Thursday 25 February 2016

Nilai pound sterling menjunam.


LONDON: Pound Britain didagangkan menghampiri AS$1.39 (RM5.838) untuk kali pertama dalam tempoh tujuh tahun. Dalam pada itu kos lindung nilai melonjak mendadak kepada tertinggi dalam tempoh lebih empat tahun disebabkan kebimbangan kemungkinan Britain akan keluar daripada menganggotai Kesatuan Eropah (EU). 

Tinjauan terkini menunjukkan 'kem' dalaman mendahului pungutan suara yang akan diadakan pada Jun ini, tetapi jurangnya adalah terlalu kecil. Menurut tinjauan ComRes bagi Daily Mail, mendapati sokongan untuk terus kekal sebanyak 51 peratus, sementara 39 peratus mahukan perjanjian yang digelar sebagai "Brexit" manakala 10 peratus lagi belum membuat sebarang keputusan.

 Sterling jatuh kepada AS$1.3925 dengan penganalisis carta kini menyasarkan ia bakal susut kepada AS$1.35 (RM5.67) seperti yang dicatatkan pada 2009. Mata wang berkenaan menjadi sasaran serangan sejak awal minggu ini, merosot tiga peratus selepas beberapa anggota kanan Parti Konservatif berkempen untuk meninggalkan Kesatuan Eropah, menjelang hujung minggu. Euro pada 0.3 peratus lebih tinggi pada 78.82 pence walaupun mata wang tunggal itu pulih daripada kebimbangan kerana zon euro turut berdepan ketidaktentuan jika Britain memilih untuk meninggalkan Kesatuan.

"Kebimbangan itu semakin ketara sementara menunggu pungutan suara EU dan kesan tidak menentu mungkin mencetuskan penjualan besar-besaran dalam sterling," kata Lukman Otunuga, penganalisis di FXTM. 

Ketidaktentuan itu juga akan menolak balik kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Bank of England (BoE). Sebaliknya, Gabenor BoE, Mark Carney mengingatkan pelabur bahawa BoE masih boleh menggunakan potongan kadar dan memperluaskan program pembelian bon, untuk merangsang ekonomi Britain, jika ia diperlukan. HSBC, antara peniaga terbesar dalam sterling, berkata mata wang itu boleh kehilangan hingga 15 peratus daripada nilainya dan pertumbuhan ekonomi United Kingdom (UK) boleh mencecah 1.5 mata peratusan lebih rendah tahun depan, jika pungutan suara rakyat Britain mengundi untuk keluar dari Kesatuan Eropah. 

"Satu undi bagi Brexit akan meninggalkan kesan yang berpotensi besar bagi semua kelas aset. Diikuti dengan satu undi untuk meninggalkannya, kami fikir ketidakpastian boleh menyebabkan cengkaman ekonomi di UK, selain mencetuskan potensi kelembapan dalam pertumbuhan dan kejatuhan sterling," menurut satu kenyataan yang ditulis penganalisis HSBC. - Reuters 

1 comment: