Wednesday 31 July 2013

$ Jatuh Teruk Dalam 15 tahun Berbanding Dolar S'pura ?

Oleh RANJIT SINGH

Aktiviti jualan berterusan menyebabkan aliran keluar mata wang menjadi lemah. Gambar The Malaysian Insider, Afif Abd Halim
Aktiviti jualan berterusan menyebabkan aliran keluar mata wang menjadi lemah. Gambar The Malaysian Insider, Afif Abd Halim 

RINGGIT Malaysia mengalami kejatuhan paling rendah dalam 15 tahun apabila nilainya susut RM2.586 berbanding dolar Singapura. Setiap tahun, ringgit jatuh sebanyak 5.5 peratus, sekaligus berita gembira buat rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu.

Aktiviti jualan berterusan yang dilakukan kerajaan Malaysia menyebabkan aliran keluar mata wang menjadi lemah," kata Pengarah Urusan, Aberdeen Asset Management’s Sdn Bhd, Gerald Ambrose kepada The Malaysian Insider.

Mengikut laporan agensi berita Bloomberg hari ini pula, sebanyak 33 peratus hutang Malaysia kepada pihak asing, dikatakan bernilai US$2.9 bilion mencapai tempoh matang esok hingga menjadi antara punca keadaan pasaran tidak menentu.

Apapun, rakyat Malaysia yang bekerja di seberang Tambah Johor sepatutnya gembira dengan perkembangan itu berikutan sebahagian pendapatan kembali kepada mereka. Bagaimanapun, kejatuhan ringgit itu yang menjadikan eksport Malaysia lebih murah, dijangka tidak memberi kesan besar berikutan permintaan sudah menurun pada separa awal tahun.

Pengukuhan dolar Singapura bakal menyaksikan lebih banyak pelaburan oleh rakyat republik itu dalam pasaran hartanah Malaysia yang sedia kala banyak didominasi mereka.

Rakyat Singapura antara warga asing yang aktif melibatkan diri dalam pasaran hartanah di Malaysia dan dipersalahkan kerana ia menyebabkan kenaikan mendadak harga hartanah di bandar utama di Malaysia.

Mengikut undang-undang Malaysia, warga asing hanya dibenar untuk membeli hartanah bernilai lebih RM500,000.

Ketua Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua pula memberitahu The Malaysian Insider, usaha untuk mengkaji secara teliti punca kejatuhan ringgit dijangka memerlukan mengambil masa yang panjang. - 30 Julai, 2013.


The Malaysia Insider

Monday 22 July 2013

Ella Cookies: Ella Jual Biskut Kesihatan

Ella menjual biskut kesihatan bersempena Ramadan dan Hari Raya.


HALAMAN HIBURAN

PETALING JAYA: Seperti mana kebanyakan artis-artis lain berniaga pada bulan Ramadan, penyanyi Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminudin tidak mahu ketinggalan dan turut berjinak-jinak dalam perniagaan biskut kesihatan bersempena bulan Ramadan.

Ella, 47, berkata, dia memilih untuk menjual biskut kesihatan kerana ia jarang dilakukan oleh orang lain selain sikapnya yang memang sentiasa mementingkan pemakanan sihat.

"Sebelum berani menjual biskut berkenaan Ella cuba terlebih dahulu selain menkaji bahan-bahan digunakan sebelum mengambil keputusan untuk berniaga.
"Alhamdulillah suami pun turut menyokong malah dia juga turut menyukai biskut berkenaan," jelasnya kepada mStar Online.

Biskut yang diberi nama Ella Cookies itu tampil dengan empat perisa iaitu kismis, kelapa, kurma dan badam. Ia menggunakan oat sebagai bahan utama pembuatannya.

Dalam perkembangan sama, Ella berkata, dia juga berhasrat untuk meneruskan perniagaan Ella Cookies selepas musim perayaan dengan mempelbagaikan produk yang berasaskan oat.
Jelas Ella, dia mahu mengeluarkan snek berkhasiat dan pada masa sama mendidik masyarakat tentang pemakanan sihat.

"Ella sangat optimis dengan projek ini dan berharap ia akan menjadi kenyataan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ella berkata, dia kini sedang berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga dan suami dan akan kembali sibuk selepas Hari Raya kelak. Kata Ella, dia bakal muncul dengan beberapa siri konsert solo dan akustik, dan memberitahu tidak sabar untuk bertemu dan menghiburkan para peminatnya. Sementara itu, Ella berkata, Aidil Fitri tahun ini dia akan menyambutnya di kampung halaman suaminya di Muar, Johor.  (mStar)

Komen Weblog Ibnu Hasyim:Semoga berjaya dan berterusan hingga bukan hanya untuk hari raya sahaja. insya Allah!

Friday 12 July 2013

Tiga rakyat Malaysia ditahan di Bangkok guna kad kredit palsu

 BANGKOK - Tiga rakyat Malaysia yang pertama kali berkunjung ke Thailand ditahan semalam kerana didakwa menggunakan kad kredit palsu untuk membeli barangan berjenama bernilai 844,700 baht (RM85,962).

Komander Polis Perlancongan, Maj Jen Polis, Roy Inkapairoj memberitahu pemberita mereka dikenali sebagai Yap Wei Lun, 28, Liew Choon Chick, 23, dan Bong Joo Soon, 30.

Mereka ditahan di sebuah kedai di Bangkok tengah ketika cuba membayar barangan yang mereka beli.
Turut ditemui pada mereka ialah sebanyak 14 keping kad kredit palsu dan empat resit kad kredit.

Inkapairoj berkata, ketiga-tiga mereka mengaku mereka mengimbas maklumat kad kredit dari Amerika Syarikat untuk membeli jam tangan, tali pinggang dan beg yang mereka serahkan kepada seorang lagi rakyat Malaysia yang sedang bersembunyi sekarang.

Mereka didakwa memasuki Thailand secara haram melalui Sadoa, bahagian selatan Thailand yang bersempadan dengan Malaysia. - Bernama