Sunday 29 October 2017

Kulinari Thailand pikat pengunjung

















SOTONG bakar tanpa sos merupakan salah satu menu yang diperkenalkan pada Karnival Mega Amazing Thailand di pusat beli-belah The Strand, Damansara Kuala Lumpur baru-baru ini.

KESEIMBANGAN rasa pedas, masam, manis merupakan tunjang utama dalam masakan Thailand. Justeru, tidak hairanlah menu negara Gajah Putih itu mempunyai peminat tersendiri di negara ini sehingga ada yang sanggup menempuh perjalanan berjam-jam semata-mata ingin menikmati hidangan istimewa di negara tersebut.
Bagaimanapun, penganjuran Karnival Mega Amazing Thailand di pusat beli-belah The Strand, Damansara baru-baru ini diibaratkan orang mengantuk disorongkan bantal. Tanpa perlu ke negara tersebut, pengunjung dihidangkan lebih 100 menu istimewa untuk dinikmati.
Seorang pengunjung Mei Yin, 30, memberitahu, pertama kali menikmati sajian pulut mangga ketika bercuti bersama suami dan ibunya di Bangkok, Thailand April tahun lalu, menyebabkan pencuci mulut itu sentiasa dalam mindanya. Lebih menggembirakan Yin, kunjungannya ke pusat beli-belah tersebut baru-baru ini menemukannya dengan juadah kegemarannya itu.
“Sejak 18 bulan yang lalu, saya sudah seperti orang mengidam dan akhirnya berjaya mendapatkan pulut mangga di sini.
“Rasa buah mangga yang manis dan aroma pulut yang sempurna dimasak sama seperti yang saya nikmati di Bangkok, Thailand,” kongsi wanita yang berasal dari Subang Jaya, Selangor.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Adam Branchiad, 34, yang berasal dari Perancis pula sangat menggemari laksa lemak yang pernah dinikmati di Kedah dan Hatyai, Thailand ketika berkunjung kedua-dua tempat tersebut sedekad lalu.
100 peniaga
Laksa lemak merupakan sejenis makanan berkuah yang terkenal di kawasan utara negara dan selatan Thailand.
Ia dimakan bersama kuah yang diperbuat daripada santan dan campuran ramuan tertentu serta dihiasi ulaman segar. Adam mengakui, meskipun sedar meskipun kuah laksa itu agak pedas, namun dia tidak pernah menolak hidangan tersebut.
“Sejak berkahwin dengan wanita Melayu, saya memang gemarkan laksa. Walaupun pedas, ia sangat lazat.


SIRINTIP (kanan) menjual ayam madu dan nasi goreng pattaya resipi istimewa warisan neneknya.


“Sejak hari pertama karnival tersebut berlangsung saya dan keluarga tidak melepaskan peluang menikmati juadah yang dijual pada karnival ini,” tuturnya yang berkahwin dengan wanita tempatan, Dalin Qadja, 33.
Jelas bapa kepada tiga orang anak itu, antara juadah yang digemarinya ialah laksa dan sotong bakar tanpa sos.
Bagi menarik orang ramai, Karnival Mega Amazing Thailand telah menghimpunkan hampir 100 orang peniaga berasal dari negara itu dengan menyediakan hampir 60 variasi menu makanan yang diadakan pada 6 hingga 18 Oktober lalu.
Dalam pada itu, terdapat sebuah gerai yang menjadi perhatian ramai kerana aroma ayam panggang madunya boleh dihidu dari jauh. Pemilik gerai Ilham Pattani, Sirintip Khantasak, 30 memberitahu, aroma tersebut datangnya daripada ayam yang dibakar menggunakan sos perapan istimewa yang diwarisinya sejak remaja.
“Menu ini berjaya menggamit pengunjung ke gerai kami kerana resipinya diadun dengan gabungan herba dan cili. “Resipi ini adalah hasil air tangan nenek kami, For Khatansak selama lebih 25 tahun dan kini ia menjadi warisan kebanggaan keluarga,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, pemilik gerai Chan Peng Sungai Patani, Chan Peng, 52, memberitahu, gerainya menawarkan pelbagai jenis kerabu antaranya termasuklah kerabu suhun, maggi dan kaki ayam.
Kerabu
Namun, kerabu kaki ayam merupakan menu yang paling digemari oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.
 PULUT mangga pencuci mulut popular dari Thailand.
“Kerabu kaki ayam merupakan menu pelaris gerai saya sejak tiga dekad lalu.
“Kerabu ini mempunyai rasa yang cukup luar biasa. Campuran cuka, sos ikan istimewa dan mangga muda menjadikannya pilihan pengunjung,” ujar peniaga berasal dari Narathiwat, selatan Thailand itu. Pada karnival itu juga orang ramai berpeluang menikmati pelbagai makanan jalanan dan pemanis mulut Thai yang popular seperti pulut mangga, aiskrim kelapa muda.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Brainbox Empire, Rhoma Hakim berkata, idea penganjuran itu tercetus selepas melihat budaya rakyat Malaysia yang gemar menikmati makanan pedas.
“Oleh kerana rakyat Thailand kreatif dalam menghasilkan pelbagai jenis makanan pedas jadi kita mengambil keputusan untuk mengetengahkan rasa asli makanan Thailand di negara ini.
“Lebih istimewa lagi, kesemua makanan yang dijual halal dan mempunyai tahap kebersihan yang optimum.
“Kami memilih The Strand kerana lokasinya yang strategik terletak berdekatan pejabat dan perumahan serta selesa,” ujarnya karnival itu juga dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan pertunjukan ular. (kosmo!)

No comments:

Post a Comment