Friday 19 January 2018

Perdagangan Bitcoin Adalah Haram – Mufti Perak



Ipoh: Mufti Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr Hj Harussani Hj Zakaria menegaskan urus niaga perdagangan mata wang termasuk Bitcoin (mata wang digital) itu hukumnya adalah haram menurut perspektif Islam. 

Menurutnya, jual beli mata wang ini sebenarnya tidak boleh apatah lagi ianya dilakukan secara di dalam talian dengan pelaburan yang tidak jelas. Sebaliknya, jual beli mata wang ini hanya boleh ketika kita hendak keluar negeri, misalnya mata wang kita yang perlu ditukarkan ke mata wang Amerika ketika berkunjung ke sana itu tidak mengapa kerana berlainan konsepnya. 

“Tetapi kalau kita membuat perniagaan mata wang seumpama Bitcoin ini, jelas itu tidak boleh,hukumnya haram,” tegas beliau. 

Tan Sri Dr Harussani turut bersetuju dengan kenyataan Mufti Mesir dan Setiausaha Agung Persatuan Ulama Sedunia yang mengatakan bahawa Bitcoin adalah haram. 

Terdahulu, di Kaherah, Mesir, Mufti Besar Mesir telah mengeluarkan fatwa rasmi yang melarang Bitcoin di mana nilainya melonjak melebihi USD 20 ribu pada bulan Disember. Mufti Besar Mesir berpendapat perdagangan cryptocurrency mirip dengan perjudian yang dilarang dalam Islam. 

“Fatwa tersebut dikeluarkan setelah berkonsultasi dengan beberapa ahli ekonomi,” terang Mufti Besar Mesir Shawki Allam seperti dikutip dari Russia Today, Khamis 4 Januari 2018,lalu. 

Menurut Tan Sri Dr Harussani, benarlah, apa yang dikatakan oleh Mufti Mesir itu, memang jual beli mata wang ini hukumnya haram itu tidak boleh dinafikan. Ditanya sama ada Bitcoin di Malaysia sudah diputuskan halal atau haram beliau berkata, perkara ini tidak perlu lagi diputuskan kerana jelas sudah haram hukumnya. 

“Berlainan dengan money changer itu lain ceritanya, orang datang tukar duit itu tidak mengapa. Tetapi perlu diingatkan sekali lagi jual beli mata wang adalah haram apatah lagi dilakukan di atas talian seumpama prosedur Bitcoin ini.” 

Ditanya apakah prosedur yang tepat berkenaan Bitcoin, fatwa negeri atau bank negara, beliau menasihatkan orang ramai terutamanya umat Islam supaya menjauhkan diri dari terlibat dengan pelaburan mata wang Bitcoin dan seumpamanya. 

Beliau mengulas perkara itu apabila ditanya mengenai Mesin juruwang automatik (ATM) Bitcoin yang pertama di Malaysia muncul di Ipoh, Perak. 

Memandangkan sejak ATM itu beroperasi, mesin juruwang automatik (ATM) Bitcoin yang pertama di Malaysia muncul di Ipoh, Perak ia mendapat sambutan daripada pelabur Bitcoin dengan purata 50 orang menggunakan mesin itu bagi menjual dan membeli mata wang digital itu setiap hari. 

Setiap pelabur biasanya mengeluarkan wang tunai RM200 hingga RM300 dengan purata urus niaga bulanan mencecah RM80,000 manakala urus niaga lebih RM500 pula perlu dibuat atas talian. 

Pengasas bersama Pinkexc, Fitry Daud dipetik dari China Press berkata, beliau mendapat idea mengimport ATM Bitcoin ketika melancong ke Jepun dan Korea di mana penggunaan mesin itu satu kebiasaan di negara berkenaan.


No comments:

Post a Comment