Saturday 3 February 2018

Dadah ditemui dalam kopi perisa durian. -ACP Anuar Omar



GEORGE TOWN: Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan kopi pracampuran yang diminum 2 lelaki Nepal sehingga menyebabkan mereka mengalami gejala letih teruk, dipercayai mengandungi bahan asing disyaki sejenis dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar berkata, ujian analisis sampel kopi yang dijalankan pegawai teknologi makanan, makmal keselamatan dan kualiti makanan Pulau Pinang mendapati ada kandungan dadah, namun belum dapat dipastikan jenisnya.

“Hasil analisis sampel paket kopi yang diberikan seorang wanita tidak dikenali kepada 2 pengawal keselamatan itu juga menunjukkan paket itu telah dibuka dan dilekatkan semula kerana bahagian bawah paket itu menunjukkan kesan koyak.
“Berat paket yang dilekatkan semula itu juga menunjukkan penambahan lebih 10g daripada berat asal iaitu 40g kepada 50g dan dalam serbuk kopi itu mengandungi bendasing berwarna hijau berbeza dengan paket asal,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, sampel kopi itu juga dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengenal pasti jenis sebenar dadah yang dicampur dalam paket tersebut.

Anuar berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan wanita yang memberikan kopi pracampuran itu kepada 2 lelaki Nepal berkenaan.
Beliau berkata, 2 wanita yang turut dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas minum kopi itu kerana mengalami gejala sama dalam kejadian 27 Januari lepas, mendapat kopi itu daripada orang yang menderma kepada sebuah tokong.

Seramai 5 individu, termasuk 2 wanita dirawat di HPP selepas mengalami gejala letih dan lemah teruk, malah ada yang tidak sedarkan diri selepas dipercayai minum sejenis kopi sejak Ahad hingga Selasa lalu.

Mereka yang berusia 19 hingga 62 tahun itu ditahan di wad untuk pemerhatian dan beberapa ujian dijalankan. Tiga daripadanya dibenarkan keluar wad selepas keadaan mereka bertambah baik.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah ketika dihubungi berkata, tiada kes baharu dilaporkan dan siasatan berhubung sampel kopi serta ujian ke atas pesakit selesai dijalankan. (TKO)

No comments:

Post a Comment