Tuesday 16 August 2016

Gula enau tentukan kualiti, rasa dan tekstur.


Hasil carian imej untuk Gula enau tentukan kualiti, rasa dan tekstur
JAM di tangan baru menunjukkan pukul 7 pagi, namun Rosman Yasip atau lebih mesra disapa dengan panggilan Aman, sudah terpacul di kedai makan miliknya di Kampung Kubang Rusa, Pelangai, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Walaupun kedai makannya, Aman Penganan Cair dibuka pada pukul 9 pagi, tetapi dia datang awal bagi melakukan persiapan memasak penganan cair yang diusahakannya sejak beberapa tahun yang lalu.
Penganan cair merupakan manisan atau penganan yang masak kira-kira 80 peratus dan ia popular di Negeri Sembilan dan Melaka. Di negeri lain, penganan turut dikenali sebagai dodol. Makanan tradisional ini popular terutamanya pada sambutan hari raya atau kenduri-kendara di kampung.
Kini, penganan cair semakin diminati orang ramai terutamanya golongan muda. Malah, ia juga telah menjadi makanan harian dan tidak hanya tertumpu pada musim perayaan dan kenduri kahwin sahaja.
“Keluarga saya asalnya memang memiliki kepakaran membuat penganan cair kerana ia merupakan resipi warisan turun-temurun, tetapi ia untuk dihidangkan kepada keluarga dan tetamu sahaja.
“Namun lama-kelamaan, saudara-mara dan orang kampung mula menempah penganan cair daripada kami.
“Malah, mereka menghidangkannya untuk juadah bagi sarapan pagi serta minum petang,” kongsinya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.
Perniagaan penganan cair yang diusahakan keluarganya itu, kini diusahakan bersama isterinya, Siti Jariah Alwi, 41.
Apabila orang luar atau anak-anak perantau dari negeri lain melihat kelibatnya mengacau penganan di kedai yang terletak betul-betul di tepi jalan, mereka akan singgah dan berhentikan kereta untuk melihat apa yang dia lakukan.
Malah, secara tidak langsung, mereka akan membeli daripadanya dan sekali gus memperkenalkan penganan cair tersebut juga kepada orang lain.
Gula enau

SUKATAN bahan-bahan yang betul perlu dalam penghasilan penganan cair.


Aman memberitahu, penganan cair Negeri Sembilan berbeza dengan negeri lain kerana ia menggunakan gula enau.
Tambahnya, gula enau yang digunakan pula merupakan gula enau asli iaitu yang dibuat sendiri dan diambil daripada batang pokok enau bagi mendapatkan air niranya.
Perbezaan gula enau asli berbanding gula enau biasa pula, adalah dari segi bau, warna dan rasanya.
Gula enau asli juga warnanya lebih merah berbanding gula enau biasa, kerana ia tidak dicampurkan gula.
Penggunaan gula enau asli dalam memasak penganan cair akan dapat dilihat ketika mengacaunya kerana aromanya lebih harum dan jika tidak kena caranya boleh menjejaskan rasa, warna serta tekstur penganan.
“Rata-rata penjual atau pengusaha dodol akan jual penganan biasa (dodol keras), tetapi saya pilih untuk jual penganan cair kerana rasanya lebih enak dan tidak muak.
“Kini, permintaan terhadap penganan cair sangat menggalakkan berbanding penganan biasa. Kadangkala kami tidak menang tangan,” kata bapa kepada empat orang cahaya mata itu.
Penyediaan
Menurut Siti Jariah pula, permintaan penganan cair meningkat pada hujung minggu apabila ramai pengguna jalan raya dari Kuala Pilah ke Batu Kikir untuk menuju ke pantai timur.
Pada hari biasa, mereka akan menggunakan lima kampit tepung pulut, lima kilogram santan kelapa tua, enam turus gula enau dan sukatan air yang mencukupi dalam bancuhan untuk hasilkan satu kuali besar penganan cair.
Tetapi pada hujung minggu, kebiasaannya, mereka akan menggandakan bahan-bahannya untuk dapatkan dua atau tiga kuali penganan cair.
Jelas Siti Jariah, penyediaannya juga tidak mengambil masa panjang, hanya satu jam setengah sehingga masak berbanding penganan biasa sekitar enam jam untuk mendapatkan hasil yang betul-betul berkualiti.
Nasihatnya, ketika mengacau penganan cair, nyalaan api haruslah sederhana bagi mengelakkan ia hangus di bahagian tengah.
Ujarnya lagi, dahulu penggunaan kayu api digunakan untuk menghasilkan penganan cair tetapi kini kerja-kerja memasak kini lebih mudah dan cepat jika menggunakan dapur gas.
Ketika ditanya mengenai jangka hayat penganan pula, Siti Jariah memberitahu, ia bergantung kepada cara pengguna menyimpannya.
“Jika penganan cair itu ditempatkan di dalam peti sejuk, ia boleh bertahan selama seminggu dan jika disimpan di luar ia hanya mampu bertahan tiga hari,” jelasnya.
Sementara itu, pengusaha restoran Lomang Apak, Rusmawati Abdul Rashid, 42, mengakui abangnya, Aman mempunyai pelanggan tetap dan peminat penganan cair tersendiri. Di samping, menyediakan juadah makanan tengah hari, para pelanggannya juga turut membeli penganan cair daripada abangnya.
SITI Jariah sedang menyusun gula enau asli dan penganan cair untuk dijual.


Rata-rata pelanggannya akan membeli penganan cair yang sudah siap dibungkus untuk dibawa pulang.
Katanya, ada juga segelintir pelanggan yang datang dari jauh semata-mata mahu merasai dan makan penganan cair di kedai sahaja.
“Bukan mudah nak masak penganan, ia memerlukan ketelitian, kesabaran dan minat agar kita dapat mengekalkan rasa sedap pada penganan tersebut serta bahan-bahannya juga perlu ikut sukatan yang betul,” ujarnya.
Dalam pada itu, pemandu bas ekspres, Mohd. Roslan Dzulkarnian, 57, pasti akan memesan makanan penganan cair daripada Aman sebagai pembuka selera.
“Setiap kali singgah di sini untuk berhenti makan, saya pasti akan perkenalkan penganan cair ini kepada para penumpang.
“Jadi, bila saya bawa mereka datang ke sini, rata-rata penumpang mengatakan rasanya lebih sedap serta tidak manis berbanding penganan biasa,” katanya.
Mohd. Roslan berpendapat, generasi baharu seperti golongan muda wajar mempelajari cara membuat kuih tradisional seperti penganan cair supaya amalan dan tradisi pembuatannya dapat diteruskan kepada generasi akan datang.
“Saya bimbang jika kuih tradisional penganan ini tidak diperkenalkan pembuatannya kepada generasi muda, kuih ini akan dilupakan.
“Malah, tidak mustahil suatu hari nanti, kuih penganan cair ini langsung tidak dikenali oleh generasi akan datang,” ujarnya. (Kosmo!)

Tuesday 9 August 2016

Undang-undang takzir upaya banteras skim cepat kaya


BERITA hari ini, 5 guru di tahan melibatkan kesalahan skim cepat kaya, 50,000 mangsa dan kerugian mereka mencecah RM50 juta. Manakala BNM pula menyenaraikan sebanyak 221 syariakt pelaburan tidak sah. Persoalan yang perlu dirungkaikan ialah kenapa perkara ini tiada kesudahan sekalipun sekian banyak syarikat yang disita sejak sekian lama?

Tindakan undang-undang terhadap penganjur skim cepat kaya memangsakan mangsa dan menambah pendapatan kerajaan dan menguntungkan penganjur. Dalam satu skim yang saya pernah ceritakan sebelum ini, di mana kerajaan telah menyita sebanyak RM3 juta manakala 7 juta lagi tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa menjadikan jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM10 juta.

Dalam kes seperti ini, RM3 juta yang telah dirampas menjadi milik kepada kerajaan manakala mangsa pula akan kehilangan terus wang pelaburan mereka (ditipu oleh skim cepat kaya). 

Modus operandi yang saya tahu, skim penganjur cepat kaya tidak menyimpan wang tersebut di bank melainkan bahagian untuk di sita oleh pihak berkuasa bagi 'menutup' operasi seterusnya melepaskan diri daripada semua pencarum. 

Ini bermaksud, skim tersebut menyimpan di bank sebanyak RM3 juta manakala baki RM7 juta lagi adalah dalam simpanan penganjur (seperti di rumah kawan atau adik beradik). Kadangkala taukeh sebenar tiada dalam rekod nama syarikat manakala yang ditangkap hanyalah CEO dan 'tukang kempen'.

Dalam konteks sekarang, kerajaan tak akan cari lagi RM7 juta yang tiada dalam bank dan mereka yang ditangkap tidak diwajibkan memulangkan semula wang tersebut kepada mangsa mereka.

Di dalam Islam pula, sebahagian hukuman takzir bersifat penyempurna kepada hukum-hakam muamalat. Apabila hukum muamalat yang melibatkan penipuan, ia dianggap muamalat yagn baatil dan kesannya adalah fasakh. 

Fasakh didefinisikan sebagai transaksi yang tidak pernah wujud yang membawa kepada semua wang yang telah dibayar mestilah dikembalikan kepada empunya asal.

Dalam kes skim penipuan cepat kaya, maka si penganjur mestilah memulangkan semua wang yang telah diambil kerana muamalat itu dianggap sebagai fasakh.

Memulangkan semula ini adalah perlaksanaan wajib dalam di dalam hukuman takzir bagi kes ini dan ia adalah hukuman pertama dan utama yang tidak boleh diabaikan oleh pihak kerajaan. 

Hukuman ini tidak dianggap sebagai hudud justeru ia boleh ditambah seperti sebat, denda tambahan dan lain-lain hukuman yang difikirkan perlu oleh pihak pemerintah ke atas penganjur skim penipuan.

Sebagai contoh, jika skim cepat kaya telah mengutip sebanyak RM10 juta (menurut rekod kutipan), tetapi di dalam bank hanya terdapat RM3 juta sahaja manakala RM7 juta lagi tidak dapat dikesan. maka hukumannya menurut Islam:

1. RM3 juta perlu dipulangkan semula kepada mangsa menurut hukum Islam, manakala di dalam undang-undag konvensional ia menjadi milik kerajaan.

2. RM7 juta yang tidak dapat dikesan mestilah dipulangkan oleh penganjur skim cepat kaya kepada mangsa-mangsa secara paksa oleh undang-undang seperti dipenjarakan sehingga kesemua wang tersebut dipulangkan semula dan berkekalan dipenjarakan jika gagal berbuat demikian. Manakala paksaan pemulangan ini tidak berlaku dalam konteks undang-undang konvensional.

Penjara sehingga memulangkan wang orang ramai pernah dilaksanakan di zaman Umar b Abdul Aziz. Hukumanan seperti ini menjadikan sekali penganjur skim cepat kaya ditangkap dan dihukum, bukan sahaja penganjur serik tak akan buat lagi, bahkan mereka yang lain juga tidak berani untuk melaksanakannya.

Jika anda sebagai penganjur skim cepat kaya, sekali ditangkap anda akan mendapat RM7 juta yang telah disembunyikan berbanding jika ditangkap, anda akan dipenjarakan sehingga RM7 juta dikembalikan semula kepada mangsanya. 

Jika RM7 juta tersebut hanya berbaki RM5 juta, bagaiaman isteri anda atau keluarga anda akan menebus anda daripada penjara kerana tunai yang tersimpan hanya RM5 juta manakala 2 juta lagi sudah digunakan untuk membeli ferrari dan banglo mewah? 

Jika dijual ferrari sekalipun maka susut nilainya menjadikan anda masih tidak mampu membayar bakinya lagi sehingga isteri dan keluarga anda bekerja keras untuk menebus anda daripada penjara.

Senario kesan hukuman di atas menjelaskan kenapa undang-undang hari ini tidak mampu membenteras penganjuran skim penipuan secara besar-besaran dan bagaimana kita semua tanpa mengira kaum memerlukan kepada undang-undang Islam bagi menjadikan mangsa dijamin mendapat pembelaan dan penipu dihukum dengan berat dan menginsafkan.

Manakala dalam Islam, mangsa akan mendapat pulangan semula apabila pesalah ditangkap dan dihukum, penganjur tidak berani lagi menipu sebab dia akan rugi dan menerima akibat yang berat (dipenjarakan seumur hidup jika tidak mampu memulangkan semula kepada mangsanya) dan kerajaan tidak rugi apa-apa sekalipun kerajaan tidak berpeluang mendapat keuntungan daripada jenayah yang berlaku.

Bagi mereka yang menyatakan 'bangunkan ekonomi dahulu bukan undang-undang Islam' sebenarnya tidak memahami realiti bagaimana undang-undang Islam menjamin keadilan dan keselamatan ekonomi itu sendiri. – HARAKAHDAILY 8/8/2016

Friday 5 August 2016

Skim cepat kaya: Seorang lagi suspek skim 'Highway Group' ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lagi suspek dipercayai terbabit dalam skim pelaburan cepat kaya ‘Highway Group’ melibatkan jumlah pelaburan mencecah RM50 juta.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, ketika ditahan, lelaki berusia 46 tahun yang berasal dari Kelantan itu dipercayai sedang bersiap untuk melarikan diri ke luar negara.
“Semasa tangkapan dilakukan, suspek menyorok dalam bilik di sebuah kondominium dekat Sri Hartamas sedang bersiap untuk lari ke luar negara.
“Suspek yang juga seorang guru berperanan sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat itu,” katanya dalam kenyataan.
Operasi terhadap kegiatan kumpulan ini dimulakan sejak lima bulan lalu dan setakat ini polis sudah menahan 16 individu.
Tangkapan dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
Tambah Datuk Acryl Sani, polis masih memburu 15 lagi individu yang terbabit dengan penipuan itu dengan identiti mereka sudah dikenal pasti.
Bulan lalu, polis menahan 15 individu, termasuk seorang pelakon tempatan dan dua lelaki bergelar Datuk Seri dan Datuk yang juga dalang skim pelaburan haram itu dalam beberapa siri serbuan di seluruh negara.
Hasil siasatan, kumpulan terbabit dipercayai memperdaya kira-kira 500 ribu pelabur di seluruh negara, termasuk Brunei, dengan keuntungan mencecah RM50 juta. (IH)

Aiskrim King Potong perisa kelapa disesuaikan mengikut selera dan suasana panas.



TIADA apa yang dapat menandingi kenikmatan dan rasa segar daripada sebatang aiskrim apatah lagi dalam keadaan cuaca panas.
Sehubungan itu, F&N Creameries (M) Sdn. Bhd. memperkenalkan aiskrim King’s potong kelapa baharu yang sesuai dinikmati bersama keluarga.
Menurut Pengurus Besarnya, Michael Loh, dalam memenuhi cita rasa Asia, King’s Potong sentiasa mempergiatkan usahanya untuk mencari perisa-perisa kegemaran rakyat tempatan.
“Menerusi penyelidikan yang telah dilakukan oleh King’s, maka lahirlah aiskrim berperisa kelapa sebenar yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.
“Diperbuat daripada 100 peratus santan kelapa Thailand bersama cebisan isinya, King’s Potong Kelapa ini ibarat buah kelapa asli yang segar.
“Rasa krimnya yang lembut dan enak sememangnya dapat menarik hati semua penggemar kelapa di luar sana.
“Ia juga bebas daripada sebarang perisa tiruan,” katanya.
Beliau yakin aiskrim tersebut akan mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.
Michael berkata, keadaan cuaca yang panas terik di Malaysia, aiskrim potong bukan sahaja dapat menyegarkan tetapi membantu menurunkan suhu badan.
King Potong dijual pada harga RM9.30 sekotak dan RM1.60 sebatang termasuk cukai barang dan perkhidmatan.
Ia boleh didapati di semua pasar raya utama sejak 1 Mei lalu.
F&N Creameries adalah sebuah anak syarikat milik penuh konglomerat hartanah Fraser dan Neave Limited.
Ia menghasilkan pelbagai aiskrim yang disahkan halal dalam pelbagai perisa unik dan tradisional.
Aiskrim tersebut dipasarkan di beberapa negara seperti Malaysia, Singapura, Brunei, Kemboja, Timor Timur, Indonesia, Filipina, Hong kong, Macau dan Kanada.
Sejak ditubuhkan 36 tahun yang lalu, syarikat ini juga mengendalikan jenama-jenama aiskrim sendiri seperti Magnolia, King’s dan Meadow Gold. (kosmo!)

Tuesday 2 August 2016

Jenazah Pengasas Mydin Akan Dikebumikan Pada Rabu..

Pengasas pasar raya Mydin sudah tiada
PENGASAS pasar raya besar Mydin, Mydin Mohamed Ghulam Hussein,88 meninggal dunia di Hospital Pantai, Bangsar, 5.06 petang tadi akibat sakit tua.
Anak kedua Allahyarham, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, bapanya dimasukkan ke hospital berkenaan pada 5 petang selepas muntah darah di rumah.

“Arwah bapa kelihatan seperti biasa. Arwah pergi ke pasar raya Mydin di Jalan Masjid India, seperti biasa dan pulang ke rumah selepas waktu Zohor. Selepas itu arwah rehat di rumah, namun dia terjaga dan terus muntah darah. Ahli keluarga lain yang berada di rumah terus membawa bapa ke Hospital Pantai sebelum doktor mengesahkannya meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Ameer, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara Rabu ini selepas solat Zuhur kerana perlu menunggu kepulangan dua adik perempuan esok yang kini berada di luar negara.  Sumber: Harian Metro
Pengasas Pasar Raya Mydin Meninggal Dunia