Friday 19 January 2018

BNM Nasihat Berwaspada Tawaran Syiling Permulaan


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap sebarang skim tawaran syiling permulaan (ICO).
Orang ramai diingatkan untuk berhati-hati sebelum menyertai sebarang skim ICO dengan menyemak namanya dalam senarai institusi yang berlesen di bawah undang-undang yang ditadbir oleh badan kawal selia.
Bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, penerbit juga perlu sedar bahawa pelancaran ICO, tawaran token digital sebagai pertukaran bagi mata wang digital atau sebarang bentuk pembayaran dan aktiviti sampingannya, mungkin mencetuskan keperluan kawal selia di bawah undang-undang sekuriti.
“Tiada sesiapa dibenarkan untuk menjalankan apa-apa aktiviti dikawal selia seperti pengumpulan dana, pengurusan dana dan berurus niaga dalam produk pasaran modal tanpa memperoleh kelulusan atau kebenaran yang perlu daripada SC.
“Selain itu, pengendali ICO dilarang daripada menjalankan aktiviti dikawal selia seperti pengambilan deposit dan perniagaan perbankan, aktiviti pentadbiran pertukaran asing dan penghantaran wang, tanpa mendapat kebenaran yang perlu di bawah undang-undang perkhidmatan kewangan yang ditadbir oleh BNM,” kata bank pusat itu.
BNM berkata kedua-dua pihak berkuasa itu akan terus memantau perkembangan ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menjalankan kegiatan tidak sah atau tanpa izin. – BERNAMA
BERNAMA

No comments:

Post a Comment