Thursday 30 August 2018

Lavida Coin masuk senarai Amaran Pengguna Kewangan Bank Negara



KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia menyenaraikan pengendali terbitan mata wang kripto Lavida Coin, VI Profit Galaxy (DSV Cryptoclub & LUX Galaxies) dalam senarai Amaran Pengguna Kewangan bank pusat itu.
Senarai Amaran Pengguna Kewangan itu merujuk kepada syarikat dan laman web yang tidak dibenar atau dilulus mengikut undang-undang serta peraturan berkaitan yang ditadbir BNM.
Turut disenaraikan adalah laman web berkaitan penawaran Lavida Coin iaitu luxgalaxies.com dan www.lavidacoin.com
Berdasarkan penyenaraian terkini itu, BNM kini sudah menyenaraikan 423 syarikat dalam Amaran Penggunaan Kewangan.
Berdasarkan Amaran Pengguna Kewangan yang dikeluarkan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang deposit atau pelaburan dengan individu atau entiti yang tidak dikawal selia mengikut undang-undang berkaitan.
Hanya institusi kewangan iaitu bank, syarikat insurans, pengendali takaful, penggurup wang, penyedia perkhidmatan pengiriman wang dan pemborong mata wang (kini perniagaan perkhidmatan wang) diberikan lesen oleh BNM.
Semalam, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkata, ia sedang memantau maklumat sedia ada mengenai mata wang kripto Lavida Coin bagi menentukan sama ada wujud sebarang perlanggaran undang-undang sekuriti.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dengan sebarang skim pelaburan terutama yang membabitkan mata wang kripto dan token digital.
“Kami sudah pun menerima pertanyaan mengenai penerbitan kertas putih bagi penawaran Lavida Coin kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan.
Kertas putih itu mendakwa Lavida Coin ditawarkan sebagai inisiatif pembiayaan swasta bagi pengumpulan modal atau dana bernilai untuk pembangunan tiga projek dan hanya pembiayaan ramai saja yang dapat memenuhi keperluan pembiayaan terbabit.
Sebelum ini, Datuk Seri Vida (DSV) memperkenalkan mata wang digital atau kripto dikenali Lavida Coin pada harga yang ditetapkan iaitu 1 LVC bersamaan AS$0.66 (RM2.71).
Menurut ahli perniagaan dan selebriti itu, ia ditawarkan pada harga serendah RM99 bagi 30 unit Lavida Coin sehingga RM9,900 (3,000 Lavida Coin) dan urus niaga dijalankan dalam Ringgit Malaysia, Dolar Singapura, Dolar Brunei dan Dolar Amerika Syarikat (AS).

No comments:

Post a Comment