Friday 24 December 2010

S/Mokhtar luaskan rangkaian, kuasai Pel. P.Pinang

Syed Mokhtar juga akan memperolehi perkhidmatan feri Pulau Pinang. — WikiCommons

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Tokoh perniagaan berpengaruh, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang rapat dengan pentadbiran Najib berjaya dalam “rebutan” memiliki Penang Port Sdn Bhd (PPSB), sekali gus menjadikan pelabuhan utara itu menjadi entiti baru dalam operasi logistik maritimnya.

The Malaysian Insider difahamkan Kabinet telah meluluskan penjualan PPSB pada mesyuarat mingguannya minggu ini meskipun menerima bidaan berdaya saing daripada ahli-ahli perniagaan utama yang lain dan juga kerajaan Pulau Pinang sendiri, pemilik tanah pelabuhan itu.

“Kabinet telah memutuskan keputusan yang memihak Syed Mokhtar,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Syarikat Syed Mokhtar akan membeli pengendali pelabuhan dan juga perkhidmatan feri antara George Town dan Butterworth.

Bagaimanapun tidak pasti harga yang kerajaan pusat bersetuju tetapi sumber memberitahu bahawa ia akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

Tokoh perniagaan berpengaruh ini sudah pun memiliki Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor menerusi MMC Corp Bhd, di mana kerjasama dengan Gamuda Bhd juga dinamakan sebagai Project Delivery Partner bagi pembangunan MRT RM36 bilion di Kuala Lumpur.

Awal bulan ini, The Malaysian Insider melaporkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang juga menunjukkan minat mahu mengambil alih PPSB daripada Putrajaya, yang dilaporkan menerima beberapa tawaran menguasai pelabuhan utara Semenanjung ini yang mempamerkan keuntungan sejak kebelakangan ini.

The Malaysian Insider difahamkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah mengemukakan bidaan kepada pemilik PPSB — Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Selain Syed Mokhtar, turut menunjukkan minat ialah Datuk Siew Ka Wai, yang juga rapat dengan pentadbiran Najib.

PPSB memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM77.74 juta pada tahun lalu, meningkat daripada RM22.70 juta yang dicapai pada 2008 meskipun pulangan merosot kepada RM268.54 juta berbanding RM277.04 juta pada 2008.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat pimpinan Lim pula merupakan pesaing kepada kerajaan pusat Barisan Nasional (BN), yang baru-baru ini melantik Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai pengerusi badan kawal selia pelabuhan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC).

PPC mengeluarkan lesen kepada PPSB untuk mengendalikan pelabuhan itu yang diswastakan pada 1 Januari 1994 iaitu ketika Pulau Pinang ditadbir oleh BN.

Kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri berubah pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

Sumber-sumber memberitahu bahawa Syed Mokhtar menjadi pilihan kerana syarikatnya sudah pun menguruskan beberapa pelabuhan dan lapangan terbang meskipun Siew berminat untuk membeli PPSB menerusi Ancom Logistics Bhd, yang pengerusinya ialah Datuk Abdul Latif Abdullah, yang pernah menjadi pengerusi PPSB.

Sumber-sumber kerajaan negeri sebelum ini pernah memberitahu bahawa Lim mampu membawa sejumlah ahli perniagaan dan pakar untuk menguruskan PPSB yang kini memerlukan dana bagi mendalamkan saluran pelabuhan itu dan memodenkan dermaga.

Rakan-rakan Lim dari DAP memberitahu Parlimen pada 24 November lalu bahawa Putrajaya seharusnya tampil menjelaskan sama ada Syed Mokhtar telah membeli pengurusan PPSB, yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin Umno, antaranya Pengerusi PPSB Datuk Seri Dr Hilmi Yahya dan pengarah urusannya Datuk Ahmad Ibnuhajar.

Konglomerat Syed Mokhtar diberikan lesen penyedia rangkaian 4G baru-baru ini manakala satu lagi subsidiarinya berminat untuk mendapatkan Lebuh Raya Utara-Selatan.

Ahli Parlimen DAP Tony Pua mengemukakan persoalan di Dewan Rakyat bulan lalu berhubung pengambilalihan PPSB oleh Syed Mokhtar dan menuntut penjelasan sepenuhnya daripada kerajaan mengenai proses penswastaan.

Wakil rakyat Petaling Jaya Utara ini menekankan bahawa operasi pelabuhan itu diselubungi salah guna dan penyelewengan sebagaimana disebutkan oleh Laporan Audit Negara 2009 dan akan disiasat oleh oleh Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara dalam dua minggu ini.

Dengan merujuk kepada laporan spekulatif Business Times Singapura Oktober lalu, Pua berkata, jika pengambilalihan menjadi kenyataan, ia akan menjadi satu lagi tindakan bertentangan dengan banyak janji kerajaan yang mahu bertindak telus dan penuh akauntabiliti, yang dijanjikan oleh Model Baru Ekonomi (MBE) Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pua juga menggambarkan langkah itu sebagai satu lagi proses penswastaan “ala-Dr Mahathir” dan mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengadakan tender terbuka bagi pembida terbaik membangunkan pelabuhan tersebut.

Saturday 11 December 2010

Ahli perniagaan dibenar lupus aset RM98.5 juta

KL, 10 Dis — Seorang ahli perniagaan hari ini berjaya mendapatkan perintah daripada Mahkamah Tinggi di sini untuk melupuskan asetnya yang bernilai RM98.5 juta.

Hakim Harmindar Singh Dhaliwal membuat keputusan itu dalam kamar pada 9 malam ini selepas mendengar hujah semua pihak selama empat jam.

Peguam Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Sannusi Ngah, 52, memberitahu pemberita bahawa Harminder telah mengetepikan perintah pembekuan sementara yang diperoleh Fatimah Abdul Aziz, 61, pada 29 Nov lepas.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati tidak ada alasan munasabah dikemukakan.

Beliau berkata hakim berkenaan juga memerintahkan Fatimah membayar kos sebanyak RM15,000 kepada setiap defendan, dan jumlah ganti rugi yang terlibat bagi pendengaran kes itu akan ditentukan oleh timbalan pendaftar.

“Hakim juga telah menolak permohonan plaintif untuk penangguhan penghakiman tersebut,” katanya. “Bagi perbicaraan saman utama (Fatimah menyaman suaminya dan dua yang lain kerana memungkiri amanah), perbicaraannya akan ditetapkan kemudian.”

Zainul Rijal berkata Fatimah telah memfailkan tuntutan fasakh di Mahkamah Syariah dan kes penceraian pasangan itu akan didengar 30 Dis ini.

Pada 23 Nov lepas, Fatimah menyaman Sannusi, abang iparnya Md Jais dan syarikat mereka Budi Tenggara Sdn Bhd kerana didakwa memungkiri amanah dengan melupuskan sebahagian aset tanpa persetujuan daripadanya.

Beliau mendakwa Budi Tenggara memiliki saham dalam sebuah syarikat pegangan laburan Hartalega Holdings Berhad (HHB) dan Hartalega Industries Sdn Bhd (HISB).

Dalam pernyataan tuntutannya, Fatimah berkata beliau berkahwin dengan Sannusi pada 1988, namun hubungan mereka telah menjadi keruh dan beliau kini dalam proses mendapatkan perintah fasakh di Mahkamah Syariah.

Fatimah yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 16 tahun, mendakwa suami dan abang iparnya secara bersama atau berasingan, telah dari semasa ke semasa menyebabkan Budi Tenggara melupuskan saham dalam HHB antara April 2009 hingga Julai tahun ini.

Sehubungan itu, plaintif memohon satu pengisytiharan bahawa saham dalam HHB yang telah didaftarkan di syarikat Budi Tenggara adalah milik bersama beliau dan suaminya, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan kos. — Bernama

Wednesday 8 December 2010

Subsidi: Putrajaya Keringkan Saku Rakyat -The Economist

Penyokong protes kenaikan harga minyak mengambil bahagian dalam sebuah demonstrasi di Kuala Lumpur, 13 Jun 2008. — Foto Reuters

Langkah Putrajaya bakal keringkan saku rakyat, ramal The Economist

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Harga barangan dan perkhidmatan dijangka mengalami kenaikan mulai 2011 hingga 2015 ekoran langkah pentadbiran Najib memutuskan untuk mengurangkan subsidi secara berperingkat dan merapatkan jurang defisit bajet, demikian menurut laporan The Economist di sebalik spekulasi pilihan raya umum akan berlangsung awal tahun depan.

The Economist sendiri menolak cakap-cakap bahawa pilihan raya umum awal meskipun ia meramalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) kemungkinan akan kehilangan lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum ke-13 ekoran kemerosotan sokongan orang Melayu muda dan moderat.

Mandat semasa hanya akan berakhir Mac 2013.

“Usaha kerajaan untuk merasionalkan skim subsidi negara yang dikatakan terlalu besar akan menyebabkan pengaruh kenaikan dalam harga sepanjang tempoh ramalan (2011 hingga 2015),” kata laporan Intelligence Unit majalah itu mengenai Malaysia dalam edisi terbaru Disember.

Harga bahan api dan gula mengalami kenaikan mulai 4 Disember lalu — kali kedua selepas Julai lalu ekoran dasar pelarasan subsidi oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara berperingkat-peringkat mesipun sebelum ini seorang menteri Kabinet mengatakan bahawa tidak akan ada kenaikan harga sehingga hujung tahun ini.

Minggu lalu, Putrajaya mengumumkan pengurangan subsidi sebanyak lima sen bagi setiap liter petrol RON 95 dan diesel, lima sen setiap kilogram (kg) bagi Gas Asli Cecair (LPG) dan 20 sen satu kg bagi gula.

Berikutan pengurangan subsidi itu, harga petrol RON95 ialah RM1.90 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 satu kg dan gula RM2.10 satu kg.

Langkah pertama program rasionalisasi subsidi dilaksanakan pada 16 Julai lalu apabila subsidi bagi petrol RON95 petrol dan diesel dikurangkan sebanyak lima sen seliter, 10 sen bagi satu kg untuk LPG dan 25 sen bagi satu kg gula.

Putrajaya berkata rasionalisasi subsidi perlu dilakukan kerana kerajaan mendapati ia perlu terus mengurus kedudukan fiskalnya dengan cara meningkatkan jumlah kutipan hasil dan, pada waktu yang sama, mengurangkan perbelanjaan.

Program Transformasi Ekonomi (PTE) bertujuan meningkatkan per kapita pendapatan kepada AS$15,000 (RM46,500) menjelang 2020, kata Putrajaya.

Semalam, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa kenaikan harga bahan asas ini pasti akan membawa padah terutama kepada kaum pekerja yang berpendapatan rendah. “Apabila harga barang keperluan asas ini naik, ia bermakna gaji kaum pekerja menurun.

“Kuasa beli yang dimiliki melalui upah gaji pada hakikatnya semakin merosot. Dua puluh sen harga gula naik ertinya dua puluh sen pula duit gaji kita semua turun,” katanya.

MTUC juga berkata, harus disedari bahawa walaupun yang dinaikkan hanya harga hanya gula dan bahan bakar petroleum tetapi yakinlah barangan lain juga akan turut sama naik.

Laporan itu juga menjangkakan bahawa kerajaan akan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam beberapa tahun lalu dan meramalkan inflasi tahunan sebanyak 3.4 peratus antara 2011 hingga 2015.

“Risiko inflasi juga akan diakibatkan oleh GST, di mana kerajaan akan berusaha untuk memperkenalkan di bahagian awal tempoh itu,” kata laporan tersebut.

“Tetapi pengaruh-pengaruh bukan inflasi juga akan kuat,” kata laporan itu dengan merujuk kepada pemansuhan halangan-halangan perdagangan dan integrasi ekonomi serantau yang lebih kukuh.

Malah laporan itu juga meramalkan pertumbuhan lima peratus bagi Malaysia dari 2011 hingga 2015, yang seiring dengan jangkaan Bank Pembangunan Asia sebanyak lima peratus bagi tahun depan.

Bagaimanapun matlamat Najib mahu menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 memerlukan pertumbuhan enam peratus.

Penganalisis-penganalisis mendakwa Model Baru Ekonomi, yang bahagian kedua diumumkan Jumaat lalu kurang memperlihatkan pendekatan-pendekatan khusus untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Laporan itu juga menambah, suku ketiga tahun ini menyaksikan pertumbuhan perlahan, yang dijangka akan berterusan pada suku keempat.

Ekonomi Malaysia mengalami pertumbuhan 5.3 peratus pada suku ketiga tahun ini selepas suku kedua yang lebih kukuh ekoran permintaan luaran yang lembab dan pengurangan perbelanajaan kerajaan.

Ekonomi bertumbuh 10.1 peratus pada suku pertama dan 8.9 peratus pada suku kedua.

Laporan itu meramalkan pertumbuhan 6.8 peratus bagi Malaysia tahun ini iaitu kadar enam hingga tujuh peratus yang dianggarkan oleh kerajaan.

Ia juga menekankan pelaburan dan penggunaan swasta akan menjadi penggerak utama pertumbuhan dalam lima tahun akan datang.

Malah laporan itu juga meramalkan ringgit akan mengalami peningkatan nilai hampir 10 peratus pada kadar purata tahun 2010.

“Perbezaan kadar faedah positif dengan Amerika Syarikat akan wujud di peringkat awal tempoh kajian (2011-2015), yang mana secara berterusan akan menyediakan sokongan kepada ringgit.

“Oleh itu, kami menjangkakan kadar pertukaran akan kekal sama, mencecah purata tahunan RM2.95:AS$1 pada 2015,” kata laporan itu.

Di samping itu laporan tersebut juga menekankan bahawa Bank Negara Malaysia dijangka membenarkan ringgit didagangkan di luar pesisir pada tempoh terkemudian sepanjang 2011 dan 2015, ekoran perkembangan susulan ke arah integrasi ekonomi serantau.

Friday 3 December 2010

P.Pg Minat Ambil Alih Pelabuhan Negeri



KUALA LUMPUR, 3 Dis — Kerajaan negeri Pulau Pinang juga menunjukkan minat mahu mengambil alih Penang Port Sdn Bhd (PPSB) daripada Putrajaya, yang dilaporkan menerima beberapa tawaran menguasai pelabuhan utara Semenanjung ini yang mempamerkan keuntungan sejak kebelakangan ini.

The Malaysian Insider difahamkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah mengemukakan bidaan kepada pemilik PPSB - Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Turut memperlihatkan minat ialah tokoh perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Datuk Siew Ka Wai, yang kedua-duanya rapat dengan pentadbiran Najib.

“Pulau Pinang sudah pun mengemukakan tawaran mendapatkan PPSB. Ia yakin bahawa boleh melakukan kerja yang lebih baik berbanding pengurusan semasa,” kata sumber kerajaan negeri kepada The Malaysian Insider.

PPSB memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM77.74 juta pada tahun lalu, meningkat daripada RM22.70 juta yang dicapai pada 2008 meskipun pulangan merosot kepada RM268.54 juta berbanding RM277.04 juta pada 2008.

Sumber-sumber kerajaan negeri memberitahu Lim mampu membawa cukup ahli perniagaan dan pakar untuk menguruskan PPSB yang kini memerlukan dana bagi mendalamkan saluran pelabuhan itu dan memodenkan dermaga.

“Lim mempunyai beberapa idea untuk menyusun semula pelabuhan dan membolehkannya beroperasi dengan lebih baik,” kata sumber itu dengan mengatakan bahawa Pulau Pinang memiliki tanah pelabuhan dan perairan, dan sebenarnya mempunyai kata dalam soal menentukan siapa sebenarnya memiliki PPSB.

Rakan-rakan Lim dari DAP memberitahu Parlimen pada 24 November lalu bahawa Putrajaya seharusnya tampil menjelaskan sama ada Syed Mokhtar telah membeli pengurusan PPSB, yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin Umno, antaranya Pengerusi PPSB Datuk Seri Dr Hilmi Yahya dan pengarah urusannya Datuk Ahmad Ibnuhajar.

Konglomerat Syed Mokhtar diberikan lesen penyedia rangkaian 4G baru-baru ini manakala satu lagi subsidiarinya berminat untuk mendapatkan Lebuh Raya Utara-Selatan.

Bagaimanapun Syed Mokhtar berhadapan dengan saingan daripada pengendali pelabuhan Siew, tokoh industri prokerajaan yang baru-baru ini memperluaskan syarikat media Red Berry untuk menyertakan bersama akhbar tabloid The Malay Mail, Bernama TV dan akhbar harian Malaysian Reserve.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat pimpinan Lim pula merupakan pesaing kepada kerajaan pusat Barisan Nasional (BN), yang baru-baru ini melantik Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai pengerusi badan kawal selia pelabuhan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC).

PPC mengeluarkan lesen kepada PPSB untuk mengendalikan pelabuhan itu yang diswastakan pada 1 Januari 1994 iaitu ketika Pulau Pinang ditadbir oleh BN.

Kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri berubah pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

Ahli Parlimen Tony Pua mengemukakan persoalan semalam berhubung pengambilalihan PPSB oleh Syed Mokhtar dan menuntut penjelasan sepenuhnya daripada kerajaan mengenai proses penswastaan.

Wakil rakyat Petaling Jaya Utara ini menekankan bahawa operasi pelabuhan itu diselubungi salah guna dan penyelewengan sebagaimana disebutkan oleh Laporan Audit Negara 2009 dan akan disiasat oleh oleh Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara dalam dua minggu ini.

Dengan merujuk kepada laporan spekulatif Business Times Singapura Oktober lalu, Pua berkata, jika pengambilalihan menjadi kenyataan, ia akan menjadi satu lagi tindakan bertentangan dengan banyak janji kerajaan yang mahu bertindak telus dan penuh akauntabiliti, yang dijanjikan oleh Model Ekonomi Baru (MEB) Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pua juga menggambarkan langkah itu sebagai satu lagi proses penswastaan “ala-Dr Mahathir” dan mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengadakan tender terbuka bagi pembida terbaik membangunkan pelabuhan tersebut.

Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang merasakan “dihina dan ditipu” apabila penyerahan Pelabuhan Pulau Pinang tidak dilakukan secara terbuka.

Justeru, beliau menggesa agar Ketua Pegawai Eksekutif PPSB digantung ekoran laporan salah guna dan penyelewengn dalam operasi pelabuhan. (AK)

Thursday 2 December 2010

Jadi Bilioanir Jual Laman Web


LAMAN web Groupon milik Andrew Mason.


LONDON - Seorang usahawan Internet, Andrew Mason, 29, bakal mengikuti jejak langkah pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg, 26, dengan menjadi bilionair apabila dia bersetuju untuk menjual laman web beliau kepada enjin carian Internet, Google, lapor sebuah akhbar semalam.

Mason dikatakan bersetuju untuk menjual laman web bernama Groupon itu kepada Google dengan harga £4.1 billion (RM20.2 billion).

Beliau sebelum ini turut dilaporkan menolak tawaran daripada sebuah lagi enjin carian Internet, Yahoo kerana ia hanya menawarkan sebanyak £1.3 billion (RM6.4 billion) untuk membeli laman web terbabit.

Laman web yang telah dibina sejak dua tahun lalu itu telah menawarkan sebanyak 1,000 peluang pekerjaan di tempat kelahiran Mason iaitu Chicago, Amerika Syarikat selain digunakan oleh 2.5 juta pengguna di Britain.

Bagaimanapun kerana kelebihan yang ditawarkan seperti diskaun pembelian tiket wayang dan pelbagai barangan lain melalui Internet sehingga 90 peratus, jumlah pelayar kini semakin bertambah sebanyak 10 peratus setiap minggu.

Bagaimanapun, ia masih tidak boleh menyaingi Facebook kerana laman sosial itu kini bernilai £32 billion (RM158.1 bilion). - Agensi