu, seramai 16 mangsa membayar wang sebanyak RM117,500 kepada suspek bagi menunaikan umrah pada bulan Disember lalu.

"Bagaimanapun, pada  November 2017, suspek memberitahu mangsa bahawa pakej umrah yang dijanjikan tidak dapat dilakukan malah wanita itu juga tidak dapat memulangkan semula wang mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, media pernah melaporkan mengenai 48 individu termasuk peneroka FELDA Keratong, Rompin yang mendakwa telah kerugian kira-kira RM300,000 akibat ditipu seorang wanita dikenali sebagai 'Kak Ton' yang menawarkan pakej umrah.

Mangsa yang kecewa kerana gagal ke Tanah Suci pada tarikh dijanjikan iaitu awal Disember lalu membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah.

Mohd Wazir berkata, siasatan lanjut mendapati, modus operandi suspek adalah dengan memperdayakan orang ramai  dengan menawarkan pakej umrah yang tidak wujud.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

"Kita akan bawa suspek ke IPD Rompin dan dia akan dituduh di Mahkamah Majistret Rompin pada esok," katanya. (AA)

Monday 29 January 2018

Skim cepat kaya indah khabar dari rupa


KEADAAN ruang di dalam kedai haiwan yang diserbu pihak polis berhubung
KEADAAN ruang di dalam kedai haiwan yang diserbu pihak polis berhubung penipuan skim pelaburan melibatkan kucing di Shah Alam, Selangor baru-baru ini
BARU-BARU ini kita digemparkan dengan tangkapan ke atas dua individu oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan skim pelaburan kucing melibatkan kerugian berjumlah RM1.56 juta.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 34 dan 55 tahun yang merupakan pemilik dan pengurus syarikat pelaburan tersebut ditahan dalam serbuan di sebuah kedai haiwan yang terletak di Seksyen 14, Shah Alam, Selangor pada Jumaat lalu.
Selain premis di Shah Alam, pihak polis turut menyerbu dua lagi premis syarikat tersebut di Melati Utama, Setapak, Kuala Lumpur dan Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor.
Dalam serbuan itu, pelbagai dokumen berkaitan termasuk sijil baka kucing telah dirampas.
Sebenarnya, sebelum serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa, isu berkaitan penipuan skim pelaburan kucing berkenaan terlebih dulu telah tular di media sosial sejak beberapa minggu lalu.

Beberapa keping gambar mengenai keadaan kucing yang dikurung di dalam sangkar juga turut disiarkan yang menunjukkan haiwan berkenaan berada dalam keadaan tidak terurus termasuk ada yang kelihatan sakit sehingga mengundang kemarahan netizen.
Mengulas mengenai isu berkenaan, Pengerusi Biro Undang-Undang, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan meja bulat antara pelabur dan pemilik syarikat berkenaan bagi menyelesaikan perkara itu sebelum ini.
Pada pertemuan yang berlangsung pada 16 Disember lalu, pihak syarikat berkenaan telah bersetuju untuk membayar ganti rugi kepada pelabur yang terlibat.

Tertipu


Namun selepas tarikh berkenaan, pihak syarikat berkenaan gagal dihubungi. Mereka seolah-olah tidak lagi berminat untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Mungkin disebabkan itu, ada pelabur yang mengambil keputusan untuk membuat laporan polis selepas berasa tertipu dengan skim yang ditawarkan oleh syarikat tersebut,” katanya ketika dihubungi.
PPIM menerima lebih daripada 80 aduan berkaitan penipuan skim pelaburan tersebut dengan nilai kerugian kasar dianggarkan mencecah hampir RM2 juta.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Pengurusan Sumber Dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri ketika dihubungi berkata, skim pelaburan kucing tersebut menyamai skim pelaburan cepat kaya yang telah banyak dibongkar oleh pihak berkuasa.
“Sama ada skim itu menggunakan kucing, cacing, emas dan sebagainya, ia merupakan skim cepat kaya yang sebenarnya hanya indah khabar daripada rupa.
“Mereka hanya mengubah bentuk pelaburan itu, sedangkan modus operandi tetap sama iaitu menjadikan individu yang ingin kaya dengan cepat sebagai mangsa.
“Saya hairan mengapa masih ramai anggota masyarakat yang terpedaya untuk melabur dalam skim pelaburan seperti itu sedangkan telah banyak laporan di media mendedahkan kegiatan tersebut,” katanya.
Menurut Mohamad Fazli lagi, antara punca masih ada individu yang terpedaya dengan skim pelaburan seperti itu disebabkan kurang kesedaran terhadap penipuan melibatkan pelaburan selain tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.
Seseorang individu itu biasanya akan tertarik dengan pelan perniagaan yang dibentangkan oleh wakil syarikat pelaburan sehingga menyebabkan mereka sanggup mengeluarkan wang untuk melabur.
“Di atas kertas, memang pelan perniagaan tersebut nampak cantik dan menjanjikan pulangan yang berganda dalam tempoh masa tertentu.
“Jika lihat kepada keuntungan yang bakal diperoleh, siapa yang tidak mahu melabur.
“Hakikatnya, skim pelaburan seperti itu memang akan merugikan kerana ia bukanlah skim pelaburan yang sebenar,” katanya.

Selidik


Menurut Mohamad Fazli, individu yang ingin terlibat dalam mana-mana skim pelaburan seharusnya mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan melakukan penyelidikan terlebih dulu terhadap skim yang ditawarkan.
Mereka juga perlu mempunyai ilmu asas berkaitan pelaburan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Itulah kelemahan kita iaitu tidak mahu melakukan semakan dan penyelidikan terlebih dahulu berhubung skim pelaburan yang ditawarkan.
“Nak melabur itu tidak salah tetapi sepatutnya ambil sedikit masa dan selidiklah terlebih dahulu latar belakang syarikat serta prestasi semasa pelaburan.
“Pastikan juga kita mempunyai pengetahuan asas mengenai aktiviti pelaburan sebelum melabur. Jangan hanya kerana ingin cepat kaya, harta yang ada digadai semuanya sehingga akhirnya bak kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’,” katanya. (Kosmo!)

Thursday 25 January 2018

Harga petrol, diesel turun 1 sen

Post Pic

SHAH ALAM: Harga runcit bagi petrol RON95 dan RON97 serta diesel turun 1 sen bermula tengah malam ini.  
 
Harga baru itu diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerusi Twitter rasminya, hari ini. 
 
Bagi tempoh 25 Januari hingga 31 Januari, harga runcit RON95 ialah RM2.29 seliter, manakala RON97 ialah RM2.56 seliter.
 
Harga bagi diesel pula RM2.31 seliter.
 
Mekanisme pengumuman harga minyak secara mingguan itu mula berkuat kuasa pada 29 Mac tahun ini.
 
Harga petrol dan diesel diletakkan di bawah sistem apungan terkawal secara bulanan sejak 1 Disember 2014, berikutan penghapusan subsidi minyak.
 -sh-


Monday 22 January 2018

1% Golongan Hartawan Terus Bolot Kekayaan


Ilustrasi pengemis

PARIS – Satu peratus golongan paling kaya di dunia meraih 82 peratus hasil kekayaan tahun lalu, manakala orang miskin atau separuh penduduk dunia tidak menerima apa-apa, kata Oxfam hari ini.

Laporan baharu badan kebajikan itu turut mendapati kekayaan kalangan hartawan meningkat enam kali lebih pantas berbanding pekerja biasa sejak 2010.
Selain itu, seorang hartawan baharu muncul setiap dua hari di antara Mac 2016 dan Mac 2017.
Oxfam menggunakan penemuannya untuk memberi gambaran terhadap ekonomi global yang menyaksikan segolongan kecil mengumpul lebih banyak kekayaan ketika ratusan juta penduduk berdepan kesukaran meneruskan hidup dengan gaji yang rendah.
“Lonjakan jumlah hartawan bukan petunjuk ekonomi yang baik, ia adalah gejala sistem ekonomi yang gagal,” kata pengarah eksekutif Oxfam, Winnie Byanyima dalam kenyataannya.
Oxfam juga menekankan nasib pekerja wanita yang mendapat gaji lebih rendah berbanding lelaki dan sering mendapat bayaran paling rendah serta tiada jaminan.
Katanya, sembilan daripada 10 hartawan adalah lelaki.
Laporan bertajuk “Reward Work, not Wealth”, menggunakan data Credit Suisse untuk membandingkan pulangan eksekutif kanan dan pemegang saham berbanding pekerja biasa.
Ia mendapati, bayaran ketua eksekutif lima jenama fesyen terkemuka dunia selama empat hari adalah sama dengan pendapatan sepanjang hayat seorang pekerja pakaian di Bangladesh. – AFP/BH ONLINE

Friday 19 January 2018

BNM Nasihat Berwaspada Tawaran Syiling Permulaan


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap sebarang skim tawaran syiling permulaan (ICO).
Orang ramai diingatkan untuk berhati-hati sebelum menyertai sebarang skim ICO dengan menyemak namanya dalam senarai institusi yang berlesen di bawah undang-undang yang ditadbir oleh badan kawal selia.
Bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, penerbit juga perlu sedar bahawa pelancaran ICO, tawaran token digital sebagai pertukaran bagi mata wang digital atau sebarang bentuk pembayaran dan aktiviti sampingannya, mungkin mencetuskan keperluan kawal selia di bawah undang-undang sekuriti.
“Tiada sesiapa dibenarkan untuk menjalankan apa-apa aktiviti dikawal selia seperti pengumpulan dana, pengurusan dana dan berurus niaga dalam produk pasaran modal tanpa memperoleh kelulusan atau kebenaran yang perlu daripada SC.
“Selain itu, pengendali ICO dilarang daripada menjalankan aktiviti dikawal selia seperti pengambilan deposit dan perniagaan perbankan, aktiviti pentadbiran pertukaran asing dan penghantaran wang, tanpa mendapat kebenaran yang perlu di bawah undang-undang perkhidmatan kewangan yang ditadbir oleh BNM,” kata bank pusat itu.
BNM berkata kedua-dua pihak berkuasa itu akan terus memantau perkembangan ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menjalankan kegiatan tidak sah atau tanpa izin. – BERNAMA
BERNAMA

Perdagangan Bitcoin Adalah Haram – Mufti Perak



Ipoh: Mufti Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr Hj Harussani Hj Zakaria menegaskan urus niaga perdagangan mata wang termasuk Bitcoin (mata wang digital) itu hukumnya adalah haram menurut perspektif Islam. 

Menurutnya, jual beli mata wang ini sebenarnya tidak boleh apatah lagi ianya dilakukan secara di dalam talian dengan pelaburan yang tidak jelas. Sebaliknya, jual beli mata wang ini hanya boleh ketika kita hendak keluar negeri, misalnya mata wang kita yang perlu ditukarkan ke mata wang Amerika ketika berkunjung ke sana itu tidak mengapa kerana berlainan konsepnya. 

“Tetapi kalau kita membuat perniagaan mata wang seumpama Bitcoin ini, jelas itu tidak boleh,hukumnya haram,” tegas beliau. 

Tan Sri Dr Harussani turut bersetuju dengan kenyataan Mufti Mesir dan Setiausaha Agung Persatuan Ulama Sedunia yang mengatakan bahawa Bitcoin adalah haram. 

Terdahulu, di Kaherah, Mesir, Mufti Besar Mesir telah mengeluarkan fatwa rasmi yang melarang Bitcoin di mana nilainya melonjak melebihi USD 20 ribu pada bulan Disember. Mufti Besar Mesir berpendapat perdagangan cryptocurrency mirip dengan perjudian yang dilarang dalam Islam. 

“Fatwa tersebut dikeluarkan setelah berkonsultasi dengan beberapa ahli ekonomi,” terang Mufti Besar Mesir Shawki Allam seperti dikutip dari Russia Today, Khamis 4 Januari 2018,lalu. 

Menurut Tan Sri Dr Harussani, benarlah, apa yang dikatakan oleh Mufti Mesir itu, memang jual beli mata wang ini hukumnya haram itu tidak boleh dinafikan. Ditanya sama ada Bitcoin di Malaysia sudah diputuskan halal atau haram beliau berkata, perkara ini tidak perlu lagi diputuskan kerana jelas sudah haram hukumnya. 

“Berlainan dengan money changer itu lain ceritanya, orang datang tukar duit itu tidak mengapa. Tetapi perlu diingatkan sekali lagi jual beli mata wang adalah haram apatah lagi dilakukan di atas talian seumpama prosedur Bitcoin ini.” 

Ditanya apakah prosedur yang tepat berkenaan Bitcoin, fatwa negeri atau bank negara, beliau menasihatkan orang ramai terutamanya umat Islam supaya menjauhkan diri dari terlibat dengan pelaburan mata wang Bitcoin dan seumpamanya. 

Beliau mengulas perkara itu apabila ditanya mengenai Mesin juruwang automatik (ATM) Bitcoin yang pertama di Malaysia muncul di Ipoh, Perak. 

Memandangkan sejak ATM itu beroperasi, mesin juruwang automatik (ATM) Bitcoin yang pertama di Malaysia muncul di Ipoh, Perak ia mendapat sambutan daripada pelabur Bitcoin dengan purata 50 orang menggunakan mesin itu bagi menjual dan membeli mata wang digital itu setiap hari. 

Setiap pelabur biasanya mengeluarkan wang tunai RM200 hingga RM300 dengan purata urus niaga bulanan mencecah RM80,000 manakala urus niaga lebih RM500 pula perlu dibuat atas talian. 

Pengasas bersama Pinkexc, Fitry Daud dipetik dari China Press berkata, beliau mendapat idea mengimport ATM Bitcoin ketika melancong ke Jepun dan Korea di mana penggunaan mesin itu satu kebiasaan di negara berkenaan.


Thursday 18 January 2018

Haram Penyegar Udara Ada Bahan Kimia Tempat Awam



GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini meminta pihak berkuasa memperkenalkan undang-undang ke arah pengharaman penggunaan pewangi dan penyegar udara yang mengandungi bahan kimia berbahaya di tempat awam.

Presiden CAP, S.M Mohamed Idris berkata ia kerana produk sebegitu dibimbangi meningkatkan masalah pencemaran udara selain risiko kesihatan, terutama jika terlalu lama terdedah kepadanya.
“Menurut (kajian) Akademi Sains Amerika, 95 peratus bahan kimia yang digunakan dalam produk wangian adalah sebatian sintetik daripada petroleum. Ini termasuk bahan kimia toksik yang diketahui boleh menyebabkan kanser, kecacatan bayi ketika lahir dan masalah kesuburan,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Beliau turut mendakwa penyegar udara organik dan mesra alam juga boleh mengeluarkan bahan cemar udara yang berbahaya.
“Pengguna berhak untuk bernafas dalam udara yang bersih dan tidak tercemar, mereka tidak seharusnya terdedah kepada udara yang dicemari pewangi tiruan dan bahan kimia toksik lain,” katanya menambah CAP pernah menerima beberapa aduan daripada pengguna berhubung kesan sampingan akibat penggunaan beberapa produk yang dipercayai mengandungi bahan kimia berbahaya. – BERNAMA
Lihat sebelum ini..
Siri Politik Islam Masakini..
Hasil carian imej untuk undi siapa


[Soal-Jawab-Agama] HUKUM SKIM 4D – DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN




Apa pandangan Muamalat Islam terhadap SKIM “Duduk Diam Dapat Duit” yang telah banyak menjerumuskan orang ramai kepada kes penipuan pelaburan? — ~ Contoh pelaburan yang dibolehkan ~ Masalah…
Lihat sebelum ini..
Siri Politik Islam Masakini..

M'sia Ramai Perogol? Ini Peluang Bisness, Seluar Kalis Rogol!


Remaja cipta seluar dalam kalis rogol (Gambar)

JOM KREATIF  

Remaja cipta seluar dalam kalis rogol

Remaja cipta seluar dalam kalis rogol (Gambar) Remaja perempuan warga India telah mereka cipta seluar dalam yang didakwa kalis rogol yang dilengkapi dengan kunci, amaran GPS untuk makluman polis dan video kamera untuk merakamkan muka penyerang. 

Laporan The Daily Mail menyebut, Seenu Kumari yang dilahirkan dalam keluarga miskin di Farrukhabad, Uttar Pradesh membelanjakan kurang RM270 untuk membangunkan seluar dalam yang turut meletakkan butang kecemasan dan kunci. Berwarna merah jambu, ia diharap mendapat pasaran meluas kerana turut memiliki kelebihan kalis peluru dan tidak boleh dipotong dengan pisau. 

“Saya letakkan kunci pintar yang hanya boleh dibuka jika tahu kata laluannya, selain peranti elektronik yang dilengkapi GPS dan kemudahan untuk dihubungi. 

“Jadi, apabila ada yang cuba mencabuli seseorang wanita, peranti itu akan menghantar mesej kepada ahli keluarganya dan juga polis. “Susulan itu, pihak polis akan tiba di lokasi menggunakan GPS yang dipasang dan mematahkan cubaan merogol itu,” katanya. 

Bagaimanapun, katanya, seluar dalam itu tidak semestinya dipakai sepanjang masa, kecuali ketika melalu perjalanan sendirian dan ketika berada di lokasi yang dianggap tidak selamat. Tambahnya, jika diserang, wanita yang memakai seluar dalam ini juga boleh menekan butang pada peranti yang akan menghubungi nombor kecemasan yang telah ditetapkan. 

Menurut media Britain itu, prototaip seluar dalam itu juga telah dihantar ke Yayasan Innovasi Nasional di Allahabad untuk dipatenkan sebelum ia dipasarkan. -kualalumpurpost 

Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik: 1 Hingga 4
Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik:  1 Hingga 3 E-Buku IH-10: Siri 1
Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik: 1 Hingga 3 E-Buku IH-53: Siri 2
Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik: 1 Hingga 3 E-Buku IH-68: Siri 3
E-Buku IH-103: Kisah-kisah Jom Kreatif (4)  E-Buku IH-103: Siri 4

Monday 15 January 2018

“Logo Halal Sah” – Pengeluar Umi Keropok Udang.




TAIPING – Syarikat pengeluar makanan ringan berjenama ‘Umi Keropok Udang’ hari ini menjelaskan keropok udang keluarannya mempunyai logo halal yang sah daripada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) serta sijil Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (Mesti) Kementerian Kesihatan.

Pengarah Urusan Assari Enterprise, Chuah Hock Guan berkata mereka tampil membuat penjelasan itu selepas syarikat mengalami kemerosotan jualan hampir 50 peratus susulan tindakan rampasan oleh pihak berkuasa terhadap sebuah syarikat lain yang menggunakan pembungkusan hampir sama namun logo halal tiruan.
“Keropok udang yang kami hasilkan di sini menggunakan udang segar dari Kuala Sepetang dan dijual dengan harga RM3.50 bagi berat 75 gram.
“Setiap enam bulan sekali syarikat ini akan diperiksa oleh pihak berkuasa bagi memastikan pemerosesan keropok mengikut standard yang ditetapkan selain dijamin kebersihan,” katanya dalam sidang media di Kawasan Perindustrian Ringan Tupai, di sini.
Sehubungan itu, Chuah berkata pelanggan yang beragama Islam tidak perlu khuatir akan aspek suci dan halal produk berkenaan.
Menurutnya syarikat itu memperoleh sijil halal Jakim dan Mesti berkenaan sejak ia beroperasi pada 2008.
Beliau berkata keropok udang keluaran syarikat tersebut turut dieskport ke China sejak 2015.
“Namun, oleh kerana bekalan udang segar sukar diperolehi kerana nelayan bimbang untuk ke laut dalam keadaan ombak besar (sejak beberapa bulan ini) penghantaran ke China dikurangkan dengan memberikan tumpuan di Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Melaka dan di Perak,” katanya.
Pada 5 Januari lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perak telah merampas 396 bungkus keropok menggunakan jenama ‘Keropok Udang’ serta 1,600 unit plastik pembungkusan bernilai RM1,785 kerana menggunakan logo halal tanpa memiliki sijil halal yang diiktiraf Jakim dalam operasi di Gopeng. – BERNAMA


Friday 12 January 2018

Pasu tembikar masyarakat India, Malaysia.

Foto oleh AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

Dua lelaki mengangkat pasu tembikar tanah liat yang sudah dijemur di bawah cahaya matahari di Kilang Perusahaan Krishnan Pottery, Kuala Selangor, di sini hari ini. Pasu tembikar ini mendapat permintaan yang tinggi di pasaran menjelang perayaan Ponggal yang menjadi acara keagamaan bagi masyarakat India berugama hindu di Malaysia. (Kosmo!)

Thursday 11 January 2018

Motosikal 'Demak' Bakal Tembusi Pasaran Kemboja, Myanmar &Bangladesh.

YING (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Sokbundith  YING (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Sokbundith (tiga dari kiri) di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – DNC Asiatic Holdings Sdn. Bhd. (DNC Asiatic), pengeluar dan pemasang motosikal berjenama Demak, memperluaskan portfolio perniagaan eksportnya dengan me­nembusi pasaran Kemboja menjelang suku kedua tahun ini.
Pengarah Eksekutifnya, Hu Ying berkata, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 25,000 unit motosikal yang melibatkan AS$56 juta (RM224.2 juta) di negara tersebut dalam tempoh setahun.
“Kemboja menawarkan potensi pasaran yang cerah kepada kami, malah syarikat tidak meletakkan model motosikal ter­tentu bagi pasaran negara berkenaan dan ingin memenuhi segenap keperluan termasuk bagi tujuan pengangkutan biasa dan pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena majlis menandatangani perjanjian pengedaran antara DNC Asia­tic dengan Asian Comfort Co. Ltd. (Asian Comfort) bagi mempromosikan motosikal Demak di Kemboja di sini semalam.
Pemeteraian perjanjian itu disempurnakan oleh Ying yang mewakili DNC Asiatic manakala Asian Comfort diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, By Sokbundith.
Menerusi perjanjian berkenaan, Asian Comfort dilantik sebagai pengedar tempatan motosikal Demak yang dipasang di kilang Demak di Olak Lempit, Banting, Selangor.
Ying berkata, susulan penambahan pasaran Kemboja, pihaknya menyasarkan peningkatan eksport motosikal Demak kepada kira-kira 30,000 unit pada tahun ini berbanding 10,000 unit yang dicapai tahun lalu.
Selain Kemboja, pasaran eksport lain Demak ialah Myanmar dan Bangladesh.
Ia juga memiliki sebuah kilang pemasangan di Sri Lanka serta pengeluaran di Banting dan Kuching, Sarawak di Malaysia.
Ying memaklumkan, bagi tahun 2018, pihaknya berharap untuk mencapai kenaikan jualan kepada 51,000 unit motosikal, berbanding 46,000 unit pada tahun lalu. (Kosmo!)

Wednesday 10 January 2018

Jadi jutawan jual produk kecantikan.


Hasil carian imej untuk iklan produk kecantikan
Sepanjang perjalanan melalui Lebuh Raya Utara – Selatan dari Jalan Duta, Kuala Lumpur ke Alor Setar, Kedah terdapat beberapa papan iklan gergasi yang menarik dengan pelbagai aksi model bersama produk keluaran syarikat masing-masing.
Berbanding 10 tahun lalu, cuma syarikat korporat yang menggunakan papan iklan itu untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan kerana kosnya terlalu mahal.

Kini, hampir 80 peratus papan iklan gergasi yang dipacakkan di lokasi strategik itu menampilkan produk buatan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Pastinya, ia menawarkan salah satu hiburan buat pemandu yang melalui lebuh raya berkenaan.

Berdasarkan perkembangan semasa, ia menggambarkan PKS bumiputera kini lebih berdaya saing dan sanggup melaburkan wang yang banyak untuk peruntukan perbelanjaan pengiklanan, pemasaran serta promosi.

Bagi usahawan, platform iklan menggunakan papan iklan gergasi merupakan salah satu kaedah penjenamaan dan imej syarikat terbaik syarikat selain bertindak agresif dalam media sosial sambil menggunakan media cetak serta elektronik.

Kumpulan ini sebenarnya terlalu kreatif dalam penghasilan produk masing-masing. Pelbagai bahan semula jadi, ekstrak buah-buahan serta herba diformulasikan sendiri untuk menghasilkan produk bagi membantu meningkatkan kualiti kesihatan serta penjagaan kecantikan masyarakat kini.

Rata-rata produk mereka telah melalui kajian dan pembangunan yang teliti selain dihasilkan di kilang bertaraf Amalan Pengilangan Terbaik berserta mendapat pengesahan halal daripada

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia termasuk kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.

Sehubungan itu, tidak hairanlah jika produk yang berjaya dipromosikan dengan berkesan mampu mencatat jualan menggalakkan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit malah jutaan ringgit hanya dalam tempoh beberapa bulan selepas dilancarkan.

Ini disokong oleh rangkaian pemasaran yang kukuh di seluruh negara melalui pelantikan ejen dan stokis termasuk mengembangkan pasaran hingga ke negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Brunei.

Ternyata ia memberi ruang dan peluang kepada stokis atau ejen untuk menambah pendapatan bulanan masing-masing khususnya bagi mereka yang menjadikan perniagaan itu sebagai pekerjaan separuh masa.

“Saya memiliki seorang stokis wanita yang cukup aktif, masih muda dan pendapatan bulanannya ialah kira-kira RM50,000 ke atas setiap bulan,” demikian menurut seorang usahawan produk yang ditemui di premis perniagaannya baru-baru ini.

Saya termenung sejenak, memikirkan apakah strategi anak muda ini dalam perancangan pemasarannya sehingga berjaya mencatat jualan setinggi itu pada setiap bulan.

Ini semua memerlukan strategi yang mantap, rangkaian ejen yang aktif dan usaha gigih berterusan untuk mencapai sasaran berkenaan.

Lebih menarik, ada juga pasangan suami isteri yang sebelum ini tinggal di rumah pangsa dan hanya memiliki sebuah motosikal mampu mengubah kehidupan mereka dengan membeli

kenderaan pacuan empat roda dan membeli sebuah rumah banglo mewah di Pantai Timur hanya dengan penjualan produk jamu.

Produk keluaran syarikat pasangan muda ini berjaya membantu ramai pelanggannya untuk menurunkan berat badan.

Kejayaan mereka bukan datang dalam sekelip mata, ia memerlukan pengorbanan yang besar dari segi masa, tenaga dan wang ringgit untuk mencapai kejayaan itu.

Diharapkan kejayaan jutawan muda itu  dalam bidang pengeluaran produk buatan tempatan perlu dijadikan panduan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang tersebut. (Kosmo!)

Tuesday 9 January 2018

Video: Warga Asing Pukau Juruwang, Songlap RM1,400!


TERPEDAYA… Tular menerusi media sosial dengan rakaman video seorang juruwang wanita dipukau dua individu warga asing dalam kejadian di sebuah pasar raya di ibu negara.

Kejadian yang dipercayai dirakam pada Sabtu lalu itu dimuat naik oleh bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai Zack menerusi akaun Facebook miliknya.
Menurutnya, anak perempuannya itu mengalami kerugian kira-kira RM1,400 dan lebih aneh, ketika kejadian berlaku, tiada sesiapa pun yang menyedarinya.

“Assalamualaikum sahabatku, tolong viralkan video ini. Kejadian pukau di Kuala Lumpur oleh warga asing. Dalam video itu adalah anak saya. Kerugian RM1,400.
“Memang bijak diorang ini. Menurut anak saya, dia kena bayar balik duit itu kepada majikannya. Tak adillah begitu, kasihan anak saya,” katanya dalam kapsyen video.
Melihat pada rakaman, warga asing yang dipercayai berasal dari negara Timur Tengah itu pada mulanya cuba membayar dua air kotak jenama Milo dengan hanya menggunakan dua keping wang kertas RM1.
Wang yang diletakkan di atas kaunter itu kemudian diambil oleh mangsa, sambil memaklumkan yang ia masih tidak mencukupi dan perlu ditambah beberapa ringgit sahaja lagi.
Suspek kemudian meminta dipulangkan semula dua keping wang kertas itu dan ia digantikan dengan sekeping RM5.
Bagaimanapun, suspek lelaki secara tiba-tiba cuba menunjukkan kepada mangsa wang RM5 itu seakan rosak dan perlu diganti.
Pada saat inilah ilmu pukau pasangan terbabit dipercayai telah dipraktikkan dan mangsa pula dilihat ‘terdiam’ seketika dan hanya mampu menuruti permintaan mereka.
Suspek lelaki tersebut malah dilihat secara selamba mengaut sejumlah wang dari mesin simpanan wang dan kedua-dua pasangan itu tidak lama kemudian beredar.
Ekoran kejadian, mangsa telah dituduh cuai oleh pihak majikan dan lebih malang lagi, dia perlu membayar ganti rugi terbabit atau akan diberhentikan kerja.
Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan sentiasa berwaspada apabila berurusan dengan warga asing terutamanya pekerjaan yang melibatkan urusan wang, bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang. – MYNEWSHUB.CC

Kedai Makcik Seringgit diserbu pelajar.


 Pengusaha nasi bajet Noor Haliza Mohd Hashim,44, menunjukkan nasi bajet yang menjadi menu pilihan para pelanggannya di kedai Makcik Seringgit di Jalan Pondok Labu di Kulim. - Foto BERNAMA
KULIM: Sepasang suami isteri mengambil inisiatif menjual nasi bajet bagi membantu pelajar menikmati hidangan lazat pada harga murah.
Terkenal dengan jolokan Kedai Makcik Seringgit, Noor Haliza Mohd Hashim, 44, dan suaminya, Mohamad Rozi Ishak, 48, beroperasi sejak enam tahun lalu di Jalan Pondok Labu di sini.
"Tarikan utama adalah harganya iaitu nasi set bajet berharga serendah RM2 dan air hanya RM1 dan saya jual sebab kasihan kepada pelajar yang tak ada bajet besar untuk makan," katanya kepada Bernama.
Katanya, bagi set nasi bajet, pelanggan boleh memilih beberapa jenis lauk seperti ikan sardin, telur goreng atau rebus, sosej atau kepingan daging dan sayuran.
"Pelanggan boleh pilih satu daripada lauk ini dan sayuran yang disukai dengan harga RM2.
"Air pula, semua jenis air yang dibancuh termasuk Milo ais, teh ais, Horlicks ais dan ia hanya RM1 kecuali minuman yang di paket," katanya.
Noor Haliza menambah, kedainya mula beroperasi pada 7 pagi sehingga 7 malam.
"Waktu puncak pada tengah hari dan ketika ini pelajar paling ramai dan memang mereka akan pesan nasi bajet untuk makan tengah hari," katanya.
Selain itu, ramai pengunjung yang singgah ke kedainya untuk membeli air bungkus.
Katanya, kadang-kadang pelanggan memesan sehingga 20 bungkus air dan ada antaranya yang datang semata-mata mahu membeli air RM1.
Noor Haliza berkata, harga itu langsung tidak merugikan perniagaannya, malah menjadi tarikan ramai orang sehingga sentiasa dikunjungi setiap masa.
"Tak rugi sebab kalau rugi dah lama saya tak buat. Sudah lama saya berniaga dan lagi ramai orang datang.
"Bab makan saya tak nak berkira sangat. Janji harga berpatutan dan ramai orang boleh makan sampai kenyang," katanya.
Sementara itu, pelajar kolej vokasional, Aiman Syafiq Iza Syarrizan,18, berkata nasi ekonomi yang dijual di kedai tersebut lebih murah dari kantin kolejnya.
"Memang selalu saya dan kawan makan di sini terutama waktu tengah hari. Makanan di sini sedap dan harga lebih murah," katanya.-- BERNAMA