Tuesday 23 April 2019

Untung bersih Nestle suku pertama RM235 juta

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle, Juan Aranols

KUALA LUMPUR 23 April - Nestle (Malaysia) Berhad (Nestle) mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM235 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019 berbanding RM231 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Nestle dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, perolehan meningkat sebanyak 1.6 peratus kepada RM1.45 bilion daripada RM1.43 bilion.
Katanya, perolehan meningkat selepas mengambil kira penjualan perniagaan tenusu dingin pada 1 Januari tahun ini, ia juga mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 3.2 peratus dari tahun ke tahun.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestle, Juan Aranols berkata, kenaikan dalam perolehan didorong oleh pertumbuhan pesat dalam jualan domestik sebanyak 4.9 peratus bagi suku semasa selain dipacu jualan kukuh sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina.
“Kami terus mencipta peluang kepenggunaan dan mempercepatkan lagi usaha dalam inovasi produk kami pada suku pertama.
“Memandang ke hadapan, kami akan terus memberikan tumpuan untuk memanfaatkan peluang-peluang baharu, menyampaikan inovasi yang berterusan dan sentiasa memacu kecekapan bagi mempercepatkan pertumbuhan kami,” katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Sunday 21 April 2019

Usahawan bumiputera buka hartanah di Bosnia



SARAJEVO 20 April - Seorang usahawan bumiputera, Badli Hisham Abdul Jamil memiliki hartanah seluas tujuh hektar di pinggir bandar Sarajevo, di sini.


Menempatkan sebuah pusat beli-belah dan empat apartment termasuk satu yang masih dalam pembinaan, hartanah itu dijangka menarik minat ramai penduduk Bosnia dan Herzegovina yang mahukan kehidupan tenang dan damai, memandangkan masih belum banyak pembangunan di kawasan itu.


Dikelilingi bukit-bukau yang memukau pandangan, pinggir bandar Sarajevo itu merupakan kawasan dengan kepadatan oksigen tertinggi di Eropah.


Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof yang melawat hartanah itu hari ini berkata, kejayaan Badli Hisham adalah manifestasi kejayaan anak bangsa Malaysia yang cukup gigih dah bekerja keras untuk membangunkan perniagaannya.


Kata beliau, kejayaan anak jati Kuala Kangsar itu harus menjadi inspirasi kepada usahawan bumiputera yang lain untuk terus memacu kejayaan.


“Dia mempunyai ketahanan yang begitu tinggi, bagaimana dia mampu membangunkan empat buah apartment dan sebuah pusat beli-belah.


“Ia begitu sukar pada mulanya tapi hari ini saya lihat kejayaannya boleh memberi keyakinan kepada usahawan lain untuk datang ke sini bagi memulakan perniagaan,” katanya.


Dalam pada itu, Badli Hisham ketika ditemui berkata, usaha beliau mengembangkan perniagaan bermula beberapa tahun dahulu hasil galakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu lebih ramai usahawan Malaysia mengembangkan perniagaan ke Bosnia dan Herzegovina.


Katanya, keempat-empat apartment itu - Villa Dahlia, Villa Iris, Villa Lavanda dan Villa Mak - kini mendapat perhatian bukan sahaja penduduk tempatan, malah ekspatriat dari negara luar terutamanya negara-negara Arab. - UTUSAN ONLINE

Saturday 20 April 2019

Kursus hasil bebola dan kek ikan dapat sambutan


LUMUT: Lajnah Ekonomi Pemuda PAS Kawasan Lumut buat julung kalinya telah menganjurkan kursus pengasilan kek dan bebola ikan di Bengkel Roti Kampung Pasir Panjang Laut, di sini hari ini.
Kursus dijayakan dengan kerjasama Pengusaha Kilang Makcu Jaya, Shuhaimi Mohd Amin yang memberi tunjuk ajar sepenuhnya kepada 60 peserta dalam kalangan penduduk tempatan.
Objektif utama kursus ini sebagai menyahut perintah Allah S.W.T agar setiap Muslim memastikan sumber, pembuatan dan cara penghasilan halal dan berkualiti termasuk dalam hal pemakanan.
Menurut Yang DiPertua PAS Lumut, Rasli Abd Rahman, menerusi kursus tersebut para peserta didedahkan kemahiran menghasilkan produk berasaskan hasil laut yang boleh dilakukan masyarakat setempat.
Malah katanya, melalui bengkel dijalankan ini juga, turut memberi dorongan kepada peserta untuk terlibat dalam aktiviti jualan kecil-kecilan berasaskan kemahiran yang dimiliki bagi menjana ekonomi keluarga.
Selain itu ujarnya, aktiviti dianjurkan itu penting kepada umat dalam menguatkan semangat perpaduan dan persaudaraan yang diharap dilangsungkan lagi dengan kursus lain di masa akan datang.
Hadir sama meraikan para peserta pada kursus dijalankan itu adalah Ketua Muslimat PAS Lumut, Rohawati Abidin dan aktivis masyarakat, Raai Yusuf. - HARAKAHDAILY 20/4/2019
IMG 20190420 WA0033

Tuesday 16 April 2019

Kontraktor G1 kian sengsara. Jual Goreng Psang.

PERSATUAN Kontraktor Melayu Malaysia berharap kerajaan terus membela nasib golongan kontraktor G1 me
PERSATUAN Kontraktor Melayu Malaysia berharap kerajaan terus membela nasib golongan kontraktor G1 melalui projek-projek sedia ada. – GAMBAR HIASAN


KUALA LUMPUR 15 APRIL - "ADA kontraktor bumiputera yang terpaksa menutup perniagaan dan menjual pisang goreng asalkan ada pendapatan menampung kehidupan."
Demikian luahan beberapa kontraktor bumiputera yang kebanyakannya memegang lesen G1 atau dikenali sebagai Kelas F dahulu.
Bukan cuba menagih simpati tetapi itulah hakikat yang berlaku. Sudahlah tiada projek kerajaan yang diterima, malah terdapat beberapa isu lain lagi yang membuatkan kehidupan kontraktor bumiputera semakin terhimpit.
Bagi seorang kontraktor pembinaan bumiputera, apa lebih mendukacitakan adalah wujudnya campur tangan ahli politik yang dikatakan menggunakan ‘kuasa’ dimiliki dengan mengagihkan projek kerajaan berlandaskan kepartian.
Dia yang menjalankan perniagaan di Negeri Sembilan memberitahu, fenomena berkenaan semakin berleluasa hingga membuatkan kontraktor bumiputera menanggung kerugian besar dan akhirnya tidak mampu lagi menjalankan operasi.
“Saya nampak masalah ke­telusan membabitkan pembahagian tender semakin serius. Ada ahli politik yang menggunakan orang tertentu untuk mendapatkan projek kerajaan. Kita tengok luaran syarikat berlainan yang menang projek tetapi realitinya mereka orang sama dan mempunyai pertalian dengan sesete­ngah ahli politik.
“Memang ramai kontraktor bumiputera sekarang tidak puas hati apabila perkara sebegini berlaku. Siapa yang tiada ‘kabel’ jangan harap akan menerima projek-projek daripada kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Lebih mengejutkan kata kontraktor berkenaan, aktiviti mengumpul lesen oleh ‘orang tengah’ untuk mengaut keuntungan besar turut berleluasa.
Dia mendedahkan, ada orang luar yang bertindak sebagai ‘kaki’ kumpul lesen kontraktor bumiputera dan menyerahkan kepada ahli politik dan pegawai kerajaan terlibat untuk menyusun projek tertentu.
“Apabila ada projek baharu, ahli politik ini akan mengarahkan wakil untuk mengumpul lesen kontraktor dan mengaut untung ‘atas angin’.
“Pengumpul lesen ini kadang-kadang orang luar yang bukan kontraktor pun tapi ditugaskan untuk mengumpul lesen kontraktor kononnya bagi pembahagian projek. Sudahnya kami hanya menerima sebahagian sahaja untung,” ujarnya lagi. (Utusan Online)

Monday 15 April 2019

Pusatkan pentadbiran industri petroleum di T'ganu



TADI ketika program Bicara Darul Iman bersama YABhg Tun Daim Zainuddin, Pengerusi Majlis Penasihat Negara yang membicarakan tajuk Ekonomi Bumiputera: Agenda Nasional saya sempat beri pandangan bahawa Terengganu sudah terlalu lama menjadi pemerhati dalam industri Petroleum dan tidak aktif penyertaannya dalam perbekalan dan perkhidmatan kepada industri.
Saya memfokus keperluan dibangunkan segera industri maritim yang kukuh kerana di masa hadapan rezab minyak lebih banyak akan diketemu semakin jauh ke tengah laut. Ini memerlukan prasarana maritim yang pelbagai yang besar saiz pasaran dan ekonominya. Industri sebegini tidak mampu dibangun secara inisiatif swasta bersendirian. Ia perlu cetusan modal yang besar dari kerajaan melalui projek-projek perintis seperti dilakukan di Lumut, Perak atau di Johor.
Dalam respon Tun Daim, beliau bersetuju dengan saya, real ekonomi yang boleh melonjak ekonomi Terengganu adalah perbekalan dan perkhidmatan dalam industri Petroleum.
Malah beliau secara berseloroh menyebut, cara paling mudah adalah Perdana Menteri lantik dari Terengganu.
Saya setuju cadangan itu. Sebab saya nak cadangkan kepada Perdana Menteri pemusatan semua aktiviti pentadbiran industri Petroleum jangan lagi di Kuala Lumpur. Pusatkan di negeri pengeluar, Terengganu. Urusan tender, mesyuarat utama, exhibition oil and gas yang utama dan besar-besar, consultant, suppliers semua berkampung di Terengganu.
Ini boleh mengalih bebanan yang besar kesesakan di Lembah Klang.
Syarikat petroleum related daftar di Terengganu, bayar corporate taxmelalui LHDN Terengganu.
Selama ini mesyuarat, pentadbiran di KL tapi kutip hasil dari bahan petroleum mentah hingga kerja kerja upstream yang bernilai puluhan billion setahun di perairan Terengganu begitu juga downstream, tapicorporate account semua di KL.
Kemudian masing-masing bersungut “Oh, Terengganu sumbang cukai sikit jer ke Persekutuan!”
HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu 
 - HARAKAHDAILY 15/4/2019

Thursday 11 April 2019

Bursa Malaysia jatuh ke paras 52 minggu terendah.

BURSA MALAYSIA


KUALA LUMPUR 11 April - Bursa Malaysia susut 15.23 mata kepada 1,624.23 mata petang ini, menjadikannya jatuh ke paras terendah dalam tempoh 52 minggu.
Dalam sesi dagangan tengah hari, indeks FBM KLCI itu merosot sebanyak 0.69 peratus kepada paras terendah dalam tempoh tiga tahun.
Pasaran tempatan menyaksikan 620 kaunter rugi mengatasi kaunter untung, 275 manakala 390 kaunter tidak berubah.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) muncul kaunter paling rugi apabila susut sehingga 52 sen atau 4.13 peratus kepada RM12.06 sesaham susulan laporan Bloomberg yang pemegang saham utamanya, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan menjual saham TNB menerusi penempatan saham bagi meraih RM1.05 bilion.
Bloomberg yang memetik terma urus niaga itu melaporkan, Khazanah menawarkan untuk menjual 85 juta saham TNB pada RM12.33 sesaham yang mana mewakili pengurangan dua peratus berbanding kali terakhir saham itu ditutup pada RM12.58 sesaham.
Harga saham TNB pernah mencapai setinggi RM16.12 sesaham yang direkodkan pada 4 Mei 2018.
Bagi FGV Holdings Berhad pula, sahamnya susut 5 sen atau 3.85 peratus kepada RM1.25 sesaham selepas firma penyelidikan, AllianceDBS Research berkata, pemegang saham FGV kemungkinan tidak berminat dengan cadangan semakan semula perjanjan sewa tanah (LLA) oleh Felda.
Dalam nota kajiannya hari ini, AllianceDBS berkata, keadaan itu memandangkan ia dijangka meningkatkan jumlah bayaran yang lebih tinggi kepada FGV.
“Sebarang urus niaga yang menyebabkan bayaran tinggi daripada FGV kemungkinan tidak dipersetujui pemegang sahamnya. Tambahan pula, Felda mungkin perlu membayar pampasan kepada FGV mengikut terma dan syarat LLA jika mahu mengubah atau menamatkan LLA,” katanya.
LLA adalah perjanjian selama 99 tahun antara Felda dan FGV. Di bawah LLA, FGV membayar sebanyak RM248 juta setahun kepada Felda dan 15 peratus keuntungan ladang setiap tahun.
Untuk prestasi ringgit pula, ia ditutup pada RM4.11 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Semalam, mata wang tempatan itu merosot sehingga 0.32 peratus ke paras terendah dalam tempoh lebih dua bulan berbanding dolar AS, susulan sentimen berhati-hati di seluruh Asia apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak turun unjuran pertumbuhan dunia.
Menurut Kenanga Research dalam nota kajiannya, ringgit diunjur berlegar sekitar RM4.10 menjelang hujung tahun ini memandangkan asas ekonomi akan terus menjadi penampan berbanding jangkaan perdagangan global yang perlahan.
Katanya, dalam masa sama, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) juga diunjur perlahan pada suku pertama 2019 dianggarkan 4.4 peratus berbanding 4.7 peratus yang direkodkan pada suku keempat 2018. - UTUSAN ONLINE

Tuesday 9 April 2019

Peniaga bimbang kadar inflasi negara, ringgit diniaga rendah.



Perjanjian perdagangan AS-China kekang kenaikan mata wang kita
KUALA LUMPUR, 2 Syaaban 1440H, Isnin – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kebimbangan mengenai kadar inflasi negara, kata peniaga.
Pada 9 pagi, unit tempatan diniagakan pada 4.0900/0950 berbanding dolar AS daripada 4.0870/0900 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Ketua Dagangan dan Strategi Pasaran SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, data inflasi domestik yang rendah itu menunjukkan Bank Negara Malaysia mempunyai asas untuk melaraskan kadar faedah kepada paras yang sedikit rendah.
Bagaimanapun, beliau berkata, keyakinan terhadap pemuktamadan perjanjian perdagangan AS-China akan mengekang kenaikan ringgit bagi jangka pendek.
Sementara itu, ringgit diniagakan kukuh sedikit berbanding kumpulan mata wang utama.
Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0169/0210 daripada 3.0182/0207 pada Jumaat minggu lepas namun rendah yen Jepun kepada 3.6672/6726 daripada 3.6583/6613.
Ringgit lebih kukuh berbanding pound Britain kepada 5.3346/3415 daripada 5.3458/3509 minggu lepas dan meningkat berbanding euro kepada 4.5865/5938 daripada 4.5889/5927. – Bernama