Berbanding 10 tahun lalu, cuma syarikat korporat yang menggunakan papan iklan itu untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan kerana kosnya terlalu mahal.

Kini, hampir 80 peratus papan iklan gergasi yang dipacakkan di lokasi strategik itu menampilkan produk buatan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Pastinya, ia menawarkan salah satu hiburan buat pemandu yang melalui lebuh raya berkenaan.

Berdasarkan perkembangan semasa, ia menggambarkan PKS bumiputera kini lebih berdaya saing dan sanggup melaburkan wang yang banyak untuk peruntukan perbelanjaan pengiklanan, pemasaran serta promosi.

Bagi usahawan, platform iklan menggunakan papan iklan gergasi merupakan salah satu kaedah penjenamaan dan imej syarikat terbaik syarikat selain bertindak agresif dalam media sosial sambil menggunakan media cetak serta elektronik.

Kumpulan ini sebenarnya terlalu kreatif dalam penghasilan produk masing-masing. Pelbagai bahan semula jadi, ekstrak buah-buahan serta herba diformulasikan sendiri untuk menghasilkan produk bagi membantu meningkatkan kualiti kesihatan serta penjagaan kecantikan masyarakat kini.

Rata-rata produk mereka telah melalui kajian dan pembangunan yang teliti selain dihasilkan di kilang bertaraf Amalan Pengilangan Terbaik berserta mendapat pengesahan halal daripada

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia termasuk kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.

Sehubungan itu, tidak hairanlah jika produk yang berjaya dipromosikan dengan berkesan mampu mencatat jualan menggalakkan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit malah jutaan ringgit hanya dalam tempoh beberapa bulan selepas dilancarkan.

Ini disokong oleh rangkaian pemasaran yang kukuh di seluruh negara melalui pelantikan ejen dan stokis termasuk mengembangkan pasaran hingga ke negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Brunei.

Ternyata ia memberi ruang dan peluang kepada stokis atau ejen untuk menambah pendapatan bulanan masing-masing khususnya bagi mereka yang menjadikan perniagaan itu sebagai pekerjaan separuh masa.

“Saya memiliki seorang stokis wanita yang cukup aktif, masih muda dan pendapatan bulanannya ialah kira-kira RM50,000 ke atas setiap bulan,” demikian menurut seorang usahawan produk yang ditemui di premis perniagaannya baru-baru ini.

Saya termenung sejenak, memikirkan apakah strategi anak muda ini dalam perancangan pemasarannya sehingga berjaya mencatat jualan setinggi itu pada setiap bulan.

Ini semua memerlukan strategi yang mantap, rangkaian ejen yang aktif dan usaha gigih berterusan untuk mencapai sasaran berkenaan.

Lebih menarik, ada juga pasangan suami isteri yang sebelum ini tinggal di rumah pangsa dan hanya memiliki sebuah motosikal mampu mengubah kehidupan mereka dengan membeli

kenderaan pacuan empat roda dan membeli sebuah rumah banglo mewah di Pantai Timur hanya dengan penjualan produk jamu.

Produk keluaran syarikat pasangan muda ini berjaya membantu ramai pelanggannya untuk menurunkan berat badan.

Kejayaan mereka bukan datang dalam sekelip mata, ia memerlukan pengorbanan yang besar dari segi masa, tenaga dan wang ringgit untuk mencapai kejayaan itu.

Diharapkan kejayaan jutawan muda itu  dalam bidang pengeluaran produk buatan tempatan perlu dijadikan panduan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang tersebut. (Kosmo!)