Monday 30 October 2017

Musang King Bakal Tembusi Pasaran China


RAUB – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasar durian Musang King segar tempatan untuk menembusi pasaran China dalam tempoh terdekat sekali gus bakal menjadikan negara itu sebagai negara pengimport terbesar buah tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sebelum ini durian dari Malaysia memasuki pasaran negara itu menerusi negara ketiga termasuk Singapura dan Hong Kong dengan harga yang mencecah ratusan ringgit untuk setiap kilogram.
“Kementerian bakal mengadakan satu program promosi durian di China pada 3 dan 5 Nov depan. Kita berharap acara itu akan menjadi platform untuk menembusi dan memperluaskan pasaran di negara tersebut selain produk hiliran berasaskan buah itu.
“Sekiranya ia berlaku dan membuahkan kejayaan yang besar, ini akan membuka ruang kepada 800,000 pengusaha dan penanam durian di negara ini untuk melonjakkan pendapatan mereka sekali gus menjadikan durian sebagai sumber kekayaan baharu negara,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis penanaman Musang King ke 500,000 di Kluster Durian Raub, di Kampung Pamah Rawa, Ulu Dong di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Koperasi dan Kepenggunaan negeri yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin dan Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek.
Pada masa sama, Ahmad Shabery juga meminta Jabatan Pertanian mempertingkatkan keupayaan teknologi dalam pengeluaran Musang King bagi memastikan buah yang dihasilkan bermutu tinggi dan menepati kehendak pasaran antarabangsa.
Ia termasuk memperkenalkan penanda persijilan untuk setiap durian yang dieksport bagi memastikan pembeli mendapat maklumat yang tepat tentang gred dan tempat ia dikeluarkan.
“Kita juga akan membangunkan satu aplikasi khas bagi menanda Musang King serta durian jenis lain yang dijangka siap Disember ini untuk kemudahan bagi mengeksport raja buah itu ke China dan negara lain pada masa akan datang.
“Durian kini dianggap sumber kekayaan baharu maka kita perlu pastikan kualiti penanaman, pembungkusan, pelabelan dan pemasaran berada pada tahap tertinggi dan ia memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.
Ahmad Shabery berkata, hingga 2016 keluasan penanaman durian di seluruh negara ialah 66,000 hektar dengan pengeluaran sebanyak 302,000 metrik tan dan hingga kini terdapat sebanyak 204 jenis durian didaftarkan bawah Jabatan Pertanian.
Di Raub sahaja terdapat 370 pengeluar dan penanam durian membabitkan keluasan tanaman 11,152.69 hektar di tujuh mukim di Batu Talam, Dong, Gali, Hulu Dong, Sega dan Semantan Hulu dan Tras. – BERNAMA

Sunday 29 October 2017

Kulinari Thailand pikat pengunjung

















SOTONG bakar tanpa sos merupakan salah satu menu yang diperkenalkan pada Karnival Mega Amazing Thailand di pusat beli-belah The Strand, Damansara Kuala Lumpur baru-baru ini.

KESEIMBANGAN rasa pedas, masam, manis merupakan tunjang utama dalam masakan Thailand. Justeru, tidak hairanlah menu negara Gajah Putih itu mempunyai peminat tersendiri di negara ini sehingga ada yang sanggup menempuh perjalanan berjam-jam semata-mata ingin menikmati hidangan istimewa di negara tersebut.
Bagaimanapun, penganjuran Karnival Mega Amazing Thailand di pusat beli-belah The Strand, Damansara baru-baru ini diibaratkan orang mengantuk disorongkan bantal. Tanpa perlu ke negara tersebut, pengunjung dihidangkan lebih 100 menu istimewa untuk dinikmati.
Seorang pengunjung Mei Yin, 30, memberitahu, pertama kali menikmati sajian pulut mangga ketika bercuti bersama suami dan ibunya di Bangkok, Thailand April tahun lalu, menyebabkan pencuci mulut itu sentiasa dalam mindanya. Lebih menggembirakan Yin, kunjungannya ke pusat beli-belah tersebut baru-baru ini menemukannya dengan juadah kegemarannya itu.
“Sejak 18 bulan yang lalu, saya sudah seperti orang mengidam dan akhirnya berjaya mendapatkan pulut mangga di sini.
“Rasa buah mangga yang manis dan aroma pulut yang sempurna dimasak sama seperti yang saya nikmati di Bangkok, Thailand,” kongsi wanita yang berasal dari Subang Jaya, Selangor.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Adam Branchiad, 34, yang berasal dari Perancis pula sangat menggemari laksa lemak yang pernah dinikmati di Kedah dan Hatyai, Thailand ketika berkunjung kedua-dua tempat tersebut sedekad lalu.
100 peniaga
Laksa lemak merupakan sejenis makanan berkuah yang terkenal di kawasan utara negara dan selatan Thailand.
Ia dimakan bersama kuah yang diperbuat daripada santan dan campuran ramuan tertentu serta dihiasi ulaman segar. Adam mengakui, meskipun sedar meskipun kuah laksa itu agak pedas, namun dia tidak pernah menolak hidangan tersebut.
“Sejak berkahwin dengan wanita Melayu, saya memang gemarkan laksa. Walaupun pedas, ia sangat lazat.


SIRINTIP (kanan) menjual ayam madu dan nasi goreng pattaya resipi istimewa warisan neneknya.


“Sejak hari pertama karnival tersebut berlangsung saya dan keluarga tidak melepaskan peluang menikmati juadah yang dijual pada karnival ini,” tuturnya yang berkahwin dengan wanita tempatan, Dalin Qadja, 33.
Jelas bapa kepada tiga orang anak itu, antara juadah yang digemarinya ialah laksa dan sotong bakar tanpa sos.
Bagi menarik orang ramai, Karnival Mega Amazing Thailand telah menghimpunkan hampir 100 orang peniaga berasal dari negara itu dengan menyediakan hampir 60 variasi menu makanan yang diadakan pada 6 hingga 18 Oktober lalu.
Dalam pada itu, terdapat sebuah gerai yang menjadi perhatian ramai kerana aroma ayam panggang madunya boleh dihidu dari jauh. Pemilik gerai Ilham Pattani, Sirintip Khantasak, 30 memberitahu, aroma tersebut datangnya daripada ayam yang dibakar menggunakan sos perapan istimewa yang diwarisinya sejak remaja.
“Menu ini berjaya menggamit pengunjung ke gerai kami kerana resipinya diadun dengan gabungan herba dan cili. “Resipi ini adalah hasil air tangan nenek kami, For Khatansak selama lebih 25 tahun dan kini ia menjadi warisan kebanggaan keluarga,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, pemilik gerai Chan Peng Sungai Patani, Chan Peng, 52, memberitahu, gerainya menawarkan pelbagai jenis kerabu antaranya termasuklah kerabu suhun, maggi dan kaki ayam.
Kerabu
Namun, kerabu kaki ayam merupakan menu yang paling digemari oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.
 PULUT mangga pencuci mulut popular dari Thailand.
“Kerabu kaki ayam merupakan menu pelaris gerai saya sejak tiga dekad lalu.
“Kerabu ini mempunyai rasa yang cukup luar biasa. Campuran cuka, sos ikan istimewa dan mangga muda menjadikannya pilihan pengunjung,” ujar peniaga berasal dari Narathiwat, selatan Thailand itu. Pada karnival itu juga orang ramai berpeluang menikmati pelbagai makanan jalanan dan pemanis mulut Thai yang popular seperti pulut mangga, aiskrim kelapa muda.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Brainbox Empire, Rhoma Hakim berkata, idea penganjuran itu tercetus selepas melihat budaya rakyat Malaysia yang gemar menikmati makanan pedas.
“Oleh kerana rakyat Thailand kreatif dalam menghasilkan pelbagai jenis makanan pedas jadi kita mengambil keputusan untuk mengetengahkan rasa asli makanan Thailand di negara ini.
“Lebih istimewa lagi, kesemua makanan yang dijual halal dan mempunyai tahap kebersihan yang optimum.
“Kami memilih The Strand kerana lokasinya yang strategik terletak berdekatan pejabat dan perumahan serta selesa,” ujarnya karnival itu juga dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan pertunjukan ular. (kosmo!)

Saturday 28 October 2017

Kopi Sumba paling enak di Indonesia.


Kopi Sumba boleh didapati dalam bentuk bungkusan.

SETIAP rumah di Pulau Sumba, wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia mempunyai kopi. Ini bererti masyarakat Sumba adalah peminum kopi.
Hampir semua pekarangan rumah penduduk Sumba khususnya yang terletak di dataran tinggi seperti di Kecamatan Wewewa Tengah juga terdapat pohon-pohon kopi. Kebanyakan buahnya dituai untuk kegunaan sendiri dan dijual di pasar tradisional.
Kebanyakan masyarakat memetik kopi dan kemudian menjemur, menggoreng dan menggiling biji kopi dengan kaedah tradisional. Kopi yang digoreng dengan potongan halia digemari ramai kerana ia membangkitkan aroma harum ketika diminum.
Kebiasaannya, warga tempatan akan menambah gula pasir dalam minuman kopi mereka. Namun, cara itu mula berubah selepas penduduk mengetahui kaedah merawat tanaman, menuai, memproses sehingga penyediaan kopi dengan cara yang betul.
Petani kopi di Desa Kadi Roma kini boleh berbangga dengan produk kopi yang diproses dalam bentuk serbuk. Ia dibungkus dan dipasarkan menggunakan nama komersial Kopi Sumba kerana ia dianggap sebagai hasil terbaik.
Teknologi terkini


Pengeringan merupakan salah satu proses untuk menghasilkan Kopi Sumba.


Kejayaan tersebut dikecapi selepas mereka berusaha menjaga tanaman tersebut dan memilih buah terbaik. Pada masa sama, mereka menggunakan teknologi terkini bagi meningkatkan kualiti pengeluaran.
Peningkatan kualiti pengeluaran kopi itu adalah hasil usaha petani yang mengikuti bimbingan tenaga pakar daripada Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI).
Kerjasama antara LIPI dan pihak Kabupaten Sumba Barat Daya (SBD) telah terjalin sejak 2015 menerusi program Iptekda LIPI yang memberi perhatian kepada potensi dalam komoditi kopi dan mentega di SBD.
Program tersebut mendapat kerjasama Koperasi Serba Usaha (KSU) Lembah Hijau yang menghimpunkan beberapa petani di Wewewa Tengah khususnya di Desa Kadi Roma sebagai kumpulan sasaran dengan diketuai oleh Elizabeth Malo.
Elizabeth merupakan seorang tokoh yang memainkan peranan penting dalam kejayaan KSU Lembah Hijau kerana usahanya dalam menarik petani untuk mempelajari cara memproses kopi dengan cara baharu.
Sejak mendapat bimbingan daripada LIPI, perubahan yang dilakukan petani kini adalah hanya menuai biji kopi berwarna merah yang sudah masak dan memprosesnya dengan teknik pengeringan serta penapaian sebelum menggoreng dengan suhu yang sesuai.
Kopi tersebut kemudian dimasak dengan air bersuhu antara 80 hingga 85 darjah Celsius dan seterusnya disajikan tanpa gula. Bagaimanapun, penduduk di kawasan itu masih gemar menikmati minuman kopi yang dibancuh dengan gula kerana mahukan rasa manis.
Elizabeth mengakui, program melibatkan petani di sekitarnya dalam skala kecil merupakan perintis kepada perusahaan kopi di kawasan tersebut.
“Pada awalnya kami memasak 20 kilogram (kg) kopi setiap hari dan ia akan dibungkus dalam dua perasa iaitu asli dan halia. Kopi ini kemudiannya dipasarkan ke kios dan kedai di sekitar Sumba Barat Daya,” katanya.
Tanaman kopi tempatan jenis robusta selama ini dianggap berkualiti lebih rendah berbanding kopi arabica.
Penapaian


KOPI yang mempunyai cita rasa berbeza dicari penggemarnya.


Bagaimanapun, dengan rawatan tanaman dan proses yang baik termasuk penapaian seperti yang dilakukan dalam pemprosesan kopi arabica, kopi robusta di Wewewa Tengah kini menjadi kopi istimewa dan terbaik di Indonesia.
Pengiktirafan itu diperoleh selepas Kopi Sumba menyertai pertandingan rasa kopi di Festival Kopi Nusantara serta melepasi ujian rasa di Pusat Penyelidikan Kopi dan Koko Indonesia di Jember, Jawa Timur pada Ogos lalu.
“Kopi Sumba memiliki rasa tersendiri apabila peminumnya akan merasai perisa coklat dan ia sangat enak,” kata seorang penyelidik LIPI, Arie Sudaryanto.
Kopi Sumba juga telah terbukti dikenali sebagai kopi paling sedap di Indonesia, namun para petani mengakui mereka perlu berusaha untuk mengekalkan kualiti pengeluaran di samping menghadapi cabaran semula jadi seperti jangkitan kulat batang dan hama semut merah yang memakan buah.
Dalam perbincangan antara Ketua LIPI, Bambang Subiyanto bersama petani di Desa Kadi Roma dan wakil Bupati SBD, Ndara Tagu Kaha, ada kalangan petani menyatakan harapan mereka agar LIPI terus menyalurkan ilmu pengetahuan dan teknologi berkaitan industri kopi.
“Tanaman ini sudah lama kami usahakan namun cabaran setiap tahun tetap sama iaitu jangkitan kulat, serangan hama dan kesukaran pengaliran air,” kata seorang petani kopi di Desa Kadi Roma, Debora.
Seorang petani yang hanya dikenali sebagai Daud memberitahu, mereka memerlukan air bersih kerana bekalan sumber itu hanya terdapat di dalam gua dan tanah yang memerlukan penggunaan teknologi bagi memudahkan sistem pengaliran air.
Sokongan


Kualiti kopi robusta setanding dengan kopi arabica.



Masalah itu mendapat perhatian apabila Bambang menegaskan, LIPI akan terus bekerjasama dan memberi sokongan dalam industri kopi di kawasan berkenaan.
Katanya, LIPI juga berharap agar masyarakat khususnya generasi muda bersedia menerima perubahan teknologi bagi meningkatkan produktiviti pertanian khususnya tanaman kopi.
Sejak kebelakangan ini, permintaan kopi di pasaran tempatan semakin meningkat sehingga pengeksportan berkurangan sekali gus mempengaruhi kenaikan harga kopi dunia.
“Kopi Sumba sudah terbukti memiliki cita rasa tinggi dan tidak mustahil boleh menembusi pasaran antarabangsa,” ujarnya.
Sehubungan itu, Bambang mahu pihak pemerintah dan masyarakat untuk mendaftar hak paten Kopi Sumba agar dapat memberi keuntungan kepada mereka pada masa depan. (Kosmo)
IKLAN:

Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.

Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat.

Friday 27 October 2017

KPDNKK Rampas Tudung Tiruan Bernilai RM500,000.


KUALA LUMPUR – Sejumlah kain tudung dan selendang tiruan menggunakan jenama terkenal yang dianggarkan bernilai RM500,000 dirampas dalam satu serbuan di sebuah pasar raya di ibu kota, petang tadi.
Ketua Unit Operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya Ridzuan Mat Isa berkata 15 anggota terlibat dalam serbuan di sebuah premis di dalam pasar raya tersebut berikutan aduan yang dibuat pemilik jenama Ansania dan Saudia itu, kira-kira tiga bulan lepas.
“Hasil siasatan mendapati, selain menjual tudung tiruan, premis ini turut beroperasi sebagai pemborong utama untuk pasaran tempatan.
Premis ini juga telah beroperasi selama lebih tiga tahun manakala tudung berjenama tiruan ini pula dijual sejak setahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas operasi berakhir.
Beliau berkata, setiap tudung atau selendang yang tulen dijual pada harga RM14 namun tudung jenama tiruan dijual dengan harga yang lebih murah iaitu RM10 sahaja.
Ridzuan berkata, jika disabitkan kesalahan, mereka yang terlibat boleh dikenakan penalti sebanyak RM 15,000 bagi sehelai tudung tiruan yang dijual di bawah Seksyen 8(2) Akta Perihal Perdagangan 2011. – BERNAMA

MORE COOL STUFF

Wednesday 25 October 2017

Ratu Elizabeth II Miliki Restoran McDonald’s Sendiri.





JIKA bercakap mengenai kerabat diraja, sudah pasti imej yang dibayangkan adalah kehidupan yang serba mewah dan segala urusan peribadi diuruskan oleh pembantu.

Itu memang gambaran yang tepat bagi kehidupan Ratu Elizabeth II, tetapi baginda turut berusaha untuk ‘mencari duit lebih’.
Meskipun baginda merupakan ratu bagi 52 buah negara Komanwel di seluruh dunia, namun baginda masih menjalankan perniagaannya sendiri dan turut memiliki cawangan restoran makanan segera di Oxfordshire, England.
Cawangan McDonald’s yang terletak berhampiran pusat membeli-belah Banbury Gateway di kawasan Estate Crown ini dikatakan dimiliki oleh kerabat diraja England.
Jadi secara teknikalnya, sebagai ‘tuan tanah’ kesemua infrastruktur yang didirikan di atas lot tersebut merupakan milik baginda!
Disebabkan itu, francais McDonald’s ini mempunyai reka bentuk dalaman yang ditampilkan juga lain dari yang lain serta tampak mewah dan eksklusif.
Lihat sahaja kerusi-kerusi sofa kulit serta kerusi jenama Eames berwarna putih yang disediakan untuk keselesaan pelanggan yang datang.
Malah,para pelanggan McDonald’s tersebut turut disambut dengan teknologi terkini apabila senarai menu dipamerkan dalam bentuk digital, bukan sekadar papan menu biasa di kebanyakan francais.
Tambah menarik lagi adalah apabila terdapat beberapa tablet yang disediakan untuk kegunaan pelanggan. Jadi mereka yang datang ke sana boleh melayari Internet sambil menjamu selera.
Bukan itu sahaja, restoran tersebut turut menyediakan servis mengecas telefon pintar. Mungkin anda beranggapan yang terdapat banyak wayar yang berselirat di meja tersebut. Namun, mereka tidak menggunakan pengecas telefon biasa, tetapi menggunakan pengecas telefon tanpa wayar!
Bagaimanapun, pengurus dan pemilik francais restoran itu enggan memberikan sebarang komen terhadap khabar angin yang sedang hangat diperkatakan itu. Lapor MYNEWSHUB.CC
IKLAN: 

Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.
Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat.



Jom Lihat Ladang Sayur Bawah Tanah..

 Sayur-sayuran yang ditanam dipasarkan di beberapa pasar raya dan restoran di sekitar London.



DI bahagian bawah sebuah jalan di selatan London, terletak sebuah kawasan perlindungan bawah tanah yang sangat luas. Hari ini, ia telah berubah menjadi sebuah ladang perintis bandar yang membekalkan sayur-sayuran kepada pasar raya dan restoran di kota tersebut.
Tempat tersebut yang terletak di Clapham merupakan sebuah kawasan perlindungan bawah tanah bagi mengelakkan serangan udara semasa perang dunia. Khabarnya, ia boleh melindungi 8,000 orang daripada serangan bom tentera Nazi.
Kawasan itu terdiri daripada dua terowong besar yang dikatakan akan menjadi satu laluan bawah tanah di London.
Namun, ia tidak pernah berlaku. Tempat perlindungan itu terbengkalai selama 70 tahun sehingga dua usahawan iaitu Steven Dring dan Richard Ballard memutuskan untuk mengubahnya menjadi sebuah ladang.
Mereka berdua memutuskan untuk menanam brokoli, ketumbar, jintan hitam dan beberapa jenis sayuran lain.
“Kita perlu mewujudkan ruang subur yang baharu bagi memenuhi permintaan dan jumlah penduduk dunia semakin meningkat,” kata Dring.
Pakaian khas


Kaedah hidroponik digunakan untuk penanaman sayur-sayuran di kawasan perlindungan bawah tanah di London.



Kawasan tersebut terletak kira-kira 33 meter di bawah jalan. Kesemua staf memakai pakaian khas yang memberi perlindungan kepada tanaman tersebut.
Sayur-sayuran ditanam secara hidroponik menggunakan penyelesaian nutrien dalam pelarut air dan bukannya tanah.
Jelas Dring, teknik tersebut boleh digunakan untuk menanam pelbagai tanaman termasuk tomato dan lada.
Satu-satunya bahan lain yang diperlukan untuk tanaman itu ialah cahaya.
Terowong itu tidak mempunyai cahaya semula jadi. Ia diterangi dengan cahaya lampu LED merah jambu yang menggambarkan suasana futuristik.
Keamatan perubahan cahaya menyerupai siang hari tetapi ia dimalapkan pada siang hari dan bersinar terang pada waktu malam kerana kos elektrik agak murah pada masa itu.
“Kami lebih banyak menanam tanaman herba mikro daripada benih yang berbeza.
“Tetapi apa yang kami lakukan ialah dengan membiarkan ia hidup pada satu peringkat sangat kecil, sebelum daun-daun pertama akan mula muncul,” kata Dring.
Brokoli herba mikro mengambil masa antara tiga hingga lima hari untuk tumbuh.
Pelanggan mereka termasuk Marks and Spencer telah menawarkan pembelian hasil tanaman itu di beberapa buah pasar raya.
Beberapa gerai di Pasar Borough London dan restoran turut mengambil sayuran tersebut.
Dring dan Ballard mengamalkan konsep pertanian menegak untuk menghasilkan tanaman mereka.
Tanaman yang disusun secara menegak bertingkat itu dibangunkan oleh ahli biologi Amerika Syarikat, Dickson Despommier. Beliau menulis tentang tanaman tersebut dalam bukunya yang bertajuk, Ladang Menegak: Memberi Makan Dunia pada Abad ke-21 tujuh tahun lalu.
Dring berkata, pertanian berkonsepkan sedemikian adalah 100 kali lebih murah daripada mendirikan sebuah ladang.
Dalam pada itu, pelanggan mereka amat gembira dan suka dengan konsep sedemikian.
“Saya rasa mereka begitu hebat. Saya fikir semua akan suka dengan makanan yang diusahakan oleh orang tempatan.
“Kualiti tanaman mereka sangat hebat dan rasanya seolah-olah saya tidak pernah saya cuba sebelum ini,” kata Charlie Curtis, seorang ahli agronomi di pasar raya Marks and Spencer.
Dalam pada itu, pakar menyatakan pertanian menegak dan ladang bandar boleh menjadi salah satu alternatif untuk menampung pertambahan penduduk dan peningkatan urbanisasi di seluruh dunia serta perubahan iklim.
Tiada musim


Brokoli herba mikro mengambil masa antara tiga hingga lima hari untuk tumbuh.



Menurut kenyataan Pusat Pertanian Bandar Universiti Nottingham yang dipetik dari laman webnya, ladang-ladang bandar mewujudkan peluang pekerjaan, mengurangkan kos pengangkutan serta menawarkan peluang untuk membangunkan teknologi.
Dalam pada itu, melalui projek tersebut mereka juga turut menghantar data tentang kelembapan, suhu dan pertumbuhan tumbuhan ke Universiti Cambridge untuk mencuba meningkatkan kecekapan.
Apa yang dilakukan oleh mereka ialah pemodelan bagi memberi persekitaran optimum bagi setiap produk.
Dring menyatakan, setiap hari adalah sama di ladang bawah tanah dan ia tidak bermusim walaupun cuaca di Britain tidak menentu.
“Kami mempunyai kawalan yang lebih baik berbanding penanaman biasa.
“Ketika musim sejuk kami boleh menanam sayuran seperti sawi merah dan lain-lain,” kelas Dring. – AFP
IKLAN: 

Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.
Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat.

Gadis Mahir Baiki Kereta Dilamar Lebih 100 Lelaki


SEJAK videonya membaiki brek kereta tular beberapa hari lalu, nama Nor Sakira Awee berjaya menjadi tumpuan netizen lebih-lebih lagi kaum Adam.

Mana tidaknya, memang jarang-jarang sekali untuk melihat orang perempuan menceburkan diri dalam bidang automotif lebih-lebih lagi untuk duduk di bengkel dan ‘mengotorkan’ tangan dengan minyak hitam dan sebagainya.
Tetapi, tidak bagi Sakira. Gadis manis itu sanggup ‘bermain’ dengan enjin-enjin tersebut kerana minat serta kemahiran yang dimilikinya itu.
Setelah videonya sedang bekerja menjadi tular di laman sosial, dia telah menerima banyak mesej cinta daripada lebih 100 lelaki yang kononnya ingin berkenalan dengan lebih dekat!
“Ramai yang menghantar mesej melalui akaun media sosial saya termasuk Instagram, Facebook dan juga aplikasi telefon seperti WeChat.
“Walaupun menjadi tumpuan berbanding sebelum ini, saya tidak menganggapnya sebagai gangguan kerana saya juga memang suka berkawan dengan semua orang dan terbuka dalam soal ini.
“Saya tidak mengalami sebarang masalah kerana selama ini memang ada ramai kawan lelaki berbanding rakan perempuan,” katanya dipetik Harian Metro.
Bukan itu sahaja, malah gadis yang berasal dari Kuala Terengganu ini pernah ditawarkan pinangan seorang lelaki dengan RM20,000 sebagai wang hantaran.
Tetapi, bukan semuanya mahu mencuba nasib untuk memikat hati gadis muda ini, sebaliknya ramai juga yang memberikan kata-kata semangat dan memujinya kerana terlibat dalam industri yang biasanya dimonopoli oleh kaum lelaki.
“Saya hanya buat apa yang saya suka dan minat, tetapi tak sangka pula ia mendapat maklum balas positif daripada orang ramai.
“Selain yang menghantar mesej untuk berkenalan, ramai juga memberi dorongan dan kata-kata semangat. Respon netizen dan orang sekeliling secara tidak langsung membuatkan saya lebih bermotivasi untuk terus maju dalam bidang automotif ini,”katanya.
Mungkin disebabkan kebolehan yang membanggakan dalam bidang automotif, Sakira telah ditawarkan oleh beberapa bengkel kenderaan serta syarikat minyak pelincir untuk berkhidmat secara sambilan di pusat servis mereka.
“Memandangkan masih belajar, saya perlu mendapatkan persetujuan banyak pihak selain ingin memastikan ia tidak menggangu pembelajaran di UNICETE,” katanya.
Tambah Sakira lagi, dia turut banyak menimba ilmu daripada abangnya yang turut memiliki bengkel kereta sendiri di Kampung Tok Landok.
Sakira juga merupakan pelajar perempuan ketiga dalam kursus automotif di Universal Centre Education Training Employment (UNICETE) itu. –MYNEWSHUB.CC



IKLAN: 

Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.
Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat.

Monday 23 October 2017

Sarapan Percuma Dari Pemilik Restoran Ini..


Pemilik Restoran Beri Sarapan Percuma

DALAM ajaran agama Islam, amalan bersedekah sangat dituntut dalam diri setiap penganutnya.

Tetapi, amalan ini seakan ada musim turun naiknya. Apabila tiba bulan Ramadhan atau pun hari Jumaat, peluang bersedekah ini seakan direbut tanpa ada penghujungnya.
Namun, pada hari atau bulan lain amalan ini seakan tenggelam begitu sahaja.
Baru-baru ini tular cerita mengenai seorang pengusaha restoran di China yang baik hati telah memberi sarapan percuma kepada netizen di sana.
Menurut Shanghaiist, pemilik restoran yang terletak di wilayah Guizhou, China itu telah menawarkan sarapan percuma kepada tukang sapu, tentera serta warga emas yang berumur 70 tahun ke atas.
“Sarapan percuma untuk tukang sapu, askar dan warga emas berumur lebih 70 tahun,” tertera ayat di hadapan restoran Tauhu Heart Loving.
Khabarnya, pemilik restoran yang dikenali sebagai Sun Zhiwen itu telah melakukan kerja amal ini sejak Oktober 2015 iaitu bersamaan hari pertama dia mula mengoperasikan restorannya.
Menurutnya lagi, sepanjang restoran itu beroperasi sejak dua tahun yang lalu, lebih 20,000 mangkuk sarapan telah diberikan secara percuma kepada tiga golongan tersebut.
“Tukang sapu merupakan pekerjaan yang sangat sukar, terutama pada musim sejuk.
“Mereka perlu bangun awal dan bekerja tanpa sarapan sehingga tengah hari. Jadi, saya menyediakan sarapan pagi untuk mereka makan semasa waktu rehat,” katanya kepada Shanghaiist.
Zhiwen akui dia membuat kerja amal ini kerana ingin membalas balik jasa mereka yang telah melakukan perkara yang sama kepadanya suatu ketika dahulu.
Katanya, dia juga datang daripada keluarga yang miskin dan banyak menerima bantuan seperti ini. Jadi, menerusi kerja amal yang dilakukannya ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka yang memerlukan.
“Saya seorang ahli perniagaan biasa. Tidak kira berapa banyak wang yang boleh saya buat, saya hanya mahu lebih ramai orang merasai kebaikan yang pernah saya terima dahulu,” luahnya.
Dalam pada itu, lelaki tersebut sedang berusaha untuk membuka lebih banyak cawangan baharu supaya lebih banyak lagi orang yang boleh dibantunya.
Rasanya sikap seperti ini yang sepatutnya dicontohi. Memberikan walaupun sedikit tetapi impaknya nanti mampu mengubah nasib seseorang. (MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim/IH)



IKLAN: 




Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.

Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat.
Hasil carian imej untuk ibnu hasyi

Strategi popularkan nasi maghoh ngaat, Bagaimana?

 Nasi maghoh ngaat dijual pada harga RM5 sebungkus.


POPULARITI nasi maghoh ngaat (nasi marah sangat) yang dipopularkan oleh Aleesya Cafe menyebabkan hampir setiap hari, pelanggan tidak putus-putus mengunjungi kafe yang terletak di Taman Permai Jaya, Batu 2 ½, Jalan Air Putih, Kemaman, Terengganu itu. 
Selain penduduk setempat, ada yang datang dari jauh termasuklah Kuantan, Pahang semata-mata untuk menikmati kelazatan Nasi Maghoh Ngaat.
Pemilik Aleesya Cafe, Rishaal Ilyanna Mohd. Rawi, 37, berkata, strategi beliau menamakan menu utama kafenya yang dibuka sejak dua tahun lalu itu sebagai nasi maghoh ngaat membuahkan hasil.
Beliau berkata, maghoh ngaat dalam loghat Kelantan bermaksud marah sangat. Ia juga membawa pengertian pelanggan restorannya mahu mengulangi pembelian selepas pertama kali menikmati nasi tersebut.
Bungkus
“Kami menjual sekurang-kurangnya 300 bungkus nasi maghoh ngaat sepanjang kafe beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Jumaat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kafe tersebut baru-baru ini.


Rishaal Ilyanna menunjukkan nasi maghoh ngaat yang popular di Restoran Aleesya Cafe di Kemaman, Terengganu.




Rishaal Ilyanna yang berasal dari Peringat, Kota Bahru, Kelantan memberitahu, konsep menu tersebut sama seperti nasi dingin iaitu nasi putih berlauk ayam atau daging goreng bersama kuah gulai, hirisan timun, ikan kering dan sambal belacan.
Begitupun katanya, ia disesuaikan dengan selera penduduk tempatan, Kemaman yang lebih gemar menikmati nasi campur panas-panas.
“Sehubungan itu, kami sentiasa memastikan nasi putih, ayam dan daging goreng serta kuah gulai yang merupakan bahan asas nasi maghoh ngaat sentiasa panas sebelum dihidangkan kepada pelanggan.
“Selain itu, menu ini dibungkus menggunakan kertas minyak biarpun ia dinikmati di restoran. Ia bagi mengekalkan keaslian dan cita rasa terutamanya gulai yang memang lebih sedap jika menyerap ke dalam nasi,” katanya.


Rishaal Ilyanna (tiga dari kiri) bersama kakitangannya mengalu-alukan pelanggan ke Aleesya Cafe di Jalan Air Putih, Kemaman.



Rishaal Ilyanna berkata, rata-rata pelanggannya menyukai nasi maghoh ngaat kerana kerangupan ayam dan daging yang dimasak dengan resipi istimewa. Hidangan tersebut dijual pada harga RM5 sebungkus bersama teh O ais atau sirap ais yang diberi secara percuma.
“Kami juga menyediakan ikan bakar, sotong bakar, pajeri nanas, telur dadar dan telur masin, serta gulai kaki ayam sebagai pilihan lauk tambahan kepada pelanggan,” katanya.
Selain nasi maghoh ngaat, Aleesya Cafe turut menawarkan nasi kerabu, nasi lemak, hidangan ala Barat, makanan laut dan sajian ringan seperti roti bakar.
“Aleesya Cafe juga menyediakan ruang dengan pendingin hawa untuk keselesaan pelanggan terutamanya kepada mereka yang mahu mengadakan majlis-majlis keraian,” ujarnya.

IKLAN
Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.
Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat.

Saturday 21 October 2017

Usahawan Jubah Bergelar 'Datuk', Ditahan..


KISAH usahawan jubah ini pernah tular di media sosial suatu masa dulu apabila beliau mendakwa mampu capai sales sebanyak RM2 juta dalam tiga hari hasil jualan pakaian lelaki berkenaan.

Apa uniknya, jubah tersebut dikatakan hanya sesuai untuk lelaki bertubuh sado sekali gus mengundang kritikan ramai yang tidak berpuas hati dengan reka bentuk pakaian tersebut.
Bagaimanapun, kali ini usahawan tersebut sekali lagi menjadi bahan bualan panas apabila sebuah laman Facebook mendakwa beliau telah ditahan kononnya kerana seorang ‘kaki auta’.
Menurut akaun dikenali dengan nama, Pseudoscience Watch, lelaki itu yang juga murid kesayangan kepada seorang penceramah motivasi terkenal negara didakwa telah ditahan oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, admin laman sosial tersebut dilihat tidak pula mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenai masa dan lokasi kejadian penahanan tersebut berlaku.
Susulan itu, perkara berkenaan secara tidak langsung telah mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen yang terus-menerus mempersoalkan kenapa usahawan tersebut dicekup polis
Setakat ini, kesahihan mengenai berita berkenaan masih lagi tidak dapat dipastikan dan mungkin akan dilaporkan sekiranya ia adalah benar.  Lapor MYNEWSHUB.CC/AM