Saturday 7 October 2017

Ekspo Kerjaya Menipu, Libat Nama Syarikat Besar


HARAPAN palsu mendapatkan pekerjaan benar-benar menyakitkan hati kepada graduan mahupun penganggur yang sekian lama menantikan pekerjaan.

Semalam, seorang peserta Expo Kerjaya Terbesar Zon Utara 2017 di Alor Setar, Kedah telah mendedahkan pengalaman ‘manisnya’ ketika mengadiri acara yang diadakan dari 30 September hingga 1 Oktober yang lalu.
Lebih malang menurutnya, ekspo secara besar-besaran itu dikatakan telah berjaya menipu ramai pengunjung apabila mereka dikenakan pula bayaran sebanyak RM10 bagi mendapatkan borang permohonan kerja.
Gadis yang dikenali sebagai Awin itu mendakwa bahawa sebanyak 5,000 jawatan daripada syarikat terkemuka sedia menanti calon yang bertuah dan berjaya melepasi empat sesi dikendalikan oleh pihak penganjur.
Difahamkan lagi, setiap seorang perlu membeli sekurang-kurangnya lima borang supaya peluang untuk mendapatkan pekerjaan itu menjadi lebih cerah.
“Saya bukan sengaja mahu mensensasikan perkara ini tetapi saya terpanggil untuk menjelaskan situasi sebenar yang perlu dilalui orang ramai semasa hendak menghadiri expo tersebut.
“Bukan sahaja kecewa tetapi saya rasa dianiayai,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dari Universiti Teknologi Mara(UiTM) Kedah tersebut.
Mereka malah perlu beratur selama dua jam untuk ke sesi kedua taklimat ekspo karier itu. Difahamkan akaun Facebook penganjurnya, Jobsitu.com Malaysia hanya didaftarkan 18 Julai, iaitu tiga bulan sebelum ekspo ini diadakan.
Tiada sebarang maklumat daripada pangkalan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkaitan syarikat terbabit. Walaupun akaun Facebook itu masih lagi baru, namun mereka sudah ada lebih 220,000 pengikut dalam masa singkat.
“Saya pernah pergi banyak ekspo karier sebelum ini tapi inilah kali pertama saya berdepan dengan situasi graduan perlu membeli borang untuk memohon pekerjaan.
“Ekspo karier di KL, lebih besar berbanding di sini tapi saya tidak perlu keluar satu sen pun untuk beli borang. Dari situ, saya menyedari seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan ekspo ini.
“Kasihan dekat mereka yang datang dari jauh sambil ditemani orang tua dan adik-adik kecil yang terpaksa berdiri lama dalam keadaan panas terik,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Malah, ramai orang awam yang menghadiri ekspo itu turut meluakan rasa kekesalan mereka kerana diberikan harapan palsu mengenai pekerjaan yang ‘ditawarkan’ kepada pengunjung.
Apa yang lebih menyakitkan hati adalah apabila staf bertugas memaklumkan borang yang dibeli akan dihantar melalui pos ke alamat yang telah diberikan.
Tambahan pula, staf sendiri yang akan menjadi wakil untuk menghantar borang permohonan graduan kepada syarikat yang telah dimohon.
Tertera di poster itu menunjukkan banyak syarikat besar seperti Sime Darby, Air Asia, Grab, Nestle, Petronas, Celcom, Maybank, Tenaga Nasional, Intel, Proton dan TM.
Namun, sayang seribu kali sayang apabila syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd telah menafikan penglibatan syarikat itu pada ekspo tersebut.
“AirAsia ingin mengesahkan bahawa syarikat ini tidak ambil bahagian dalam ekspo kerjaya anjuran Jobsifu.com Malaysia yang diadakan di Alor Setar, Kedah bermula 30 September hingga 1 Oktober lalu,” demikian menurut kenyataan itu.
Malah, penganjur tersebut turut menggunakan logo syarikat berkenaan tanpa kebenaran dan persetujuan syarikat penerbangan tambang rendah itu.
Orang ramai boleh membuat laporan atau berhubung dengan AirAsia menggunakan saluran komunikasi rasmi syarikat itu di www.facebook.com/airasia; www.twitter.com/airasia dan www.airasia.com/ask, katanya dipetik daripada mStar Online.
Selain itu, syarikat yang menawarkan perkhidmaran e-hailing, Grab turut menyangkal dakwaan penglibatan syarikat tersebut dalam ekspo berkenaan.
“Kami tidak membuat sebarang promosi tawaran pekerjaan ketika ini,” kata Pengurus Komunikasi Grab Malaysia, Regina Robin.
Tiada tawaran pekerjaan di Grab Malaysia, cuma yang ada hanya tawaran kod promosi bagi mengurangkan kesesakan ke lokasi tersebut di atas permintaan penganjur.
“Kami hanya diminta untuk menyediakan kod promosi bagi kemudahan pengangkutan sahaja, bukan syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan,” tambah mereka lagi.
Ternyata penipuan yang dilakukan oleh pihak penganjur merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima kerana mereka seolah-olah mempergunakan nama syarikat besar bagi menarik minat orang awam menyertai ekspo itu.
Apa pula nasib kesemua peserta yang telah menghadiri expo penipu itu? Lepas ini anda dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dengan iklan ekspo kerja.
Bukan apa, takut erja tah kemana, masa pun dah terbuang. Akhirnya duit juga yang dah melayang.  Lapor MYNEWSHUB.CC 

No comments:

Post a Comment