Monday 2 July 2018

Sambal ‘Saadiah’ Jualan Ogy Pilihan Jemaah Umrah

Sambal ‘Saadiah’ Jualan Ogy Pilihan Jemaah Umrah


HEBAT… Selain merupakan seorang pelakon wanita yang hebat dan disegani di Malaysia sehingga kini, rupa-rupanya aktres veteran Fauziah Ahmad Daud memang gemar memasak. 

Kecintaannya terhadap hobi memasak itulah yang turut membawa dirinya ke Singapura baru-baru ini bertemu peminat serta pembeli yang sanggup menunggu untuk mendapatkan pelbagai jenis sambal.
Menurut laporan agensi berita Singapura, MediaCorp, antara produknya ialah sambal goreng Saadiah, sambal ikan kurau masin berlado, sambal sotong kering serta pes nasi goreng yang dibotolkan.
Kesemua boleh bertahan selama tiga bulan. Beliau memulakan perniagaan tersebut tujuh tahun lepas secara online. Menerusi laman sosial Instagram juga, beliau menjual sambal goreng Saadiah.
Ia menggunakan resipi turun-temurun arwah ibunya iaitu seniwati Saadiah. Ketika ditemui Mediacorp untuk pameran anjuran MegaXpress International, Fauziah yang mesra dipanggil Ogy berkongsi rahsianya.
Beliau sebenarnya diajar memasak oleh arwah ibunya ketika usianya 15 tahun. Prinsip arwah ibunya ialah wanita harus tahu memasak kerana air tangan isterilah suami nak rasa.
Bermula daripada arwah neneknya, ketika beliau pernah tinggal di Boon Teck Road di Singapura, anak-anak keluarga penghibur Datuk Ahmad Daud ini rajin menjual kuih waktu petang.
“Saya sendiri lihat arwah nenek seorang ibu tunggal berjaya membesarkan dan didik cucu- cicit dengan hasil jual makanan. Mak menitik beratkan seorang wanita itu harus berdikari walaupun bersuami atau tidak,” kongsi Ogy.
Menceritakan lebih lanjut, anak seni serba boleh yang boleh menyanyi dan mengacara itu berkata, beliau mengambil masa dua bulan untuk mendapat kelulusan mencapai tahap piawaian arwah ibunya.
Ini antara mutiara yang pernah ditekankan ibu Ogy: “Arwah mak pernah kata pada saya, Fauziah kalau dah tak nak berlakon dan Fauziah nak meniaga sambal, janji dengan mak Fauziah jangan sesekali catu bahan-bahan.
“Dia kata, macam mana kita hendak makan sedap, begitu juga dengan orang yang membeli. Kamu tidak boleh jatuh muflis apabila kamu ikhlas memasak. Jadi saya berpegang pada itu.
“Semua pelanggannya pernah terperanjat dengan begitu padatnya pengisian produk makanan saya. Ada yang bertanya macam mana saya boleh buat untung?”
Berkat kesungguhannya memasak sendiri kesemua sambal-sambalnya itu, produk makan tersebut menjadi antara pilihan sebagai bekalan jemaah Malaysia yang bakal menunaikan umrah dan ibadah haji.
Malah ada juga orang Melayu menetap di luar negara membeli berkotak-kotak daripadanya jika mereka pulang sejenak ke Malaysia, kongsi bekas Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia menerusi filemAli Setan itu.
Kalau anda mahu tahu, beliau sendirilah yang akan memasak kesemua produk-produknya termasuk menumis lauk. “Kadang tak menang tangan,” katanya bersungguh-sungguh dalam pertemuan dengan MediaCorp ini.
“Saya tidak percaya kepada orang lain untuk membuatnya kerana orang lain itu tidak belajar dari arwah mak saya. Saya yang belajar, saya harus jaga warisan dia. Bila saya berlakon, saya tidak akan kompromi tentang mutu.
“Begitu juga bila memasak. Saya mempraktikkan apa yang saya bercakap ini, sememangnya saya tidak rasa kerugian kerana magisnya bila kita lakukan sesuatu dengan penuh kasih sayang, keikhlasan, orang akan tempah lagi.
Wanita hebat itu turut ditanya mengapakah keikhlasan itu penting dalam perniagaan memandangkan ada juga peniaga yang hanya mengutamakan keuntungan. Jelas beliau, agama Islam sendiri mengajar tentang keikhlasan apabila umatnya berbuat sesuatu. Sempat Ogy membuat komen ala seorang ustazah:
“Percayalah bahawa janji Allah itu pasti. Bila kita ikhlas, jujur, kita tidak mengira dengan apa yang kita berikan pada pelanggan, lain berkatnya kerana dengan hasil jualan itu kita boleh merasai wang ringgit yang kita dapat itu sangat-sangat diberkati Allah. Kita ingat dah habis kita belanja, eh ada lagi?”
Umum ketahui betapa seniwati Saadiah sebagai seorang insan seni sehingga kini tetap diingati. Apakah nama Allahyarhamha seniwati Saadiah itu sendiri sedikit sebanyak membantu melariskankan lagi sambal goreng Saadiah yang dijual Ogy sekarang ini?
Dengan tenang Ogy menjawab:
“Terus terang nama Allahyarhamha Hajjah seniwati Saadiah itu lebih kuat sebab peminat-peminat mengenalinya sebagai seorang seniwati. Tidak pernah terfikir di minda mereka bahawa arwah mak pandai memasak. Ia timbulkan satu keinginan ingin tahu bila orang tertanya-tanya apa sebenarnya sambal goreng Saadiah ni?
“Itu yang membuatkan orang lagi ingin memiliki, nak tahu dan merasai. Pada awalnya mereka tidak yakin memang saya yang memasak sehinggalah rancangan Melodi TV3 datang ke rumah dan saya sedang memasak dan mereka rakamkan. Barulah mereka tahu, passion saya selain dari berlakon, adalah memasak.”
Kesemua sambal yang dimasaknya tidak menggunakan bahan pengawet dan bertahan selama tiga bulan lamanya. Rahsianya adalah untuk menumis bawang dan cili selama empat jam untuk jumlah yang besar.
“Takkan saya nak bagi orang makan yang mentah? Cirit-biritlah orang tu (ketawa),” tambahnya berseloroh.
Beliau gembira kerana dapat meneruskan warisan arwah nenek dan ibunya yang gemar memasak. Bahkan, lebih membahagiakan Ogy adalah apabila ada juga pelanggan-pelanggan yang akan sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah ibu dan arwah bapanya setelah mereka membeli produk Fauziah Ahmad Daud.
“Itu sangat menyentuh perasaan bagi saya,” katanya.
Meskipun beliau gemar memasak dan berniaga kini, kerjaya lakonana tidak diabaikan. Drama lakonan terkininya menerusi watak Suraya berjudul Rahsia Hati Perempuan disiarkan di saluran Astro Ria baru-baru ini.
Namun, beliau akan hanya bersetuju menerima tawaran lakonan sekiranya naskhah tersebut dapat merangsang mindanya. Ini komen terus terang Ogy kepada Mediacorp:
“Saya memang seseorang yang pentingkan mutu dan professionalisme bila saya bekerja. Saya tidak akan mengambil naskah asal boleh. Bila saya membaca naskah itu, jiwa saya kena rasa. Formula itu yang saya pegang selama ini yang orang bertanya apa rahsia saya bertahan.
“Saya sangat-sangat takut jika saya tidak menjaga bakat yang Allah berikan ini. Saya amat takut kalau saya kecewakan guru-guru saya, amat takut kalau saya kecewakan peminat-peminat saya.”
Terangnya lagi, beliau begitu ambil berat tentang amanah dan tanggungjawab setiap kali beliau bersetuju untuk berlakon dan harus juga kekalkan apa yang dididik oleh guru-gurunya.
Antara mereka ialah ibunya seniwati Saadiah, seniman Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Rahim Razali dan Ahmad Yatim. Pesan guru-gurunya antara lain berpesan bahawa apa sahaja seni yang diceburi, bakat tersebut adalah satu pinjaman dari Allah SWT yang harus dijaga elok-elok.
“Bila saya melangkah masuk ke set, saya adalah watak. Maka itu setiap kali bila ditawarkan berlakon, saya akan minta naskhah dan mereka harus berikan saya masa untuk kaji siapa watak ini. Saya tidak mahu menipu peminat-peminat saya dari zaman filem Azura hinggalah Fauziah Ahmad Daud dalam abad 21 ini,” ujarnya serius seketika.
Maka tidak menghairankan apabila beliau memilih menjadi pengetua Ogy Centrestage & Academy. Ini agar dapat berkongsi ilmu. Antara lain, penubuhan akedemi tersebut diharapkan dapat melahirkan pelakon-pelakon yang juga berilmu dan berkualiti setelah menyertai bengkel-bengkel anjuran Fauziah Ahmad Daud itu.
– Agensi/Mynewshub.tv


No comments:

Post a Comment