Saturday 28 October 2017

Kopi Sumba paling enak di Indonesia.


Kopi Sumba boleh didapati dalam bentuk bungkusan.

SETIAP rumah di Pulau Sumba, wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia mempunyai kopi. Ini bererti masyarakat Sumba adalah peminum kopi.
Hampir semua pekarangan rumah penduduk Sumba khususnya yang terletak di dataran tinggi seperti di Kecamatan Wewewa Tengah juga terdapat pohon-pohon kopi. Kebanyakan buahnya dituai untuk kegunaan sendiri dan dijual di pasar tradisional.
Kebanyakan masyarakat memetik kopi dan kemudian menjemur, menggoreng dan menggiling biji kopi dengan kaedah tradisional. Kopi yang digoreng dengan potongan halia digemari ramai kerana ia membangkitkan aroma harum ketika diminum.
Kebiasaannya, warga tempatan akan menambah gula pasir dalam minuman kopi mereka. Namun, cara itu mula berubah selepas penduduk mengetahui kaedah merawat tanaman, menuai, memproses sehingga penyediaan kopi dengan cara yang betul.
Petani kopi di Desa Kadi Roma kini boleh berbangga dengan produk kopi yang diproses dalam bentuk serbuk. Ia dibungkus dan dipasarkan menggunakan nama komersial Kopi Sumba kerana ia dianggap sebagai hasil terbaik.
Teknologi terkini


Pengeringan merupakan salah satu proses untuk menghasilkan Kopi Sumba.


Kejayaan tersebut dikecapi selepas mereka berusaha menjaga tanaman tersebut dan memilih buah terbaik. Pada masa sama, mereka menggunakan teknologi terkini bagi meningkatkan kualiti pengeluaran.
Peningkatan kualiti pengeluaran kopi itu adalah hasil usaha petani yang mengikuti bimbingan tenaga pakar daripada Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI).
Kerjasama antara LIPI dan pihak Kabupaten Sumba Barat Daya (SBD) telah terjalin sejak 2015 menerusi program Iptekda LIPI yang memberi perhatian kepada potensi dalam komoditi kopi dan mentega di SBD.
Program tersebut mendapat kerjasama Koperasi Serba Usaha (KSU) Lembah Hijau yang menghimpunkan beberapa petani di Wewewa Tengah khususnya di Desa Kadi Roma sebagai kumpulan sasaran dengan diketuai oleh Elizabeth Malo.
Elizabeth merupakan seorang tokoh yang memainkan peranan penting dalam kejayaan KSU Lembah Hijau kerana usahanya dalam menarik petani untuk mempelajari cara memproses kopi dengan cara baharu.
Sejak mendapat bimbingan daripada LIPI, perubahan yang dilakukan petani kini adalah hanya menuai biji kopi berwarna merah yang sudah masak dan memprosesnya dengan teknik pengeringan serta penapaian sebelum menggoreng dengan suhu yang sesuai.
Kopi tersebut kemudian dimasak dengan air bersuhu antara 80 hingga 85 darjah Celsius dan seterusnya disajikan tanpa gula. Bagaimanapun, penduduk di kawasan itu masih gemar menikmati minuman kopi yang dibancuh dengan gula kerana mahukan rasa manis.
Elizabeth mengakui, program melibatkan petani di sekitarnya dalam skala kecil merupakan perintis kepada perusahaan kopi di kawasan tersebut.
“Pada awalnya kami memasak 20 kilogram (kg) kopi setiap hari dan ia akan dibungkus dalam dua perasa iaitu asli dan halia. Kopi ini kemudiannya dipasarkan ke kios dan kedai di sekitar Sumba Barat Daya,” katanya.
Tanaman kopi tempatan jenis robusta selama ini dianggap berkualiti lebih rendah berbanding kopi arabica.
Penapaian


KOPI yang mempunyai cita rasa berbeza dicari penggemarnya.


Bagaimanapun, dengan rawatan tanaman dan proses yang baik termasuk penapaian seperti yang dilakukan dalam pemprosesan kopi arabica, kopi robusta di Wewewa Tengah kini menjadi kopi istimewa dan terbaik di Indonesia.
Pengiktirafan itu diperoleh selepas Kopi Sumba menyertai pertandingan rasa kopi di Festival Kopi Nusantara serta melepasi ujian rasa di Pusat Penyelidikan Kopi dan Koko Indonesia di Jember, Jawa Timur pada Ogos lalu.
“Kopi Sumba memiliki rasa tersendiri apabila peminumnya akan merasai perisa coklat dan ia sangat enak,” kata seorang penyelidik LIPI, Arie Sudaryanto.
Kopi Sumba juga telah terbukti dikenali sebagai kopi paling sedap di Indonesia, namun para petani mengakui mereka perlu berusaha untuk mengekalkan kualiti pengeluaran di samping menghadapi cabaran semula jadi seperti jangkitan kulat batang dan hama semut merah yang memakan buah.
Dalam perbincangan antara Ketua LIPI, Bambang Subiyanto bersama petani di Desa Kadi Roma dan wakil Bupati SBD, Ndara Tagu Kaha, ada kalangan petani menyatakan harapan mereka agar LIPI terus menyalurkan ilmu pengetahuan dan teknologi berkaitan industri kopi.
“Tanaman ini sudah lama kami usahakan namun cabaran setiap tahun tetap sama iaitu jangkitan kulat, serangan hama dan kesukaran pengaliran air,” kata seorang petani kopi di Desa Kadi Roma, Debora.
Seorang petani yang hanya dikenali sebagai Daud memberitahu, mereka memerlukan air bersih kerana bekalan sumber itu hanya terdapat di dalam gua dan tanah yang memerlukan penggunaan teknologi bagi memudahkan sistem pengaliran air.
Sokongan


Kualiti kopi robusta setanding dengan kopi arabica.



Masalah itu mendapat perhatian apabila Bambang menegaskan, LIPI akan terus bekerjasama dan memberi sokongan dalam industri kopi di kawasan berkenaan.
Katanya, LIPI juga berharap agar masyarakat khususnya generasi muda bersedia menerima perubahan teknologi bagi meningkatkan produktiviti pertanian khususnya tanaman kopi.
Sejak kebelakangan ini, permintaan kopi di pasaran tempatan semakin meningkat sehingga pengeksportan berkurangan sekali gus mempengaruhi kenaikan harga kopi dunia.
“Kopi Sumba sudah terbukti memiliki cita rasa tinggi dan tidak mustahil boleh menembusi pasaran antarabangsa,” ujarnya.
Sehubungan itu, Bambang mahu pihak pemerintah dan masyarakat untuk mendaftar hak paten Kopi Sumba agar dapat memberi keuntungan kepada mereka pada masa depan. (Kosmo)
IKLAN:

Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.

Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat.

No comments:

Post a Comment