Saturday 11 December 2010

Ahli perniagaan dibenar lupus aset RM98.5 juta

KL, 10 Dis — Seorang ahli perniagaan hari ini berjaya mendapatkan perintah daripada Mahkamah Tinggi di sini untuk melupuskan asetnya yang bernilai RM98.5 juta.

Hakim Harmindar Singh Dhaliwal membuat keputusan itu dalam kamar pada 9 malam ini selepas mendengar hujah semua pihak selama empat jam.

Peguam Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Sannusi Ngah, 52, memberitahu pemberita bahawa Harminder telah mengetepikan perintah pembekuan sementara yang diperoleh Fatimah Abdul Aziz, 61, pada 29 Nov lepas.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati tidak ada alasan munasabah dikemukakan.

Beliau berkata hakim berkenaan juga memerintahkan Fatimah membayar kos sebanyak RM15,000 kepada setiap defendan, dan jumlah ganti rugi yang terlibat bagi pendengaran kes itu akan ditentukan oleh timbalan pendaftar.

“Hakim juga telah menolak permohonan plaintif untuk penangguhan penghakiman tersebut,” katanya. “Bagi perbicaraan saman utama (Fatimah menyaman suaminya dan dua yang lain kerana memungkiri amanah), perbicaraannya akan ditetapkan kemudian.”

Zainul Rijal berkata Fatimah telah memfailkan tuntutan fasakh di Mahkamah Syariah dan kes penceraian pasangan itu akan didengar 30 Dis ini.

Pada 23 Nov lepas, Fatimah menyaman Sannusi, abang iparnya Md Jais dan syarikat mereka Budi Tenggara Sdn Bhd kerana didakwa memungkiri amanah dengan melupuskan sebahagian aset tanpa persetujuan daripadanya.

Beliau mendakwa Budi Tenggara memiliki saham dalam sebuah syarikat pegangan laburan Hartalega Holdings Berhad (HHB) dan Hartalega Industries Sdn Bhd (HISB).

Dalam pernyataan tuntutannya, Fatimah berkata beliau berkahwin dengan Sannusi pada 1988, namun hubungan mereka telah menjadi keruh dan beliau kini dalam proses mendapatkan perintah fasakh di Mahkamah Syariah.

Fatimah yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 16 tahun, mendakwa suami dan abang iparnya secara bersama atau berasingan, telah dari semasa ke semasa menyebabkan Budi Tenggara melupuskan saham dalam HHB antara April 2009 hingga Julai tahun ini.

Sehubungan itu, plaintif memohon satu pengisytiharan bahawa saham dalam HHB yang telah didaftarkan di syarikat Budi Tenggara adalah milik bersama beliau dan suaminya, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan kos. — Bernama

No comments:

Post a Comment