Monday 23 October 2017

Sarapan Percuma Dari Pemilik Restoran Ini..


Pemilik Restoran Beri Sarapan Percuma

DALAM ajaran agama Islam, amalan bersedekah sangat dituntut dalam diri setiap penganutnya.

Tetapi, amalan ini seakan ada musim turun naiknya. Apabila tiba bulan Ramadhan atau pun hari Jumaat, peluang bersedekah ini seakan direbut tanpa ada penghujungnya.
Namun, pada hari atau bulan lain amalan ini seakan tenggelam begitu sahaja.
Baru-baru ini tular cerita mengenai seorang pengusaha restoran di China yang baik hati telah memberi sarapan percuma kepada netizen di sana.
Menurut Shanghaiist, pemilik restoran yang terletak di wilayah Guizhou, China itu telah menawarkan sarapan percuma kepada tukang sapu, tentera serta warga emas yang berumur 70 tahun ke atas.
“Sarapan percuma untuk tukang sapu, askar dan warga emas berumur lebih 70 tahun,” tertera ayat di hadapan restoran Tauhu Heart Loving.
Khabarnya, pemilik restoran yang dikenali sebagai Sun Zhiwen itu telah melakukan kerja amal ini sejak Oktober 2015 iaitu bersamaan hari pertama dia mula mengoperasikan restorannya.
Menurutnya lagi, sepanjang restoran itu beroperasi sejak dua tahun yang lalu, lebih 20,000 mangkuk sarapan telah diberikan secara percuma kepada tiga golongan tersebut.
“Tukang sapu merupakan pekerjaan yang sangat sukar, terutama pada musim sejuk.
“Mereka perlu bangun awal dan bekerja tanpa sarapan sehingga tengah hari. Jadi, saya menyediakan sarapan pagi untuk mereka makan semasa waktu rehat,” katanya kepada Shanghaiist.
Zhiwen akui dia membuat kerja amal ini kerana ingin membalas balik jasa mereka yang telah melakukan perkara yang sama kepadanya suatu ketika dahulu.
Katanya, dia juga datang daripada keluarga yang miskin dan banyak menerima bantuan seperti ini. Jadi, menerusi kerja amal yang dilakukannya ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka yang memerlukan.
“Saya seorang ahli perniagaan biasa. Tidak kira berapa banyak wang yang boleh saya buat, saya hanya mahu lebih ramai orang merasai kebaikan yang pernah saya terima dahulu,” luahnya.
Dalam pada itu, lelaki tersebut sedang berusaha untuk membuka lebih banyak cawangan baharu supaya lebih banyak lagi orang yang boleh dibantunya.
Rasanya sikap seperti ini yang sepatutnya dicontohi. Memberikan walaupun sedikit tetapi impaknya nanti mampu mengubah nasib seseorang. (MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim/IH)



IKLAN: 




Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.

Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat.
Hasil carian imej untuk ibnu hasyi

No comments:

Post a Comment