Pengarah Eksekutifnya, Hu Ying berkata, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 25,000 unit motosikal yang melibatkan AS$56 juta (RM224.2 juta) di negara tersebut dalam tempoh setahun.
“Kemboja menawarkan potensi pasaran yang cerah kepada kami, malah syarikat tidak meletakkan model motosikal ter­tentu bagi pasaran negara berkenaan dan ingin memenuhi segenap keperluan termasuk bagi tujuan pengangkutan biasa dan pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena majlis menandatangani perjanjian pengedaran antara DNC Asia­tic dengan Asian Comfort Co. Ltd. (Asian Comfort) bagi mempromosikan motosikal Demak di Kemboja di sini semalam.
Pemeteraian perjanjian itu disempurnakan oleh Ying yang mewakili DNC Asiatic manakala Asian Comfort diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, By Sokbundith.
Menerusi perjanjian berkenaan, Asian Comfort dilantik sebagai pengedar tempatan motosikal Demak yang dipasang di kilang Demak di Olak Lempit, Banting, Selangor.
Ying berkata, susulan penambahan pasaran Kemboja, pihaknya menyasarkan peningkatan eksport motosikal Demak kepada kira-kira 30,000 unit pada tahun ini berbanding 10,000 unit yang dicapai tahun lalu.
Selain Kemboja, pasaran eksport lain Demak ialah Myanmar dan Bangladesh.
Ia juga memiliki sebuah kilang pemasangan di Sri Lanka serta pengeluaran di Banting dan Kuching, Sarawak di Malaysia.
Ying memaklumkan, bagi tahun 2018, pihaknya berharap untuk mencapai kenaikan jualan kepada 51,000 unit motosikal, berbanding 46,000 unit pada tahun lalu. (Kosmo!)