Sunday 6 May 2018

Pembuatan Bedak Sejuk Tradisional Di Balik Pulau




BALIK PULAU – Kampung Kuala Jalan Bharu di sini telah berusia hampir 100 tahun dan rata-rata penduduk di kawasan itu adalah nelayan.

Bagaimanapun, di tengah-tengah kampung itu terdapat sebuah bangsal, yang mengeluarkan bedak sejuk yang dihasilkan secara tradisional dan diusahakan sejak 38 tahun lepas.
Yeoh Siong Huat, 41, berkata perniagaan itu diwarisi daripada mendiang ayahnya yang merupakan penduduk asal kampung berkenaan.
Yeoh berkata bedak sejuk yang dihasilkannya itu hanya menggunakan bahan-bahan asli tanpa pengawet dan cahaya matahari sebagai pengering. Antara bahan yang digunakan ialah beras, air dan daun pandan sebagai pewangi.
Beliau berkata proses untuk menghasilkan bedak sejuk itu agak rumit dan ambil masa kerana beras perlu direndam selama sebulan dengan airnya diganti setiap minggu untuk mengurangkan bau dan menjamin kebersihan produk.
“Kalau cuaca hujan, kadang-kadang dalam satu bulan, satu kilogram pun susah nak dapat sebab kami memang bergantung kepada matahari… tapi jika cuaca baik, paling banyak kami pernah hasil dalam satu bulan ialah 300 kilogram,” katanya.
Yeoh berkata bangsal tempat beliau menghasilkan bedak sejuk itu sering dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara dan beliau sering kali diminta menunjukkan demonstrasi cara menghasilkan bedak sejuk secara tradisonal kepada pelancong.
Selain dijual secara meluas di negara ini, bedak sejuk berjenama Lean Seng itu turut dipasarkan di Taiwan, China dan Singapura secara runcit dan pukal. (IH)

No comments:

Post a Comment