Wednesday 4 November 2015

Aset kewangan Islam cecah AS$3.2 trilion menjelang 2020 - Thomson Reuters



KUALA LUMPUR: Aset kewangan Islam global dijangka meningkat kepada AS$3.2 trilion menjelang 2020, menurut Thomson Reuters, sumber maklumat pintar untuk perniagaan dan profesional terkemuka dunia.

Ketua Kewangan Islamnya, Mustafa Adil, berkata kewangan Islam dianggap sebagai sektor paling maju dalam pelbagai tonggak ekonomi Islam dan pertumbuhannya dalam industri global yang diukur mengikut nilai aset kewangan Islam. 

"Pada 2014, aset kewangan Islam berjumlah US$1.8 trilion, dengan perbankan Islam mewakili 74 peratus daripadanya, diikuti sukuk sebanyak 16 peratus," katanya di luar Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ke-11 di sini, hari ini. 

Beliau berkata, maklumat itu berdasarkan Perbadanan Islam bagi Pembangunan Sektor Swasta (ICD) Petunjuk Pembangunan Kewangan Islam Thomson Reuters 2015. 

"Menurut unjuran Thomson Reuters, aset kewangan Islam dijangka meningkat kepada AS$3.2 trilion menjelang 2020, dengan perbankan Islam mencecah AS$2.6 trilion," katanya. 

Memandangkan penerimaan global terhadap kewangan Islam terus meningkat, katanya lebih banyak korporat dan negara bukan islam mengumumkan inisiatif kewangan Islam seperti kewangan beretika atau peraturan patuh syariah, serta terbitan sukuk. 

Minat yang meningkat menunjukkan pelabur tertarik kepada faedah sekitar prinsip-prinsip etika kewangan Islam, hubungan kewangan kepada aset fizikal, aktiviti fiskal produktif dan pertumbuhan ekonomi sebenar. 

Dalam perkembangan lain, Mustafa berkata sektor makanan halal global dan gaya hidup, yang penggunaannya berjumlah AS$1.8 trilion pada 2014, diunjurkan meningkat kepada AS$2.6 trilion menjelang 2020, menurut dapatan daripada 'Laporan Ekonomi Islam Global 2015/2016'. 

"Sektor makanan halal, dengan penggunaan semasa sebanyak AS$1.13 trilion, dijangka berkembang kepada AS$1.56 trilion menjelang 2020, dengan permintaan untuk rawatan beretika haiwan sahaja menghasilkan pasaran makanan organik bernilai AS$100 bilion," katanya. 

Mustafa turut memberi pengenalan kepada Salaam, gerbang ekonomi Islam global, yang dilancarkan pada Sidang Kemuncak Ekonomi Islam Global di Dubai pada Oktober lalu. 

Alamat laman webnya, http://www.salaamgateway.com dan 90 peratus daripada kandungannya boleh diakses secara percuma, katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment