DENGAN jumlah populasi kini melebihi 30 juta penduduk, Malaysia sedang memacu industri halal di seluruh dunia. Sebagai bukti, Nestle Malaysia dan Pusat Kecemerlangan Halal yang diterajui oleh Nestle adalah di antara pengeluar terbesar produk halal sedunia.

Istilah ‘halal’ diterima baik dalam masyarakat hari ini sekali gus menjadikan ianya norma baharu bagi pengilang dan peruncit untuk menghasilkan dan mempromosikan produk berlabel halal.

Pasaran halal global yang dianggarkan bernilai AS$2.3 trilion telah berkembang di luar sektor makanan dan kini merangkumi industri farmaseutikal, kecantikan dan kosmetik, produk kesihatan, pelancongan serta industri fesyen dan kewangan.


Sektor baru ini, digabungkan dengan kuasa penduduk Islam yang berkembang (1.8 bilion dan semakin bertambah), menjadikan pasaran halal sebagai pasaran yang menguntungkan.

Jadi apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan halal? Istilah halal bermaksud dibenarkan dalam Islam mengikut undang-undang syariah. Halal juga berkait rapat dengan konsep tayyib yang bermaksud makanan yang murni dan sihat.

Sekiranya industri halal berjaya menggabungkan semua trend terkini dengan mendapat pengiktirafan halal, majoriti penduduk dunia yang bukan Islam juga akan berminat dengan produk halal.

1] Sektor kecantikan

Bidang kecantikan halal membawa fenomena baharu dalam bidang kecantikan.
Menurut satu laporan oleh Grand View Research baru-baru ini, pasaran kosmetik halal global bernilai AS$16.23 bilion pada 2015 dan dijangka mencapai AS$50.02 bilion pada 2025.

Peningkatan mendadak adalah disebabkan oleh pengguna bukan Islam yang juga mencari produk selamat dan mula mementingkan pensijilan. Pengusaha tempatan perlu melihat potensi pasaran halal kerana terdapat peluang eksport besar kepada negara-negara Islam.

Satu contoh pengusaha kosmetik milenium tempatan yang ingin mengubah persepsi produk halal di mata orang ramai menjadikan penjenamaan yang menyeronokkan dan unik sebagai tarikan.

Syarikat besar seperti Unilever dan Loreal juga mengambil langkah mendapatkan perakuan halal bagi beberapa produk mereka atas faktor permintaan yang besar daripada pengguna Muslim di seluruh dunia serta kesedaran tentang kesihatan yang semakin meningkat.

Jenama kecantikan tempatan harus menyedari permintaan ini dan mula mengeluarkan produk yang disahkan halal kerana ini akan menambah daya saing kepada mereka.

2] Sektor makanan

Menurut HDC, sektor makanan menyumbang kepada lebih daripada 60 peratus pasaran global untuk produk halal. Ini termasuk daging, makanan yang diproses, dan roti di mana barangan diproses menyumbang kira-kira 35 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Dengan peningkatan perdagangan halal global, banyak negara mengambil inisiatif untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan ini.

Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia berada di kedudukan baik sebagai pusat promosi, pengedaran dan pengeluaran makanan halal.

Di dalam industri pemakanan halal, syarat-syarat halal mesti dipatuhi di semua peringkat pengeluaran dan rantaian bekalan, termasuk perolehan bahan mentah, logistik dan pengangkutan, pembungkusan serta pelabelan.
Memandangkan Kerajaan Malaysia memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran makanan serta menjadikan Malaysia hab halal antarabangsa, syarikat pemprosesan makanan memanfaatkan kekuatan Malaysia dalam pensijilan halal dan usaha promosi kerajaan untuk menawan pasaran halal di luar negara.

3] Fesyen muslimah

Menurut  Laporan Ekonomi Negara Islam Global, pengguna Muslim membelanjakan kira-kira AS$243 bilion pada pakaian dan dijangka mencapai AS$368 bilion menjelang 2021.  Pengusaha dan pereka fesyen mula sedar akan potensi pasaran ini dan mula menyertai arena ini.
Sebagai contoh, Nike memperkenalkan rangkaian Pro Hijab untuk atlet wanita Islam, rantaian fesyen Jepun Uniqlo memperkenalkan Uniqlo x Hana Tajima Collection dengan koleksi tudung dan H&M menampilkan model Muslim yang mengenakan tudung dalam iklan. Fenomena sebegini menjadi  penyumbang kepada pertumbuhan industri fesyen muslimah.

4] Kewangan Islam

Industri kewangan Islam telah berkembang dengan pesat sejak sedekad yang lalu pada kadar 10 hingga 12 peratus setiap tahun. Hari ini, aset kewangan patuh syariah dianggarkan bernilai kira-kira AS$2 trilion, meliputi institusi kewangan bank dan bukan bank, pasaran modal, pasaran wang dan insurans (takaful).

Di kebanyakan negara Islam, aset perbankan Islam dilihat berkembang dengan lebih pesat daripada aset perbankan konvensional. Terdapat juga peningkatan minat dalam kewangan Islam daripada negara bukan Islam seperti Hong Kong, Singapura dan Eropah.

5] Sektor pelancongan

Menurut laporan, pelancongan melibatkan Muslim menjana AS$139 bilion dalam KDNK dan mewujudkan 4.5 juta pekerjaan di seluruh dunia. Trend ini memacu pertumbuhan dalam perkhidmatan mesra-Islam kerana usahawan menyedari industri perhotelan bersifat pasif dalam melayani pelancong Muslim untuk semua segmen sebelum ini.

Aplikasi lokasi seperti Google Maps dan Foursquare membantu pengguna untuk mencari restoran halal dan masjid di mana-mana mereka berada.
Tripfez juga telah mencapai piawaian baru dengan menawarkan pelancong Islam penginapan mesra-Muslim kepada lebih daripada 55,000 hotel di seluruh dunia.

6] Masa hadapan

Industri halal kini juga berkembang menerusi atas talian yang membolehkan pelanggan mencari pelbagai produk dan perkhidmatan halal melalui platform e-dagang. Dengan lebih banyak pengusaha tempatan dalam segmen halal, dijangka akan meluaskan lagi pasaran halal dan global secara keseluruhannya.

Sokongan mantap daripada kerajaan dari segi kewangan dan bantuan mentor terutamanya Matrade dan Perbadanan Pembangunan Halal banyak membantu usahawan tempatan yang ingin meneroka dan menghasilkan produk halal dan memasarkannya ke negara lain.

Oleh itu, masa hadapan industri halal dilihat cerah dan memberangsangkan dengan pelbagai ruang yang berpotensi untuk diceburi.

Oleh, Ahmad Qaiyum & Raeesa Sya