Thursday 29 November 2018

Lembu tenusu terbesar Australia

SAIZ Knickers yang besar menjadi tarikan kepada lembu ternakan
SAIZ Knickers yang besar menjadi tarikan kepada lembu ternakan Pearson. AGENSI

SYDNEY 28 Nov. - Seekor lembu tenusu yang mempunyai saiz badan luar biasa dan berat melebihi sebuah kereta kecil menjadi liputan akhbar-akhbar utama di Australia sebagai lembu terbesar di negara ini.
Mail Online melaporkan, lembu yang diberi nama Knickers oleh pemiliknya, Geoff Pearson itu mempunyai berat 1,400 kilogram, menjadikan haiwan berkenaan sukar untuk dieksport kerana saiznya disifatkan terlalu besar.
Kncikers juga mempunyai ketinggian 194 sentimeter atau bersamaan dengan tinggi bintang bola keranjang NBA, Michael Jordan.
Biarpun tidak boleh dieksport, Kncikers masih memainkan penting kepada tuannya.
Ini kerana, lembu-lembu ternakan Pearson sering tertarik dengan saiz Knickers yang besar dan keadaan itu secara tidak langsung memudahkan penternak berkenaan mengesan kedudukan kawanan lembunya ketika haiwan tersebut keluar meragut rumput.
“Setiap kali Knickers bangun dan mula berjalan, ratusan lembu lain akan mengikutnya dan secara tidak langsung, kami boleh mengesan pergerakan kawanan tersebut,” jelas Pearson.
Mengikut Guinness World Record, lembu terbesar di dunia seberat 2,267 kilogram manakala lembu tertinggi pula berukuran lebih dua meter.
Sementara itu, seorang pakar lembu tenusu, Rupert Mothersole berkata, terdapat pelbagai faktor menyumbang kepada tumbesaran lembu termasuk pemilihan genetik untuk pembiakan.
Jelasnya, jika seekor lembu dimandulkan pada usia muda, maka keadaan itu memberi peluang kepada haiwan berkenaan untuk membesar secara luar biasa seperti Knickers.
Purata saiz lembu biasa adalah seberat 630 kilogram dengan purata saiznya meningkat sehingga 18 peratus dalam tempoh dua dekad lalu. – AGENSI

Tuesday 27 November 2018

Industri Fesyen: Gaya stailo patuh syariah yang lebih up-to-date.



PERKEMBANGAN industri fesyen muslimah di negara ini amat menggalakkan sehingga menarik minat ramai pereka baharu untuk tampil dengan pelbagai konsep.

Bagaimanapun kurangnya kefahaman masyarakat terhadap konsep muslimah itu sendiri membuatkan sesetengah individu menjadi 'mangsa fesyen'.

Bagi usahawan muda Era Masturah Ramlee, gaya muslimah dengan sentuhan hispter namun patuh syariah boleh memberi peluang kepada wanita berhijab untuk berfesyen.
Oleh itu eralee.rtw menampilkan koleksi casual sporty namun masih mengekalkan ciri modest khusus untuk remaja yang aktif.

"Kebiasaanya wanita berhijab memilih jubah untuk bergaya. Namun saya inginkan sesuatu yang berbeza tetapi fresh, trendy dan paling penting... patuh syariah.
"Bercakap mengenai patuh syariah sudah tentu saya sangat cerewet dalam memilih material kain yang digunakan. Saya tidak akan gunakan sesuatu yang bersifat melekap di tubuh," katanya kepada mStar Online.

eralee.rtw menawarkan koleksi pakaian uniseks dan berpotongan oversized sesuai buat semua golongan.
Dalam memenuhi etika pemakaian cara Islam, Masturah atau lebih mesra disapa Era berkata dia gemar bermain dengan sesuatu yang minimal dan monocrome..

"Dari segi pemilihan warna pula, kerana konsepnya adalah patuh syariah, jadi warna-warna juga tidak seharusnya menonjol.
"Selalunya saya akan menggunakan warna hitam, putih atau kelabu. Tetapi untuk koleksi akan datang, saya akan cuba bermain dengan warna-warna pastel dan tidak terlalu bold," katanya.

Bercerita mengenai idea dalam rekaannya, Era berkata dia gemar melancong dan menjadikan Jepun dan Korea sebagai negara pilihan dalam mencari inspirasi.

"Saya akan observe budaya masyarakat tempatan dan belajar bagaimana nak twist sesuatu benda itu supaya ia menjadi modest dan trendy.
"Kemudian saya terapkan design oversized, loose dan baggy agar ia patuh syariah," katanya.
Era turut menjadikan pereka fesyen paling berpengaruh di Jepun, Yohji Yamamoto sebagai idola dalam berfesyen.
Menurutnya, prinsip Yohji untuk 'menutup wanita' dijadikan pegangan untuk setiap rekaannya.
"Saya sangat sukakan prinsip itu. Yohji tidak akan mendedahkan bahagian yang tidak sepatutnya dalam busana yang direka.
"Sebab itu kalau anda teliti, rekaan saya juga memiliki gaya Jepun dan 'Korean street style'," ujarnya.

Menurut gadis yang memiliki Diploma Rekaan Fesyen dari Management & Science University (MSU) ini lagi, selain menjual produk, dia berhasrat untuk  mendidik masyarakat tentang cara sebenar berpakaian menurut Islam.

"Saya sendiri tidak pernah terlepas dari menerima kecaman netizen.
"Pada mereka seseorang yang berniqab tidak perlu melibatkan diri dalam fesyen.
"Saya akui ia adalah jalan yang terbaik tetapi mereka perlu faham, saya juga ada minat dan usaha saya untuk berdakwah  kepada masyarakat yang berpandangan skeptikal terhadap niqabis," katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Bagus, 'Gaya stailo patuh syariah yang lebih up-to-date.' Tetapi jangan lupa 'jubah' fesyen tradisi yang paling banyak berjasa kepada Islam agama yang diredhaiAllah!
Jubah tetap mempertahankan identitinya sepanjang zaman.

i
Lupakan jubah, niqabista ini tunjuk gaya stailo patuh syariah yang lebih up-to-date

Thursday 22 November 2018

Nekad Jual Telur Sotong, Sara Keluargan .


Alias Harun bersama peserta PJD selepas Majlis Penyampaian Cek PJD


KUALA TERENGGANU, 21 November - Nekad mahu mengubah kehidupan keluarga selepas kematian suami pada 2006, mendorong Aini Harun, 52, dari Seberang Kastam, Besut menjual telur sotong secara kecil-kecilan.

Aini berkata, ketika itu dia hilang punca pendapatan untuk menanggung empat anak yang masih kecil, hanya terlintas untuk menjual telur sotong selepas melihat kejayaan beberapa kenalan di Kuantan, Pahang.

“Saya memberanikan diri menjual produk dari Kedah itu di Terengganu berikutan tiada pesaing, selain mahu menampakkan kelainan berbanding peniaga lain.


“Alhamdulillah selepas beberapa tahun, produk yang menggunakan nama Kak Ma Telur Sotong mendapat sambutan cukup menggalakkan, mampu menjual  antara 10 hingga 15 kilogram (kg) sehari dengan nilaian RM35 sekilogram,” katanya.

Aini berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Cek Pinjaman Program Jaya Diri (PJD) di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir merasmikan program itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun dan Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Aini turut memberitahu, dalam tempoh tertentu terutama pada Jun dan Julai, bekalan telur sotong akan terputus kerana bukan musim sotong bertelur..

“Keadaan ini menyebabkan pelanggan terdiri daripada pengusaha restoran tempatan dan individu dari Kuala Lumpur terpaksa menunggu dalam tempoh lama.

“Tidak mahu berdepan masalah itu, saya mengambil keputusan membuat pinjaman PJD dalam jumlah RM10,000 supaya dapat dijadikan modal untuk membeli telur sotong dalam kuantiti yang banyak agar bekalan untuk pelanggan tidak terputus.

“Selepas ini, saya mahu membuat tempahan sehingga 200 kg berbanding hanya 100 kg sebelum ini,” katanya yang kini kembali berumahtangga.


Sementara itu, Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata, YPKT merekodkan pada masa kini, seramai 2,643 peserta PJD aktif membuat pinjaman dengan nilaian RM15 juta.(Teganukita)

Katanya, program itu nyata membantu peserta kerana mengenakan syarat yang mudah iaitu penubuhan kumpulan bagi menggantikan cagaran atau penjamin yang bekerja tetap.

“Berdasarkan rekod, setiap peserta yang mengikut program itu mampu memperoleh pendapatan antara RM500 sehingga RM2,000 sebulan.

“’YPKT akan terus meningkatkan usaha melahirkan usahawan dari kalangan peserta PJD itu dengan bantuan kursus dan bimbingan yang bersesuaian.

“’Perkara ini sangat penting kerana sebahagian besar peserta yang menyertai program ini tidak pernah mendapat bimbingan keusahawanan,” katanya (Teganukita)

Wednesday 21 November 2018

300 pelabur bitcoin rugi RM180 juta



KUALA LUMPUR 19 Nov. - Lebih 300 individu terpaksa berputih mata apabila pelaburan mata wang bitcoin tidak memberikan pulangan seperti diharapkan, malah individu yang mengasaskan skim tersebut turut melarikan ribuan bitcoin bernilai lebih RM180 juta sejak 2016.
Skim yang didakwa diasaskan tiga individu termasuk seorang produser filem pecah panggung itu bukan sahaja tidak memulangkan pelaburan mangsa, malah bertindak lebih berani dengan membuka skim lain bertujuan mencari mangsa baharu.

Seorang daripada mangsa, Mohd. Alif Basari, 27, berkata, dia mula membeli 20 bitcoin bernilai RM63,000 bermula April sehingga Julai 2016.
“Saya membeli bitcoin tersebut secara berperingkat sebelum melaburkannya dalam skim tersebut, bulan pertama dan kedua saya dapat pulangan seperti dijanji, namun selepas transaksi keempat, mereka mula main tarik tali.
“Apa saya kesalkan, saya turut mengajak rakan sekerja lain untuk melabur dan kini terpaksa berhenti kerja berikutan malu akibat mereka juga sama-sama ditipu,” kata bekas jururawat di sebuah hospital swasta itu ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kajang, di sini hari ini bersama lebih 30 mang­sa lain.
Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil pula berkata, modus operandi digunakan skim tersebut adalah mengumpul semua bitcoin dibeli mangsa dan memberi pulangan yang dijanjikan dalam beberapa bulan pertama sebelum mula berdolak-dalik selepas empat bulan beroperasi.
“Berdasarkan aduan pi­hak kami te­rima, sehingga kini se­banyak lebih 300 mangsa terlibat de­ngan skim penipuan itu membabitkan jumlah sehingga RM180 juta, namun kita percaya ramai lagi mangsa terlibat dan kerugian sebenar adalah berbilion ringgit,” ujarnya.
Siraj menambah, MCCA turut menggesa kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas untuk menilai kebaikan dan keburukan bitcoin sebelum merealisasikan penggunaannya di negara ini.
“Saya juga sarankan kerajaan libatkan pelbagai pihak terma­suk ahli agama serta agensi keselamatan untuk buat kajian dalam kes penipuan ini,” katanya. (Utusan)

Thursday 15 November 2018

Lebih 92,000 perniagaan sudah daftar SST




KUALA LUMPUR, 7 Rabiulawal 1440H, Khamis – Jumlah keseluruhan pemilik perniagaan yang berdaftar di bawah sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga 23 Oktober lepas, adalah sebanyak 92,682 perniagaan, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata hari ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 57,298 perniagaan berdaftar di bawah skim Cukai Perkhidmatan, manakala selebihnya sebanyak 35,384 berdaftar di bawah Skim Cukai Jualan.
Guan Eng berkata, pihak Kastam Diraja Malaysia tidak akan membuat sebarang pengecualian terhadap mana-mana perniagaan untuk tidak berdaftar dengan SST.
Justeru, semua pemilik perniagaan diminta segera berdaftar bagi mengelakkan sebarang tindakan. – Bernama

Monday 12 November 2018

Dr Mahathir mahu Malaysia hasilkan dron buatan sendiri


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melihat model dron ketika hadir pada majlis pelancaran makmal Persatuan Pembangunan UAV Malaysia (Muda) di Australian International School Malaysia, Seri Kembangan, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Malaysia meneroka teknologi baharu, termasuk menghasilkan dron buatan sendiri dan industri kepintaran buatan.
Beliau berkata, untuk mencapai status negara maju, Malaysia perlu menjadi pengeluar.
“Saya harap kita, Malaysia, tidak akan terus-menerus menjadi pengguna produk keluaran orang lain.
“Kita begitu ketinggalan dari segi itu kerana kita suka menggunakan barang yang dicipta dan dihasilkan orang lain, kita tidak menghasilkannya sendiri,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran makmal Persatuan Pembangunan UAV Malaysia (Muda) di Australian International School Malaysia, Seri Kembangan, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar dan pengasas Muda Datuk Lester Tay Kean Boon.
Perdana Menteri berkata, Malaysia perlu mencontohi China dalam menguasai teknologi yang membolehkan negara itu menjadi pengeluar utama banyak produk.
"Saya dapati, China bukan sahaja mahu menggunakan produk dari negara lain, tetapi mereka juga mahu mengeluarkan sendiri produk berkenaan. Mereka mampu menghasilkan semua jenis produk, yang selama ini kita import dari negara lain.
"Sekarang mereka melibatkan diri dalam menghasilkan kapal terbang, roket, satelit, menghantar manusia ke angkasa dan banyak lagi… jika China boleh melakuknnya, saya tidak nampak kenapa Malaysia tidak boleh," kata beliau.
Sambil menzahirkan minat beliau terhadap teknologi, Dr Mahathir berkata pembangunan teknologi boleh menambah baik kehidupan manusia, sebagai contoh, inovasi dalam pengeluaran alat kawalan jauh menjadikan televisyen lebih mudah untuk ditonton.
Beliau berkata teknologi kawalan jauh kini berkembang kepada penghasilan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan sekarang dron digunakan dalam peperangan dan bidang lain.
Sambil menegaskan tentang peri pentingnya memahami dan menguasai kepintaran buatan, Dr Mahathir menyuarakan harapan agar teknologi itu akan membantu melahirkan minat rakyat Malaysia untuk membangunkan, mengawal dan mengurus teknologi.
Sementara itu Tay berkata, Muda sedang berusaha menghasilkan dron buatan Malaysia pertama dan model sulungnya dijangka siap pada suku pertama tahun depan. -- BERNAMA